editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur, konsert yang amat dinanti-nantikan dalam kalendar muzik Malaysia, “Raisa – Teristimewa Di Kuala Lumpur” telah pun melabuhkan tirainya, baru-baru ini.
Dengan persembahan yang memukau dan penuh emosi, penyanyi dan penulis lirik jelita berasal dari Indonesia itu berjaya menghiburkan ribuan peminat yang hadir di konsertnya.
Raisa memecah panggung dengan persembahan hampir 20 buah lagu kesemuanya, termasuklah lagu-lagu hits seperti “Serba Salah”, “Pergilah”, “Teristimewa”, “Jatuh Hati”, “Bahasa Kalbu”, “Could It Be”, “Mantan Terindah”, “Kali Kedua”, dan banyak lagi.
“Sesungguhnya kalian adalah ‘teristimewa’ dalam hidup saya dan terima kasih kerana hadir menyokong saya pada malam ini. Konsert ini adalah satu pengalaman yang sangat berharga untuk saya, kerana saya sendiri terbabit secara langsung dalam setiap aspek persiapannya,” kongsi Raisa dalam nada teruja.

Persembahan selama 2 jam lebih itu turut mendapat sokongan daripada pemuzik profesional yang dibawa khas dari Indonesia menambah lagi kehebatan persembahan Raisa, menghasilkan suasana yang bertenaga dan begitu mengasyikkan.
Dengan latar belakang audio-visual yang memukau dan reka bentuk pentas yang kreatif, konsert ini berjaya mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi semua penonton.
Selain itu, konsert berkenaan turut diserikan dengan kehadiran dua penyanyi hebat Malaysia, Ernie Zakri dan Hael Husaini yang berjaya menggamatkan lagi suasana pada malam konsert.

“Terima kasih buat Ernie Zakri dan Hael Husaini kerana sudi bersama-sama saya dalam konsert istimewa ini, sesungguhnya saya mengagumi personaliti kedua-dua penyanyi ini,” tambah Raisa lagi.
Konsert ini juga memberikan peluang istimewa kepada peminat untuk berinteraksi dengan Raisa dalam sesi ‘meet & greet’ bagi pemegang tiket VVIP.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, mereka amat berbesar hati dapat membawa Raisa kembali ke Kuala Lumpur.
“Konsert ini bertujuan memberikan pengalaman yang unik dan berharga buat peminat Raisa, dan terima kasih buat setiap penonton yang hadir memeriahkan konsert ini.

“Dengan kejayaan konsert ini, Kharisma Music terus komited untuk menyajikan pengalaman muzik yang luar biasa kepada penonton di Malaysia.
“Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, kesemua tenaga kerja, serta rakan-rakan penganjur seperti Garuda Indonesia, Alha Alfa, Intan Gelombang, Futurace, ERA FM, Sinar FM, dan Astro Gempak kerana menjadikan konsert ini sebagai sebuah kenangan indah yang akan terpahat di ingatan,” katanya.