30.8 C
Kuala Lumpur
Monday, June 15, 2026
Home Blog Page 161

Sasar 8,000 pengunjung, Festival Asia 2024 pamer kepelbagaian budaya di Asia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Yayasan Gemilang menyasarkan sekurang-kurangnya 8,000 pengunjung akan hadir memeriahkan Festival Asia 2024, yang julung kali diadakan.

Bertempat di Lanai MaTIC, Jalan Ampang, acara yang berlangsung selama tiga hari bermula 8 hingga 10 November itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan serta kerjasama badan-badan kebudayaan dan kedutaan-kedutaan asing.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gemilang, Safia Jamil berkata, prorgam ini adalah peluang untuk pengunjung menyelami keunikan dan kekayaan budaya Asia yang pelbagai.

Acara yang bertemakan “Warna Warni Asia (Colors of Asia)” ini dianjurkan sebagai penghormatan kepada warisan budaya pelbagai negara di benua Asia, dengan penyertaan daripada Malaysia sebagai tuan rumah selain Palestin, Pakistan, China, dan Indonesia.

“Penganjuran Festival Asia 2024 bukan sahaja bertujuan memperkenalkan budaya Asia kepada rakyat Malaysia dan pelancong antarabangsa tetapi juga menjadi medium penting untuk membina jambatan kefahaman antara pelbagai masyarakat di rantau ini.

“Festival ini diharapkan dapat memupuk semangat perpaduan, meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian, dan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara Asia dalam usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya bersama.

“Saya juga berharap program ini bakal menjadi acara tahunan dalam usaha menjadikan ia medium bertukar idea, pengalaman, dan kerjasama budaya yang positif antara negara-negara Asia,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan acara disamping berinteraksi dengan wakil-wakil budaya dari pelbagai negara, sekaligus mencipta peluang untuk memahami budaya Asia yang pelbagai, hasil pengaruh sejarah dan geografi yang panjang dan kompleks.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Wilayah Tengah Tourism Malaysia, Sufian Zainuddin berkata, festival ini bukan sekadar pameran seni dan budaya tetapi adalah sebuah platform yang unik di mana pengunjung dapat merasai, menikmati, dan menghayati pelbagai warisan budaya dalam suasana yang menyeluruh.

“Setiap negara yang terbabit akan mempamerkan identiti unik mereka melalui persembahan tarian, muzik tradisional, demonstrasi seni, serta hidangan autentik.

“Ini menjadikan festival berkenaan satu pengalaman lengkap dan bermakna buat semua.

“Saya juga berharap festival ini dapat menarik lebih ramai pelancong luar negara yang berada di negara ini untuk hadir,” katanya.

‘National CEO Symposium 2025’ beri panduan lebih mantap kepada CEO

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – KNKV Group dan Muslim Insiders Chamber of Commerce dengan kerjasama bank-bank utama serta organisasi terkemuka seperti CTOS, Great Eastern Takaful, OCBC Bank telah menganjurkan National CEO Symposium 2025, baru-baru ini.

Program itu adalah sebuah simposium yang memfokuskan kepada sokongan kewangan, intelektual, serta kesedaran berkaitan keselamatan perniagaan dan prospek pasaran.

Inisiatif ini direka untuk memberi panduan yang lebih mantap kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam membuat keputusan yang lebih bijak dan strategik dalam menghadapi cabaran ekonomi pada tahun 2025 yang diramalkan lebih mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Profesor Adjung Adam Shah Abdul Rahman berkata, National CEO Symposium 2025 akan melengkapkan pembuat keputusan perniagaan dengan maklumat yang relevan untuk memastikan kelangsungan perniagaan yang mampan dan menguntungkan sepanjang tahun 2025.

“Kami ingin membantu CEO dan pengurusan tertinggi menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran ekonomi dengan lebih yakin.

“Untuk menyertai Simposium ini, peserta mestilah seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau pembuat keputusan dalam syarikat yang mencatatkan jualan tahunan tidak kurang dari RM5 juta, mempunyai rekod perniagaan yang bersih, serta mempromosikan mesej jenama yang positif.

“Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang kerjasama, malah ia juga diharapkan dapat memperkukuhkan daya tahan perniagaan di Malaysia.

“Dengan kerjasama dari pelbagai pihak, Simposium ini dijangka menjadi platform utama bagi memperkukuhkan daya saing syarikat-syarikat Malaysia dan membuka peluang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,”katanya.

Pada majlis sama, KNKV Group dengan bangganya mengumumkan perlantikan YB Senator Datuk Seri Dr Zurainah Musa sebagai Pengerusi baharu mereka.

Kepimpinan beliau dijangka memberi nilai strategik kepada KNKV Group melalui pengalaman luasnya dalam memperkukuhkan ekosistem perniagaan serta memperkasakan usahawan dan sektor korporat di Malaysia.

Hejira Travel & Tours sasar 10,000 jemaah menjelang 2025, ketengah pakej Rindu Baitullah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Agensi pelancongan Hejira Travel & Tours menyasarkan lebih 10,000 jemah bakal diterbangkan pada tahun 2025.

Menawarkan pelbagai pakej menarik termasuk pakej VVIP & VIP, agensi ini turut menyasarkan lebih ramai lagi anak-anak muda untuk mengerjakan umrah.

Memfokuskan Umrah sebagai perkhidmatan yang utama, dalam tempoh tiga tahun sejak ditubuhkan lebih 10,000 jemaah berjaya diterbangkan.

Syarikat yang dimiliki oleh anak muda ini semakin mendapat tempat dalam senarai digemari oleh jemaah.

Dalam usaha menarik minat lebih ramai bakal tetamu Allah, Hejira turut menawarkan pakej dan kombo yang menarik.

Pakej Rindu dan Pakej Cinta Baitullah pasti menjadi buah mulut semua jemaah setelah selesai menunaikan umrah.

Dengan kadar pakej yang mampu milik, kesempurnaan ibadah dan keselesaan jemaah dijaga dengan baik.

“Alhamdulillah, buat masa ni Hejira menjadi pilihan anak muda dan keluarga. Oleh sebab berkenaaan, Hejira menawarkan hadiah kelengkapan umrah yang moden, minimalis, estetik dengan kadar pakej yang mesra jemaah,” Kata salah seorang Lembaga Pengarah Hejira, Sofea Munira.

Prestasi yang baik diterima oleh syarikat berkenaan menyebabkan Majlis Perasmian Wisma Hejira yang terletak di Bandar Serenia, Sepang, Selangor yang berlangsung 2 November lalu dibanjiri lebih dari 2,500 bakal tetamu Allah.

“Alhamdulillah syukur, kami tidak menyangka sambutan yang begitu menggalakan kami terima daripada bakal jemaah.

“Terima kasih buat semua yang hadir dari jauh. Terima kasih juga semua alumni jemaah dan selebriti yang hadir.

“Semoga kita semua diberikan rezeki menunaikan umrah segera,” kata Mohd Shahril yang juga Lembaga Pengarah Hejira.

Pengunjung yang hadir ke majlis ini rata-rata menyatakan kegembiraan dan rasa puas hati dengan perkhidmatan dan pakej yang ditawarkan.

Menurut Azzuwaniah Asri, dia sudah tiga kali pergi dengan agensi Hejira dan pakej yang ditawarkan sangat menarik dan puas hati.

“Hari ini datang untuk bayar pakej lagi. Kali ini saya pergi dengan keluarga yang dijadualkan pada Januari nanti,” katanya.

Program yang gemilang itu telah dirasmikan oleh Guru Pembangunan Organisasi dan Kepimpinan, Presiden Annems Leadership Solution, Datuk Faridah Hanim Haron.

Sebanyak 30 cabutan bertuah berupa hadiah pakej umrah turut ditawarkan kepada pengunjung yang hadir.

Buli pegawai kadet ALK UPNM, suspek kes akan didakwa di mahkamah esok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Suspek kes dera dan buli ke atas seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dituduh di mahkamah, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8 pagi.

“Kes pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan melibatkan kes buli pelajar UPNM,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan membabitkan seorang pelajar senior UPNM berusia 22 tahun yang sebelum ini dilaporkan dirakam keterangan oleh polis bagi membantu siasatan.

Pelajar itu adalah antara 16 individu yang dirakam keterangan oleh polis dalam siasatan kes itu.

Dalam kejadian jam 11.45 malam pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa membuat laporan polis pada malam Jumaat lalu (1 November) dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

TV AlHijrah terima dua anugerah atas kecemerlangan dalam penyiaran Islam

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – TV AlHijrah baru-baru ini telah berjaya meraih dua anugerah yang mengiktiraf usaha dan dedikasinya dalam penyiaran kandungan Islam di Malaysia.

Anugerah pertama adalah Anugerah Kecemerlangan Penciptadan Kandungan Islam, anjuran Halal Development Corporation (HDC).

Pengiktirafan ini membuktikan komitmen TV AlHijrah dalam menyajikan kandungan berkualiti tinggi yang selaras dengan prinsip Islam, sekaligus memperkukuhkan lagi peranan stesen ini sebagai peneraju media Islamik di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed, menyatakan kesyukurannya atas pengiktirafan yang diterima ini sambil menegaskan bahawa kejayaan berkenaan adalah hasil kerjasama seluruh pasukan TV AlHijrah yang gigih berusaha untuk menghasilkan kandungan bermanfaat, mendidik dan memberi aspirasi kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, pengiktirafan ini adalah hasil usaha gigih setiap warga kerja TV AlHijrah yang ikhlas dan komited menyampaikan mesej Islam yang membawa kebaikan. 

“Ia juga menjadi dorongan bagi kami untuk terus memperkayakan variasi kandungan Islamik dan memperbanyakkan lagi konten-konten halal yang boleh memberi manfaat kepada ummah,” katanya.

Nadzariah turut berkongsi rasa bangga atas kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 yang baru sahaja diterima, menambah lagi kepada pencapaian luar biasa stesen ini tahun ini.

“Kemenangan TV AlHijrah di Anugerah Seri Angkasa 2024 baru-baru ini benar-benar mengukuhkan lagi reputasi kami dalam penerbitan kandungan berkualiti tinggi yang membawa mesej kebaikan dan inspirasi.

“Kami bersyukur atas pengiktirafan ini dan komited untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Sedunia 2023, anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation (HDC), telah memberi penghormatan kepada TV AlHijrah atas sumbangan dalam penyebaran kandungan berteraskan Islam.

Anugerah ini disampaikan oleh Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dengan kehadiran Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pegawai-pegawai kanan TV AlHijrah turut hadir bagi meraikan detik bersejarah ini.

Selain TV AlHijrah, beberapa syarikat lain seperti Zus Coffee, Muslim Pro, Safi, Mamee, dan Wardah turut menerima pengiktirafan dalam kategori masing-masing.

Majlis tahunan ini bertujuan mengiktiraf pemain industri halal yang menyumbang secara signifikan dalam memajukan ekonomi Islam serta memartabatkan industri halal di Malaysia dan peringkat global.

Anugerah yang disampaikan meliputi kategori seperti Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Antarabangsa Halal, Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan Halal, Anugerah Kecemerlangan Logistik Halal, Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal, Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal, dan Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan Kewangan Islam.

Kejayaan ini adalah satu langkah signifikan dalam memastikan nilai-nilai Islam terus dihormati dan diperkasa dalam pelbagai sektor.

Kandungan terbaik Sarawak kini ditayangkan di Viu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Viu, sebuah platform OTT terkemuka di rantau ini, telah memperoleh 42 judul daripada TVS (TV Sarawak), menjadikan kandungan Sarawak tersedia secara kolektif buat pertama kalinya untuk pelanggan Viu.

Dengan perjanjian yang direalisasikan oleh MyContent Distribution (MCD) ini, program-program pilihan dari Sarawak kini dapat dinikmati oleh lebih ramai penonton.

MCD memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan perjanjian ini, membuka peluang untuk pendedahan yang lebih luas.

Perolehan ini juga membuka jalan bagi penciptaan kategori khas Sarawak di platform terbabit, membolehkan penonton menikmati warisan budaya dan seni Sarawak.

Pengarah Urusan MyContent Distribution Lyn Nasihin berkata, mereka berbangga dapat bekerjasama dengan Viu dan TVS untuk mempersembahkan kisah-kisah hebat dari Sarawak.

“Kepelbagaian kandungan unik yang kini terdapat di Viu menonjolkan bakat dan kreativiti luar biasa dari rantau ini, dan kami teruja melihat program-program ini menerima pengiktirafan yang sewajarnya.

“Kerjasama ini menetapkan penanda aras baharu dalam pengedaran kandungan serantau. Usaha ini menawarkan pelbagai program, termasuk dokumentari yang memenangi anugerah seperti Guardians of the Shore serta siri tempatan popular seperti Ram Ram Rep dan sitkom dalam bahasa Iban, Tembawai Kanyuk.

“Kisah-kisah menarik ini kini boleh dinikmati oleh penonton yang tidak berkesempatan menontonnya sebelum ini,” katanya.

KANDUNGAN TERBAIK SARAWAK KINI DITAYANGKAN DI VIU

Salah satu tajuk utama, Guardians of the Shore, arahan Mark Nyambang, mengetengahkan usaha perintis Sarawak dalam pemuliharaan marin, terutamanya pembinaan penghalang terumbu tiruan terpanjang di dunia.

Dokumentari ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, menerima Anugerah Gangsa di ContentAsia Awards 2024 dan Anugerah Khas Merit di Kuala Lumpur International Eco Film Festival 2023.

Satu lagi siri kegemaran penonton, Ram Ram Rep, arahan Josh Nawan, adalah drama psikologi yang penuh dengan jalan cerita mendalam dan persembahan mantap.

Begitu juga, Tembawai Kanyuk, sitkom pertama dalam bahasa Iban, telah menarik perhatian ramai dengan pandangan lucu tentang kehidupan di rumah panjang Sarawak, menekankan kepentingan perpaduan dalam kepelbagaian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TVS dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Media Sarawak Sdn. Bhd, Tuan Haji Kushairi Abang berkata, kerjasama dengan Viu ini adalah detik penting bagi industri kreatif Sarawak.

“Buat pertama kali, rancangan tempatan kini duduk sebaris dengan kandungan terbaik yang ada, memberikan penonton perspektif baharu tentang suara dan budaya yang pelbagai dari rantau ini.

“Ini adalah peluang unik untuk membuat penonton merasa lebih dekat dan terhubung dengan kisah dan budaya Sarawak,” katanya.

Perjanjian pelesenan ini adalah untuk tempoh satu tahun, dan penonton boleh menonton rancangan kegemaran mereka dari TVS di bawah kategori “Khas Dari Sarawak Bumi Kenyalang” di Viu.

Proses rekod keterangan Vivy Yusof dan suami masih berjalan di SPRM

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Proses mengambil keterangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar masih berlangsung di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi.

“Saya sahkan (mereka) hadir beri keterangan bagi membantu siasatan. Siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Ditanya sama ada pasangan suami isteri itu sudah selesai memberi keterangan, beliau berkata, proses itu masih berjalan.

Sementara itu, sumber memaklumkan proses rakaman percakapan pasangan suami isteri itu dijangka selesai selepas Maghrib.

Terdahulu, pasangan terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 2.30 petang, hari ini.

Ia susulan laporan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.

Pasangan suami isteri itu antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, semalam.

Semalam, pegawai penyiasat SPRM menyerbu empat lokasi termasuk ibu pejabat FashionValet di Bangsar.

Selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB.

‘Andai Tiada Dia’, kisah konflik rumahtangga dan ketabahan seorang wanita

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ‘Andai Tiada Dia’, sebuah kisah mengenai konflik alam perkahwinan, mengetengahkan isu-isu membabitkan pasangan yang sudah berumah tangga dalam melayari alam perkahwinan mereka.

Drama bersiri ini sudahpun menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).

‘Andai Tiada Dia’ adalah naskhah terbaharu terbitan Global Station mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang sedang bergelut dengan dilema untuk mempunyai zuriat, ditambah dengan konflik percintaan terlarang antara adik dan juga abang ipar, serta ketabahan seorang wanita menghadapi pengkhianatan dalam perkahwinan.

Naskhah ini juga membawa penonton menyelami turun naik emosi dalam setiap konflik yang dipaparkan.

Penceritaan drama penuh emosi suka duka menerusi 36 episod ini adalah hasil sentuhan pengarah Riza Baharudin. 

Drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim.

Pengarah, Riza Baharudin berkata, kerjasama yang diberikan oleh pelakon dalam drama ini sangat membantu dalam penghasilan karya yang baik.

“Setiap dari mereka memainkan watak dengan penuh penghayatan, menjadikan watak yang dibawakan mereka seolah berada dalam situasi sebenar.

“Kami juga memberi penekanan elemen Syariah dalam drama ini seperti hubungan antara bukan mahram, proses IVF, dan juga tempoh iddah supaya penonton boleh mengambil ilmu-ilmu ini sebagai panduan dalam kehidupan harian.

“Dengan semua elemen yang diberikan, drama ini pastinya akan menepati cita rasa penonton,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, drama baharu Astro ini direka untuk menjadi cerminan pelbagai lapisan penonton, terutamanya kepada mereka yang sedang melayari hubungan sesama mereka sendiri, mengimbau pengalaman lalu, atau sekadar ingin tahu mengenai kerumitan hubungan manusia.

“Matlamat kami adalah untuk mencipta siri yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mencetuskan perbualan yang bermakna mengenai hubungan, pekembangan peribadi dan cabaran yang dihadapi oleh seorang individu dan juga pasangan mereka.

“Kami percaya bahawa dengan mengetengahkan isu yang rumit ini, kami boleh menawarkan pengalaman menonton yang menyentuh emosi dan merangsang intelektual,” katanya.

‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan pasangan Suri, (Ummi Nazeera) dan Haikal, (Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat.

Tertekan dengan situasi sekeliling, Suri meminta izin kepada Haikal untuk melakukan IVF namun tidak diambil endah oleh Haikal kerana sudah selesa dan bahagia hidup tanpa memiliki anak.

Kematian Hisyam, adik kepada Haikal, meninggalkan seorang bayi malang berusia 4 bulan dan menggerakkan hati Suri untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

Kehadiran Intan (Mimi Lana), adik kepada Suri dalam rumah tangga mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila Haikal dan Intan mula menjalinkan hubungan sulit semasa Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.

Konsert penuh memukau, Raisa hibur ribuan peminat di Megastar Arena

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur, konsert yang amat dinanti-nantikan dalam kalendar muzik Malaysia, “Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur” telah pun melabuhkan tirainya, baru-baru ini.

Dengan persembahan yang memukau dan penuh emosi, penyanyi dan penulis lirik jelita berasal dari Indonesia itu berjaya menghiburkan ribuan peminat yang hadir di konsertnya.

Raisa memecah panggung dengan persembahan hampir 20 buah lagu kesemuanya, termasuklah lagu-lagu hits seperti “Serba Salah”, “Pergilah”, “Teristimewa”, “Jatuh Hati”, “Bahasa Kalbu”, “Could It Be”, “Mantan Terindah”, “Kali Kedua”, dan banyak lagi.

“Sesungguhnya kalian adalah ‘teristimewa’ dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya pada malam ini. Konsert ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya, kerana saya sendiri terbabit secara langsung dalam setiap aspek persiapannya,” kongsi Raisa dalam nada teruja.

Persembahan selama 2 jam lebih itu turut mendapat sokongan daripada pemuzik profesional yang dibawa khas dari Indonesia menambah lagi kehebatan persembahan Raisa, menghasilkan suasana yang bertenaga dan begitu mengasyikkan.

Dengan latar belakang audio-visual yang memukau dan reka bentuk pentas yang kreatif, konsert ini berjaya mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi semua penonton.

Selain itu, konsert berkenaan turut diserikan dengan kehadiran dua penyanyi hebat Malaysia, Ernie Zakri dan Hael Husaini yang berjaya menggamatkan lagi suasana pada malam konsert.

“Terima kasih buat Ernie Zakri dan Hael Husaini kerana sudi bersama-sama saya dalam konsert istimewa ini, sesungguhnya saya mengagumi personaliti kedua-dua penyanyi ini,” tambah Raisa lagi.

Konsert ini juga memberikan peluang istimewa kepada peminat untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’ bagi pemegang tiket VVIP.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, mereka amat berbesar hati dapat membawa Raisa kembali ke Kuala Lumpur.

“Konsert ini bertujuan memberikan pengalaman yang unik dan berharga buat peminat Raisa, dan terima kasih buat setiap penonton yang hadir memeriahkan konsert ini.

“Dengan kejayaan konsert ini, Kharisma Music terus komited untuk menyajikan pengalaman muzik yang luar biasa kepada penonton di Malaysia.

“Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, kesemua tenaga kerja, serta rakan-rakan penganjur seperti Garuda Indonesia, Alha Alfa, Intan Gelombang, Futurace, ERA FM, Sinar FM, dan Astro Gempak kerana menjadikan konsert ini sebagai sebuah kenangan indah yang akan terpahat di ingatan,” katanya.