editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Pavilion Bukit Jalil meraikan ketibaan Tahun Baru Cina Tahun Kuda dengan penuh warna dan inovasi menerusi kempen “Joyful Prosperity Together, Here.”, sebuah sambutan selama sebulan yang kini sedang berlangsung hingga 24 Februari 2026.
Berteraskan nilai kebersamaan, keberkatan dan permulaan baharu, sambutan ini mengubah Pavilion Bukit Jalil menjadi destinasi perayaan yang meriah dengan hiasan perayaan, persembahan kebudayaan serta pengalaman interaktif untuk seisi keluarga.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan dengan kehadiran Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, bersama Dato’ Philip Ho, Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd dan Md. Gharif Talib, Ketua Kad Maybank Berhad.
Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan peranan Pavilion Bukit Jalil sebagai destinasi gaya hidup utama yang menggabungkan budaya, komuniti dan pengalaman runcit dalam landskap pelancongan dan perayaan Malaysia yang semakin berkembang.

Menurut Dato’ Joyce Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Runcit Pavilion Kuala Lumpur Sdn Bhd, sambutan Tahun Baru Cina kali ini diraikan dengan pendekatan yang segar dan unik.
“Pavilion Bukit Jalil memberi penekanan kepada pengalaman imersif yang bukan sahaja menghiburkan, malah kekal menghormati tradisi yang dekat di hati keluarga Malaysia.
“Setiap elemen daripada dekorasi berskala besar sehinggalah kepada persembahan dan aktiviti telah dikurasi untuk mencipta suasana perayaan yang penuh kegembiraan dan kenangan bermakna,” katanya.
Menjadi tarikan utama sambutan tahun ini ialah persembahan istimewa “Leap Into Luck” oleh XiaoMa dan MaBao, menjadikan Pavilion Bukit Jalil sebagai pusat beli-belah pertama di Malaysia yang menampilkan persembahan perayaan robotik.

XiaoMa, diinspirasikan oleh simbol Tahun Kuda, melambangkan tenaga, ketabahan dan permulaan positif, manakala MaBao menambah elemen kehangatan dan kemesraan. Gabungan unik ini menghidupkan tema kegembiraan dan kebersamaan, sekali gus mencipta momen istimewa buat pengunjung.
Persembahan ini boleh disaksikan pada 24 dan 31 Januari serta 2 dan 14 Februari 2026.
Centre Court Pavilion Bukit Jalil turut tampil memukau dengan dekorasi perayaan yang mengagumkan, diterajui oleh Pokok Emas setinggi 16 kaki hasil seni Gold Art.
Ia dilengkapkan dengan lapan instalasi kuda setinggi enam kaki serta sebuah arca kuda utama setinggi 15 kaki yang menjadi fokus utama ruang berkenaan.

Suasana perayaan ini diperkayakan lagi dengan aktiviti karusel untuk keluarga, selain pelbagai sudut bergambar yang Instagrammable bagi merakam detik kegembiraan Tahun Baru Cina.
Sepanjang musim perayaan, Centre Court dipenuhi dengan pelbagai persembahan menarik termasuk tarian singa tradisional dan akrobatik, persembahan muzik, pertunjukan fesyen perayaan serta persembahan oleh kumpulan sekolah.
Setiap kunjungan menjanjikan pengalaman berbeza, menggalakkan pengunjung untuk kembali menikmati keseluruhan kemeriahan sambutan.
Sebagai kemuncak istimewa, Pavilion Bukit Jalil mempersembahkan Horse Ride Experience yang akan berlangsung di PIAZZA, Aras 3 dari 6 hingga 8 Februari 2026.

Pengalaman unik ini membolehkan pengunjung dewasa dan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke atas menikmati sesi memberi makan kuda serta bergambar bersama haiwan megah itu.
Pembeli yang berbelanja RM300 dan ke atas dalam satu resit layak menikmati tunggangan kuda secara percuma, tertakluk kepada terma dan ketersediaan.
Bagi menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna, Pavilion Bukit Jalil turut menawarkan ganjaran eksklusif menerusi program Gift with Purchase sepanjang tempoh kempen.

Penebusan hadiah boleh dibuat setiap hari melalui aplikasi Pavilion Bukit Jalil, selagi stok masih ada.
Selain itu, peraduan Shop & Win sempena Tahun Baru Cina dengan kerjasama Apple Vacations memberi peluang kepada ahli Pavilion Privileges untuk memenangi percutian enam hari lima malam ke China.
Kemeriahan diteruskan dengan penganjuran The Lion King Championship 2026 yang menampilkan cubaan rekod tarian singa LED ASEAN serta Kejohanan Tarian Singa Tradisional Kebangsaan dan Antarabangsa.
Acara ini dijangka menarik perhatian pengunjung tempatan dan antarabangsa, sekali gus mengukuhkan Pavilion Bukit Jalil sebagai hab perayaan berskala besar.

