32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 6, 2026

SPWinds Seri Puteri harumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) dari Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya terus membuktikan keupayaan murid Malaysia bersaing di peringkat global apabila berjaya mengharumkan nama negara di arena antarabangsa melalui kecemerlangan seni muzik.

Kejayaan meraih Anugerah Emas pada World Orchestra Festival ke-11 di Vienna pada tahun 2025 mengukuhkan kedudukan SPWinds sebagai antara orkestra sekolah terbaik di negara ini.

Pencapaian berprestij itu menjadi manifestasi jelas kepada konsep kemenjadian murid yang diterapkan secara holistik, merangkumi pembentukan disiplin, kepimpinan, kerja berpasukan serta pengembangan bakat secara menyeluruh.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan warga Sekolah Seri Puteri, malah mencerminkan keberkesanan ekosistem sokongan yang kukuh melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti dalam melahirkan murid berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Seiring usaha memperkasa pembangunan bakat dan pendedahan murid kepada dunia muzik profesional, SPWinds kini menjalin kerjasama strategik bersama penyanyi terkenal tanah air, Amir Masdi.

Kolaborasi ini dirangka secara berperingkat dan berfokus bagi menyokong perjalanan seni serta pembelajaran muzik ahli SPWinds tanpa menjejaskan teras utama pendidikan dan pembentukan sahsiah murid.

Kerjasama itu turut dilihat sebagai nilai tambah yang memperkayakan pengalaman pembelajaran, selain mempersiapkan SPWinds untuk cabaran di pentas antarabangsa akan datang.

Antara tumpuan utama SPWinds ialah penyertaan dalam World Music Contest (WMC) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Julai 2026 di Kerkrade, Belanda.

Bagi merealisasikan hasrat ini, usaha pengumpulan dana digerakkan oleh Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SPWinds (KSIB) di bawah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Seri Puteri, sekali gus mencerminkan sokongan padu ibu bapa dan komuniti terhadap pembangunan orkestra berkenaan.

Mengulas mengenai kerjasama ini, Amir Masdi mengakui berbesar hati untuk menganjurkan konsert sulungnya bersama SPWinds.

“Dedikasi dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemuzik muda SPWinds amat menginspirasikan dan saya berharap dapat menyumbang secara bermakna melalui muzik bagi menyokong perjalanan seni serta pembangunan bakat mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden KSIB, Shah Rizal Jazib berkata, keutamaan utama pihaknya adalah memastikan kemenjadian murid SPWinds terus diperkasakan.

“Kolaborasi bersama Amir Masdi adalah satu pencapaian penting yang mengukuhkan visi artistik SPWinds dalam persediaan ke arah platform antarabangsa, disokong oleh komitmen berterusan ibu bapa dan komuniti melalui KSIB serta PIBG.

“Kerjasama ini menandakan komitmen berterusan SPWinds dalam menjadikan seni muzik sebagai wahana pendidikan berimpak tinggi, sekali gus mengangkat kemenjadian murid sebagai teras utama kejayaan dan kecemerlangan institusi Pendidikan,” katanya.

Semua hasil kutipan daripada konsert ini akan disalurkan sepenuhnya kepada SPWinds bagi menyokong aktiviti dan penyertaan antarabangsa mereka.

SPWinds turut mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, sumbangan individu serta tajaan korporat sebagai sokongan terhadap pembangunan bakat murid di peringkat global.

Tiket konsert akan mula dijual pada 30 Januari 2026, jam 3 petang, menerusi laman web TicketEmpire dengan harga bermula dari RM178 hingga RM378.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Lina Rashid di talian 019-275 8571 atau Shahriyah di 019-435 2090.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular