editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – ACGAS melangkah ke fasa baharu dalam memperkukuh kedudukan jenamanya apabila melantik dua ikon besar industri hiburan tanah air, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira, sebagai Duta Jenama ACGAS bagi tahun 2026.
Pelantikan ini mencerminkan komitmen syarikat dalam membina keyakinan pengguna terhadap penggunaan gas domestik yang lebih selamat, moden dan berteknologi tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata pemilihan kedua-dua tokoh berpengaruh ini selari dengan aspirasi syarikat untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap produk gas, khususnya dari sudut keselamatan dan inovasi.
“Gas bukan sekadar keperluan harian, malah berkait rapat dengan kesejahteraan dan keselamatan setiap keluarga.
“Kehadiran Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai duta jenama diharap dapat membina hubungan yang lebih kukuh antara ACGAS dan pengguna, berasaskan kepercayaan, keyakinan serta kesedaran terhadap penggunaan silinder LPG komposit yang lebih selamat dan efisien berbanding silinder tradisional,” katanya.
ACGAS kini memposisikan dirinya sebagai penyedia silinder LPG komposit yang selamat, ringan dan inovatif di pasaran Malaysia.

Silinder komposit yang diperkenalkan bukan sahaja lebih mudah dikendalikan kerana beratnya yang ringan dan tidak berkarat, malah direka khusus untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan di dapur serta persekitaran komersial.
Dalam menghadapi cabaran industri tenaga yang semakin kompetitif, ACGAS terus menyesuaikan strategi perniagaannya dengan memberi penekanan kepada inovasi produk dan pendigitalan perkhidmatan.
Syarikat kini giat memperluaskan penggunaan silinder komposit ke sektor komersial, di samping menambah baik fungsi aplikasi mudah alih ACGAS bagi memudahkan proses pembelian, pemantauan dan pengurusan bekalan gas oleh pengguna.
Sejak diperkenalkan, ACGAS telah mencatat pelbagai pencapaian penting, termasuk menjadi perintis dalam pengedaran silinder LPG komposit bersubsidi di Malaysia serta memperluaskan rangkaian pengedaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Keupayaan ini disokong oleh integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder, yang membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata, penjejakan pengedaran yang lebih telus serta peningkatan kecekapan rantaian bekalan.
Melangkah ke hadapan, ACGAS turut menunjukkan pertumbuhan fizikal yang signifikan menerusi kerjasama pelaburan bernilai hampir RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Pembangunan ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab eksport silinder LPG komposit untuk pasaran Asia, sekali gus mengukuhkan peranan ACGAS bukan sahaja sebagai pengedar, malah sebagai pengeluar strategik dalam industri LPG serantau.
Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan penguasaan sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia melalui peralihan berperingkat daripada silinder besi tradisional kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna.

Syarikat juga merancang untuk memperkukuh ekosistem “Smart Energy” menerusi pendigitalan menyeluruh, termasuk keupayaan menjejak silinder serta memudahkan pesanan gas secara pintar.
Menurut Nik, visi jangka panjang ACGAS adalah untuk menjadikan silinder LPG komposit sebagai standard keselamatan baharu di Malaysia.
“Syarikat begitu komitmen untuk memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan gas domestik dan komersial, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang moden, selamat dan berkualiti tinggi,” katanya.

