32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

MQA 3.0 perkukuh kepimpinan kualiti pendidikan tinggi berteraskan nilai HATI

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) memasuki fasa baharu pembangunan organisasinya dengan pelaksanaan agenda MQA 3.0, satu transformasi strategik yang menegaskan peranan agensi itu sebagai peneraju kualiti pendidikan tinggi negara dalam landskap global yang semakin kompleks dan dinamik.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata agenda MQA 3.0 menandakan peralihan penting daripada peranan tradisional sebagai badan pengawal selia kualiti kepada institusi kepimpinan kualiti yang membentuk hala tuju sistem pendidikan tinggi Malaysia secara lebih holistik dan berimpak tinggi.

“Evolusi MQA bermula sejak penubuhan Lembaga Akreditasi Negara pada tahun 1997, diikuti pengenalan MQA 2.0 pada tahun 2007 yang memfokuskan penyatuan sistem serta pembinaan kepercayaan, sebelum kini melangkah ke era MQA 3.0 yang memberi penekanan kepada kepimpinan, nilai dan budaya kerja bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Pegawai Eksekutif 2026 yang berlangsung di Mercu MQA, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah barisan anggota Majlis MQA, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Halinordina Mat Saat.

Dalam ucapannya, Mohammad Shatar berkata, pendekatan kerja yang berasaskan pematuhan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mendepani cabaran pendidikan tinggi masa kini.

Sebaliknya, budaya kerja yang berintegriti, bermakna dan berorientasikan impak jangka panjang perlu dijadikan teras dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan dan diyakini.

“Pelaksanaan MQA 3.0 selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang memberi tumpuan kepada tadbir urus lebih tangkas, pengukuhan kemenjadian pelajar serta peranan akademia sebagai pemacu pembangunan bangsa dan negara.

“MQA memainkan peranan penting dalam menyokong dasar nasional menerusi pendekatan jaminan kualiti yang lebih progresif dan berfokuskan masa hadapan,” katanya.

Antara inisiatif utama yang diketengahkan ialah pengenalan Academic Bank Credits, iaitu sebuah depositori digital berpusat yang membolehkan pelajar mengumpul, menyimpan dan menebus kredit pembelajaran secara fleksibel merentasi institusi, mod serta tempoh pengajian.

Melalui inisiatif ini, pelajar diberikan pemilikan penuh terhadap aset kredit pembelajaran mereka, sekali gus menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat dan mobiliti pendidikan yang lebih inklusif.

Dalam konteks reformasi tadbir urus, Mohammad Shatar turut mengulangi hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, bahawa institusi abad ke-21 tidak boleh terus diurus menggunakan pendekatan abad ke-20.

Beliau menyifatkan kecekapan sebagai satu bentuk integriti dalam perkhidmatan awam, sambil menekankan keperluan menerapkan prinsip kelajuan, kecemerlangan dan kualiti dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.

“Budaya kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi antara pihak berkepentingan perlu diperkukuh bagi menangani isu tatakelola pendidikan tinggi secara menyeluruh dan berkesan.

“Pendekatan ini penting untuk memastikan sistem jaminan kualiti negara kekal responsif terhadap perubahan serta keperluan semasa,” katanya.

Sebagai panduan hala tuju organisasi, MQA turut memperkenalkan Pelan Strategik MQA 2026–2030 yang merangkumi empat teras utama, iaitu pembangunan ekosistem pendidikan fleksibel masa hadapan, jaminan kualiti mampan, penyampaian perkhidmatan berasaskan kemampanan sumber serta pengukuhan peranan MQA sebagai rujukan antarabangsa dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi.

Pelan strategik itu disokong oleh nilai teras GIFT yang menekankan globalisasi, inovasi, fleksibiliti dan ketelusan sebagai asas untuk memastikan sistem jaminan kualiti negara kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dalam usaha membina organisasi berprestasi tinggi, Mohammad Shatar berkata MQA turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan menerusi inisiatif berteraskan HATI yang merangkumi kesejahteraan holistik, apresiasi, tumbuh melalui pembangunan bakat serta inspirasi dalam pembinaan identiti warga kerja.

Nilai HATI ini diperkukuh dengan prinsip HAJI yang menekankan amanah, jujur dan ikhlas sebagai asas budaya kerja warga MQA.

Menurut beliau, kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi hanya dapat dipelihara apabila nilai dan integriti dijadikan teras dalam setiap tindakan dan keputusan.

Katanya, transformasi MQA 3.0, bukan sekadar membabitkan pembinaan sistem dan strategi, tetapi mesti bermula dari hati dan nilai kerana di situlah terletaknya kekuatan sebenar sesebuah institusi.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular