KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kes bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther yang dituduh mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret M S Arunjothy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham untuk memindahkan dan membicarakan kes berkenaan di mahkamah berkenaan.
Permohonan itu tidak dibantah oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Sementara itu, bagi satu lagi kes dihadapi Muhammed Yusoff atas tuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di hadapan Majistret S Mageswary, Izzat Amir memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes seterusnya.
“Kami mahu meneliti sama ada kes memiliki pistol ini wajar dibicarakan bersama-sama satu lagi kes yang dihadapi tertuduh iaitu pengedaran dadah. Kami mohon tarikh singkat, jika dibenarkan sebulan dari hari ini,” kata Izzat Amir.
Muhammad Rafique berkata pihaknya tidak membantah permohonan pendakwaan dan memohon pembelaan dibekalkan dengan salinan pertuduhan (memiliki pistol) yang dihadapi anak guamnya, sebagaimana dijanjikan dalam prosiding terdahulu.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mageswary menetapkan 13 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pada 12 September lalu, Muhammed Yusoff, 31, didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada 10.15 pagi, 6 September lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada 9 Oktober, Muhammed Yusoff didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan memiliki dua pucuk pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada 9.25 pagi, tarikh sama (6 September).
Dia yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.-Bernama
KUALA LUMPUR – TikTok Shop 11.11 Mega LIVE Showdown telah menarik lebih daripada 5 juta rakyat Malaysia yang menonton untuk berhubung dengan pencipta konten tempatan kegemaran mereka, PKS, dan pelbagai jenama Dari jam 7 malam hingga 11 malam.
Sokongan yang luar biasa daripada rakyat di seluruh negara menyumbang kepada kejayaan siaran langsung selama 4 jam ini, yang menghasilkan kira-kira 80,000 pesanan siaran langsung pada malam itu.
“Melalui segmen khas #JomLokal semasa siaran langsung, TikTok Shop mengukuhkan komitmen kami untuk memperkasakan PKS tempatan dengan memberi tumpuan kepada produk buatan Malaysia.
“Sangat mengujakan melihat jenama-jenama buatan Malaysia seperti Dapur Pak Amir, Shiffa Curry Powder, dan Empat Beranak, bersinar di pentas, bukan sahaja di hadapan ribuan penonton yang hadir secara fizikal di stadium, tetapi juga ditemui oleh jutaan penonton menerusi siaran langsung TikTok Shop dan siaran TV3 malam ini,” kata Nur Aisya Rosly, Ketua Komunikasi Pemasaran, TikTok Shop Malaysia.
Pertunjukan ini disiarkan secara langsung di @tiktokshop_my dan di TV3, menampilkan barisan promosi, diskaun, dan baucar yang menarik untuk pembeli dalam talian menikmati penjimatan eksklusif pada TikTok Shop 11.11 Mega Sale, yang berlangsung pada 11 November 2024.
Dengan kehadiran pencipta terkemuka seperti @khairulaming, @yang, @neelofa, @sallywhoo, @dearcarynn, @tulippetals, dan ramai lagi dalam siaran langsung itu, penonton yang menonton menikmati pengalaman Shoppertainment yang menarik, di mana hiburan dan membeli-belah digabungkan.
Beberapa rakyat Malaysia yang bertuah juga memenangi peluang untuk membawa pulang sebuah Myvi, Honda ADV 160, Honda Wave, dan banyak lagi*.
Siaran langsung ini mendapat sokongan padu daripada komuniti pembeli, pencipta, penjual, dan rakan kongsi TikTok Shop, termasuk Maybank, Bulan Bintang, Oatside, Hausboom, Maggi, Munchy’s, Elianto, dan 888 Tea & Coffee, yang semuanya menyumbang kepada kejayaan acara ini.
Dengan TikTok Shop 11.11 Mega Sale mencapai kemuncaknya pada 11 November 2024, hari terakhir jualan dalam talian terbesar tahun ini, rakyat Malaysia boleh terus menikmati banyak baucar Penghantaran Percuma di seluruh platform, yang boleh digabungkan dengan baucar Diskaun Platform dan Diskaun Penjual.
Dengan tawaran ini, pembeli boleh menjimatkan sehingga tiga kali ganda, terutamanya apabila membeli tawaran Harga Hangat yang menampilkan potongan harga sehingga 80 peratus daripada jenama terkenal seperti Sony, Farm Fresh, Skintific, GB Gold, dan banyak lagi.
KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa mencipta sejarah sekali lagi apabila tiket pra-jualan Konsert Here I Am yang dibuka pada 11 November 2024, jam 3 petang secara eksklusif di platform Ticket2U telah habis dijual dalam masa 3 jam sahaja.
Lebih mengujakan, tiket kategori Festival habis dijual dalam masa 4 minit membuktikan pengaruh dan populariti penyanyi berkenaan yang bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025.
Dikenali dengan vokal memukau dan balada yang penuh emosi, Rossa akan menyampaikan rangkaian lagu hit kegemaran ramai dalam satu malam yang pasti akan menjadi kenangan indah buat peminatnya.
Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment sebagai tanda penghargaan buat peminat Rossa yang setia menyokong perjalanan karier beliau.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuk hits popular seperti “Nada Nada Cinta,” “Pudar,” dan “Hey Ladies,” selain beberapa persembahan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan pada malam istimewa itu nanti.
Rossa turut menyatakan kegembiraannya untuk kembali beraksi di pentas Malaysia dan menghiburkan peminatnya.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.
“Sokongan peminat di Malaysia sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali berkata, pihaknya begitu teruja menerusi kolaborasi yang dijalankan ini.
“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu inisiatif merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik seterusnya membantu Malaysia bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Rossa adalah ikon seni yang disegani serta dihormati, dan kami yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” katanya.
Katanya, Konsert Here I Am ini adalah susulan kepada tayangan filem dokumentari All Access to Rossa: 25 Shining Years yang ditayangkan pada bulan lalu.
“Atas permintaan ramai, khususnya Pencinta Rossa di Malaysia, kami membawakan konsert ini untuk mereka yang setia menyokong Rossa selama ini,” katanya.
KUCHING – Perubahan pesat dalam teknologi dan keperluan pasaran global menuntut pendekatan pendidikan yang lebih inovatif dan fleksibel.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu segera menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), serta keperluan kemahiran digital yang semakin berkembang dalam pasaran kerja.
Beliau berkata, pendidikan tinggi kini berada di persimpangan penting yang mana kejayaan masa depan bergantung pada kemampuan kita untuk berinovasi dan beradaptasi dengan perubahan teknologi.
Katanya, keseimbangan antara kualiti akademik dan kebolehpasaran graduan juga penting, terutama dengan kemajuan pesat dalam teknologi digital yang menuntut kurikulum yang lebih fokus kepada pemikiran kritikal dan kreativiti.
“Malaysia telah memulakan perjalanan yang berani untuk muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) dengan pelancaran beberapa program utama baru-baru ini yang bertujuan untuk meningkatkan ekosistem AI untuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
“Antara inisiatif yang diumumkan adalah program MY AI NEXUS, sebuah usaha yang dipimpin oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan untuk membangunkan 200,000 pakar AI menjelang tahun 2030.
“Malaysia juga komited untuk menjadi peneraju dalam bidang kecerdasan buatan dengan memperkukuh kerjasama antara sektor akademik dan industri global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia (MQAIC) 2024, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Pada majlis perasmian itu juga, sesi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) turut diadakan antara MQA dan Quality and Qualifications Ireland; MQA dan South African Qualifications Authority serta MQA dan National Accreditation and Quality Assurance Authority, The Gambia.
Bertemakan ‘Pendidikan Tinggi Berkualiti Global’, MQAIC kali kedua anjuran Agensi Kelayakan Malaysia itu disertai lebih 400 peserta termasuk wakil dari 15 kedutaan dan pemimpin akademik dari IPT tempatan dan luar negara dari Ireland, Scotland, Perancis, United Kingdom, Romania, Jepun, Indonesia, Australia, Filipina, Afrika Selatan, Gambia, China, Taiwan dan India.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pegawai Eksekutif MQA; Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Tan Sri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Canselor Universiti UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit.
Dr. Zambry juga menekankan kepentingan teknologi pendidikan adaptif yang menawarkan pendekatan pembelajaran lebih peribadi dan sesuai dengan keperluan pelajar secara individu.
Katanya, model pendidikan baharu seperti micro-credential dan pembelajaran dalam talian juga menjadi cabaran kepada ijazah tradisional yang menuntut IPT untuk lebih fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mereka.
Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, persidangan Antarabangsa MQAIC 2024 itu dijayakan dengan kerjasama UNIMAS serta rakan strategik Diamond terdiri daripada Help University, INTI International University, Alliance of Government-Linked Universities, Open University Malaysia (OUM), MILA University, Petro Teguh, City University Malaysia, Asia e University (AeU) serta UNITAR International University.
“MQAIC 2024 menjadi medan perbincangan dengan pakar yang mengupas membincangkan isu-isu kritikal dalam pendidikan tinggi global dengan subtema ‘Landskap Pendidikan yang Berubah’, ‘Perkongsian Kolaboratif’, ‘Teknologi Adaptif’, serta ‘Kebolehpasaran TVET’,” katanya.
KUALA LUMPUR – Popular dengan lagu ‘Langkah Seiringan’ dari album sulung berjudul ‘Exist’ yang diterbitkan pada 1991, Kumpulan Exists ingin mengajak peminat dan orang ramai untuk mengatur langkah bersama mereka menuju ke Tanah Suci.
Exists yang kini dianggotai oleh Ezad Lazim (vokalis), Along atau Azhrul Nasir (gitar utama), Musa Radhi (bass), Ujang atau Saharudin Saniman (dram) dan Ajai @ Mohd Faizal Maas (keyboard) bakal menunaikan umrah bersama dengan syarikat Darmina Revolution.
Pelawaan daripada Darmina Revolution kira-kira dua bulan lalu, umpama bulan jatuh ke riba kerana anggota Exists tidak menyangka impian untuk menunaikan umrah dimakbulkan Allah.
Melalui program ‘Umrah Langkah Seiringan Exists’, kesemua anggota kumpulan itu akan berangkat menunaikan umrah pada 22 Januari 2025 hingga 2 Februari 2025.
Ketua Pegawai Operasi Darmina Revolution, Ahmad Fawzy Mohd Hashim berkata, program ‘Umrah Langkah Seiringan Exists’ adalah satu platform bertujuan untuk memudahkan orang ramai mencari pakej pelancongan luar dan dalam negara serta pakej umrah yang di tawarkan oleh syarikat travel agensi yang berada di Malaysia.
Katanya, melalui Darmina Revolution orang ramai yang ingin menunaikan umrah tidak perlu bersusah payah kerana segala urusan akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
“Pihak kami sentiasa berusaha dan memastikan segala urusan jemaah yang berdaftar dengan kami mendapat keselesaan dengan pakej yang dipilih.
“Kami juga menawarkan harga rendah dan berpatutan agar ramai yang berpeluang untuk menunaikan umrah.
“Pakej yang ditawarkan dalam platform kami amat berpatutan kerana konsep kami adalah pendaftaran awal akan mendapat harga diskaun 5 sehingga 20 peratus mengikut pakej dan kouta yang ditawarkan.
“Harganya adalah murah berbanding kalau anda membeli atau mendaftar di saat akhir kerana harga yang ditawarkan adalah harga biasa,” katanya.
Selain dari pakej umrah, platform Darmina Revolution juga ada menawarkan pakej pelancongan ke seluruh dunia dengan harga yang berpatutan.
Sementara itu, Ezad yang sebelum ini pernah menunaikan umrah tidak menyangka berpeluang untuk menjejak kaki ke Makkah dan Madinah lagi.
Baginya, pelawaan yang ditawarkan oleh Darmina Revolution untuk menunaikan umrah bersama anggota Exists adalah sesuatu yang tidak diduga.
“Semua orang menyimpan impian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah. Alhamdulillah, pada tahun lalu saya berkesempatan menunaikan umrah bersama isteri, anak-anak dan mentua.
“Tak sangka ada lagi peluang untuk ke sana dan kali ini bersama-sama anggota Exists, sudah pasti suasananya berbeza.
“Kiranya kali ini lebih istimewa, ibarat pergi dengan adik-beradik kerana kami semua sudah lama mengenali antara satu sama lain.
“Tak sangka tiba-tiba Allah bukakan rezeki untuk kami pergi umrah bersama-sama. Saya rasa gembira dengan peluang ini walaupun sudah pernah pergi, anggota Exists yang lain tak pernah pergi lagi. Jadi bila mereka semua teruja untuk pergi, dan ini adalah rezeki untuk kami.
“Ini juga adalah salah satu peluang yang baik dan rezeki Allah nak bagi, tiada siapa yang tahu. Di samping itu juga, Exists mengalu-alukan juga kalau ada sesiapa yang nak pergi umrah bersama kami,” kata Ezad.
Bagi Musa pula, jika selama ini beliau hanya membaca Sirah Nabi sahaja dan kini Darmina Revolution telah memberi berpeluang kepadanya untuk menziarah lokasi peninggalan Rasulullah SAW.
“Perasaan saya amat senang sekali apabila diberitahu yang kami berpeluang untuk melakukan umrah. Berita gembira itu kami terima sekitar dua bulan lalu daripada pihak Darmina Revolution.
“Saya tidak pernah buat umrah, selama ini saya hanya membaca sirah Nabi SAW sahaja. Melalui bacaan pun air mata saya boleh gugur, ini pula dapat menziarahi tempat-tempat yang bersejarah itu.
“Sudah pasti ini adalah peluang yang terindah buat saya kerana dapat menjejak kaki ke sana dan menziarahi makam dan tinggalan Rasulullah SAW.
“Lebih indah lagi kerana saya akan pergi ke sana dengan band Exists nanti, terima kasih atas rezeki ini. Cuma saya mohon, dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat menikmati peluang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Ajai turut melahirkan rasa teruja dan terharu kerana mendapat jemputan untuk menjadi tetamu Allah.
“Sesungguhnya saya sangat teruja dan terharu atas rezeki ini berpeluang untuk menjejak kaki ke Tanah Suci. Terima kasih kepada Darmina Revolution atas peluang ini.
“Sekalung penghargaan juga saya ingin ucapkan kepada rakan-rakan Exists yang sama-sama meredah pelbagai cabaran di permulaan karier dalam industri.
“Tak diduga rezeki Allah, ditakdirkan kami akan bersama-sama ke Kota Makkah, Insya-Allah. Semoga Allah akan permudahkan segala urusan kami semua daripada mula hinggalah ke akhir ibadah,” kata Ajai.
Jika ada yang berminat untuk menunaikan umrah bersama Exists, harga yang ditawarkan adalah serendah RM8,500 (bilik berempat), RM9,100 (bilik bertiga) dan RM9,500 (bilik berdua).
Perjalanan ke sana adalah menerusi penerbangan Saudi Air dan bakal menginap di Hotel Dar Ieman, Makkah dan di Hotel Artal International, Madinah.
Untuk keterangan lanjut mengenai pakej ‘Umrah Langkah Seiringan Exists’ hubungi talian +60 16-432 8793 atau e-mel ke darmina.revolution@gmail.com
KUALA LUMPUR – Rock Warrior Music Festival yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 23 dan 24 November 2024 di KL Base, Sungai Besi, terpaksa ditunda ke bulan Mei 2025 tahun depan.
Penganjur, Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira ramalan cuaca yang menunjukkan kemungkinan hujan lebat dan risiko banjir di kawasan terbabit dan beberapa negeri lain di Malaysia.
Ini berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.
“Sebagai penganjur, keselamatan peminat dan kelancaran festival adalah keutamaan kami.
“Selain daripada itu, kami juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir.
“Penjadualan semula ke bulan Mei 2025 ini memberi kami peluang untuk membuat persiapan yang lebih menyeluruh, dengan harapan dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan dan pemahaman yang diberikan,” katanya.
Produksi itu berkata, semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu, dan pihak mereka akan mengemas kini maklumat lanjut di laman web serta platform media sosial.
Untuk pertanyaan lanjut, hubungi talian 019-261 7208.
KUALA LUMPUR – Selepas meraikan sedekad kejayaan rancangan secara fenomenal pada tahun lalu, realiti nyanyian nombor satu Astro, ‘Gegar Vaganza’ (GV) kini kembali dengan permulaan baharu dalam musim kesebelas.
Menggandingkan artis-artis Malaysia, Indonesia dan Singapura yang pernah popular, musim ini kembali ke rumpunnya untuk terus menjadi platform yang menggamit semula zaman-zaman kegemilangan mereka dalam industri muzik, sekaligus mengubati rindu peminat yang ingin melihat mereka bersinar semula di atas pentas dengan cabaran dan persaingan yang baharu.
‘GV11’ bakal bermula pada 24 November ini, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).
Vaganzers bakal menyaksikan himpunan penyanyi-penyanyi yang pernah viral atau evergreen terbaik di persada muzik tempatan bahkan nusantara berentap di ‘GV11’, mengilatkan kembali sejarah kegemilangan mereka dalam industri nyanyian.
Nama-nama yang dipilih adalah bintang-bintang yang dikenali dengan kekuatan dan keunikan vokal, serta lagu-lagu hits yang masih terpahat dalam memori setiap penggemar muzik hingga kini.
Bintang-bintang ‘GV11’ terdiri daripada Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta lagenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.
Sebanyak 13 penyanyi solo dan sebuah kumpulan bakal meriuhkan kembali pertandingan realiti nyanyian tersohor ini dengan cabaran sengit dan kehebatan nyanyian masing-masing.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama sedekad, hingga ke hari ini, amatlah dihargai.
“Juara di antara juara sudah pun kami nobatkan. Kini, kami kembali ke asal usual GV iaitu dengan membawa kembali penyanyi-penyanyi yang pernah tular atau evergreen ke pentas prestij.
“Tidak lekang di mulut penggemar-penggemar muzik, bintang-bintang ini pernah mencipta sejarah dengan lagu-lagu serta bakat mereka.
“Malah, ada di antara lagu-lagu mereka yang masih menjadi pilihan di mana-mana. Kami amat berbangga kerana barisan peserta pada musim kali ini adalah antara nama-nama terbesar di persada muzik tempatan dan serantau.
“Ternyata GV masih mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar, lantas menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi juga artis-artis di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura,” katanya.
Astro bakal memulakan GV11 dengan nafas baharu, namun masih mengekalkan kesengitannya di antara semua peserta. Lagenda bertemu lagenda, semuanya mempunyai latar belakang kejayaan yang hebat dalam bidang nyanyian.
Namun hanya vokal, aura dan persembahan mereka sahaja yang dipertaruhkan. Siapakah yang akan menyambung takhta GV pada musim kali ini?
Semuanya akan terjawab di pentas gah GV11 yang pastinya akan kembali menggemakan dewan konsert kelak.
“Kami yakin musim terbaharu ini bakal mengejutkan penonton dengan kehebatan mereka, sekaligus membawa para penonton ke memori lalu ketika zaman kegemilangan mereka.
“GV11 bakal beri kepuasan hiburan maksima kepada penggemar-penggemar rancangan realiti nyanyian signature kami,” kata Raqim lagi.
Barisan juri masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Rancangan ini turut membawa kembali duo kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.
‘Gegar Vaganza 11’ akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
KUALA LUMPUR – Pengeluar produk penjagaan kesihatan, Gintell melancarkan dua buah kerusi urut siri Wellness Super Heroes yang berupaya memberi kelegaan seluruh badan.
Antara siri terbaharu itu ialah Kerusi Urut Wellness S7 Plus Iron Man dan S9 Maxx Iron Man.
Kerusi Urut Wellness S7 Plus Iron Man dikuasai oleh roda urut lapan dimensi generasi kedua dan ia dibahagikan kepada dua bahagian iaitu atas dan bawah badan.
“Sempena ulang tahun Marvel ke-85, Gintell telah melancarkan Kerusi Urut Wellness Edisi Eksklusif Iron Man Black yang juga tambahan baharu kepada koleksi Kerusi Urut Siri Super Heroes.
“Kerusi urut edisi eksklusif ini menggabungkan Teknologi kecerdasan buatan (AI) terbaharu dengan gaya ikonik Iron Man berwarna hitam dan emas yang diilhamkan oleh wira itu sendiri,” kata Gintell dalam satu kenyataan.
Majlis pelancaran itu dihadiri Pengarah Pengurusan Gintell, Datuk Goh Cheh Yak dan duta rasmi jenama berkenaan, Simon Yam yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil.
Jenama berkenaan turut mengadakan pameran di lokasi pelancaran bermula 30 Oktober hingga 11 November ini.
Menerusi acara itu, ia bukan sahaja mempamerkan kerusi urut malah produk lain termasuk treadmill dan sebagainya.
KUALA LUMPUR – KC Global Media dengan bangganya mengumumkan pelancaran saluran Penstriman Televisyen Percuma dengan Sokongan Iklan (FAST) yang pertama, KCM, dengan kerjasama strategik bersama penyedia kandungan penstriman ulung negara, sooka.
KCM memberi pilihan pelbagai kandungan premium kepada penonton termasuklah drama bersiri, filem pecah panggung dan pemenang anugerah serta hiburan berfakta dalam bahasa Inggeris.
Hiburan berfakta termasuklah filem dan dokumentari seperti Cristiano Ronaldo: The One and Only, Messi: The Greatest, BTS: Global Takeover, Taylor Swift Dare to Dream, Lady Gaga: Encore, Tech Billionaires: Elon Musk, Bruno Mars: Just the Way I Am, John Cena: Champion of the Ring; dan banyak lagi program kegemaran peminat.
Bagi kategori drama pula, pelbagai genre ditawarkan termasuklah fantasi, pengembaraan, aksi sejarah, sains fiksyen, thriller misteri dan karya seperti 5ive Days to Midnight, Aardvark, We Have Always Lived in the Castle; dan banyak lagi.
George Chien selaku pengasas bersama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden KC Global Media optimis dan teruja dengan kerjasama ini yang membabitkan KCM dan sooka.
“Pasaran saluran FAST sekarang berkembang pesat, dan pihak kami sangat teruja untuk menjalin kolaborasi dengan rakan kami, Astro, untuk memperkenalkan KCM kepada penonton sooka di Malaysia, dengan tawaran kandungan yang menyeluruh dan membawa hiburan kepada lebih isi rumah.
“Kolaborasi strategik ini adalah satu testamen komitmen dua syarikat dalam menyalurkan kandungan-kandungan yang pelbagai dan dekat di hati rakyat Malaysia.
“KCM akan menjadi saluran ketiga yang tersedia di sooka selain AXN dan ONE, yang kedua-duanya itu merupakan peneraju saluran hiburan umum dan Korea,” katanya.
Sementara itu, Pengarah sooka & Njoi Chu Young Lee berkata, mereka sangat teruja untuk berkolaborasi dengan KC Global Media untuk melancarkan KCM di sooka.
“Kolaborasi ini selari dengan komitmen kami untuk menyampaikan kandungan luar biasa dan pelbagai buat semua penonton.
“Dengan penyertaan KCM, kami telah mengembangkan saluran-saluran percuma kepada 20, sekali gus menawarkan hiburan menyeluruh dan berkualiti tinggi untuk semua orang,” katanya.
Buat masa sekarang, KCM tersedia secara percuma untuk semua pengguna berdaftar sooka. Pengguna boleh mendaftar untuk sooka tanpa sebarang bayaran; bagi mereka yang menginginkan kandungan hiburan dan sukan premium, mereka boleh melanggan daripada harga RM12.90.