25.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, November 15, 2025

‘Andai Tiada Dia’, kisah konflik rumahtangga dan ketabahan seorang wanita

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – ‘Andai Tiada Dia’, sebuah kisah mengenai konflik alam perkahwinan, mengetengahkan isu-isu membabitkan pasangan yang sudah berumah tangga dalam melayari alam perkahwinan mereka.

Drama bersiri ini sudahpun menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).

‘Andai Tiada Dia’ adalah naskhah terbaharu terbitan Global Station mengenai kehidupan pasangan suami isteri yang sedang bergelut dengan dilema untuk mempunyai zuriat, ditambah dengan konflik percintaan terlarang antara adik dan juga abang ipar, serta ketabahan seorang wanita menghadapi pengkhianatan dalam perkahwinan.

Naskhah ini juga membawa penonton menyelami turun naik emosi dalam setiap konflik yang dipaparkan.

Penceritaan drama penuh emosi suka duka menerusi 36 episod ini adalah hasil sentuhan pengarah Riza Baharudin. 

Drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim.

Pengarah, Riza Baharudin berkata, kerjasama yang diberikan oleh pelakon dalam drama ini sangat membantu dalam penghasilan karya yang baik.

“Setiap dari mereka memainkan watak dengan penuh penghayatan, menjadikan watak yang dibawakan mereka seolah berada dalam situasi sebenar.

“Kami juga memberi penekanan elemen Syariah dalam drama ini seperti hubungan antara bukan mahram, proses IVF, dan juga tempoh iddah supaya penonton boleh mengambil ilmu-ilmu ini sebagai panduan dalam kehidupan harian.

“Dengan semua elemen yang diberikan, drama ini pastinya akan menepati cita rasa penonton,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari berkata, drama baharu Astro ini direka untuk menjadi cerminan pelbagai lapisan penonton, terutamanya kepada mereka yang sedang melayari hubungan sesama mereka sendiri, mengimbau pengalaman lalu, atau sekadar ingin tahu mengenai kerumitan hubungan manusia.

“Matlamat kami adalah untuk mencipta siri yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mencetuskan perbualan yang bermakna mengenai hubungan, pekembangan peribadi dan cabaran yang dihadapi oleh seorang individu dan juga pasangan mereka.

“Kami percaya bahawa dengan mengetengahkan isu yang rumit ini, kami boleh menawarkan pengalaman menonton yang menyentuh emosi dan merangsang intelektual,” katanya.

‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan pasangan Suri, (Ummi Nazeera) dan Haikal, (Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat.

Tertekan dengan situasi sekeliling, Suri meminta izin kepada Haikal untuk melakukan IVF namun tidak diambil endah oleh Haikal kerana sudah selesa dan bahagia hidup tanpa memiliki anak.

Kematian Hisyam, adik kepada Haikal, meninggalkan seorang bayi malang berusia 4 bulan dan menggerakkan hati Suri untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

Kehadiran Intan (Mimi Lana), adik kepada Suri dalam rumah tangga mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila Haikal dan Intan mula menjalinkan hubungan sulit semasa Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular