26.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, February 12, 2026

Sasar 500 pelajar, Nilufer Education meterai MoU strategik perluas laluan pendidikan ke Turki

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Dalam usaha memperluaskan laluan pendidikan antarabangsa kepada pelajar Malaysia, Nilufer Education memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM).

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung secara eksklusif di Dewan Serbaguna, Kampus City University Cyberjaya itu menghimpunkan pemimpin akademik dan pakar industri pendidikan dengan matlamat bersama untuk menyediakan akses pendidikan antarabangsa yang mampu milik, mudah diakses dan diiktiraf di peringkat global kepada pelajar Malaysia.

Kerjasama strategik ini bertujuan merapatkan hubungan antara institusi pendidikan menengah dan pengajian tinggi tempatan dengan universiti terkemuka di Türkiye, sekali gus membuka lebih banyak laluan akademik kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara tanpa bebanan kos yang tinggi.

Inisiatif ini turut menyokong mobiliti akademik, pertukaran budaya serta pendedahan global dalam kalangan pelajar Malaysia.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nilufer Education, Ms Hidayati Md Nor, berkata kerjasama itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap pendidikan antarabangsa berkualiti yang kekal realistik dari segi kewangan.

“Nilufer Education komited untuk menyediakan laluan pendidikan yang inklusif dan berdaya saing bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang memperoleh kelayakan bertaraf antarabangsa.

“Malah yuran pengajian di Türkiye adalah antara yang paling berpatutan berbanding negara Eropah lain, dengan kos tahunan bagi kursus popular seperti kejuruteraan di universiti awam sekitar RM5,000 hingga RM5,300 setahun.

“Faktor ini menjadikan Türkiye sebagai destinasi pendidikan yang praktikal, khususnya dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar,” katanya.

Selain yuran yang rendah, Nilufer Education turut berperanan sebagai pusat sehenti dengan menyediakan sokongan kewangan kepada pelajar melalui kerjasama bersama filantropis tempatan.

Inisiatif ini membolehkan pelajar Malaysia mengakses bantuan kewangan dan peluang biasiswa, di samping menikmati kualiti pendidikan di Türkiye yang setara atau setanding dengan universiti terkemuka di Eropah.

Melalui jaringan kerjasama dengan pelbagai universiti di Türkiye, pelajar ditawarkan pelbagai pilihan institusi dan bidang pengajian berdasarkan minat serta kebolehan masing-masing.

Antara universiti yang terbabit termasuklah Istanbul Technical University, Bursa Uludag University, Bursa Technical University dan Middle East Technical University di Ankara, selain beberapa institusi lain yang menawarkan kepakaran khusus dalam pelbagai bidang.

Laluan kemasukan pelajar pula disesuaikan mengikut latar belakang akademik individu.

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian terus ke universiti, manakala pelajar yang memerlukan persediaan tambahan boleh mengikuti kursus persediaan sebelum menyambung pengajian ke peringkat tertiari.

Sistem pendidikan di Türkiye turut menawarkan program associate degree selama dua tahun bagi memenuhi keperluan pelajar dalam pelbagai bidang.

Nilufer Education juga tidak mengehadkan tumpuan kepada satu bidang sahaja, sebaliknya membuka peluang merentasi pelbagai disiplin termasuk kejuruteraan, sains, hospitaliti, seni bina dan bidang profesional lain.

Pendekatan ini selari dengan sistem pendidikan Türkiye yang menitikberatkan pembangunan potensi dan kekuatan individu pelajar.

Bagi memastikan proses pemilihan pelajar lebih sistematik dan efisien, Nilufer Education kini sedang membangunkan sistem digital bagi memadankan minat, kelayakan dan bajet pelajar dengan universiti serta program yang bersesuaian.

Langkah ini bertujuan mengurangkan kesilapan manual dan meningkatkan ketepatan penempatan pelajar.

Setakat ini, Nilufer Education telah berjaya menghantar kumpulan pelajar perintis ke Türkiye dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tersebut secara berperingkat.

Dengan kapasiti pasukan dan sokongan rakan strategik, syarikat itu menyasarkan penghantaran sehingga 500 pelajar Malaysia ke Türkiye menjelang akhir tahun ini.

Majlis itu turut diserikan dengan ucapan rasmi daripada wakil Study in Türkiye, City University Malaysia dan Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang menekankan kepentingan kerjasama akademik rentas sempadan dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global.

Melalui MoU ini, semua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pembangunan laluan pengambilan pelajar, khidmat nasihat akademik, perkongsian maklumat serta inisiatif kesedaran pendidikan antarabangsa.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab kerjasama pendidikan antarabangsa serta melahirkan graduan yang bersedia menghadapi cabaran global.

ARTIKEL BERKAITAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Popular