30.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 9, 2025

Desaru Monsun Regatta 2024 kembali gegar Desaru

editormaxinfo@gmail.com

DESARU – Desaru Monsun Regatta 2024 akan kembali menggegarkan Desaru dengan acara sukan layar yang paling dinanti-nantikan.

Berlangsung selama tiga hari dari 8 hingga 10 November ini di Kompleks Rakan Muda, Sukan Air dan Udara, Desaru, Bandar Penawar, acara ini bakal menghimpunkan ramai pelayar dari seluruh dunia untuk bertanding dalam suasana yang penuh cabaran di perairan Johor.

Program ini adalah usaha anjuran bersama Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Penawar, dipimpin oleh ADUN Penawar, Fauziah Misri, Persatuan Pelayaran Johor, dan disokong penuh oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor.

Desaru Monsun Regatta bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan sukan pelayaran, tetapi juga untuk menyemarakkan pelancongan sukan dan menarik lebih ramai pengunjung ke Desaru.

Acara ini diharapkan dapat meningkatkan profil Johor sebagai destinasi sukan antarabangsa.

Dengan sokongan penuh daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Desaru Monsun Regatta 2024 dijangka akan menjadi acara yang lebih besar dan lebih meriah berbanding edisi sebelumnya, dengan lebih 200 peserta dari 14 negeri dan penyertaan antarabangsa.

Seramai 70 peserta katagori perahu layar optimist bawah 15 tahun dari seluruh negeri akan mengambil bahagian dalam Regatta itu nanti.

Penyertaan Antarabangsa dalam kategori perahu layer ILCA4 bawah 17 tahun akan dipertandingkan oleh 5 peserta Indonesia dan 20 peserta dari Singapura.

Pengunjung akan berpeluang menyaksikan perlumbaan sukan air yang mendebarkan, menyertai pelbagai aktiviti riadah, serta menikmati makanan tempatan yang disediakan di tapak acara.

Selain daripada acara sukan, pelbagai gerai jualan dan aktiviti hiburan juga akan disediakan bagi memeriahkan suasana festival ini.

“Kami menjemput semua pihak untuk hadir dan menyertai kemeriahan Desaru Monsun Regatta 2024 ini.

“Ini adalah peluang yang fantastik untuk merasai kehebatan sukan pelayaran dan keindahan Desaru. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bakat dan ketangkasan pelayar yang akan beraksi di perairan yang menakjubkan ini,” kata Fauziah.

Acara ini menjanjikan satu perayaan sukan, komuniti, dan budaya, yang akan mempamerkan yang terbaik daripada apa yang Desaru tawarkan.

Dengan pantai yang indah dan budaya tempatan yang meriah, Desaru adalah latar belakang yang sempurna untuk regatta yang berprestij ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular