27.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 16, 2026

Lotus’s Malaysia lancar pasar raya bersambung LRT di Datum Jelatek

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lotus’s Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam memperluas akses runcit bandar dengan pembukaan rasmi Lotus’s Datum Jelatek, sebuah pasar raya kejiranan moden yang dihubungkan secara terus ke Stesen LRT Jelatek di Laluan Kelana Jaya.

Direka khusus untuk gaya hidup bandar, pasar raya ini mengutamakan kemudahan, nilai dan kebolehcapaian bagi memenuhi keperluan harian komuniti setempat.

Terletak di dalam Datum Jelatek Shopping Centre, Lotus’s Datum Jelatek merangkumi keluasan kira-kira 2,000 meter persegi dan dibangunkan bagi menyokong keperluan penumpang harian, penduduk sekitar serta golongan profesional yang memerlukan penyelesaian beli-belah barangan runcit yang pantas, mudah dan berpatutan sebagai sebahagian daripada rutin seharian mereka.

Direka berlandaskan realiti kehidupan bandar, pasar raya ini memenuhi keperluan pelbagai profil pelanggan sama ada mereka yang singgah sebentar selepas waktu kerja untuk membeli barangan keperluan, mahupun isi rumah yang merancang pembelian barangan runcit mingguan, semuanya tanpa membebankan bajet.

Ketua Pegawai Operasi Lotus’s Malaysia, Neil Gurusamy berkata, Lotus’s Datum Jelatek dibangunkan bagi menyatu secara semula jadi dengan kehidupan seharian pelanggan bandar.

“Pasar raya ini menawarkan gabungan tepat antara harga berpatutan, kepelbagaian pilihan dan kemudahan lokasi, menjadikannya destinasi beli-belah yang relevan untuk komuniti setempat.

“Dari segi kebolehcapaian, Lotus’s Datum Jelatek mempunyai kelebihan strategik dengan sambungan terus ke Stesen LRT Jelatek, selain akses mudah ke lebuh raya utama termasuk Ampang–Kuala Lumpur Elevated Highway (AKLEH), Duta–Ulu Klang Expressway (DUKE), Sungai Besi–Ulu Klang Elevated Expressway (SUKE) dan Middle Ring Road 2 (MRR2),” katanya.

Beliau berkata, kedudukan ini menjadikannya hentian beli-belah ideal untuk pengguna pengangkutan awam serta pemandu dari kawasan Keramat, Jelatek dan sekitar Kuala Lumpur.

Pembukaan ini juga menandakan cawangan Lotus’s ke-70 di Malaysia, mengukuhkan lagi kehadiran jenama berkenaan dalam segmen runcit bandar.

Menampilkan susun atur dalaman yang tersusun dengan papan tanda intuitif, pasar raya ini menawarkan lebih daripada 12,000 unit stok simpanan (SKU) yang dipilih secara teliti.

Ia merangkumi hasil segar, barangan runcit, makanan sejuk beku, produk bakeri, keperluan isi rumah, produk kesihatan dan kecantikan, kelengkapan rumah serta peralatan elektrik bersaiz kecil.

Antara tarikan utama ialah Lo’Ti, jenama bakeri eksklusif Lotus’s, di samping penawaran barangan segar dan sejuk beku pada harga jimat harian tanpa menjejaskan kualiti.

Bagi meraikan pembukaan Lotus’s Datum Jelatek, pelbagai promosi istimewa dan ganjaran eksklusif ditawarkan kepada pelanggan.

Sepanjang tempoh 24 hingga 31 Januari 2026, pelanggan boleh menikmati tawaran harian terhad termasuk barangan keperluan asas pada harga istimewa, selain diskaun sehingga 40 peratus untuk pelbagai kategori seperti barangan runcit, snek, minuman, produk kesihatan dan kecantikan serta peralatan elektrik rumah.

Ahli My Lotus’s turut menikmati pelbagai aktiviti dan ganjaran eksklusif sepanjang tempoh promosi, termasuk permainan interaktif, pemberian makanan percuma terhad, mata kesetiaan berganda serta baucar tunai untuk pembelian seterusnya.

Selain itu, peraduan nasional “Semuanya Ekstra Ongsem Belanja & Menang” memberi peluang kepada ahli memenangi wang tunai dan baucar dengan jumlah keseluruhan sehingga RM888,888, termasuk hadiah mingguan dan hadiah utama bernilai tinggi.

Selaras dengan komitmen Lotus’s terhadap tanggungjawab sosial dan komuniti, pembukaan Lotus’s Datum Jelatek turut disertakan dengan kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen menerusi inisiatif #KitakanJiran, yang bertujuan mengagihkan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Dengan konsep kejiranan moden, lokasi strategik dan penawaran nilai yang konsisten, Lotus’s Datum Jelatek dijangka menjadi destinasi beli-belah harian pilihan bagi komuniti bandar, sekali gus mencerminkan komitmen Lotus’s Malaysia dalam menyediakan akses runcit yang inklusif, mudah dan mampan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular