editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Selepas meraikan sedekad kejayaan rancangan secara fenomenal pada tahun lalu, realiti nyanyian nombor satu Astro, ‘Gegar Vaganza’ (GV) kini kembali dengan permulaan baharu dalam musim kesebelas.
Menggandingkan artis-artis Malaysia, Indonesia dan Singapura yang pernah popular, musim ini kembali ke rumpunnya untuk terus menjadi platform yang menggamit semula zaman-zaman kegemilangan mereka dalam industri muzik, sekaligus mengubati rindu peminat yang ingin melihat mereka bersinar semula di atas pentas dengan cabaran dan persaingan yang baharu.
‘GV11’ bakal bermula pada 24 November ini, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).
Vaganzers bakal menyaksikan himpunan penyanyi-penyanyi yang pernah viral atau evergreen terbaik di persada muzik tempatan bahkan nusantara berentap di ‘GV11’, mengilatkan kembali sejarah kegemilangan mereka dalam industri nyanyian.

Nama-nama yang dipilih adalah bintang-bintang yang dikenali dengan kekuatan dan keunikan vokal, serta lagu-lagu hits yang masih terpahat dalam memori setiap penggemar muzik hingga kini.
Bintang-bintang ‘GV11’ terdiri daripada Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Liza Aziz, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta lagenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.
Sebanyak 13 penyanyi solo dan sebuah kumpulan bakal meriuhkan kembali pertandingan realiti nyanyian tersohor ini dengan cabaran sengit dan kehebatan nyanyian masing-masing.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad berkata, sokongan dan kasih sayang yang diberikan selama sedekad, hingga ke hari ini, amatlah dihargai.
“Juara di antara juara sudah pun kami nobatkan. Kini, kami kembali ke asal usual GV iaitu dengan membawa kembali penyanyi-penyanyi yang pernah tular atau evergreen ke pentas prestij.
“Tidak lekang di mulut penggemar-penggemar muzik, bintang-bintang ini pernah mencipta sejarah dengan lagu-lagu serta bakat mereka.
“Malah, ada di antara lagu-lagu mereka yang masih menjadi pilihan di mana-mana. Kami amat berbangga kerana barisan peserta pada musim kali ini adalah antara nama-nama terbesar di persada muzik tempatan dan serantau.

“Ternyata GV masih mampu menarik penyertaan bintang-bintang besar, lantas menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk para peminat tetapi juga artis-artis di serantau Malaysia, Indonesia dan Singapura,” katanya.
Astro bakal memulakan GV11 dengan nafas baharu, namun masih mengekalkan kesengitannya di antara semua peserta. Lagenda bertemu lagenda, semuanya mempunyai latar belakang kejayaan yang hebat dalam bidang nyanyian.
Namun hanya vokal, aura dan persembahan mereka sahaja yang dipertaruhkan. Siapakah yang akan menyambung takhta GV pada musim kali ini?
Semuanya akan terjawab di pentas gah GV11 yang pastinya akan kembali menggemakan dewan konsert kelak.

“Kami yakin musim terbaharu ini bakal mengejutkan penonton dengan kehebatan mereka, sekaligus membawa para penonton ke memori lalu ketika zaman kegemilangan mereka.
“GV11 bakal beri kepuasan hiburan maksima kepada penggemar-penggemar rancangan realiti nyanyian signature kami,” kata Raqim lagi.
Barisan juri masih diketuai Dato’ Ramli MS yang akan didampingi Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi lagenda Indonesia, Hetty Koes Endang.

Rancangan ini turut membawa kembali duo kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse sebagai pengacara.
‘Gegar Vaganza 11’ akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.

