editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, penyanyi Tomok dan Siti Nordiana bakal berkongsi pentas menerusi konsert Memori Mungkin Berulang yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Februari tahun depan.
Mereka akan menyanyikan lagu-lagu popular mereka sepanjang lebih 20 tahun dalam indusri muzik tanah air.
Tomok yang juga penganjur konsert di bawah syarikatnya POPSICLE RECORDS amat berbesar hati kerana ini kali pertama bergabung dengan Siti Nordiana untuk mengimbau memori lama mereka yang memulakan karier nyanyian sejak di bangku sekolah.
“Pelbagai kejutan akan dipersembahkan sepanjang konsert ini berlangsung terutama lagu-lagu hits kami akan dinyanyikan sama ada saya mahupun Nana.
“Sepanjang kami bergelar penyanyi ini kali pertama kami berkolobarasi demi untuk penyokong dan peminat.
“Konsert ini juga akan kami mengimbau kenangan lagu Nana duet bersama dengan Allahyarham Achik Spin yang akan dinyanyikan oleh saya. Saya yakin lagu-lagu hits seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih akan ditunggu-tunggu oleh semua peminat.
“Harga tiket ditawarkan juga amat berpatutan dan saya yakin peminat kami berdua mampu memilikinya dan menyokong konsert kami ini. Kami akan berikan persembahan terbaik dan tidak merugikan wang anda,” katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana bersetuju untuk menjadi rakan konsert Tomok selepas menerima pelawaan daripada Tomok yang berhajat untuk menganjurkan konsert bersama dengan dirinya.
Ia adalah satu peluang yang tidak wajar disia-siakan kerana ini antara hadiah terbaik buat peminatnya yang terus menyokong karier mereka dari sejak awal 2000 hingga sekarang.
“Memilih lagu duet kami iaitu Memori Mungkin Berulang sebagai teraju utama konsert ini adalah amat sinonim dengan saya dan juga Tomok.
“Dulu saya amat dikenali dengan Achik kerana kerap tampil dengan lagu-lagu duet yang menaikkan nama kami berdua.
“Saya juga tidak menyangka lagu duet dengan Tomok diterima ramai dan sekali lagi mencetus satu fenomena baru untuk industri muzik masa kini yang dikelilingi generasi Z.
“Apa-apa pun saya bersyukur kerana lagu Memori Mungkin Berulang diterima di luar jangka terutama kepada anak-anak muda,” katanya.
Tiket Konsert Memori Mungkin Berulang dijual pada harga RM98, RM198, RM298, RM398, RM498 dan VIP BOX RM5000. Tiket boleh dibeli menerusi Ticket2u.