26.4 C
Kuala Lumpur
Friday, June 12, 2026
Home Blog Page 25

UPSI, Arkib Negara Malaysia meterai MoU, perkukuh penyelidikan serta pemeliharaan warisan sejarah negara

editormaxinfo@gmail.com

TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya dalam pemartabatan ilmu dan warisan negara apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Arkib Negara Malaysia (ANM) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh jaringan institusi pendidikan tinggi dan agensi pemeliharaan rekod negara, khususnya dalam bidang penyelidikan, pendokumentasian serta pembangunan ilmu berkaitan sejarah dan warisan Malaysia.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, majlis menandatangani MoU itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen bersama kedua-dua institusi dalam memelihara khazanah sejarah dan identiti negara untuk generasi akan datang.

“Sebagai universiti pendidikan tertua di Malaysia, UPSI memainkan peranan penting dalam melahirkan pendidik, penyelidik dan pemimpin pemikiran yang memiliki jati diri kukuh serta kefahaman mendalam terhadap sejarah dan warisan negara.

“Justeru, kerjasama dengan Arkib Negara Malaysia amat signifikan memandangkan ANM merupakan badan utama negara dalam pemeliharaan, pendokumentasian dan penyelidikan rekod serta bahan arkib bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini selari dengan aspirasi UPSI untuk terus menjadi peneraju kebitaraan pendidikan di peringkat serantau, di samping memperkukuh ekosistem penyelidikan berasaskan ilmu dan warisan.

Melalui MoU berkenaan, kedua-dua pihak akan melengkapi kepakaran serta sumber sedia ada menerusi pelbagai kolaborasi strategik, khususnya dalam penyelidikan dan penerbitan ilmiah berkaitan sejarah, arkib dan warisan negara.

Kerjasama itu turut merangkumi penganjuran program akademik seperti seminar, bengkel dan latihan profesional, selain membuka peluang kepada pelajar UPSI menjalani latihan industri di Arkib Negara Malaysia.

Inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa, malah membantu melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi cabaran bidang arkib dan warisan.

Dr. Md Amin turut berharap agar perjanjian yang dimeterai tidak terhenti sebagai dokumen rasmi semata-mata, sebaliknya diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi secara berterusan.

Beliau menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya di daerah Muallim, mengenai tanggungjawab bersama dalam memelihara dan menghargai warisan sejarah negara.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Zaidin Mohd Noor menyifatkan jalinan kerjasama ini sebagai kesinambungan hubungan strategik yang telah terjalin antara ANM dan UPSI sejak tahun 2014.

“Kolaborasi ini adalah lanjutan daripada MoU terdahulu yang berkuat kuasa bagi tempoh 2017 hingga 2020, sekali gus memperkukuh lagi hubungan institusi secara lebih menyeluruh.

“Idea untuk memperbaharui kerjasama ini tercetus hasil kesedaran bersama bahawa sinergi antara kedua-dua pihak mampu memberi manfaat besar kepada negara, khususnya dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan bahan arkib,” katanya.

Melalui MoU ini, ANM dan UPSI bukan sahaja memperkasa perkongsian kepakaran, malah merancang pelaksanaan projek pendigitalan bahan arkib serta strategi promosi menerusi penghasilan kandungan kreatif bagi meningkatkan akses masyarakat terhadap dokumen sejarah negara.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan) Arkib Negara Malaysia, Shahlin Ali, serta Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman.

Pemeteraian MoU antara UPSI dan Arkib Negara Malaysia ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pemeliharaan warisan sejarah negara secara lebih sistematik dan berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan penyelidikan yang mampan serta pemerkasaan identiti nasional.

Astro Shaw lancar Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), ‘First Look’ tanda permulaan era baharu sinema Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan melakar satu lagi detik bersejarah apabila Astro Shaw secara rasmi melancarkan Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), sebuah ekosistem sinematik jangka panjang yang saling berhubung dan dirangka bagi mengangkat penceritaan Malaysia ke peringkat serantau serta global.

Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah projek baharu, sebaliknya menandakan transformasi besar dalam landskap penceritaan sinema tempatan.

Astro Shaw Cinematic Universe dibangunkan berasaskan watak-watak yang telah membentuk budaya popular Malaysia, sekali gus membuka fasa baharu dalam evolusi naratif filem tempatan.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan dunia sinematik antarabangsa, ASCU menggabungkan elemen dunia dan karakter yang dekat di hati penonton Malaysia, dengan pendekatan pembangunan berperingkat yang membolehkan setiap karya berdiri sendiri, namun tetap menyumbang kepada satu mitologi yang lebih besar dan berterusan.

Sebagai pembuka tirai kepada alam sinematik ini, Astro Shaw memperkenalkan ‘First Look’ berjudul Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning.

Lebih daripada sekadar treler konvensional, karya berdurasi hampir empat minit ini menjadi gambaran awal bagaimana dunia ASCU bakal berkembang.

Dilancarkan di semua platform digital Astro Shaw, inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam membina keterujaan serta pemahaman awal penonton terhadap konsep dunia sinematik yang saling berhubung.

‘First Look’ berkenaan menampilkan kemunculan beberapa watak ikonik terbitan Astro Shaw yang telah mencipta fenomena tersendiri dalam industri filem tempatan.

Antaranya termasuk Inspektor Sani dan Inspektor Khai daripada francais Polis Evo, Kahar dari High Council, serta bayangan kemunculan adiwira tempatan yang dinanti-nantikan, Keluang Man.

Gabungan watak-watak ini secara simbolik mengesahkan bahawa dunia yang sebelum ini wujud secara berasingan kini disatukan dalam satu naratif besar di bawah payung Astro Shaw Cinematic Universe.

Menariknya, ‘First Look’ ini tidak terikat secara langsung dengan mana-mana filem atau siri premium terdahulu.

Sebaliknya, ia berfungsi sebagai titik permulaan rasmi kepada dunia ASCU, menjawab persoalan tentang bagaimana setiap cerita akan terus berkembang dan berinteraksi antara satu sama lain.

Pendekatan ini meletakkan asas kukuh kepada pembinaan mitologi yang lebih luas, dinamik dan sentiasa berevolusi.

Projek ini diterajui oleh Pengarah Kreatif Astro Shaw, Alfie Palermo, dan diarahkan oleh Sofyank, seorang bakat kreatif yang dikenali dalam dunia kandungan digital serta visual kesan khas (VFX) tempatan dan antarabangsa.

Beliau bergandingan bersama Mshaffuan, manakala aspek sinematografi dipertanggungjawabkan kepada Nicholas Chin, pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34.

Gabungan kepakaran ini menghasilkan karya yang mencerminkan aspirasi bertaraf antarabangsa, dengan ketelitian visual dan sinematik yang menetapkan penanda aras baharu untuk kandungan buatan Malaysia.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pelancaran ASCU menandakan satu anjakan asas dalam pendekatan syarikat terhadap penceritaan.

“Dunia ASCU dibangunkan untuk menyatukan watak-watak ikonik dalam satu alam yang saling berhubung, tanpa mengorbankan identiti serta kekuatan unik setiap karya.

“Pendekatan pembangunan jangka panjang ini memberi tumpuan kepada pembinaan asas yang kukuh, evolusi berperingkat dan penghormatan terhadap legasi watak-watak yang telah mendapat tempat di hati penonton,” katanya.

Tambahnya, ASCU direka sebagai platform terbuka yang menyokong kreator, idea dan watak baharu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pencipta kandungan tempatan untuk membina dunia penceritaan yang lebih besar dan berpanjangan.

Inisiatif ini juga memperlihatkan komitmen Astro Shaw dalam memperkasa ekosistem industri kreatif negara.

Menerusi Astro Shaw Cinematic Universe, sebuah ekosistem kreatif jangka panjang dan berbilang platform kini dirintis bagi membolehkan pengarah serta pembikin filem meneroka naratif yang saling berkait.

Ia turut membuka peluang kepada pelakon untuk mengembangkan kepelbagaian watak merentasi pelbagai judul, selain memberi ruang kepada penulis dan showrunner membina dunia cerita yang lebih kompleks dan menyeluruh.

Pada masa sama, inisiatif ini turut mewujudkan potensi kolaborasi strategik bersama jenama dan rakan industri dalam penceritaan berskala besar.

Pelancaran ASCU turut mendapat sokongan WONDA Kopi sebagai rakan strategik, memperkukuh lagi usaha membangunkan dunia sinematik tempatan yang berdaya saing dan mampan.

Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning kini boleh ditonton menerusi semua platform media sosial rasmi Astro Shaw.

Peminat filem tempatan dan pengikut setia francais sedia ada dijangka terus mengikuti perkembangan fasa seterusnya dalam dunia sinematik Astro Shaw, yang berpotensi menjadi antara pencapaian paling signifikan dalam sejarah industri perfileman Malaysia.

Bio Eneco perkukuh pelaburan hijau, pacu transformasi tenaga Pantai Timur

editormaxinfo@gmail.com

Foto Bernama

KUANTAN – Dalam usaha Malaysia mempercepat peralihan ke arah tenaga bersih, pembukaan Kilang Bio Eneco Sdn. Bhd. di Gebeng dilihat sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh keselamatan tenaga, menyokong ekonomi rendah karbon serta merangsang pertumbuhan industri hijau negara.

Perasmian kilang berteknologi tinggi itu oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut mencerminkan komitmen sektor swasta dalam menjayakan agenda Ekonomi MADANI dan aspirasi kelestarian nasional.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy Holdings Berhad, Yeo Hock Cheong berkata, bio tenaga merupakan penyelesaian peralihan yang realistik, berskala besar dan boleh dilaksanakan segera ketika dunia bergerak ke arah sumber tenaga bersih.

“Kilang ini bukan sahaja mengukuhkan keselamatan tenaga, malah menukar sisa industri kelapa sawit kepada bahan api boleh diperbaharui bernilai tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Jepun,” katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Hadir sama Pengerusi Elridge Energy Holdings Berhad, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid, Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.

Menurut Elridge Energy, pembangunan kilang itu merupakan sebahagian daripada program perbelanjaan modal syarikat bernilai RM68.14 juta bagi membina rangkaian kemudahan pemprosesan biojisim di Kuantan, Pasir Gudang dan Lahad Datu.

“Pelaburan ini mencerminkan pelaksanaan strategi yang berdisiplin dalam memanfaatkan hasil IPO untuk meningkatkan keupayaan pemprosesan, memperkukuh kesiapsiagaan bekalan dan menyokong pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya.

Kemudahan di Gebeng menjadi tonggak utama strategi jangka panjang kumpulan untuk membangunkan platform biojisim berkualiti tinggi berorientasikan eksport, selari dengan perkembangan pesat peralihan tenaga global.

Direka untuk menghasilkan PKS bertaraf eksport, kilang ini diperakui di bawah pensijilan antarabangsa Green Gold Label (GGL), sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap piawaian kelestarian yang ketat, kebolehkesanan rantaian bekalan serta integriti data karbon.

Pemilihan Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai lokasi operasi turut dianggap strategik kerana kedudukannya berhampiran Pelabuhan Kuantan, sekali gus menyokong kecekapan logistik dan kebolehpercayaan bekalan jangka panjang.

Projek bio tenaga ini dijangka menjadi pemangkin baharu pertumbuhan ekonomi Pantai Timur, di samping membuka peluang pekerjaan, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global tenaga boleh diperbaharui.

Elridge Energy turut merancang untuk terus memperluas kapasiti tenaga hijau negara secara berperingkat sejajar keperluan pasaran dan keutamaan keselamatan tenaga nasional.

Kilang Bio Eneco di Gebeng merupakan kemudahan ketiga syarikat itu selepas Telok Gong dan Kapar di Selangor, manakala pembukaan kilang seterusnya dirancang di Pasir Gudang, Johor.

Jualan usahawan PMKS di bawah RichWorks catat kejayaan RM3.3 bilion, majlis Titan ICM 2026 rai pencapaian

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Kumpulan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dibimbing secara eksklusif oleh RichWorks Consulting Group Sdn Bhd (RCG), melalui program The Titan dan Titan Circle Plus++ (TCP++), berjaya menjana jualan terkumpul sebanyak RM3.3 bilion pada 2025.

Pencapaian ini mencatatkan pertumbuhan 14 peratus berbanding RM2.9 bilion pada 2024, menunjukkan momentum positif dalam perkembangan perniagaan di bawah bimbingan berstruktur RichWorks.

Pengasas dan Presiden RichWorks Consulting Group serta Pengerusi RichWorks Group Holdings Berhad (RGHB), Datuk Wira Dr. Azizan Osman berkata, kumpulan usahawan yang dibimbing secara dekat olehnya kini berada pada tahap perkembangan di mana jualan perniagaan melebihi RM1 juta setahun.

Peningkatan ini adalah hasil daripada persediaan awal yang mantap, strategi jelas dan bimbingan berterusan mengikut situasi semasa yang dihadapi oleh usahawan-usahawan berkenaan.

Majlis Titan’s Inner Circle Meeting (ICM) dan Titan Business Leadership Award 2026 dianjurkan sebagai platform untuk mengiktiraf pencapaian 161 perniagaan membabitkan 198 penerima anugerah.

Anugerah ini merangkumi pelbagai kategori berdasarkan prestasi kewangan, pertumbuhan perniagaan serta tempoh penyertaan dalam bimbingan.

Dr. Azizan berkata, kejayaan yang disaksikan berlaku apabila usahawan komited dan melaksanakan tindakan tepat, manakala pasukan di sebalik perniagaan memainkan peranan penting dalam memastikan visi dan misi organisasi terlaksana.

“Program Titan’s ICM diwujudkan sebagai ruang pembelajaran dan refleksi untuk usahawan, di samping mengiktiraf prestasi dan kejayaan mereka.

“Saya dedahkan ilmu kepimpinan, hala tuju strategik serta pendekatan praktikal yang relevan dengan cabaran sebenar perniagaan hari ini dan masa hadapan.

“Pertumbuhan mampan tidak hanya dibina oleh usahawan sahaja, tetapi membabitkan sistem, pasukan dan kepimpinan yang bergerak seiring,” katanya.

Majlis anugerah kali ini turut meraikan kategori khas seperti The Titan Grandeur Award, yang menampilkan lapan usahawan terpilih atas kepimpinan strategik, pertumbuhan konsisten dan impak ekonomi berskala besar.

Selain itu, Astro Inspirasi SeeNI Award diberikan kepada usahawan yang menggunakan platform penyiaran Astro untuk menyokong pertumbuhan perniagaan dari segi penjenamaan, membina kepercayaan dan meningkatkan jualan secara langsung dan tidak langsung.

Anugerah ini adalah hasil kolaborasi rasmi RichWorks bersama Astro Malaysia Holdings Berhad sejak April 2025.

Sejak penubuhannya pada 2008, RichWorks telah membimbing lebih 2 juta peserta, terutamanya usahawan PMKS, merentasi pelbagai industri melalui pendekatan berstruktur yang berfokus kepada pelaksanaan sebenar.

Komitmen ini selari dengan aspirasi nasional untuk memperkukuh ekosistem PMKS yang inklusif, berdaya tahan dan berimpak tinggi kepada ekonomi negara.

RichWorks terus menegaskan peranannya sebagai peneraju latihan dan bimbingan usahawan PMKS, dengan misi menyokong pertumbuhan perniagaan, penciptaan pekerjaan, inovasi dan sumbangan kembali kepada masyarakat dan negara.

SPWinds Seri Puteri harumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya terus membuktikan keupayaan murid Malaysia bersaing di peringkat global apabila berjaya mengharumkan nama negara di arena antarabangsa melalui kecemerlangan seni muzik.

Kejayaan meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna pada tahun 2025 mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara orkestra sekolah terbaik di negara ini.

Pencapaian berprestij itu menjadi manifestasi jelas kepada konsep kemenjadian murid yang diterapkan secara holistik, merangkumi pembentukan disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan serta pengembangan bakat secara menyeluruh.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga Sekolah Seri Puteri, malah mencerminkan keberkesanan ekosistem sokongan yang kukuh melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam melahirkan murid berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Seiring usaha memperkasa pembangunan bakat dan pendedahan murid kepada dunia muzik profesional, SPWinds kini menjalin kerjasama strategik bersama penyanyi terkenal tanah air, Amir Masdi.

Kolaborasi ini dirangka secara berperingkat dan berfokus bagi menyokong perjalanan seni serta pembelajaran muzik ahli SPWinds tanpa menjejaskan teras utama pendidikan dan pembentukan sahsiah murid.

Kerjasama itu turut dilihat sebagai nilai tambah yang memperkayakan pengalaman pembelajaran, selain mempersiapkan SPWinds untuk cabaran di pentas antarabangsa akan datang.

Antara tumpuan utama SPWinds ialah penyertaan dalam World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda.

Bagi merealisasikan hasrat ini, usaha pengumpulan dana digerakkan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri, sekali gus mencerminkan sokongan padu ibu bapa dan komuniti terhadap pembangunan orkestra berkenaan.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Amir Masdi mengakui berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulungnya bersama SPWinds.

“Dedikasi dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemuzik muda SPWinds amat menginspirasikan dan saya berharap dapat menyumbang secara bermakna melalui muzik bagi menyokong perjalanan seni serta pembangunan bakat mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden KSIB, Shah Rizal Jazib berkata, keutamaan utama pihaknya adalah memastikan kemenjadian murid SPWinds terus diperkasakan.

“Kolaborasi bersama Amir Masdi adalah satu pencapaian penting yang mengukuhkan visi artistik SPWinds dalam persediaan ke arah platform antarabangsa, disokong oleh komitmen berterusan ibu bapa dan komuniti melalui KSIB serta PIBG.

“Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan SPWinds dalam menjadikan seni muzik sebagai wahana pendidikan berimpak tinggi, sekali gus mengangkat kemenjadian murid sebagai teras utama kejayaan dan kecemerlangan institusi Pendidikan,” katanya.

Semua hasil kutipan daripada konsert ini akan disalurkan sepenuhnya kepada SPWinds bagi menyokong aktiviti dan penyertaan antarabangsa mereka.

SPWinds turut mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, sumbangan individu serta tajaan korporat sebagai sokongan terhadap pembangunan bakat murid di peringkat global.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Januari 2026, jam 3 petang, menerusi laman web TicketEmpire dengan harga bermula dari RM178 hingga RM378.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Lina Rashid di talian 019-275 8571 atau Shahriyah di 019-435 2090.

Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?, sentuh kisah ibu tunggal dan doa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem Indonesia terbaharu yang sarat emosi dan menyentuh jiwa, Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?, bersedia mengalirkan air mata penonton Malaysia apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 5 Februari 2026.

Setelah mencatat sambutan menggalakkan di Indonesia, naskhah ini dibawakan ke layar perak tempatan menerusi kolaborasi penerbit Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment bersama penerbit bersama dari Malaysia, Astro Shaw.

Mengangkat kisah kehidupan yang dekat dengan realiti masyarakat, filem ini menyelami kekuatan doa sebagai sumber ketenangan dan penyembuhan emosi, khususnya buat wanita yang berdepan pengkhianatan, perceraian dan luka mendalam dalam institusi keluarga.

Penceritaannya menumpukan perjalanan batin seorang ibu tunggal yang terpaksa bangkit demi anak-anak, meskipun jiwanya sendiri remuk dan terluka.

Filem ini diterajui oleh Revalina S. Temat, yang cukup dikenali dalam kalangan penonton Malaysia menerusi watak ikonik Bawang Putih.

Turut membintangi naskhah ini ialah Gunawan Sudrajat, Megan Domani, Annisa Kaila, Roy Sungkono, Risma Nilawati, Dhawiya Zaida, Daniella Sya, Alex Abbad, Sheila Kusnadi, Venly Arauna serta Ustazah Shofwatunnida, yang bersama-sama menghidupkan emosi dan konflik keluarga yang kompleks.

Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? diarahkan oleh Jay Sukmo, pengarah berpengalaman yang terkenal dengan karya-karya beremosi seperti The Chocolate Chance, Jendela Seribu Sungai dan Culture Shock, yang pernah menduduki carta Top 1 Netflix Indonesia selama lapan minggu berturut-turut.

Skrip filem ini pula ditulis oleh Utiuts dan Priska Amalia, dengan pendekatan naratif yang lembut namun menyayat perasaan.

Kisah ini berpusat kepada watak Sarah, lakonan penuh penghayatan oleh Revalina, seorang wanita yang dikhianati suami dan diuji dengan perceraian.

Dalam satu keadaan yang tidak disangka, Sarah terpaksa tinggal sebumbung bersama bekas suaminya yang diserang strok serta isteri baharu lelaki itu, demi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Keputusan itu bukan sahaja menguji keikhlasan dan ketabahan Sarah, malah mengundang konflik emosi dengan anak perempuannya, Laila, yang masih terluka dan sukar menerima realiti pahit keluarganya.

Melalui penceritaan yang menyentuh, filem ini mengupas tema kecurangan, pengkhianatan dan kemaafan dari sudut pandang wanita yang kelihatan kuat di luar, namun bergelut dengan kesedihan yang tidak terluah.

Doa digambarkan sebagai pelindung jiwa dan sumber kekuatan untuk bangkit, sekali gus membawa mesej bahawa penyembuhan tidak selalu hadir melalui keadilan, tetapi melalui keberanian untuk melepaskan dan memaafkan.

Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata Astro Shaw berperanan sebagai penerbit bersama serta bertanggungjawab dalam aspek pemasaran dan pengedaran filem di Malaysia.

“Hubungan erat yang terjalin antara Astro Shaw, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment sejak 2020 telah membuka ruang kolaborasi kreatif yang lebih kukuh antara industri filem Malaysia dan Indonesia.

“Gabungan kepakaran dua negara ini diyakini mampu memperluaskan jangkauan pasaran serta memperkayakan kandungan serantau,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? dan Ketua Pegawai Eksekutif Paragon Pictures, Robert Ronny, menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang bukan sekadar memaparkan konflik kehidupan, tetapi perjalanan doa yang menemukan jawapan melalui ketenangan jiwa.

“Selain perspektif seorang ibu, filem ini turut menyorot kesan perceraian terhadap anak menerusi watak Laila, lakonan Annisa Kaila, yang mewakili suara kanak-kanak daripada keluarga berpecah dan terpaksa memendam emosi di tengah konflik orang dewasa,” katanya.

Sebagai sebuah filem kolaborasi Indonesia–Malaysia, Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? turut disokong oleh Netzme, KMIF, WOW Multinet Pictures dan Virtuelines Entertainment.

Naskhah ini diharapkan dapat menjadi refleksi dan sumber kekuatan buat penonton yang pernah melalui luka kehidupan, sambil membawa peringatan bahawa doa yang tidak terucap tetap didengari.

Viu lancar “Walid (Heaven’s Reign)”, siri thriller agama baharu tayang Februari 2026

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan penstriman video terkemuka, Viu, milik PCCW, kembali dengan tayangan perdana siri Viu Original terbaharu berjudul Walid (Heaven’s Reign), sebuah siri thriller agama yang mendebarkan dan sarat dengan konflik keimanan, manipulasi serta perebutan kuasa.

Siri ini bakal menemui penonton secara eksklusif di platform Viu bermula 26 Februari 2026.

Menyusul kejayaan besar siri Bidaah yang mencetuskan perbincangan hangat tahun lalu, Walid hadir sebagai kesinambungan kepada penceritaan berani yang menyingkap sisi gelap penyalahgunaan agama.

Siri 12 episod ini menelusuri garis halus antara pengabdian dan penipuan, sekali gus mengajak penonton merenung makna keimanan yang sebenar dalam dunia yang sarat kepentingan peribadi.

Diterbitkan oleh Rumah Karya Citra, Walid menyatukan kembali gandingan kreatif di sebalik Bidaah, iaitu pencipta dan penulis skrip terkenal Erma Fatima bersama pengarah berpengalaman Pali Yahya.

Gabungan ini menjanjikan naratif yang bukan sahaja tegang dan penuh emosi, malah kaya dengan lapisan psikologi serta persoalan moral yang mencabar pemikiran.

Siri ini mengisahkan watak Walid, lakonan mantap Faizal Hussein, seorang bekas pemimpin ajaran sesat Jihad Ummah yang berjaya meloloskan diri daripada ditangkap.

Dalam persembunyian di kawasan pergunungan, Walid berusaha membina semula pengaruh dan empayarnya dengan berselindung di sebalik topeng keagamaan.

Namun, usahanya mula tergugat apabila dia menjalin pakatan dengan Habiburrahman, seorang pendakwah muda berkarisma yang dilakonkan oleh Aqasha, yang sebenarnya turut menyimpan agenda tersembunyi.

Hubungan kedua-dua tokoh ini perlahan-lahan berubah menjadi pertarungan senyap yang sarat manipulasi, apabila masing-masing berlumba-lumba menguasai kepercayaan, kesetiaan dan pengaruh dalam kalangan pengikut.

Konflik ini menjadi semakin rumit dengan kehadiran Ummi Hafizah, bekas isteri Walid lakonan Marisa Yasmin, yang bertekad untuk membimbing pengikut kembali kepada ajaran agama yang benar, serta Ustaz Fateh, bekas mentor Walid yang dilakonkan oleh pelakon veteran Dato’ A. Tamimi Siregar, yang pulang dari Kaherah demi menyelamatkan anak muridnya daripada terus hanyut dalam kesesatan.

Pertembungan jalan hidup watak-watak ini membuka tirai kepada persoalan besar tentang ketaatan, taubat dan penebusan, sambil mendedahkan bagaimana agama boleh dijadikan alat untuk memenuhi nafsu kuasa dan kepentingan diri.

Naratif yang dibina bukan sahaja menguji emosi penonton, malah mencabar pemahaman tentang keimanan dan tanggungjawab moral seorang pemimpin agama.

Selain Faizal Hussein, Aqasha dan Dato’ A. Tamimi Siregar, Walid turut dibintangi barisan pelakon ternama dari Malaysia dan Indonesia termasuk Olla Ramlan sebagai Raras Kartika, Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul, serta Marisa Yasmin yang memegang peranan penting dalam menggerakkan konflik emosi cerita.

Kehadiran pelakon rentas negara ini mencerminkan skala produksi yang lebih besar serta aspirasi Viu untuk menghasilkan kandungan tempatan berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran serantau dan global.

Menurut Viu, Walid adalah bukti komitmen berterusan platform itu dalam mempersembahkan penceritaan tempatan yang relevan, berani dan dekat dengan realiti masyarakat, khususnya dalam menangani isu sensitif berkaitan agama dan kuasa dengan pendekatan dramatik yang bertanggungjawab.

Siri Viu Original Walid (Heaven’s Reign) akan mula ditayangkan pada Khamis, 26 Februari 2026, dengan episod baharu disiarkan setiap Khamis dan Jumaat, eksklusif di Viu.

‘Budak Ijat’ kembali menggugat, babak bazooka tarik perhatian dalam Sujud Terakhir Encik Norman

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pengarah prolifik tanah air, Shahrul Ezad Mohammedin atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat, kembali ‘menekan’ emosi penonton menerusi karya terbaharunya berjudul Sujud Terakhir Encik Norman (STEN), yang pantas mencuri perhatian netizen sejak teaser drama itu dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Drama bersiri yang bakal memulakan siaran perdana pada 4 Februari ini sudah menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat drama tempatan, bukan sahaja kerana nama besar Budak Ijat di kerusi pengarah, tetapi juga disebabkan pendekatan penceritaan yang berani dan luar jangka.

Perhatian ramai turut tertumpu kepada barisan pelakon utama seperti Sharifah Sakinah, Aidil Aziz dan Trisha Ooi, yang berjaya mencetuskan rasa ingin tahu menerusi beberapa babak mencengkam yang tular.

Antara yang paling mencuri tumpuan ialah aksi watak Emma lakonan Sharifah Sakinah, apabila dilihat memegang dan menggunakan bazooka dalam satu adegan dramatik.

Bazooka, yang secara asasnya adalah senjata pelancar roket yang diletakkan di bahu dan berupaya memusnahkan sasaran besar, menimbulkan persoalan dalam kalangan penonton.

Menerusi babak yang dikongsikan di media sosial, Emma dilihat memecut kenderaan bagi mengejar sebuah pesawat yang dinaiki suaminya, Norman lakonan Aidil Aziz, bersama Alisa yang dibawakan oleh Trisha Ooi, sebelum melepaskan tembakan menggunakan senjata itu.

Situasi ini sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai kaitan senjata berat itu dengan jalan cerita Sujud Terakhir Encik Norman.

Menjawab persoalan itu, Budak Ijat berkata, elemen berkenaan bukan sekadar sensasi semata-mata, sebaliknya menyimpan maksud dan kejutan yang hanya akan terjawab apabila penonton mengikuti keseluruhan naskhah.

“Sama ada bazooka itu bersifat simbolik kepada kemarahan seorang wanita atau benar-benar digunakan dalam konteks realiti cerita, semuanya akan terungkai sepanjang penceritaan drama berkenaan yang sarat dengan kejutan dan pengajaran,” katanya.

Apa yang turut menarik perhatian ialah keberanian produksi STEN mengikuti peredaran zaman apabila mengaplikasikan sentuhan kecerdasan buatan atau kecerdasan pembuatan (AI) dalam penghasilan beberapa babak, termasuk adegan bazooka menembak pesawat.

Budak Ijat berkata, penggunaan AI bukan petanda karyawan kreatif ketandusan idea, sebaliknya mencerminkan keterbukaan industri terhadap teknologi baharu.

“Kolaborasi antara kreativiti manusia dan teknologi AI adalah satu ‘alat’ yang membantu merealisasikan idea dalam kekangan bajet, tanpa mengabaikan peranan pemikiran manusia sebagai teras utama sesebuah karya.

“AI hanya digerakkan oleh idea, manakala manusia kekal sebagai pencetus kepada naratif dan emosi dalam sesebuah produksi,” katanya lagi.

Diterbitkan oleh Radius One, Sujud Terakhir Encik Norman dijadualkan bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pada jam 9 malam di Astro Ria.

Drama ini turut boleh ditonton secara penstriman menerusi Astro GO dan Sooka.

Mengandungi 28 episod, STEN mengangkat tema keagamaan, hubungan kekeluargaan serta pengorbanan, sekali gus menjanjikan sebuah naskhah yang bukan sahaja sarat emosi, malah relevan dengan realiti kehidupan semasa.

Rosyam Nor, Erra Fazira dilantik duta jenama ACGAS 2026, perkukuh revolusi keselamatan gas domestik

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ACGAS melangkah ke fasa baharu dalam memperkukuh kedudukan jenamanya apabila melantik dua ikon besar industri hiburan tanah air, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira, sebagai Duta Jenama ACGAS bagi tahun 2026.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam membina keyakinan pengguna terhadap penggunaan gas domestik yang lebih selamat, moden dan berteknologi tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata pemilihan kedua-dua tokoh berpengaruh ini selari dengan aspirasi syarikat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap produk gas, khususnya dari sudut keselamatan dan inovasi.

“Gas bukan sekadar keperluan harian, malah berkait rapat dengan kesejahteraan dan keselamatan setiap keluarga.

“Kehadiran Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai duta jenama diharap dapat membina hubungan yang lebih kukuh antara ACGAS dan pengguna, berasaskan kepercayaan, keyakinan serta kesedaran terhadap penggunaan silinder LPG komposit yang lebih selamat dan efisien berbanding silinder tradisional,” katanya.

ACGAS kini memposisikan dirinya sebagai penyedia silinder LPG komposit yang selamat, ringan dan inovatif di pasaran Malaysia.

Silinder komposit yang diperkenalkan bukan sahaja lebih mudah dikendalikan kerana beratnya yang ringan dan tidak berkarat, malah direka khusus untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan di dapur serta persekitaran komersial.

Dalam menghadapi cabaran industri tenaga yang semakin kompetitif, ACGAS terus menyesuaikan strategi perniagaannya dengan memberi penekanan kepada inovasi produk dan pendigitalan perkhidmatan.

Syarikat kini giat memperluaskan penggunaan silinder komposit ke sektor komersial, di samping menambah baik fungsi aplikasi mudah alih ACGAS bagi memudahkan proses pembelian, pemantauan dan pengurusan bekalan gas oleh pengguna.

Sejak diperkenalkan, ACGAS telah mencatat pelbagai pencapaian penting, termasuk menjadi perintis dalam pengedaran silinder LPG komposit bersubsidi di Malaysia serta memperluaskan rangkaian pengedaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Keupayaan ini disokong oleh integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder, yang membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata, penjejakan pengedaran yang lebih telus serta peningkatan kecekapan rantaian bekalan.

Melangkah ke hadapan, ACGAS turut menunjukkan pertumbuhan fizikal yang signifikan menerusi kerjasama pelaburan bernilai hampir RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Pembangunan ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab eksport silinder LPG komposit untuk pasaran Asia, sekali gus mengukuhkan peranan ACGAS bukan sahaja sebagai pengedar, malah sebagai pengeluar strategik dalam industri LPG serantau.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan penguasaan sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia melalui peralihan berperingkat daripada silinder besi tradisional kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna.

Syarikat juga merancang untuk memperkukuh ekosistem “Smart Energy” menerusi pendigitalan menyeluruh, termasuk keupayaan menjejak silinder serta memudahkan pesanan gas secara pintar.

Menurut Nik, visi jangka panjang ACGAS adalah untuk menjadikan silinder LPG komposit sebagai standard keselamatan baharu di Malaysia.

“Syarikat begitu komitmen untuk memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan gas domestik dan komersial, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang moden, selamat dan berkualiti tinggi,” katanya.