editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Proses mengambil keterangan pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar masih berlangsung di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi.
“Saya sahkan (mereka) hadir beri keterangan bagi membantu siasatan. Siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.
Ditanya sama ada pasangan suami isteri itu sudah selesai memberi keterangan, beliau berkata, proses itu masih berjalan.
Sementara itu, sumber memaklumkan proses rakaman percakapan pasangan suami isteri itu dijangka selesai selepas Maghrib.
Terdahulu, pasangan terbabit hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 2.30 petang, hari ini.
Ia susulan laporan kerugian pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Pasangan suami isteri itu antara enam individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, semalam.
Semalam, pegawai penyiasat SPRM menyerbu empat lokasi termasuk ibu pejabat FashionValet di Bangsar.
Selain FashionValet, turut diserbu secara serentak adalah Kementerian Kewangan (MoF), Khazanah dan PNB.

