editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Jenama fesyen Muslimah terkemuka tanah air, ARIANI, sekali lagi memperkukuhkan kedudukannya dalam industri fesyen apabila memperkenalkan tema WARNA LEBARAN 2026 menerusi sebuah pertunjukan fesyen berprestij yang berlangsung dengan penuh gemilang di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Pertunjukan fesyen itu dianjurkan sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang, sekali gus meraikan keindahan warna sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan.
Elemen ini diterjemahkan melalui koleksi hijab dan busana raya ARIANI yang tampil moden, elegan serta sarat dengan nilai estetika kontemporari.
Lebih 100 rekaan hijab dan busana dipersembahkan di pentas peragaan, menampilkan gabungan motif alam semula jadi, flora dan cetakan abstrak moden, diserlahkan dengan pilihan material berkualiti tinggi serta teknik cetakan yang pelbagai.

Koleksi WARNA LEBARAN ARIANI 2026 turut mengetengahkan palet warna yang menjadi tumpuan tahun ini seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green.
Pilihan warna ini disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik dan elegan yang menjadi DNA jenama ARIANI.
Pertunjukan fesyen ini disaksikan oleh lebih 1,000 tetamu jemputan terdiri daripada pelanggan VVIP dan setia ARIANI, rakan media, selebriti serta pempengaruh tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani, dalam ucapannya berkata sambutan Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar perhimpunan keluarga dan amalan bermaaf-maafan.

“Persalinan baju raya melambangkan kegembiraan dan kenangan bermakna yang diraikan bersama insan tersayang, menjadikan fesyen sebagai sebahagian daripada emosi dan tradisi Aidilfitri.
“Bagi koleksi hijab, ARIANI mempersembahkan lebih 400 variasi merangkumi pelbagai gaya dan keperluan, daripada selendang hingga ke tudung instant.
“Koleksi ini menampilkan gabungan hijab bercorak dan polos, termasuk bawal satin, twill, voile serta selendang dalam material cotton, satin dan chiffon, dengan perincian sulaman serta hiasan berlian yang menyerlahkan sentuhan eksklusif sempena Aidilfitri,” katanya.
Katanya, keanggunan eksklusif pula diterjemahkan melalui koleksi ARIANI LUXE yang menampilkan lebih 100 rekaan premium dengan perincian French lace dan sentuhan kristal Swarovski.

“Setiap helaian tudung dihasilkan dengan ketelitian artisan menggunakan material berkualiti tinggi, menjadikannya antara koleksi paling menonjol bagi sambutan Aidilfitri 2026,” katanya.
Pertunjukan fesyen ini dibuka dengan penuh bergaya oleh pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein, yang tampil sebagai Muse ARIANI LUXE 2026, sekali gus memukau tetamu dengan personaliti dan keanggunannya yang tersendiri.
ARIANI turut mengekalkan barisan duta jenama sedia ada iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad, selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah ARIANI Ready-to-Wear Premium.
Pentas peragaan turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti lain seperti Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor, manakala Mira Filzah kembali menyerikan kempen raya ARIANI tahun ini selepas pernah menjadi duta jenama tersebut sebelum ini.

Kemuncak acara diserikan dengan kolaborasi antarabangsa tahun kedua antara ARIANI dan jenama ikonik dari London, LIBERTY LONDON.
Kolaborasi LIBERTY X ARIANI ini memperkenalkan 16 cetakan baharu eksklusif yang menggabungkan fabrik berkualiti tinggi serta corak bunga ikonik LIBERTY dengan potongan tradisional yang mengangkat warisan budaya Malaysia.
Gabungan ini melambangkan penyatuan nilai tempatan bersama estetika jenama antarabangsa yang bersifat malar zaman.
Bagi koleksi lelaki, ARIANI mempersembahkan rangkaian ARYAN yang menampilkan rekaan baju melayu, kurta dan jubah untuk semua peringkat umur.
Koleksi ini menekankan penggunaan material berkualiti tinggi serta jahitan kemas dan terperinci.

Pelakon tersohor Bront Palarae diperkenalkan sebagai duta baharu ARYAN, menambahkan lagi daya tarikan kepada koleksi pakaian lelaki ARIANI.
Fokus utama acara ini turut diberikan kepada busana raya daripada sub-jenama ARIANI Ready-to-Wear (RTW).
Farah Haryani berkata, sebanyak 300,000 helai busana raya disediakan untuk Aidilfitri tahun ini, meliputi pelbagai rekaan baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan, jubah serta potongan moden lain.
“Walaupun hanya 140 rekaan dipersembahkan di pentas peragaan, koleksi lengkap ARIANI RTW menawarkan lebih 600 rekaan merangkumi saiz bayi hingga dewasa, menggunakan hampir 10 jenis material premium bagi memastikan keselesaan dan kualiti terbaik,” katanya.

ARIANI turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu di KLGCC sebagai simbol pertumbuhan berterusan jenama tersebut dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih eksklusif dan dekat dengan pelanggan.
Selari dengan komitmen terhadap kualiti dan inklusiviti, ARIANI terus menawarkan koleksi berkualiti tinggi pada harga berpatutan melalui butik fizikal dan platform dalam talian.
Acara berprestij ini disempurnakan dengan pertunjukan fesyen ARIANI PREMIUM yang menampilkan koleksi eksklusif edisi terhad, selain persembahan artis popular tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina.
Kehadiran Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, turut menyerikan majlis yang diiktiraf sebagai antara pertunjukan fesyen paling mewah dan berprestij pernah dianjurkan oleh ARIANI.

