33.2 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 23, 2026
Home Blog Page 18

HUAWEI XMAGE Awards 2026 dibuka: Menang USD10,000 & pendedahan global

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HUAWEI XMAGE Awards 2026 kini kembali dan dibuka untuk penyertaan, mengajak peminat fotografi di Malaysia merakam serta berkongsi perspektif unik mereka melalui salah satu pertandingan fotografi mudah alih terbesar di dunia.

Edisi ke-10 penganjuran ini menyaksikan Huawei bekerjasama dengan Tourism Malaysia menerusi kempen “See, Truly Malaysia”, yang bertujuan mengetengahkan keindahan budaya, warisan dan landskap negara ke peringkat antarabangsa.

Inisiatif ini sekali gus memberi peluang kepada peserta tempatan untuk mempromosikan Malaysia melalui karya visual kreatif mereka.

Sejak diperkenalkan, XMAGE Awards telah menarik jutaan penyertaan dari seluruh dunia dan terus berkembang sebagai platform yang bukan sahaja mengiktiraf bakat fotografi, tetapi juga meraikan kreativiti serta penceritaan visual melalui teknologi mudah alih.

Selain peluang meraih pengiktirafan global, peserta juga berpeluang memenangi hadiah lumayan. Sebanyak 100 karya terbaik akan dipilih dalam senarai “XMAGE 100”, dengan 97 pemenang masing-masing menerima hadiah wang tunai USD1,500.

Tiga pemenang utama pula akan dinobatkan sebagai “Photographer of the Year” dan membawa pulang USD10,000 setiap seorang.

Lebih membanggakan, hasil karya pemenang turut akan dipamerkan di Grand Palais di Paris, sekali gus membuka ruang pendedahan di pentas global.

Di peringkat Malaysia, pemenang akan diiktiraf menerusi kategori “The Power of Image Prizes”, dengan hadiah utama berupa HUAWEI Mate X7 kepada juara, manakala dua naib juara pertama masing-masing menerima HUAWEI Mate 80 Pro.

Sepuluh pemenang tempat kedua pula akan membawa pulang HUAWEI FreeClip 2, selain 15 penerima saguhati yang turut akan diumumkan kemudian. Kesemua pemenang juga akan menerima trofi sebagai simbol pengiktirafan.

Pertandingan ini menawarkan sembilan kategori menarik termasuk So Far So Close, Good Night, Color & Shade, Faces, A Heartwarming World, Experimental Lab, Storyboard, Action serta kategori baharu Active Moments, yang memberi ruang kepada peserta menonjolkan kreativiti dalam pelbagai gaya dan tema.

Penyertaan dibuka dari 23 Mac hingga 16 Ogos 2026 dan boleh dihantar melalui pelbagai platform termasuk laman web rasmi XMAGE Awards, aplikasi My HUAWEI, HUAWEI Community serta Instagram dengan tanda pagar #HUAWEIXMAGEMY2026.

Pengguna peranti Huawei juga boleh memanfaatkan ciri “one-tap post” untuk memudahkan proses penghantaran penyertaan.

Didorong oleh falsafah “The Power of Image”, Huawei terus memperkasakan individu untuk menjadi pencerita visual dengan merakam detik bermakna yang mencerminkan budaya, emosi dan kehidupan seharian.

Bagi mereka yang ingin meningkatkan peluang kemenangan, Huawei turut menawarkan peranti terkini HUAWEI Mate 80 Pro yang direka untuk menghasilkan foto berkualiti tinggi.

Peranti terbabit kini boleh didapati pada harga RM3,999 di pelbagai platform rasmi Huawei, bersama tawaran perkhidmatan premium bernilai RM816 tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan peluang pendedahan antarabangsa dan ganjaran menarik, HUAWEI XMAGE Awards 2026 dilihat sebagai platform terbaik untuk rakyat Malaysia menyerlahkan bakat serta membawa cerita tempatan ke pentas dunia.

Lazada Birthday Blast 2026: diskaun 25 peratus Sonos, Bowers & Wilkins

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Syarikat pengedar audio premium, TC Acoustic, menyemarakkan kempen Lazada Birthday Blast 2026 dengan menawarkan diskaun eksklusif sehingga 25 peratus bagi rangkaian produk audio premium daripada Sonos dan Bowers & Wilkins.

Promosi terhad ini berlangsung dari 24 hingga 27 Mac 2026, memberi peluang kepada pengguna di Malaysia untuk menikmati pengalaman bunyi berkualiti tinggi pada harga lebih berpatutan.

Sepanjang tempoh promosi itu, pengguna boleh mendapatkan pelbagai produk audio yang direka untuk memenuhi gaya hidup moden, sama ada untuk hiburan di rumah, pengalaman sinematik, mahupun penggunaan peribadi ketika bergerak.

Rangkaian produk Sonos menampilkan teknologi audio pintar yang mampu menyesuaikan bunyi mengikut ruang dan suasana, sekali gus memberikan pengalaman mendengar yang lebih imersif.

Antara produk utama yang ditawarkan termasuk Sonos Arc Ultra yang menampilkan teknologi Dolby Atmos untuk pengalaman teater rumah yang menyeluruh, selain Sonos Era 100 yang hadir dengan bunyi stereo seimbang dalam reka bentuk kompak.

Bagi pengguna yang mengutamakan pengalaman audio peribadi, Sonos Ace menawarkan keselesaan sepanjang hari dengan keupayaan beralih antara muzik, panggilan dan audio televisyen secara lancar.

Turut melengkapkan penawaran ialah Sonos Era 300 yang menyokong audio spatial untuk pengalaman bunyi lebih menyeluruh, serta Sonos Sub 4 dan Sonos Sub Mini yang menambah kedalaman bass bagi meningkatkan impak audio.

Selain itu, Sonos Beam menawarkan bunyi yang memenuhi ruang dalam reka bentuk lebih kompak, manakala Sonos Roam 2 sesuai untuk pengguna yang aktif dengan ciri mudah alih dan tahan lasak.

Dalam masa sama, jenama Bowers & Wilkins turut menampilkan rangkaian audio peribadi premium seperti Bowers & Wilkins Pi6, Bowers & Wilkins Pi8 dan Bowers & Wilkins PX7 S3 yang menekankan kejelasan bunyi, perincian audio dan keselesaan untuk kegunaan harian.

Promosi ini merangkumi pelbagai potongan harga menarik, antaranya Sonos Arc Ultra ditawarkan pada harga RM4,649 berbanding harga asal RM5,899, manakala Sonos Roam 2 mencatatkan diskaun tertinggi sehingga 25 peratus dengan harga promosi RM899.

Produk lain turut menikmati penjimatan sehingga 20 peratus, menjadikannya antara tawaran audio premium paling kompetitif sepanjang kempen jualan terbabit.

Kesemua tawaran eksklusif ini hanya boleh didapati dalam tempoh terhad menerusi kedai rasmi TC Acoustic di platform Lazada, sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk menaik taraf pengalaman audio mereka dengan teknologi terkini pada harga istimewa.

Doa Sang Pendosa, Fauziah Nawi hidupkan watak penagih

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Datuk Fauziah Nawi, aktres senior yang terkenal dengan kebolehan membawa pelbagai watak dengan penuh penghayatan, kembali mencuri perhatian melalui telefilem terbaharu, Doa Sang Pendosa.

Lakonan ini adalah salah satu naskhah yang diarahkan oleh pelakon-penyanyi dan pengarah muda, Issey Fazlisham, yang berjaya mengangkat isu sosial dan emosi dengan pendekatan mendalam dan menyentuh hati.

Dalam telefilem ini, Fauziah diberikan tanggungjawab menghidupkan watak Maria, seorang warga emas yang berulang kali keluar dan masuk Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN Bachok) di Kota Bharu, Kelantan.

Mengakui cabaran yang besar, Fauziah berkata beliau sama sekali tidak pernah terbabit dengan penyalahgunaan dadah atau alkohol dalam kehidupan sebenar.

“Sukar untuk membawa watak seorang penagih dadah pada usia saya 73 tahun. Maria adalah seorang penagih yang asyik keluar masuk pusat pemulihan atau PUSPEN.

“Tapi dalam kehidupan realiti seorang Fauziah Nawi, saya tidak pernah terbabit dengan sebarang jenis dadah, sama juga dengan minuman keras.

“Selalu saya dengar sesiapa yang terbabit dengan masalah ini digelar sebagai ‘lalok’ dan saya tidak tahu macam mana menjadi lalok,” kata Fauziah sambil tersenyum.

Fauziah turut berkongsi pengalaman lucu dan unik ketika proses rakaman.

Menurutnya, ekspresi wajahnya ketika menghayati watak Maria sehingga nampak mengantuk dan ‘lalok memanjang’ turut menimbulkan reaksi pengarah, Issey, yang menegur beliau seolah-olah benar-benar seorang penagih.

Bagi Issey Fazlisham, pengalaman menyelami kehidupan sebenar klien PUSPEN yang ditemuinya lebih setahun lalu memberikan inspirasi kepada pembikinan naskhah ini.

Menurut Issey, Doa Sang Pendosa bukan sekadar telefilem hiburan, tetapi karya yang membawa mesej mendalam kepada penonton, terutamanya sempena Aidilfitri yang sarat dengan emosi dan makna.

Doa Sang Pendosa adalah sebuah naskhah yang diambil daripada latar inspirasi kehidupan dan realiti klien di PUSPEN yang terlibat dengan dadah.

“Ia ditayangkan pada Aidilfitri kerana bulan mulia ini banyak bermain dengan emosi.

“Kami mahu menyentuh hati penonton dan menyampaikan mesej penting melalui telefilem ini,” kata Issey.

Selain Fauziah Nawi, telefilem ini turut menampilkan pelakon hebat seperti Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqila, menjadikan karya ini lebih berwarna dan memukau.

Issey berkata, telefilem ini menonjolkan pelakon wanita sepenuhnya, dengan pelakon lelaki hanya muncul dalam satu atau dua babak sahaja, sekali gus memperlihatkan kekuatan dan bakat pelakon wanita Malaysia.

Bagi Fauziah, pengalaman membawa watak Maria adalah satu cabaran yang penuh penghayatan dan meninggalkan kesan mendalam dalam perjalanan seni beliau.

Telefilem ini juga mendapat sokongan penuh daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), bagi menyampaikan mesej kesedaran tentang kepentingan pemulihan dan sokongan sosial kepada mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Doa Sang Pendosa akan disiarkan pada 22 Mac 2026, jam 3 petang di saluran Astro Prima dan dijangka menjadi telefilem Aidilfitri yang sarat dengan emosi, pengajaran dan mesej sosial, khususnya tentang harapan, keinsafan dan kekuatan wanita dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Aidilfitri 2026 lebih bermakna: TV AlHijrah lancar kempen Syawal eratkan kasih

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, TV AlHijrah tampil dengan kempen istimewa bertemakan “Syawal Eratkan Kasih, Bertaut Sayang” yang mengetengahkan pelbagai pengisian program berunsurkan kekeluargaan, silaturahim dan nilai kasih sayang.

Kempen ini dirangka secara menyeluruh bagi memberikan pengalaman tontonan yang lengkap kepada penonton, bermula daripada malam menjelang Syawal, pagi Hari Raya, sehinggalah kepada telefilem dan program khas untuk kanak-kanak.

Setiap kandungan disusun dengan teliti bagi memastikan gabungan elemen hiburan, pendidikan serta pengisian rohani dapat dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat sepanjang musim perayaan.

Menurut Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar, pemilihan program dibuat secara strategik bagi memastikan penonton dapat merasai perjalanan emosi dan spiritual menyambut Aidilfitri secara berperingkat.

“Kempen ini dimulakan dengan program malam raya bagi membangkitkan suasana menjelang 1 Syawal, diikuti dengan program pagi raya, telefilem kekeluargaan serta kandungan khas kanak-kanak, sekali gus mewujudkan pengalaman tontonan yang berlapis merangkumi hiburan, pendidikan dan keinsafan dalam satu rangkaian program,” katanya.

Antara program utama yang membuka tirai ialah Salam Lebaran Raya yang bersiaran pada malam menjelang 1 Syawal.

Program ini menampilkan alunan takbir, ucapan perantau serta persembahan artis jemputan seperti Raihan, DJ Dave, Mawi, Ezad Lazim serta Ustaz Rozi Harun dan Kumpulan Ar Rayyan.

Program ini dikendalikan oleh Ustaz Izmir Fareez bersama Faizal Ismail, yang menggabungkan elemen hiburan dan kerohanian dalam suasana penuh keberkatan.

Pada pagi Hari Raya pertama hingga ketiga, rancangan Assalamualaikum Khas Syawal akan bersiaran dengan pelbagai segmen yang menyentuh aspek adab berhari raya, kepentingan menjaga hubungan kekeluargaan serta nilai kasih sayang.

Program ini menampilkan barisan hos seperti Abu Talib, Naufal Hatta, Ardi Herman, Hanan Rahman, Ustazah Nazirah Abu Bakar dan Dewita Susila yang akan memeriahkan pagi Syawal dengan perkongsian ilmu dan interaksi santai bersama penonton.

Mengukuhkan lagi pengisian emosi, program Ini Kisahku Raya yang bersiaran pada 21 Mac 2026 membawa penonton menyelami kisah menyentuh hati di Pusat Jagaan Al Fikrah Malaysia.

Dikendalikan oleh Muhammad Daud Nurdin Muhammad, program ini memaparkan realiti sambutan Aidilfitri dalam suasana sederhana namun penuh makna, disulami kerinduan dan doa.

Bagi penonton cilik, program Jom Dengar Cerita Istimewa Aidilfitri yang disiarkan pada 2 dan 3 Syawal memberi penekanan kepada nilai pendidikan dan adab berhari raya.

Dikendalikan oleh Tilmiz Fahmi, program ini turut menampilkan adik-beradik KuMika dan KuFina yang berkongsi perspektif menarik dari sudut pandang kanak-kanak.

Selain itu, dua telefilem istimewa turut menjadi tarikan utama sepanjang kempen ini.

Telefilem Menantu Datuk Nikah Kahwin yang disiarkan pada malam Hari Raya pertama mengangkat kisah konflik keluarga apabila seorang tok kadi berdepan cabaran menerima menantu mualaf.

Telefilem ini diarahkan oleh Heykal Hanifah dan dibintangi oleh Nasir Bilal Khan, Amyza Aznan dan Daler Yusuf.

Sementara itu, telefilem Surat Dari Syurga yang bersiaran pada malam Hari Raya kedua pula mengetengahkan kisah keinsafan seorang pempengaruh yang kembali ke jalan Allah selepas tersentuh dengan kasih sayang seorang ayah.

Telefilem arahan Pali Yahya ini menampilkan lakonan Izzue Islam, Dato’ Tarmimi Siregar dan Hanna Farisha.

Menurut Zulkarnaen Mokhtar, keseluruhan kempen ini adalah usaha berterusan TV AlHijrah dalam menghidupkan nilai kekeluargaan, keinsafan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat, khususnya sepanjang musim perayaan.

Katanya, setiap program dipilih bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi turut membawa mesej yang relevan dan memberi inspirasi kepada semua peringkat umur.

Melalui kempen “Syawal Eratkan Kasih, Bertaut Sayang”, TV AlHijrah berharap dapat terus menjadi medium penyiaran yang bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik dan menyatukan masyarakat, sekali gus menjadikan sambutan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna dan penuh keberkatan.

RTM sajikan 10 filem terbaik pelbagai genre, hiburan Raya seisi keluarga

2

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dijangka lebih meriah apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan barisan 10 filem terbaik merangkumi pelbagai genre untuk tontonan seisi keluarga sepanjang musim perayaan.

Menerusi slot istimewa yang disusun rapi, RTM menawarkan pelbagai pilihan hiburan yang menyentuh emosi, mencuit hati serta sarat dengan nilai kekeluargaan.

Filem-filem ini akan disiarkan melalui saluran TV1, TV2, Okey serta platform digital RTMKlik, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada penonton untuk menikmati kandungan pada bila-bila masa.

Antara filem yang bakal mencuri perhatian ialah Orang Kampung Otak Kimia yang mengisahkan kehidupan seorang pemuda kampung yang dipandang rendah tetapi sebenarnya memiliki kebijaksanaan luar biasa dalam bidang sains.

Turut ditampilkan ialah filem antarabangsa penuh aksi Godzilla x Kong: The New Empire yang menyaksikan pertempuran epik antara dua makhluk gergasi menentang ancaman baharu.

Bagi peminat drama tempatan, Sayang Salmah menjanjikan kisah kekeluargaan yang menyentuh hati, manakala filem Bollywood klasik Yes Boss pula membawa konflik cinta dan kerjaya yang penuh emosi.

Tidak ketinggalan, filem aksi tempatan Sangkar turut menghiasi skrin dengan kisah perjuangan seorang pejuang MMA yang berdepan konflik dalaman, selain Pak Tam Duda yang mengetengahkan kisah komedi romantik seorang duda kampung.

Elemen seram komedi turut dihidangkan menerusi Zombie Kampung Pisang, sementara filem adiwira terkenal The Dark Knight menjanjikan aksi mendebarkan dengan kehadiran watak ikonik Joker.

Golongan kanak-kanak dan keluarga pula pasti terhibur dengan animasi DC League of Super-Pets yang penuh warna-warni, manakala filem Tamil Sivaji: The Boss menampilkan kisah perjuangan menentang rasuah dan ketidakadilan.

Kesemua filem ini dipilih bagi memenuhi citarasa pelbagai lapisan penonton, daripada aksi mendebarkan, komedi ringan, drama kekeluargaan hingga animasi yang menghiburkan.

Inisiatif ini selari dengan usaha RTM untuk terus menjadi platform hiburan utama rakyat Malaysia, khususnya dalam menghidupkan suasana perayaan bersama insan tersayang.

Dengan susunan kandungan yang menarik dan pelbagai, RTM bukan sahaja menawarkan hiburan berkualiti, malah turut memperkukuh nilai kebersamaan dan kasih sayang sempena Aidilfitri, menjadikan setiap detik di hadapan kaca televisyen lebih bermakna.

Doa Sang Pendosa, telefilem Aidilfitri sarat mesej dadah & harapan wanita

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bakal diserikan dengan sebuah telefilem sarat emosi dan mesej kemanusiaan apabila Astro membawakan naskhah istimewa berjudul Doa Sang Pendosa, yang mengangkat isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan wanita.

Diterbitkan oleh Red Bean Productions, telefilem ini menampilkan barisan pelakon wanita berkaliber seperti Datuk Fauziah Nawi, Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqilah, sekali gus menjadikannya antara karya yang paling dinanti-nantikan musim perayaan ini.

Naskhah ini adalah hasil tulisan Siti Jasmina dan diarahkan oleh Issey Fazlisham, yang berjaya mengemudi jalan cerita penuh konflik emosi dan realiti kehidupan dengan pendekatan yang menyentuh jiwa.

Mengangkat latar kehidupan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) di Kota Bharu, Doa Sang Pendosa mengisahkan perjalanan beberapa wanita daripada pelbagai latar belakang yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah dan berusaha bangkit untuk memulakan kehidupan baharu.

Lebih daripada sekadar hiburan, karya ini menyorot kepincangan sosial serta keperluan sokongan emosi dan keluarga dalam proses pemulihan.

Telefilem ini dijadualkan bersiaran pada 22 Mac 2026, jam 3 petang di saluran Astro Prima, sekali gus menjadi antara pengisian utama Aidilfitri yang sarat dengan mesej keinsafan.

Menurut Farah Ahmad, yang memegang watak Zaiton, seorang warden tegas di pusat pemulihan, karakter itu menuntut keseimbangan antara ketegasan dan kasih sayang dalam mendidik penghuni pusat berkenaan.

Beliau menyifatkan peranan itu sebagai satu tanggungjawab besar, apatah lagi ia melibatkan gambaran realiti kehidupan sebenar individu yang sedang berjuang keluar daripada belenggu ketagihan.

Farah turut menekankan telefilem ini membawa mesej penting tentang harapan dan peluang kedua kepada mereka yang pernah terlanjur, selain mengingatkan masyarakat bahawa masalah penyalahgunaan dadah tidak mengenal usia dan latar belakang.

Bagi Datuk Fauziah Nawi pula, penglibatannya dalam naskhah ini memberi pengalaman bermakna apabila dapat bergandingan dengan pelakon daripada pelbagai generasi.

Beliau menyifatkan keserasian antara pelakon lama dan baharu sebagai kekuatan utama yang menjadikan penceritaan Doa Sang Pendosa lebih hidup dan berkesan.

Sementara itu, Nadia Aqilah melihat karya ini sebagai satu pendekatan berani kerana mengetengahkan barisan pelakon wanita sepenuhnya dalam mengupas isu berat yang jarang dipaparkan secara mendalam dalam karya tempatan.

Menurutnya, telefilem ini memberi ruang kepada pelakon wanita untuk membawa watak yang lebih kompleks dan mencabar.

Fatimah Abu Bakar yang membawakan watak June pula menyifatkan perjalanan emosi karakter tersebut sebagai refleksi kehidupan manusia yang penuh dengan kesilapan, namun masih mempunyai ruang untuk berubah dan kembali ke jalan yang benar.

Beliau menegaskan kisah ini bukan sahaja tentang kejatuhan, tetapi juga tentang persahabatan, kekuatan dan keampunan.

Doa Sang Pendosa turut mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), sekali gus memperkukuh mesej kesedaran yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Mengangkat kisah perjuangan tiga wanita iaitu June, Maria dan Rina yang menjalani proses pemulihan di bawah pengawasan seorang warden, telefilem ini memaparkan konflik dalaman, cabaran emosi serta hubungan persahabatan yang diuji dalam suasana menyambut Aidilfitri.

‘Kita Dah Raya’satukan Zoey Rahman & Elliza Razak, lagu raya Gen Z berpotensi jadi malar segar 2026

0

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dunia muzik tempatan kembali meriah dengan kehadiran lagu raya baharu berjudul Kita Dah Raya yang menyatukan dua figura seni, Zoey Rahman dan Elliza Razak, dalam sebuah kolaborasi segar yang menyasarkan generasi muda masa kini.

Menariknya, lagu ini menjadi pengalaman pertama buat Zoey Rahman dalam bidang penulisan lirik, sesuatu yang diakuinya tidak pernah dijangka sepanjang penglibatannya dalam industri hiburan sebagai pelakon, pengacara dan usahawan.

Menurut Zoey, idea asal tercetus apabila beliau diminta oleh pengurusnya untuk menulis gambaran suasana Hari Raya khusus untuk golongan Gen Z yang sedang bercinta.

Tanpa disangka, catatan ringkas itu telah dikembangkan menjadi lirik penuh oleh pihak pengurusan sebelum dihantar kepada komposer RiaRaiba untuk diolah menjadi sebuah lagu.

Zoey mengakui pada awalnya beliau terkejut apabila diminta menyanyikan lagu itu secara duet, namun selepas mendengar versi demo, keyakinannya mula terbina dan beliau bersetuju untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam kerjaya seninya.

Pada peringkat awal, penyanyi Anis Suraya dicadangkan sebagai pasangan duet, namun kekangan masa menyebabkan perancangan itu tidak dapat diteruskan. Akhirnya, Elliza Razak dipilih dan persetujuan dicapai dalam tempoh singkat, sekali gus membuka ruang kepada kolaborasi yang disifatkan penuh keserasian.

Elliza menyifatkan projek ini sebagai sesuatu yang spontan tetapi menyeronokkan, apatah lagi beliau dan Zoey sudah lama berkawan.

Pertemuan semula mereka mengimbau kenangan lama, sekali gus membantu mewujudkan keserasian yang kuat ketika proses rakaman.

Rakaman lagu Kita Dah Raya mengambil masa hampir enam jam dan dijalankan di Platinum Studio dengan sokongan jurutera bunyi Mr. Choy (Illegal) serta bimbingan vokal oleh Nine Phyne Ballerz.

Elliza turut memainkan peranan membantu dari segi panduan vokal dan memberi semangat kepada Zoey yang pada awalnya berasa gementar.

Lagu ciptaan RiaRaiba dengan lirik oleh Zoey Rahman ini telah dilancarkan di semua platform digital.

Video muzik rasmi pula sedang dalam pembikinan di studio Rusa Music dan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat menerusi saluran YouTube rasmi mereka.

Mengulas mengenai harapan terhadap lagu itu, Zoey optimis Kita Dah Raya mampu menjadi antara lagu raya pilihan ramai, malah berpotensi menjadi karya malar segar yang menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau turut mengaitkan kemunculan lagu ini sebagai kesinambungan tradisi lagu raya popular, seiring dengan aura klasik seperti Suasana Hari Raya yang pernah menjadi siulan ramai.

Diterbitkan oleh ENIM Music dan diedarkan oleh Rusa Music, Kita Dah Raya membawa nafas baharu dalam genre lagu perayaan dengan gabungan elemen moden dan emosi nostalgia, sekali gus dijangka menceriakan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Gaya Raya 2026 Central i-City Shah Alam: Gabungan tradisi & moden tarik ribuan pengunjung sambutan Aidilfitri

0

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Central i-City tampil dengan kempen istimewa bertemakan “Gaya Raya 2026” yang menggabungkan elemen gaya hidup moden bersama akar tradisi perayaan, sekali gus menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung.

Sebagai antara pusat membeli-belah ikonik di Shah Alam, kempen ini memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai kemeriahan musim perayaan dalam suasana yang menggabungkan budaya tradisional dengan sentuhan kontemporari, di samping pelbagai aktiviti berteraskan komuniti.

Kempen yang berlangsung sehingga 5 April 2026 ini telah dilancarkan secara rasmi oleh EXCO Selangor merangkap ADUN Kota Anggerik Mohd Najwan Hamidi bersama Pengurus Besar Central i-City, Jason Tan dalam satu majlis yang meriah.

Mengangkat konsep “Visi Moden Berteraskan Tradisi”, Central i-City telah bekerjasama dengan artis doodle tempatan, Wan Jepah bagi menghasilkan identiti visual kempen itu.

Menerusi karya kreatifnya, Wan Jepah menampilkan gambaran keluarga moden yang memandu kenderaan elektrik ke pusat beli-belah untuk membuat persiapan Hari Raya, sambil diselitkan latar rumah kampung tradisional yang sarat dengan elemen nostalgia seperti memasak lemang dan penyediaan juadah bersama keluarga.

Pendekatan ini mencerminkan evolusi gaya hidup masyarakat Malaysia masa kini yang semakin moden, namun masih mengekalkan nilai tradisi dan budaya dalam sambutan perayaan.

Dalam masa sama, semangat Ramadan turut disemarakkan melalui pelbagai inisiatif komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Central i-City telah menjemput pelajar kurang berkemampuan dari Sekolah Kebangsaan Subang untuk menikmati pengalaman membeli-belah, potongan rambut percuma serta berbuka puasa bersama tetamu jemputan.

Selain itu, usaha menyemai nilai berkongsi dan bersedekah diteruskan dengan pengagihan bubur lambuk tradisional kepada orang ramai sepanjang bulan Ramadan, sekali gus menghidupkan lagi suasana kebersamaan dalam komuniti.

Sebagai destinasi gaya hidup terkemuka di barat Kuala Lumpur, Central i-City turut menawarkan pengalaman membeli-belah “one-stop” menerusi penganjuran Mega Bazaar Raya yang menampilkan lebih 80 gerai.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai keperluan Aidilfitri termasuk pakaian, aksesori, hiasan serta juadah tradisional di bawah satu bumbung.

Kemeriahan diteruskan dengan Bazaar Ramadan yang berlangsung sehingga 17 Mac, menawarkan pelbagai pilihan makanan jalanan tempatan dan hidangan tradisional yang sesuai untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan.

Bagi meningkatkan pengalaman pengunjung, pusat beli-belah ini turut memperkenalkan Pesta Gaya Raya dengan pelbagai tarikan termasuk lanjutan waktu operasi, cabutan bertuah hujung minggu dengan hadiah baucar tunai serta kemudahan parkir percuma pada waktu tertentu, menjadikan kunjungan lebih selesa dan menyeronokkan.

Sepanjang tempoh kempen, pengunjung juga disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan hiburan seperti dikir barat, muzik angklung, pertunjukan perkusi raya, perarakan ketupat serta tarian gaya jalanan, selain persembahan pemuzik jalanan oleh AP Duo.

Tidak ketinggalan, pelbagai pertandingan turut dianjurkan untuk penyertaan seisi keluarga termasuk Pertandingan Fesyen Raya, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan silat serta Pertandingan Tarian Gaya Raya yang dijangka menarik penyertaan ramai.

Dengan gabungan elemen moden dan tradisi, kempen Gaya Raya 2026 di Central i-City bukan sahaja menghidupkan semangat perayaan, malah memperkukuh nilai kekeluargaan dan komuniti, menjadikannya destinasi pilihan utama untuk persiapan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Program T-GEAR Prasarana perkasa TVET, latih generasi tenaga mahir pengangkutan awam masa depan

0

editormaxinfo@gmail.com

CHERAS – Prasarana Malaysia Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam melahirkan generasi tenaga mahir pengangkutan awam menerusi pelaksanaan Program TVET Graduate Empowerment through Apprenticeship & Readiness (T-GEAR), selaras dengan keperluan industri mobiliti negara yang semakin berkembang pesat.

Melalui program ini, seramai 67 pelajar daripada 24 Kolej Vokasional seluruh negara telah memulakan latihan, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman industri secara langsung bersama pengendali pengangkutan awam negara.

Peserta akan ditempatkan di beberapa depot bas sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang bagi mendapatkan pendedahan praktikal dalam persekitaran operasi sebenar.

Program T-GEAR ini adalah antara inisiatif strategik Prasarana dalam memperkasa bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan sasaran penyertaan seramai 1,000 pelajar dalam tempoh lima tahun merangkumi bidang rel, bas dan keselamatan siber.

Inisiatif ini juga kesinambungan usaha yang telah dimulakan sejak 2025, sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Dalam sektor TVET bas, program ini memberi penekanan kepada modul Pengoperasian Bas Elektrik, yang merangkumi pembelajaran teori, latihan praktikal di tempat kerja serta pendedahan menyeluruh kepada operasi sebenar pengangkutan awam.

Pendekatan latihan berstruktur ini bertujuan memastikan peserta bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga bersedia menghadapi cabaran industri masa depan.

Peserta yang berjaya menamatkan program ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, selain turut menerima Sijil Latihan Industri daripada Prasarana.

Pengiktirafan ini diharap dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor pengangkutan awam dan industri berkaitan.

Program yang diselia oleh Jabatan Pembelajaran dan Pembangunan serta Rapid Bus Sdn Bhd ini turut memberi fokus kepada pembangunan kemahiran teknikal serta kefahaman terhadap teknologi kenderaan elektrik, sejajar dengan perkembangan pesat mobiliti hijau di peringkat global.

Bagi tahun 2026, Prasarana menyasarkan penyertaan seramai 251 pelajar dan graduan daripada pelbagai latar belakang, termasuk lepasan sekolah, pelajar institusi vokasional, pemegang diploma dan graduan universiti yang berminat membina kerjaya dalam bidang teknikal berkaitan rel dan bas.

Majlis pembukaan Program T-GEAR telah diadakan pada 17 Mac 2026 di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan.

Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Dr. Harigaran Bharatham berkata pelaksanaan modul Pengoperasian Bas Elektrik mencerminkan komitmen syarikat dalam memastikan pembangunan bakat selari dengan keperluan masa depan industri pengangkutan awam.

Beliau berkata, program itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar memperoleh kemahiran teknikal yang diiktiraf, malah menyediakan pendedahan langsung kepada teknologi mobiliti hijau yang kini menjadi keutamaan dalam pembangunan sistem pengangkutan awam negara.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Ts. Zulkernai Fauzi menyatakan bahawa pendekatan latihan berasaskan industri seperti T-GEAR mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan TVET yang berkemahiran tinggi.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara industri dan institusi latihan amat penting bagi memastikan kurikulum sentiasa relevan dengan kehendak semasa industri, sekali gus memberi kelebihan kepada pelajar dalam menghadapi pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Pelaksanaan Program T-GEAR ini membuktikan komitmen berterusan Prasarana dalam menyokong pembangunan modal insan negara, di samping memperkukuh ekosistem pengangkutan awam melalui tenaga kerja berkemahiran tinggi, inovatif dan bersedia mendepani cabaran masa depan.