NEW DELHI – Seorang pramugari ditahan berikutan dakwaan menyeludup hampir satu kilogram emas dari Muscat, Oman ke Kannur, bandar di barat daya India, dengan menyembunyikannya di dalam dubur.
Sumber Direktorat Perisikan Hasil (DRI) berkata, taktik wanita itu terbongkar selepas risikan khusus dilakukan pasukan DRI Cochin.
Katanya, wanita dikenali sebagai Surabhi Khatun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur sebaik tiba dari Muscat pada 28 Mei lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 960 gram (g) emas cuba diseludup dalam bentuk kompaun, disorokkan dalam duburnya.
“Selepas disoal siasat dan melengkapkan proses lain diperlukan, wanita itu dibawa ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di penjara wanita di Kannur,” kata sumber berkenaan kepada media.
Menurut sumber itu lagi, kejadian berkenaan adalah kes pertama penyeludupan emas dengan cara itu yang membabitkan kru kabin syarikat penerbangan.
“Siasatan terperinci telah bermula dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan suspek pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ini.
“Kita juga sedang menyiasat pembabitan kumpulan penyeludupan yang berpangkalan di Kerala yang berkemungkinan terkait aktiviti itu,” katanya.
Sementara itu, wakil syarikat penerbangan tidak memberikan sebarang reaksi dan maklum balas mengenai kejadian ini.
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penulis lagu berbakat asal Singapura, Rico Setiabudi, bersiap untuk menggoda telinga pendengar dengan single terbarunya, Wow! Barang Baik.
Lagu ini adalah karya ketiga yang dikeluarkan oleh Rico Setiabudi di bawah syarikat rakaman terkemuka, Luncai Emas.
Wow! Barang Baik bukan sekadar lagu biasa, melainkan sebuah kisah yang menghidangkan cerita tentang pencarian cinta sejati.
Dalam liriknya, Rico mengajak pendengar untuk merenung tentang kebenaran bahwa cinta sejati tidak selalu dapat ditemukan melalui penglihatan semata.
Sebaliknya, ia menggambarkan betapa pentingnya untuk melihat dengan mata hati yang tulus untuk menemukan cinta yang hakiki.
Walaupun cinta itu begitu jelas, namun sayangnya, kebanyakan manusia tidak mampu melihatnya.
Tidak hanya sekadar menyampaikan pesan, lagu ini juga berfungsi sebagai panduan praktis bagi pendengar untuk memahami bagaimana mencapai cinta sejati.
Dengan irama yang santai dan lirik yang tepat dan mudah dihadam, Wow! Barang Baik diharapkan dapat memberikan semangat dan keceriaan kepada pendengar, serta meninggalkan kesan positif yang mendalam.
Untuk lagu ini beliau bekerjasama dengan rakan-rakan seperjuangan iaitu Rayhul Firdaus sebagai penulis lirik dan penggubah bersama, dan Rifaah Ridzwanulhakim sebagai produser dan Rici Bell sebagai pereka grafik.
Mereka juga adalah darah daging yang sentiasa bersama beliau dalam perjalanan seninya dari awal hinggalah sekarang.
Wow! Barang Baik sudah pun dilancarkan sejak 1 Mei lalu dan diharapkan akan menjadi angin segar bagi industri muzik dengan pesan yang dibawanya.
Jangan lewatkan kesempatan untuk merasakan aura positif dari karya terbaru Rico Setiabudi yang menakjubkan ini.
KUALA LUMPUR – Susulan pelancaran rasmi Siri HONOR 200 bulan lalu, peminat di Malaysia sudah tidak sabar untuk melihat dan memiliki peranti terbaharu ini yang menawarkan ciri-ciri bertaraf flagship dalam peranti kelas pertengahan.
Atas permintaan yang tinggi daripada peminat, buat pertama kali HONOR membawakan versi Pro Siri HONOR 200 ke Malaysia.
Telefon Pintar Kelas Pertengahan Premium dengan Prestasi Taraf Flagship
HONOR 200 Pro adalah telefon pintar kelas pertengahan premium perintis yang menawarkan keupayaan fotografi potret serta ciri-ciri bertaraf flagship yang ada pada HONOR Magic6 Pro, peranti premium yang terkini. Berikut antara ciri-ciri bertaraf flagship berkuasa yang ditawarkan HONOR 200 Pro.
Sensor Kamera Utama H9000 berkuasa
HONOR 200 Pro menampilkan kombinasi kamera berkuasa yang berupaya menangkap gambar potret bertaraf studio. Untuk itu, susunan kamera merangkumi kamera 50MP yang dilengkapi dengan Sensor Camera Utama H9000 1/1.3 inci berkuasa yang menawarkan keupayaan pengesanan cahaya dan sokongan HDR yang hebat.
Sensor ini juga digunakan dalam HONOR Magic6 Pro. Selain itu, sensor ini turut didatangkan bersama Dual Optical Image Stabilisation (OIS) dan sistem anti-goyang Electronic Image Stabilisation (EIS), membolehkan pengguna menangkap imej yang jelas dan teliti walaupun dalam keadaan malap dan bergerak pantas seperti menangkap imej seseorang yang sedang berlari atau burung terbang.
HONOR 200 Pro juga dilengkapi Kamera Telefoto 50MP dengan sensor Sony IMX 856 yang direka khas untuk menangkap potret dan objek jauh yang dizum pada jarak dekat dengan ketajaman dan kejelasan yang amat tepat. Pemasangan Sony IMX 856 ini menjadikan Siri HONOR 200 telefon pintar pertama di Malaysia memiliki sensor baharu yang berkuasa ini.
Bateri karbon silikon besar dengan pengecasan pantas wayarles 66W
HONOR 200 Pro menawarkan Bateri Karbon Silikon 5,200mAh, jenis bateri yang sama digunakan dalam siri telefon flagship HONOR Magic. Ini membolehkan HONOR 200 Pro menawarkan prestasi yang boleh dipercayai dan jangka hayat bateri lebih lama dengan penstriman muzik secara berterusan sehingga 61 jam dalam sekali cas.
Mengecas telefon mungkin sesuatu yang melecehkan tetapi HONOR 200 Pro mengintegrasikan teknologi pengecasan pantas berwayar 100W Wired HONOR SuperCharge, membolehkan bateri penuh dalam tempoh hanya 41 minit.
Ia juga menawarkan pengecasan wayarles pantas 66W Wireless HONOR SuperCharge dengan pengecas yang sepadan. HONOR 200 Pro mudah untuk dicas semula dalam masa beberapa minit tanpa perlu risau kehabisan kuasa bateri semasa menstrim video atau bermain aplikasi permainan.
Cipset Qualcomm dan kesambungan 5G berkuasa tinggi
HONOR 200 Pro dikuasakan oleh prosesor mudah alih Qualcomm Snapdragon 8s Gen 3 yang terkini. Mempersembahkan kelajuan jam pantas sehingga ke 3GHz, prosesor ini membolehkan HONOR 200 Pro mengoperasikan permainan dengan grafik yang amat intensif dan memastikan tindak balas masa sebenar yang lancar semasa berinteraksi dengan aplikasi yang banyak menggunakan tenaga dan keupayaan.
Untuk kesambungan lebih lancar, HONOR 200 Pro juga menawarkan cipset HONOR C1 + RF yang dipertingkatkan bagi memastikan kesambungan yang optimum walaupun di kawasan dengan rangkaian lemah selain meningkatkan prestasi rangkaian 5G.
Perisian MagicOS 8.0 terkini untuk pengalaman pengguna lebih intuitif
Pengenalan MagicOS 8.0 kepada peranti siri bernombor HONOR termasuk HONOR 200 Pro membawakan kuasa AI kepada telefon pintar.
Menampilkan AI bertaraf platform dan antaramuka pengguna berdasarkan tujuan (IUI) yang pertama dalam industri, MagicOS 8.0 boleh menterjemah tujuan pengguna serta menawarkan pengalaman yang diperibadikan dan selamat dengan aplikasi pilihan melalui hanya satu leretan pada paparan.
KUALA LUMPUR – Saban hari semakin ramai bintang berbakat yang lahir di tanah air. Malah ramai yang mengambil keputusan untuk menyertai industri seni suara tempatan.
Terbaharu, seorang lagi bintang berbakat besar kelahiran Bumi Kenyalang tampil dengan caranya tersendiri.
Diberi nama Joanne Duke, gadis jelita yang berasal dari kota Kuching, Sarawak ini sebenarnya pernah merakam dan mengeluarkan sebuah lagu berjudul Cinta Tidak Buta tidak berapa lama dahulu.
Kini, Joanne muncul lagi dengan sebuah karya baharu berjudul ‘Tek Tik Kotor’, di bawah naungan syarikat rakaman Sony Music Entertainment.
“Lagu ini sebenarnya ditujukan khas buat jejaka ‘sweet talker’ atau bermulut manis dan suka mempermainkan perasaan wanita.
“Ia juga memberi pesanan kepada gadis-gadis di luar sana untuk menjaga diri dan maruah. Terutama gadis-gadis yang baru mengenali dunia.
“Apatah lagi kalau berkenalan melalui media sosial. Jangan mudah percaya jika lelaki yang baru kita kenali memanggil kita dengan gelaran ‘Sayang’, ‘Baby’ dan sebagainya.
“Ini kerana, dari situ sahaja kita sudah nampak bahawa mereka mungkin akan mempermainkan kita.
“Ambil masa yang secukupnya untuk mengenali seseorang agar hati kita tidak disakiti,” kata Joanne menjelaskan maksud di sebalik lagu terbaharunya itu.
Saat ditanya tentang proses rakaman lagu pula, Joanne menyatakan bahawa ada sedikit kesulitan.
“Agak susah juga untuk mengeluarkan suara yang bernada sedikit mengghairahkan atau ‘sexy’ kerana perwatakan saya yang agak pemalu.
“Saya juga biasanya mengambil masa untuk rasa selesa dengan orang yang baru dikenali. Tapi semuanya berjalan lancar.
“Saya sangat berterima kasih kepada pencipta dan penulis lagu iaitu kumpulan Klangit dan juga produser lagu ini, saudara Koh Kok Boon kerana telah menghasilkan lagu ini dengan baik,” katanya.
Joanne yang masih baru dalam arena muzik tempatan juga berharap lagu ini akan diterima baik oleh semua pihak.
“Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi media sosial seperti TikTok dan juga Instagram,” katanya lagi.
‘Tek Tik Kotor’ kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
KUALA LUMPUR – Layak digelar Ratu Pertandingan Program Realiti, penyanyi Jaclyn Victor, julung kalinya akan mengadakan konsert berskala besar.
Konsert yang dinamakan Jaclyn Victor First Solo Concert ini juga menandakan perjalanan karier pemilik nama sebenar Jaclyn Joshua Thanaraj Victor dalam dunia hiburan yang penuh pancaroba.
Pertama kali dikenali lewat kejuaraan di Malaysian Idol dan lagu Gemilang membuat namanya harum di Nusantara, Jaclyn selepas itu terus mencetak kejayaan demi kejayaan baik dalam penyertaan program realiti termasuk Gegar Vaganza serta untaian lagu dendangannya yang menjadi hit.
Kini, cukup buat peminat hanya menonton di kaca televisyen atau mendengar lagu miliknya di corong radio.
Dipersembahkan oleh Rag Doll Records, dengan hasil kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Productions dengan bangganya membawakan Jaclyn Victor First Solo Concert yang akan berlangsung pada 12 Oktober depan di Zepp Kuala Lumpur.
Bagi Jaclyn sendiri, penganjuran Jaclyn Victor First Solo Concert adalah sebuah penghormatan buatnya selain sebagai signifikan kewujudan beliau sebagai seorang penghibur yang masih relevan.
“Pertama kali membincangkan tentang Jaclyn Victor First Solo Concert bersama Banyak Bagus Entertainment selaku rakan penganjur, jujur saya gemuruh tapi sangat teruja.
“Jaclyn Victor First Solo Concert akan menjadi konsert sulung dan besar untuk saya. Saya percaya tempoh 20 tahun menjadi anak seni dan mengutip ilmu serta pengalaman, sudah masanya saya menghiburkan peminat dalam sebuah konsert sebagai penghargaan terhadap sokongan mereka sehingga nama Jaclyn Victor masih kekal relevan sehingga dua dekad,” katanya.
Jaclyn Victor First Solo Concert akan menyaksikan penyanyi berusia 45 tahun itu mendendangkan sekitar 25 buah lagu dengan kebanyakannya lagu berbahasa Melayu dan lagu saduran yang dibawakan dalam versi beliau.
Karyawan seni ber prolifik, Genervie Kam diberi tangungjawab sebagai Pengarah Muzik Jaclyn Victor First Solo Concert.
Jangan lepaskan peluang menonton Jaclyn Victor First Solo Concert yang julung kali diadakan selepas dua dekad pembabitan Jaclyn Victor dalam industri muzik tempatan.
‘Kunci’ tarikh 12 Oktober 2024 dan hadir beramai-ramai ke Zepp Kuala Lumpur untuk menyaksikan lagu-lagu seperti Ikut Rentakku, Cinta atau di Bawah Pohon Asmara disampaikan dengan susunan muzik yang lebih segar dalam Jaclyn Victor First Solo Concert ini.
Tiket berharga RM 258 (JAGALAH DIRI),RM 328 (CINTA TIADA AKHIRNYA), RM 388 (BERTAMU DI KALBU), RM 438 (IKUT RENTAKKU), RM 488 (GEMILANG), RM 688 (VIP) DAN RM 8888 (VVIP- BOX untuk 10 orang) sudah mula dijual sejak 6 Jun lalu di www.livepass.asia.
KUALA LUMPUR – Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth) menjalinkan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Kontraktor Kelas “F” Bumiputera Malaysia (PERKOBF Malaysia) bagi menyalurkan dana pembiayaan untuk membantu kontraktor kecil menjalankan kerja-kerja yang diperolehi daripada kerajaan, agensi kerajaan, Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga syarikat swasta yang terpilih.
MoU itu telah ditandatangani di antara Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim dan Setiausaha Agung PERKOBF, Junida Hani Jamaluddin, disaksikan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri AhmadMaslan beserta Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Dato’ Andy Kuek Kien Joo dan Presiden PERKOBF Malaysia, Tukiman Radion.
Kien Joo berkata, Planworth telah memperuntukkan sejumlah RM700 juta pada tahun ini dalam usaha untuk terus menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan perniagaan korporat di Malaysia supaya terus berdaya maju dan sekaligus memberi penyelesaian kepada keperluan kemudahan pembiayaan yang amat diperlukan oleh mereka.
“Sehingga ke hari ini kami telah menyalurkan lebih daripada RM2 bilion yang mana secara tidak langsung telah menyokong kepada pertumbuhan ekonomi negara kerana tumpuan kami adalah menyediakan sokongan kewangan kepada kontrak-kontrak yang dikeluarkan oleh Kerajaan, Agensi-agensi Kerajaan, GLC dan juga kepada kontrak-kontrak dari syarikat swasta terpilih.
“Berikutan beberapa kejayaan di kalangan PMKS yang disokong dengan pembiayaan oleh Planworth, kami kini memperuntukkan lebih dana untuk membantu lebih banyak PMKS dengan proses kelulusan yang pantas, keperluan dokumen yang ringkas, polisi yang mesra kredit, serta penyaluran dana yang pantas tanpa perlu cagaran,” katanya pada majlis menandatangani MoU berkenaan, semalam.
Beliau berkata, dengan adanya kerjasama di antara Planworth dan PERKOBF ini, pihaknya dapat membantu menyalurkan dana secara lebih strategik kepada kontraktor kecil bagi membantu mereka untuk menjalankan kerja-kerja atau kontrak yang diperolehi.
“Inisiatif ini adalah sejajar dengan matlamat utama Planworth dalam memperjuangkan perkembangan lanskap perniagaan di Malaysia, disamping meneruskan reputasi Planworth sebagai institusi kewangan pilihan utama PMKS dan syarikat-syarikat pemula yang memerlukan pembiayaan,” katanya.
Planworth adalah sebuah institusi kewangan yang bereputasi dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan ePerolehan untuk membiayai para kontraktor, vendor, penjual, dan pembekal.
Kemudahan Pemfaktoran/Pembiayaan Invois Planworth dikecualikan daripada duti setem bermula daripada 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025, berikutan kelulusan daripada Kementerian Kewangan Malaysia.
PULAU PINANG – Malaysia dan Republik Indonesia melalui agensi-agensi penguatkuasaan negara masing-masing sekali lagi bergabung melaksanakan Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) yang diadakan bermula 4 Jun hingga 13 Jun ini.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang juga Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, operasi bersepadu yang memasuki siri ke 31 ini adalah operasi dwi-tahunan yang diadakan secara kolaboratif dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka yang merupakan laluan utama industri perkapalan dunia.
Katanya lagi, kerjasama serta kefahaman penguatkuasaan undang-undang di antara penguat kuasa dari kedua-dua buah negara amat penting demi memastikan masyarakat Malaysia dan Republik Indonesia sentiasa bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan.
“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan adalah kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka.
“Justeru koordinasi operasi menerusi PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram dan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian PATKOR OPTIMA 31A/2024 secara bersama dengan Direktur Operasi Laut, Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA) merangkap TPOM PATKOR OPTIMA Republik Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Basri Mustari, baru-baru ini.
Mohd Zawawi berkata, PATKOR OPTIMA penting dalam meningkatkan kepercayaan dan keyakinan masyarakat awam terutamanya komuniti maritim serta komuniti perdagangan perkapalan bahawa perairan Selat Melaka sentiasa dalam keadaan selamat dan aman.
Selain Maritim Malaysia, PATKOR OPTIMA 31A/2024 turut membabitkan agensi lain seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Laut Malaysia (JPM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Sementara di pihak Republik Indonesia, agensi penguat kuasa lain yang turut serta bersama BAKAMLA ialah Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan
Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).
Untuk rekod pelaksanaan PATKOR OPTIMA pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 85 tangkapan di Malaysia membabitkan pelbagai kesalahan, manakala Republik Indonesia pula merekodkan 176 pemeriksaan di laut.
KUALA LUMPUR – Build A Future Team, sebuah jenama hasil inisiatif Kumpulan PEOPLElogy, telah merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bertemakan ‘Impak Menuju Kecemerlangan HR: Wawasan dan Laluan Masa Depan untuk 2025’ (Driving Impact of HR Excellence: Insights andFuture Pathways for 2025), yang diadakan baru-baru ini.
Acara ini berjaya mengumpulkan ahli Lembaga Jawatankuasa di Malaysia, beserta pimpinan Sumber Manusia (HR) untuk menyusun laluan bagi masa depan kecemerlangan sumber manusia dan pembangunan tenaga kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan PEOPLElogy, Cally Yau, berkata, AGM ini menyediakan platform bagi pimpinan dan pakar industri berkongsi batu asas kepada wawasan dan laluan yang strategik.
“Kami berjaya mengumpulkan pemimpin dan pakar Sumber Manusia terkemuka tempatan seperti Chen Fong Tuan, Senior Executive VP of Group Human Capital dari Maybank; Natalia Navin, Mantan Ketua Pegawai Sumber Manusia Maxis; Norlida Azmi, Ketua Kumpulan Sumber Manusia Axiata Group; Lim Chee Gay, Ketua Kumpulan Sumber Manusia TDCX, dan Badrol Izam, Pengurus Besar Sumber Manusia MMHE Holdings Berhad.
“Mereka bakal mengemudi perbincangan berkaitan cabaran masa depan dan trend bagi pengurusan Sumber Manusia pada 2025,” katanya.
Sesi itu dikendalikan oleh Benjamin Hew, Ketua Jabatan Komuniti dari Build A Future Team, dan menampilkan penyertaan beberapa pemimpin Sumber Manusia terkemuka Malaysia dan Asia Tenggara.
Pada AGM ini, Build A Future Team turut melancarkan Kertas Putih (White Paper) yang mengandungi analisa terperinci trend tenaga kerja, cabaran dan solusi merentasi Asia Tenggara berdasarkan Persidangan Sumber Manusia di Marina Bay Sands, Singapura tahun lalu.
Cally berkata, Kertas Putih itu menawarkan solusi campur tangan kerajaan seperti inisiatif latihan ‘up-skill’ dan ‘re-skill’, mengenalpasti cabaran dan mencipta suasana tenaga kerja yang mampan dan bersesuaian.
“Kajian ini diketuai Pakar Isikandungan iaitu Dr. Maharsi Anindyajati, Ketua Pusat Pembangunan Sumber Manusia dari PPM Manajemen Indonesia dan Dominic Dalisay, Ketua Pembangunan dan Pendidikan dari Hospital Our Lady of Lourdes, Filipina.
“Dengan mencipta peluang tanpa sempadan bagi komuniti bisnes dan tenaga kerja digital, kami berusaha membentuk pembinaan negara melalui pembangunan manusia dan acara transformasi merentasi Asia Tenggara.
“Susulan itu, kami dengan bangga ingin mengumumkan acara akan datang, Persidangan Tahunan Utama yang bakal berlangsung di Bali, Indonesia pada 16 dan 17 Oktober ini,” katanya.
Persidangan ini akan mengumpulkan jurucakap terkemuka dan topik inovatif, selain memperkenalkan figura terkemuka Asia Tenggara seperti Anika Grant, Penasihat Badan Ekosistem dan Mantan Ketua Pegawai Sumber Manusia Ubisoft; Sue Quackenbush, Senior Vice President dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Dynatrace USA, dan Somya Sugandha, Ketua Sumber Manusia Asia Pasifik, General Electric, Singapore.
Komitmen Kumpulan PEOPLElogy Untuk Menangani Jurang Digital 4.0
Dalam pada itu, Cally turut mendedahkan jurang kemahiran digital adalah cabaran ketara yang dialami perniagaan merentasi Asia Tenggara dengan 60 peratus jurang yang terbentang menghalang usaha transformasi digital dilaksanakan.
Di Malaysia sahaja, hampir 70 peratus syarikat berdepan cabaran kekurangan kemahiran digital dengan 80 peratus dari itu adalah kekurangan bakat digital.
“Dengan sasaran lebih 85 juta pekerjaan seluruh dunia mungkin berdepan cabaran diganti dengan tenaga automatic menjelang 2025, wujud keperluan terdesak untuk program pembangunan pembelajaran jangka panjang dan kemahiran.
“PEOPLElogy Group amat berdedikasi untuk menangani permintaan ini dengan mempersiapkan individu dan organisasi dengan menyediakan keperluan dan pengetahuan ke arah era digital,” kata Cally lagi.
Sebagai sebuah pengendali penyelesaian pembangunan tenaga manusia berintegrasi terbesar, PEOPLElogy komited untuk mengubah bakat melalui inisiatif ‘up-skill’ dan ‘re-skill’, menaiktaraf kelestarian perniagaan dan memupuk impak sosial dan perubahan digital di dalam komuniti.
Untuk info, PEOPLElogy adalah perintis kepada Model Perniagaan 3D, merangkumi enemuan (Discovery), Pembangunan (Development) dan Pendigitalan (Digitalization),
menjadikan posisi syarikat sebagai barisan hadapan di dalam industri Sumber Manusia.
Sehingga kini PEOPLElogy Group’s telah berjaya membantu dan melatih lebih 200,000 bakat dan mengukuhkan 1,000 pekerjaan berpermintaan tinggi.
Ia adalah hasil usahasama dan kolaborasi dengan lebih 1,500 agensi swasta dan awam.
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana tampil dengan lagu duet bersama vokalis New Boyz Tomok menerusi lagu Memori Mungkin Berulang.
Ini adalah kerjasama pertama Siti Nordiana atau Nana dengan Tomok selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni nyanyian.
Uniknya lagu ini ialah hasil ciptaan sepenuhnya Nana dan Tomok termasuk penulisan lirik.
Tajuk lagu ini dipilih amat sinonim dengan lagu hits mereka iaitu Sejarah Mungkin Berulang dan Memori Berkasih.
Idea asal lagu ini tercetus selepas mereka berbual secara tidak sengaja dalam satu persembahan pentas.
Ini kerana sepanjang mereka berada dalam bidang nyanyian, Nana dan Tomok tidak pernah menghasilkan lagu duet bersama-sama.
Lagu Memori Mungkin Berulang masih mengekalkan ritma dan irama 90-an untuk mengembalikan zaman kegemilangan dunia muzik ketika itu.
Tempoh untuk merakam lagu baru ini juga mengambil masa kira-kira setahun kerana kedua-dua penyanyi ini sibuk dengan pelbagai tugasan termasuklah fokus bertanding All Star Gegar Vaganza tahun lalu.
Untuk muzik video pula, suasana 90-an juga dikekalkan bertujuan untuk mengembalikan memori silam pendengar yang tidak henti-henti menyokong karier mereka sejak usia remaja hingga saat ini.
Antara yang diketengahkan termasuklah gaya pemakaian, aksesori serta lokasi penggambaran tetap kekal dengan era 90-an.
Muzik video ini diarahkan oleh pengarah drama tersohor iaitu Hadith Omar yang pernah mengarahkan beberapa drama popular lakonan Siti Nordiana seperti Dia Semanis Honey.
Tempoh penggambaran hanya mengambil masa selama dua hari iaitu bertempat di sekitar Bandaraya Melaka.
Memori Mungkin Berulang boleh didengar di semua platform digital muzik mulai hari ini, 7 Jun.
Manakala video muzik (MV) boleh di strim di Youtube rasmi Siti Nordiana bermula jam 9 malam hari yang sama.