29.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?, sentuh kisah ibu tunggal dan doa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Filem Indonesia terbaharu yang sarat emosi dan menyentuh jiwa, Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?, bersedia mengalirkan air mata penonton Malaysia apabila mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak 5 Februari 2026.

Setelah mencatat sambutan menggalakkan di Indonesia, naskhah ini dibawakan ke layar perak tempatan menerusi kolaborasi penerbit Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment bersama penerbit bersama dari Malaysia, Astro Shaw.

Mengangkat kisah kehidupan yang dekat dengan realiti masyarakat, filem ini menyelami kekuatan doa sebagai sumber ketenangan dan penyembuhan emosi, khususnya buat wanita yang berdepan pengkhianatan, perceraian dan luka mendalam dalam institusi keluarga.

Penceritaannya menumpukan perjalanan batin seorang ibu tunggal yang terpaksa bangkit demi anak-anak, meskipun jiwanya sendiri remuk dan terluka.

Filem ini diterajui oleh Revalina S. Temat, yang cukup dikenali dalam kalangan penonton Malaysia menerusi watak ikonik Bawang Putih.

Turut membintangi naskhah ini ialah Gunawan Sudrajat, Megan Domani, Annisa Kaila, Roy Sungkono, Risma Nilawati, Dhawiya Zaida, Daniella Sya, Alex Abbad, Sheila Kusnadi, Venly Arauna serta Ustazah Shofwatunnida, yang bersama-sama menghidupkan emosi dan konflik keluarga yang kompleks.

Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? diarahkan oleh Jay Sukmo, pengarah berpengalaman yang terkenal dengan karya-karya beremosi seperti The Chocolate Chance, Jendela Seribu Sungai dan Culture Shock, yang pernah menduduki carta Top 1 Netflix Indonesia selama lapan minggu berturut-turut.

Skrip filem ini pula ditulis oleh Utiuts dan Priska Amalia, dengan pendekatan naratif yang lembut namun menyayat perasaan.

Kisah ini berpusat kepada watak Sarah, lakonan penuh penghayatan oleh Revalina, seorang wanita yang dikhianati suami dan diuji dengan perceraian.

Dalam satu keadaan yang tidak disangka, Sarah terpaksa tinggal sebumbung bersama bekas suaminya yang diserang strok serta isteri baharu lelaki itu, demi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Keputusan itu bukan sahaja menguji keikhlasan dan ketabahan Sarah, malah mengundang konflik emosi dengan anak perempuannya, Laila, yang masih terluka dan sukar menerima realiti pahit keluarganya.

Melalui penceritaan yang menyentuh, filem ini mengupas tema kecurangan, pengkhianatan dan kemaafan dari sudut pandang wanita yang kelihatan kuat di luar, namun bergelut dengan kesedihan yang tidak terluah.

Doa digambarkan sebagai pelindung jiwa dan sumber kekuatan untuk bangkit, sekali gus membawa mesej bahawa penyembuhan tidak selalu hadir melalui keadilan, tetapi melalui keberanian untuk melepaskan dan memaafkan.

Penerbit Eksekutif filem ini merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata Astro Shaw berperanan sebagai penerbit bersama serta bertanggungjawab dalam aspek pemasaran dan pengedaran filem di Malaysia.

“Hubungan erat yang terjalin antara Astro Shaw, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment sejak 2020 telah membuka ruang kolaborasi kreatif yang lebih kukuh antara industri filem Malaysia dan Indonesia.

“Gabungan kepakaran dua negara ini diyakini mampu memperluaskan jangkauan pasaran serta memperkayakan kandungan serantau,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? dan Ketua Pegawai Eksekutif Paragon Pictures, Robert Ronny, menyifatkan filem ini sebagai sebuah karya yang bukan sekadar memaparkan konflik kehidupan, tetapi perjalanan doa yang menemukan jawapan melalui ketenangan jiwa.

“Selain perspektif seorang ibu, filem ini turut menyorot kesan perceraian terhadap anak menerusi watak Laila, lakonan Annisa Kaila, yang mewakili suara kanak-kanak daripada keluarga berpecah dan terpaksa memendam emosi di tengah konflik orang dewasa,” katanya.

Sebagai sebuah filem kolaborasi Indonesia–Malaysia, Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku? turut disokong oleh Netzme, KMIF, WOW Multinet Pictures dan Virtuelines Entertainment.

Naskhah ini diharapkan dapat menjadi refleksi dan sumber kekuatan buat penonton yang pernah melalui luka kehidupan, sambil membawa peringatan bahawa doa yang tidak terucap tetap didengari.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular