25.3 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026
Home Blog Page 162

‘Bangunlah’ permulaan baharu perjalanan seni Ora Fiza bersama Super Red Records

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Nama Ora Fiza mungkin sudah tidak asing lagi dalam industri muzik Malaysia. Dahulunya dikenali sebagai Pija Mentor, kini Fiza tampil dengan single pertama berjudul ‘Bangunlah’.

Selepas hampir dua dekad dalam industri hiburan, Ora Fiza yang mula dikenali sebagai juara pertama program realiti ‘Mentor’ terbitan TV3 pada tahun 2005 di bawah bimbingan penyanyi legenda Datuk Zainalabidin, kini kembali dengan karya yang penuh bermakna.

‘Bangunlah’, telah digubah dan ditulis oleh John Jeeves dan Shazriq Azeman, adalah sebuah lagu yang sarat dengan mesej kebangkitan dan kekuatan.

Lagu ini menggambarkan perjalanan hidup Ora Fiza yang penuh cabaran, tetapi tetap teguh dalam mengejar impian.

“Saya sangat gembira akhirnya dapat menghadiahkan ‘Bangunlah’ kepada peminat-peminat saya serta orang-orang penting yang sangat teguh menyokong kerjaya seni saya.

“Lagu ini mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana ia adalah refleksi kepada perjalanan hidup saya yang penuh dengan jatuh bangun.

“Saya harap ia memberi inspirasi semua pendengar untuk terus maju dan mencapai potensi sebenar mereka,” katanya.

‘Bangunlah’ adalah hasil kolaborasi pertama Ora Fiza dengan syarikat rakaman Super Red Records, menjadi tanda permulaan baharu dalam perjalanan seninya.

Ora Fiza berkata, peluang merakamkan lagu ini diterimanya apabila dia menemani adiknya, One Juicy, yang juga artis Super Red Records, ketika menandatangani kontrak dengan label berkenaan.

Pihak label tidak mengambil masa lama untuk mengiktiraf keistimewaan Ora Fiza dan seterusnya menawarkan kontrak kepadanya.

Kini, kedua-dua adik-beradik ini sama-sama berada di bawah naungan Super Red Records, memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air.

Sementara itu, Pengasas Bersama Super Red Records Richard Chua berkata, bakat dan dedikasi Ora Fiza memang tidak boleh disangkal.

“Kami sangat teruja untuk melihat bagaimana beliau terus berkembang sebagai seorang artis. ‘Bangunlah’ adalah bukti keteguhan dan kreativiti beliau, dan kami yakin ia akan menyentuh hati pendengar,” katanya.

‘Bangunlah’ sudah tersedia untuk penstriman dan muat turun di semua platform muzik digital utama, termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music di pautan https://bfan.link/bangunlah dan video muziknya boleh ditonton di pautan https://youtu.be/tHC2L0F651k.

Adam Matiin teruskan perjuangan seni menerusi ‘Detak Cinta’

editormaxinfo@gmail.com

Foto: Papadin

CYBERJAYA – Sedar tidak mudah meneruskan perjuangan dalam bidang seni suara berikutan kemunculan ramai pendatang baharu, Adam Matiin tidak gentar dengan semua itu.

Bagi pemilik nama sebenar Muhd Alif Adam Abu Bakar, 26, dia tampil dengan single kedua berjudul Detak Cinta sebagai taruhan dalam meneruskan perjuangan seninya.

Adam berkata, tidak pernah terfikir soal saingan atau populariti apa yang diharapkan dia terus kekal relevan dalam industri seni sampai bila-bila.

“Saya tahu tidak mudah untuk pendatang baharu seperti saya, semuanya bergantung pada nasib. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dikenali ada juga yang baru sahaja muncul sudah menjadi kegilaan ramai.

“Sebagai pencinta seni saya akan berusaha untuk menghasilkan lebih banyak karya selepas ini di samping akan terus berkomunikasi dengan peminat dan masyarakat menerusi semua sosial media yang saya ada.

“Tidak dinafikan ramai peminat suka apabila saya ‘live’ dan berkongsi serta menyanyi lagu bersama mereka,” katanya yang baru sahaja selesai mengadakan ‘showcase’ di Kedah, baru-baru ini.

Selain aktif menyanyi, Adam juga kini sedang bertugas sebagai guru vokal di salah sebuah institusi muzik di Singapura.

Katanya, selepas tamat kontrak mengajar di sana dia akan mula fokus terhadap nyanyian di tanah air.

Mengulas tentang lagu Detak Cinta yang bakal dilancarkan hujung bulan ini, ia adalah single kedua hasil ciptaan sepenuhnya Adam sendiri.

Mempertaruhkan konsep blues lagu ini diedarkan oleh Asia Empire Records Malaysia.

Selain genre blues, Adam juga meminati balada dan jazz yang mengetengahkan kisah cinta yang dirasakan lebih dekat dengan masyarakat.

Lebih membuatkan Adam teruja, single Detak Cinta juga bakal dilancarkan di Singapura dan Indonesia.

“Alhamdulillah saya gembira dan teruja dengan kehadiran single kedua ini. Apatah lagi lagu ini berpeluang diperdengarkan kepada peminat di Singapura dan Indonesia.

“Disebabkan sedar saingan pendatang baru di Malaysia, saya berharap peluang ke Indonesia dan Singapura memberi lebih ruang saya melebarkan kerjaya seni.

“Semoga lagu ini mendapat tempat dihati penonton semua untuk saya menghasilkan lebih banyak lagu lagi pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

PruBSN lancar pelan takaful PruBSN AnugerahMax serendah RM50 sebulan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – PruBSN melancarkan PruBSN AnugerahMax, sebuah pelan takaful baharu yang komprehensif, dengan perlindungan menyeluruh.

Bermula serendah RM50 setiap bulan, ia dilancarkan selepas kejayaan produk PruBSN Anugerah dan PruBSN AnugerahPlus sebelum ini bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, pelan ini boleh diubah suai dengan 18 jenis rider pilihan yang menawarkan perlindungan penyakit kritikal dan perubatan yang lengkap, perlindungan kemalangan, peluang pelaburan serta pilihan kebajikan.

Beliau berkata, ia memandangkan lebih 700 kanak-kanak di Malaysia di bawah 15 tahun dikenal pasti menghidap kanser setiap tahun, sementara 70 peratus golongan muda di Malaysia antara umur 15 hingga 24 tahun mempunyai sekurang-kurangnya satu risiko penyakit kardiovaskular.

Jelas Wan Saifulrizal, memiliki pelan insurans yang komprehensif boleh dianggap sebagai satu keperluan pada masa ini berikutan peningkatan kadar penyakit kronik di kalangan belia serta kenaikan kos rawatan perubatan.

“Penyakit-penyakit kronik boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia. Statistik ini amat membimbangkan, disusuli dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan peribadi yang dijangka akan berganda menjelang tahun 2028,” katanya.

Sehubungan ini, Wan Saifulrizal percaya, setiap individu berhak mendapatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik serta jaminan kewangan yang diperlukan untuk menampung kenaikan perbelanjaan dan kos perubatan.

“Matlamat dan tanggungjawab ini sangat dekat di hati saya sendiri sebagai ibu bapa yang mahukan terbaik untuk masa depan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita semestinya inginkan yang terbaik untuk anak-anak khususnya dalam memastikan mereka mendapat perlindungan serta jaminan masa depan yang lebih baik,” katanya lagi.

Menariknya, PruBSN AnugerahMax menawarkan pelan tambahan rider Medic TotalCare yang memberikan perlindungan menyeluruh kemasukan ke hospital, rawatan kanser yang moden, serta keperluan penjagaan kesihatan mental.

Manakala penambahan rider Crisis TotalCare pula melanjutkan perlindungan kepada 166 penyakit kritikal, dari peringkat awal hingga akhir, termasuk beberapa kondisi kesihatan mental.

Pelan ini memberikan perlindungan menyeluruh termasuk penjagaan perubatan, penyakit kritikal, serta perlindungan kemalangan yang patuh Syariah.

Ciri pelanjutan-auto pula akan memastikan perlindungan berterusan, dengan melanjutkan perlindungan secara automatik sehingga umur 100 tahun, tanpa perlu melalui proses pengunderaitan yang baru yang membolehkan ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan perlindungan untuk anak-anak mereka akan berterusan seiring peningkatan usia.

Selain perlindungan perubatan dan kewangan, pelan ini juga memberikan bonus ganjaran untuk anak-anak berumur setahun hingga 18 tahun yang menyertai pelan ini dengan bonus tunai bagi pencapaian akademik yang cemerlang, bermula dari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat Sarjana dan PhD melalui EduAchieve Bonus.

Ini bukan sahaja menggalakkan kecemerlangan akademik, tetapi juga menyediakan ganjaran tunai yang boleh dilaburkan semula untuk keperluan Pendidikan dan masa depan.

Untuk rekod, bagi keseluruhan siri produk PruBSN, lebih 400 individu telah mendapat perlindungan berjumlah RM 15 juta dengan jumlah tuntutan yang telah dibayar kira-kira hampir RM 1 bilion. 

HONOR acah pengguna iPhone untuk mencuba telefon boleh lipat, nama Samsung turut disebut

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia telah memuatnaik dua video di laman Facebook rasminya mengetengahkan HONOR Magic V3 yang amat nipis, mempunyai ketahanan luar biasa, didatangi ciri-ciri AI generasi baharu serta keupayaan multitugas yang berkuasa. 

HONOR Magic V3 mampu bersaing dan melangkaui prestasi Samsung dan Apple dengan ketebalan hanya 4.35mm semasa dibuka dan 9.2mm apabila dilipat.

Dengan berat hanya 226g, peranti boleh lipat ini berjaya mengatasi kebanyakan telefon flagship bar dengan reka bentuknya yang nipis dan ringan. Ini sekaligus memberikan keyakinan kepada HONOR untuk bersaing secara setara dengan kedua-dua gergasi teknologi berkenaan.

Video pertama yang dikeluarkan hari ini menunjukkan seorang pengguna HONOR Magic V3 meyakinkan rakannya yang sedang beratur untuk membeli iPhone terkini untuk bertukar kepada telefon boleh lipat.

Dia menjelaskan kelebihan skrin besar HONOR Magic V3 yang berfungsi seperti komputer riba mini, membolehkan fungsi multitugas menjadi lebih cekap dengan ciri skrin pisah. 

Seorang lagi pengguna iPhone turut tertarik dengan ciri-ciri menarik pada HONOR Magic V3, terutamanya setelah rakannya memberitahu tentang kapasiti ultra besar bateri telefon ini yang mampu bertahan lama dan sangat sesuai untuk bermain permainan mudah alih.

HONOR Magic V3 didatangi dengan Bateri Karbon Silikon Generasi Ketiga 5,150mAh yang besar, disokong oleh pengecasan berwayar 66W dan tanpa wayar 50W HONOR SuperCharge.

Dalam adegan berikutnya, seorang pelancong menggunakan ciri penterjemahan Face to Face Translation pada HONOR Magic V3 dalam Bahasa Sepanyol untuk bertanyakan arah ke medan selera, seterusnya menarik minat seorang lagi pengguna iPhone. Ciri penterjemahan masa sebenar ini antara keupayaan AI yang terdapat pada HONOR Magic V3, termasuk AI Eraser dan HONOR Notes, semuanya dikuasakan oleh Google Cloud. 

Video kedua pula menuruti garis masa daripada tahun 2021 ke 2024 mengetengahkan dua rakan, seorang pengguna iPhone dan seorang lagi pengguna Samsung Z Fold saling membandingkan peranti mereka. Walaupun pengguna iPhone mengagumi skrin besar Z Fold, ketebalan peranti tersebut belum mampu meyakinkannya untuk menukar peranti berbanding telefon miliknya.

Pada 2024, pengguna iPhone tersebut akhirnya menaik taraf kepada HONOR Magic V3 dan dengan bangga menunjukkan rekaan nipis peranti boleh lipat itu kepada rakannya yang memiliki Z Fold terbaharu. Video ini berakhir apabila HONOR Magic V3 itu tergelincir dan jatuh ke atas lantai, diikuti sebuah gelas yang dipenuhi air tertumpah ke atasnya. Ini menunjukkan kehebatan ketahanan dan kalis air HONOR Magic V3.

Diperkuatkan dengan skrin HONOR Super Armored Inner Screen dan Perlindungan NanoCrystal Anti-calar HONOR, HONOR Magic V3 dibina agar tahan daripada penggunaan harian yang lasak. Ketahanannya pula dihebatkan dengan penarafan kalis air IPX8.

Bahagian penutup belakang HONOR Magic V3 menggabungkan Gentian Khas yang mengurangkan ketebalan sehingga 30 peratus dan diperbuat daripada bahan gred aeroangkasa untuk ketahanan tambahan.

Dalam pada itu, peranti boleh lipat ini menampilkan engsel HONOR Super Steel proprietari yang boleh menahan sehingga 500,000 lipatan dan telah diiktiraf dengan pensijilan SGS Durability Certification, menjadikannya lebih tahan lasak dan pilihan yang dipercayai kepada pengguna.

HONOR Magic V3 didatangkan dengan RAM 12GB dan memori 512GB. Telefon boleh lipat ini tersedia dalam tiga warna menarik iaitu Mossy Green, Silk Brown dan Classic Black

Siasatan mengenai sijil halal tak wajar – Teresa Kok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mempertahankan kenyataannya berhubung isu pensijilan halal untuk premis makanan dan menegaskan perkara itu disalah tafsir.

“Jika seseorang membaca dan menganalisis kenyataan saya secara menyeluruh dan dalam semua konteks, ia menjadi jelas dan tidak samar.

“Kenyataan terbabit tidak mengandungi konotasi atau rujukan kepada 3R (agama, bangsa, raja) atau apa-apa yang berkaitan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Teresa berkata, tugasnya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat dan menangani isu yang dihadapi oleh mereka di peringkat akar umbi.

“Adalah malang dan membingungkan bahawa pihak berkuasa mengklasifikasikan kenyataan saya sebagai berpotensi melanggar undang-undang.

“Membuka siasatan berdasarkan klasifikasi ini adalah tidak perlu dan tidak wajar, kerana tiada jenayah dilakukan,” katanya.

Baru-baru ini, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.

Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Norza menang tanpa bertanding jawatan Naib Presiden OCA

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara hari ini.

MOM dalam kenyataan memaklumkan Mohamad Norza memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2028 pada Perhimpunan Agung OCA ke-44 di New Delhi, India.

“Bagi pihak seluruh keluarga MOM, kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Norza atas pemilihan sebagai Naib Presiden OCA.

“Ia membuktikan sifat kepimpinan dan dedikasi tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan Pergerakan Olimpik bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh benua Asia,” kata Timbalan Presiden MOM Tan Sri Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan.

Sementara itu, OCA dalam kenyataan berasingan mengumumkan Raja Randhir Singh dari India, Olimpian lima kali, dipilih tanpa bertanding sebagai Presiden OCA baharu.

“Jawatan Presiden, lima Naib Presiden bagi lima zon dan ahli Lembaga Eksekutif kesemuanya tiada saingan.

“Pengundian elektronik melalui tablet memerlukan majoriti mudah 50 peratus ditambah satu daripada 45 Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan. Raja Randhir menerima 44 daripada 45 undi, dengan satu undi berkecuali,” menurut kenyataan itu.

Senarai pemegang jawatan OCA bagi penggal 2024-2028:

Presiden: Raja Randhir Singh (India)

Naib Presiden:

Asia Timur: Timothy Fok (Hong Kong)

Asia Tenggara: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Malaysia)

Asia Selatan: Putera Jigyel Ugyen Wangchuck (Bhutan)

Asia Barat: Dr Thani Al-Kuwari (Qatar)

Asia Tengah: Otabek Umarov (Uzbekistan)

Ahli Lembaga Eksekutif:

Asia Timur: Mikako Kotani (Jepun)

Asia Tenggara: Prof Dr Supitr Samahito (Thailand)

Asia Tengah: Olga Rybakova (Kazakhstan)

Asia Barat: Noora Al Jasmi (Emiriah Arab Bersatu)

Asia Selatan: tiada calon

-Bernama

Membangunkan PKS yang Berdaya Saing: Strategi Terbaik dalam Mengemudi Kegawatan Ekonomi

Artikel ini dirangka oleh: Pengasas Richworks International Sdn. Bhd, Datuk Wira Dr. Azizan Osman

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Di rantau ASEAN, yang juga salah satu kawasan yang paling pesat berkembang dalam ekonomi global, PKS menyumbang lebih daripada 97 % daripada jumlah keseluruhan perniagaan.

Di Singapura dan Malaysia, khususnya, PKS menyumbang antara 40 hingga 50 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masing-masing.

Namun begitu, perniagaan-perniagaan ini menghadapi pelbagai cabaran, termasuk kekurangan tenaga kerja mahir, terhadnya pilihan pembiayaan serta sokongan kerajaan, gangguan daripada platform digital, dan yang terkini, inflasi yang berpunca daripada kemelesetan ekonomi global yang berterusan.

Di tengah-tengah cabaran ekonomi dan pentadbiran yang dihadapi, apakah langkah yang boleh diambil oleh PKS untuk melindungi dan memperkukuhkan kedudukan mereka?

Jawapannya terletak pada membangunkan penjenamaan yang kukuh. Apabila kita menyebut tentang penjenamaan, ia bermaksud menjadi nama pertama yang terlintas di fikiran orang ramai apabila mereka memikirkan tentang sesuatu produk atau perkhidmatan.

Lebih daripada sekadar logo atau nama yang menarik, ia adalah tentang mencipta impak yang berkekalan yang membezakan sesebuah perniagaan daripada pesaing dalam kesibukan pasaran.

Untuk mencapai kejayaan, PKS perlu menjadikan jenama mereka cukup “lantang” agar pelanggan mudah mengingatinya apabila mereka mempunyai sebarang keperluan.

Sebagai contoh, apakah jenama pertama yang terlintas di fikiran apabila anda diminta menyenaraikan jenama yang bermula dengan huruf ‘C’? Pasti ada beberapa jenama yang terlintas dalam minda –  inilah bukti penjenamaan yang kukuh.

Jadi, bagaimana sesebuah jenama boleh mencapai matlamat ini? Berikut adalah cara untuk anda memulakannya.

Pelanggan dan Komuniti Anda

Jenama yang  dilihat sebagai mesra dan peka terhadap keperluan pelanggan lebih berpotensi untuk mendapatkan kepercayaan dan lebih cenderung disyorkan oleh pelanggannya.

Justeru, menjaga hubungan yang baik dengan pelanggan adalah sangat penting untuk memastikan kejayaan berpanjangan.

Ia bukan hanya tentang menawarkan produk atau perkhidmatan yang berkualiti; ia juga memerlukan usaha untuk menjalin hubungan yang tulus dengan pelanggan anda.

Libatkan diri dengan komuniti melalui saluran media sosial, acara komuniti, sesi webinar, atau tajaan tempatan.

Selain itu, pertimbangkan untuk melancarkan program yang mendorong maklum balas dan penglibatan pelanggan, seperti program kesetiaan atau kempen untuk kandungan yang dihasilkan oleh pengguna.

Strategi Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM)

Untuk mencapai matlamat ini, strategi Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM) yang efektif adalah kunci kejayaan.

Sistem CRM yang diurus dengan baik membolehkan anda menawarkan pengalaman yang diperibadikan, meningkatkan kepuasan, pengekalan, dan kesetiaan pelanggan.

Ini semua berperanan dalam menyokong pertumbuhan yang mampan dan berterusan. Gunakan alat CRM untuk memantau interaksi pelanggan, membahagikan pelanggan untuk pemasaran yang lebih tepat, serta mengautomasikan tugas-tugas yang berulang.

Komunikasi dan Perancangan

Perniagaan yang berjaya sering kali berasaskan daripada kepimpinan yang kukuh, dan asas utama untuk mencapai kepimpinan tersebut adalah melalui pembangunan tiga aspek utama: Perwatakan, Pembangunan Kapasiti, dan Kemahiran Komunikasi.

Apabila anda memimpin dengan perwatakan, anda memimpin dengan integriti, daya tahan dan empati, ciri teras yang menjadi contoh kepada pasukan anda.

Selain itu, membina kapasiti melibatkan usaha untuk menggalakkan pertumbuhan melalui pembelajaran berterusan dan keupayaan untuk menyesuaikan diri.

Jangan lupa bahawa komunikasi yang berkesan adalah kunci kejayaan! Bersikap jelas, jujur, dan terbuka mampu membina suasana kerja yang positif dan memperkukuh hubungan bersama pelanggan.

Dengan memberi perhatian kepada aspek-aspek ini, anda bukan sahaja memimpin pasukan tetapi juga menghasilkan ruang untuk menginspirasikan mereka bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Ingatlah bahawa masa depan bukanlah sesuatu yang hanya akan tiba esok — ia bermula hari ini. Keputusan dan strategi hari ini meletakkan asas untuk kejayaan anda pada masa hadapan.

Justeru itu, perancangan jangka panjang adalah penting. Misalnya, mulakan langkah anda dengan menganalisis trend terkini, tingkah laku pelanggan, dan perubahan pasaran untuk memahami keperluan yang akan datang. Bentuk visi jangka panjang dan pelan strategik yang merangkumi peluang pertumbuhan, inovasi, dan keupayaan untuk menyesuaikan diri.

Gunakan teknologi seperti AI dan automasi untuk kekal berdaya saing dan cekap. Ingatlah bahawa perniagaan yang mengambil langkah awal untuk merancang masa depan adalah perniagaan yang akan membentuk kejayaannya kelak. 

Kewangan, Kewangan, Kewangan

Walaupun ini mungkin kedengaran jelas, aliran tunai yang stabil adalah nadi utama perniagaan. Kewangan menyediakan dana untuk perbelanjaan harian, pelaburan dalam peluang pertumbuhan, dan menghadapi cabaran yang tidak dijangka.

Kemampuan untuk mengurus kewangan dengan baik boleh menjadi faktor penentu antara kejayaan yang kukuh atau sebaliknya, maka penguasaan dalam pengurusan kewangan adalah faktor yang penting. 

Gunakan pengetahuan tersebut untuk merancang strategi kewangan yang melibatkan pelbagaian sumber pendapatan, pengurangan perbelanjaan yang tidak produktif, serta persediaan untuk keperluan kewangan jangka pendek dan panjang.

Sehubungan dengan itu, sekadar bergantung  pada satu aliran pendapatan adalah berisiko terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu seperti kini.

Oleh itu, PKS harus mempertimbangkan untuk melabur dalam pelbagai saluran pendapatan. Ini termasuk mempelbagaikan rangkaian produk serta platform dan kaedah penjualannya.

Sama ada melalui jualan fizikal, pesanan dalam talian melalui laman web, atau platform seperti TikTok, Shopee, Lazada, atau Instagram, setiap saluran menawarkan peluang unik untuk menjangkau segmen pelanggan yang berbeza.

Menembusi pelbagai jenis saluran adalah penting untuk memastikan perniagaan anda menarik perhatian khalayak ramai.

Seperti yang kita ketahui, ketidaktentuan ekonomi membawa ancaman dan peluang kepada PKS di luar sana.

Walau bagaimanapun, melalui penggunaan strategi yang kukuh dan berkesan, PKS mampu berkembang maju dan mencapai kejayaan dalam perniagaan mereka.

Tampil berani dengan single pertama, Mawar Rashid pertaruh ‘Terdiam’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih dikenali sebagai seorang pelakon sebelum ini, artis jelita Mawar Rashid mengambil langkah berani untuk mengembangkan bakatnya ke bidang nyanyian pula.

Muncul dengan sebuah karya berjudul Terdiam, lagu ini adalah buah tangan sulungnya dalam arena muzik tempatan.

Lagu ini mencerminkan rasa introspeksi yang mendalam dan perjuangan dengan kekurangan peribadi serta kesakitan emosi.

Liriknya menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempertanyakan sama ada ini hanya satu fasa kehidupan.

Dalam karya ini juga, Mawar merenung kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran.

Dia mengakui kekurangan dirinya dan berusaha untuk sembuh serta tersenyum lagi, walaupun dia merasa letih dan mungkin memerlukan lebih daripada sekadar rehat.

Secara keseluruhannya, lagu ini adalah tentang usaha untuk mencari ketenangan dan kegembiraan di tengah-tengah dilema peribadi.

Dicipta dan ditulis oleh Amir Hasan dan Madebyartin, Mawar mengatakan bahawa dirinya berpuas hati dengan hasil kerja mereka.

“Saya sudah mengenali Amir dari zaman kolej lagi jadi saya tahu dia mampu berikan apa yang saya mahu selepas saya jelaskan segalanya.

“Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan amir bersama-sama Madebyartin berjaya menghasilkan apa yang saya mahu,” kata Mawar membuka bicara.

Lagu ini turut menampilkan sebuah klip video arahan pelakon popular Janna Nick.

“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya mahu.

“Saya juga ingin berkongsi, sewaktu penggambaran video muzik lagu ini, saya termuntah di hujung rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam video.

“Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” kata Mawar tentang video muzik lagu Terdiam.

Sudahpun dilancarkan, ‘Terdiam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Astro kembali dengan program nyanyian realiti kegemaran ramai, ‘The Chosen One 2024’, tampil duo yang lebih hebat

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menggegarkan industri nyanyian sehingga menjadi program realiti baharu nombor satu di Malaysia pada tahun 2023 pada musim pertamanya, Astro kini kembali memperkenalkan bakat-bakat generasi baharu dalam ‘The Chosen One 2024’ yang akan bermula pada 20 September ini, setiap hari Jumaat, jam 9 Malam di Astro Ceria (saluran 611).

Program ini turut akan bersiaran secara serentak di Astro Ria (saluran104). 

Kejayaan musim pertamanya telah mencipta fenomena setelah menjangkau lebih dari 3.5 juta penonton di televisyen.

Amir Sisi, seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dari perkampungan orang asli di Gerik, Perak, telah dinobatkan juara musim lepas dan menjadi tular dengan lebih 235 juta tontonan di TikTok.

Vokal hebatnya mendapat pujian termasuk daripada Timbalan Menteri Pendidikan di Parlimen Malaysia. K

ini, Amir adalah bakat eksklusif Rocketfuel dan telah melancarkan single pertamanya berjudul Ayah Ibu.

Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, selepas mendapat sambutan yang menggalakkan pada musim pertama, Astro kini kembali dengan musim kedua yang lebih berprestij, hebat dan kompetitif daripada sebelumnya.

“Kami sedar bahawa terdapat ramai kanak-kanak yang berbakat dalam nyanyian. Lantas, kami cipta pentas ini untuk mereka bersinar.

“Juara musim pertama, Amir Sisi membuktikan bahawa mempunyai latar belakang yang berbeza tidak boleh menghalang sesiapa pun daripada mencapai impian mereka untuk bersinar di atas pentas, dan kami berharap mesej ini dapat disampaikan kepada seluruh Malaysia melalui program nyanyian ini, tidak kira muda atau pun tua. 

“Kami berharap penonton terpukau dengan persembahan mereka bersama dengan selebriti-selebriti popular ini. Bukan mudah untuk melihat gabungan antara mereka, dan kami percaya peserta-peserta ini akan terus cemerlang dalam industri ini dengan bimbingan selebriti-selebriti atau pun coach masing-masing.

“Akhir kata, kami berharap musim terbaharu ini akan sekali lagi memperkenalkan bakat generasi baharu yang mampu menawan hiburan Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Sejajar dengan matlamat Astro, program ini bertujuan untuk memperkenalkan bakat-bakat generasi baharu yang mampu melonjakkan industri hiburan Malaysia.

Mengekalkan format lalu, musim kedua turut menggandingkan kanak-kanak yang berbakat dalam nyanyian dengan penyanyi-penyanyi popular tanah air yang menggalas tugas sebagai coach mereka. 

Seramai 16 peserta berumur daripada 11 tahun hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia dipilih daripada uji bakat untuk berentap dalam ‘The Chosen One 2024’, termasuk juara pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan, bakat yang pernah tular di media sosial, serta wajah-wajah baharu yang tidak mempunyai pengalaman bertanding dalam mana-mana pertandingan sebelum ini.

Lapan daripada mereka yang berjaya menarik perhatian coach selebriti ini akan dipilih sebagai pasangan dengan selebriti berkenaan.

Kelapan-lapan duo ini akan bersaing di pentas utama program untuk merebut gelaran sebagai juara.

Musim kedua ini mengekalkan figura legenda rock Malaysia, Dato’ Awie sebagai juri tetap, bersama dengan penyanyi bersuara ‘emas’ yang telah menggenggam banyak anugerah, Jaclyn Victor.

Setiap episod turut diterajui oleh gandingan hos baharu, pelawak dan pelakon popular, Jihan Muse sebagai pengacara program, serta personaliti radio ERA, Haziq Hussni. 

Program ini turut membariskan penyanyi-penyanyi ternama Malaysia sebagai coach dan pasangan setiap peserta termasuk Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita dan kembar berbakat Firdaus Rahmat & Fahimi Rahmat.