editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan melakar satu lagi detik bersejarah apabila Astro Shaw secara rasmi melancarkan Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU), sebuah ekosistem sinematik jangka panjang yang saling berhubung dan dirangka bagi mengangkat penceritaan Malaysia ke peringkat serantau serta global.
Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah projek baharu, sebaliknya menandakan transformasi besar dalam landskap penceritaan sinema tempatan.
Astro Shaw Cinematic Universe dibangunkan berasaskan watak-watak yang telah membentuk budaya popular Malaysia, sekali gus membuka fasa baharu dalam evolusi naratif filem tempatan.
Mengambil inspirasi daripada kejayaan dunia sinematik antarabangsa, ASCU menggabungkan elemen dunia dan karakter yang dekat di hati penonton Malaysia, dengan pendekatan pembangunan berperingkat yang membolehkan setiap karya berdiri sendiri, namun tetap menyumbang kepada satu mitologi yang lebih besar dan berterusan.
Sebagai pembuka tirai kepada alam sinematik ini, Astro Shaw memperkenalkan ‘First Look’ berjudul Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning.
Lebih daripada sekadar treler konvensional, karya berdurasi hampir empat minit ini menjadi gambaran awal bagaimana dunia ASCU bakal berkembang.

Dilancarkan di semua platform digital Astro Shaw, inisiatif ini dilihat sebagai langkah strategik dalam membina keterujaan serta pemahaman awal penonton terhadap konsep dunia sinematik yang saling berhubung.
‘First Look’ berkenaan menampilkan kemunculan beberapa watak ikonik terbitan Astro Shaw yang telah mencipta fenomena tersendiri dalam industri filem tempatan.
Antaranya termasuk Inspektor Sani dan Inspektor Khai daripada francais Polis Evo, Kahar dari High Council, serta bayangan kemunculan adiwira tempatan yang dinanti-nantikan, Keluang Man.
Gabungan watak-watak ini secara simbolik mengesahkan bahawa dunia yang sebelum ini wujud secara berasingan kini disatukan dalam satu naratif besar di bawah payung Astro Shaw Cinematic Universe.
Menariknya, ‘First Look’ ini tidak terikat secara langsung dengan mana-mana filem atau siri premium terdahulu.
Sebaliknya, ia berfungsi sebagai titik permulaan rasmi kepada dunia ASCU, menjawab persoalan tentang bagaimana setiap cerita akan terus berkembang dan berinteraksi antara satu sama lain.
Pendekatan ini meletakkan asas kukuh kepada pembinaan mitologi yang lebih luas, dinamik dan sentiasa berevolusi.

Projek ini diterajui oleh Pengarah Kreatif Astro Shaw, Alfie Palermo, dan diarahkan oleh Sofyank, seorang bakat kreatif yang dikenali dalam dunia kandungan digital serta visual kesan khas (VFX) tempatan dan antarabangsa.
Beliau bergandingan bersama Mshaffuan, manakala aspek sinematografi dipertanggungjawabkan kepada Nicholas Chin, pemenang Anugerah Sinematografi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34.
Gabungan kepakaran ini menghasilkan karya yang mencerminkan aspirasi bertaraf antarabangsa, dengan ketelitian visual dan sinematik yang menetapkan penanda aras baharu untuk kandungan buatan Malaysia.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pelancaran ASCU menandakan satu anjakan asas dalam pendekatan syarikat terhadap penceritaan.

“Dunia ASCU dibangunkan untuk menyatukan watak-watak ikonik dalam satu alam yang saling berhubung, tanpa mengorbankan identiti serta kekuatan unik setiap karya.
“Pendekatan pembangunan jangka panjang ini memberi tumpuan kepada pembinaan asas yang kukuh, evolusi berperingkat dan penghormatan terhadap legasi watak-watak yang telah mendapat tempat di hati penonton,” katanya.
Tambahnya, ASCU direka sebagai platform terbuka yang menyokong kreator, idea dan watak baharu, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pencipta kandungan tempatan untuk membina dunia penceritaan yang lebih besar dan berpanjangan.
Inisiatif ini juga memperlihatkan komitmen Astro Shaw dalam memperkasa ekosistem industri kreatif negara.
Menerusi Astro Shaw Cinematic Universe, sebuah ekosistem kreatif jangka panjang dan berbilang platform kini dirintis bagi membolehkan pengarah serta pembikin filem meneroka naratif yang saling berkait.

Ia turut membuka peluang kepada pelakon untuk mengembangkan kepelbagaian watak merentasi pelbagai judul, selain memberi ruang kepada penulis dan showrunner membina dunia cerita yang lebih kompleks dan menyeluruh.
Pada masa sama, inisiatif ini turut mewujudkan potensi kolaborasi strategik bersama jenama dan rakan industri dalam penceritaan berskala besar.
Pelancaran ASCU turut mendapat sokongan WONDA Kopi sebagai rakan strategik, memperkukuh lagi usaha membangunkan dunia sinematik tempatan yang berdaya saing dan mampan.
Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning kini boleh ditonton menerusi semua platform media sosial rasmi Astro Shaw.
Peminat filem tempatan dan pengikut setia francais sedia ada dijangka terus mengikuti perkembangan fasa seterusnya dalam dunia sinematik Astro Shaw, yang berpotensi menjadi antara pencapaian paling signifikan dalam sejarah industri perfileman Malaysia.

