29 C
Kuala Lumpur
Friday, April 24, 2026

IEC Telecom jadi penjual semula Starlink di Malaysia, perkukuh internet luar bandar

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – IEC Telecom Group secara rasmi memasuki pasaran Malaysia sebagai penjual semula sah Starlink, sekali gus memperkukuh kehadirannya di rantau Asia Tenggara dan menyokong aspirasi negara dalam merapatkan jurang digital.

Pembukaan pejabat baharu IEC Telecom di Malaysia menandakan pengembangan strategik syarikat dalam penyediaan perkhidmatan ketersambungan perusahaan, khususnya bagi organisasi dan komuniti yang berdepan cabaran capaian internet di kawasan luar bandar, pedalaman serta sektor maritim.

Melalui pengenalan teknologi internet satelit Starlink ke pasaran tempatan, IEC Telecom menyasarkan sektor tenaga, logistik, kerajaan dan operasi perusahaan yang memerlukan kesinambungan komunikasi dalam persekitaran dengan infrastruktur terhad.

Langkah ini selari dengan agenda pendigitalan nasional Malaysia.

Sehingga hujung 2025, liputan internet di kawasan berpenduduk meningkat kepada 99.71 peratus berbanding 91.8 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Walaupun pencapaian itu membanggakan, jurang capaian internet masih ketara di luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mencatat liputan 5G sebanyak 68.6 peratus dan 63.8 peratus setakat pertengahan 2025.

Keperluan terhadap penyelesaian satelit turut diperkukuh melalui kejayaan projek bukti konsep (PoC) pada 2024 di Kampung Orang Asli Kerling, Hulu Selangor, yang membolehkan 260 penduduk dan 100 pelajar menikmati akses jalur lebar buat pertama kali melalui backhaul satelit.

Perkembangan ini menandakan potensi besar teknologi satelit sebagai pelengkap kepada rangkaian terestrial dalam memastikan akses internet yang inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IEC Telecom, Antoine Veillon berkata, syarikat itu berada dalam kedudukan kukuh untuk menyokong aspirasi digital Malaysia memandangkan IEC Telecom adalah antara rakan awal Starlink sejak Disember 2022.

“Dengan pengalaman lebih 30 tahun di peringkat antarabangsa serta kehadiran melebihi dua dekad di Asia Pasifik, pembukaan pejabat di Malaysia yang ketiga di rantau APAC mencerminkan komitmen jangka panjang terhadap pembangunan ketersambungan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

“Selain menawarkan perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink, IEC Telecom Malaysia membangunkan ekosistem ketersambungan bersepadu yang menggabungkan rangkaian satelit, terestrial dan hybrid,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan ini membolehkan syarikat mereka bentuk seni bina terurus yang menyokong pelbagai pengguna dan kes penggunaan dalam satu platform tunggal.

Penyelesaian itu dikuasakan oleh lapisan pengurusan rangkaian termaju yang menyediakan keterlihatan berpusat, kawalan menyeluruh serta pengoptimuman prestasi melalui portal khusus, sekali gus memastikan ketersambungan yang selamat, berskala dan berprestasi tinggi.

Sementara itu, Pengarah Urusan APAC IEC Telecom, Hisham Ghaffar berkata, Malaysia adalah pasaran strategik dalam peluasan digital Asia Tenggara.

“Sebagai penjual semula Starlink yang sah, IEC Telecom Malaysia berperanan merapatkan jurang ketersambungan dengan menawarkan penyelesaian satelit di kawasan yang tidak diliputi infrastruktur konvensional, sekali gus membantu perniagaan beroperasi secara konsisten dan membolehkan komuniti luar bandar menikmati akses internet yang lebih stabil,” katanya.

IEC Telecom Malaysia turut memaklumkan syarikat itu telah memperoleh lesen daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), membolehkannya menyediakan perkhidmatan komunikasi satelit secara sah di negara ini.

Dengan sokongan teknikal tempatan, konfigurasi yang disesuaikan serta perkhidmatan nilai tambah, pejabat Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menyokong keutamaan pembangunan digital negara.

Kemasukan IEC Telecom sebagai penjual semula Starlink di Malaysia bukan sahaja memperkukuh landskap komunikasi satelit negara, malah membuka peluang baharu kepada perusahaan dan komuniti luar bandar untuk memanfaatkan teknologi ketersambungan berkelajuan tinggi dalam mempercepat transformasi digital dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular