24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 227

Teruskan CSR, PEKEMA santuni pelajar asnaf di Perak

editormaxinfo@gmail.com

TELUK INTAN – Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui Yayasan PEKEMA, meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini dengan menyantuni pelajar-pelajar asnaf.

Setiausaha Kehormat PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid yang mewakili Presiden PEKEMA Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata bantuan itu adalah inisiatif tanggungjawab CSR PEKEMA tahun ini kerana persatuan itu sangat peka dan komited dalam usaha meringankan bebanan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

“Bermula awal tahun ini, seramai 2000 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan telah menerima sumbangan barangan keperluan asas persekolahan sempena Program Kembali ke Sekolah 2024.

“Ini antara CSR tahunan di bawah teras komuniti yang dijalankan PEKEMA bertujuan meringankan beban kos sara hidup masyarakat.

“Persiapan persekolahan membabitkan kos yang agak tinggi lebih-lebih lagi bagi keluarga berpendapatan rendah dalam kategori B40 dan asnaf.

“Justeru setiap tahun PEKEMA tampil menyediakan bantuan keperluan asas persekolahan seperti pembiayaan program sekolah, pemberian beg sekolah dan juga duit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani MoU dan Simbolik Penyerahan beg sekolah, Dewan Transformasi Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, hari ini.

Turut hadir, Timbalan PPD Pembangunan Kemanusiaan, Mohamad Nor Ramli Ismail, Pengurus Pentadbiran dan Operasi, Faaizulaswad Mohd Salleh dan Pengurus Agihan Dana Yayasan PEKEMA, Mohd Yusof Rebu,.

Mengulas mengenai majlis berkenaan, beliau berkata, sebanyak empat buah sekolah di Daerah Hilir Perak yang terdiri dari SK Changkat Jong, SK Selabak, SK Redang Punggor dan SK Sultan Idris II, telah menerima sumbangan beg sekolah pada hari ini.

”Program CSR PEKEMA ini akan membabitkan Zon Tengah, Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak, yang mana setiap zon akan diwakili Ahli Jawatankuasa PEKEMA yang berperanan menggerakkan aktiviti Yayasan PEKEMA terutama dalam bidang pendidikan,” katanya.

Ahmad Faresh berkata, bantuan dana pendidikan juga menjadi sebahagian usaha kelestarian PEKEMA dalam menyantuni masyarakat tempatan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) keempat iaitu Pendidikan Berkualiti.

Selain bantuan dana pendidikan, PEKEMA turut menyalurkan bantuan bagi mereka yang terbabit dengan bencana alam dan masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, Guru Besar SK Changkat Jong, Dawam Arshad berkata, sekolah-sekolah di Hilir Perak menyambut baik usaha murni pihak PEKEMA menyumbangkan beg-beg sekolah bagi anak-anak murid sesi baharu nanti.

“Kawasan di kampung ini sering dilanda banjir kilat dan ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada ibu bapa untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tambahan pula dengan kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

“Melalui sumbangan yang diterima ini dapatlah membantu meringankan beban kepada ibu bapa dalam menyekolahkan anak pada hari ini,” katanya.

Faizal Ismail nafi dakwaan sudah nikah lagi seperti yang tular

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyampai Radio Zayan FM, Faizal Ismail menafikan dakwaan dia berkahwin lagi seperti yang ditularkan seorang lelaki dalam sebuah video.

Faizal, 47, berkata, semua itu tidak berlaku ia hanya sekadar gurauan dan usikan semata-mata.

“Saya boleh katakan, tidaklah. Saya ini banyak bercerita, bergurau dengan kawan-kawan. Tetapi, secara jujurnya tidak berlaku perkara itu.

“Mungkinlah ada cakap-cakap di belakang sebab saya baik dengan orang-orang tertentu. Tapi, untuk langsungkan secara sah, tidak,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Makan Malam Kasadaran Amal Al-Muqwa, di ibu kota, semalam.

Mengulas mengenai video pengakuan lelaki yang menjadi saksi berkenaan, Faizal berkata, dia tidak mahu memanjangkan isu dan tidak berhasrat mengambil sebarang tindakan undang-undang.

“Saksi itu sebenarnya, ketika itu saya bersama dengan ustaz lain dan memang ada benda-benda tidak menyenangkan berlaku pada ketika itu, ketika pakej umrah. Menyebabkan ada yang menggunakan cara-cara tertentu untuk menjatuhkan saya.

“Tidak saya nafikan, syarikat itu sebenarnya memang dalam masalah ketika itu. Saya turut mengalami tekanan pada masa itu, boleh dikatakan saya tidak ada hubungan baik dengan agensi terbabit.

“Disebabkan itu masalah yang berlaku tergantung begitu sahaja. Saya tidak ada bertemu dengan mereka dan sebagainya.

“Saya tidak akan saman kerana tidak mahu menambahkan lagi masalah. Hubungan kami sudah agak renggang, masing-masing dalam keadaan tertekan mungkin itu sebab timbulnya cerita seperti ini,” katanya.

Faizal berkata, isteri memahami situasi yang berlaku dan dia okey sahaja.

“Isteri saya okay. Kalau hal-hal poligami, dia okay sahaja. Maksudnya, dia tidak menolak sepenuhnya dan saya pun, kalau betul-betul berpoligami atau ada isteri lain, saya terus terang dengn dia dan tiada masalah pun.

“Saya tidak berani cakap buat masa sekarang, akan datang kita tidak tahu. Orang kata orang yang selalu cakap, tak berani buat. Tapi, yang senyap-senyap itu tiba-tiba ada (berpoligami).

“Saya melihat balik kepada diri saya, mampukah saya? Memang, lelaki ini keinginannya tinggi. Tapi, bila fikir balik kemampuan kita, bukan sahaja dari segi batin, kita kena periksa diri kita adakah kita mampu adil dari sudut hati?

“Itu satu perkara besar sebenarnya. Walaupun kita bagi nafkah setiap bulan (wang ringgit), tapi hati isteri masing-masing macam mana nak jaga. Itu bukan senang dan satu benda yang sangat besar,” katanya lagi.

MFL beri kebenaran tambah satu kuota import

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membenarkan tambahan satu kuota import untuk pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan juga pertandingan kelab ASEAN (AFF) musim depan.

MFL dalam satu kenyataan berkata, ia selepas AFC dijangka akan mengumumkan peraturan pemain asing tanpa had untuk pertandingan kelab di Asia.

“MFL membuat keputusan tidak akan mengikut kuota berkenaan sebaliknya, MFL mengekalkan kuota sembilan pemain import dalam pendaftaran bagi musim 2024-2025 dan hanya pasukan-pasukan yang bersaing di pertandingan AFC dibenarkan mendaftar tambahan satu pemain import.

“Namun selepas menerima permintaan beberapa kelab MFL serta mendapat persetujuan oleh kelab-kelab Liga Malaysia yang lain, MFL mengumumkan penambahan kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025.

“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah 6 pemain import (iaitu 4 1 (Asia) 1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, MFL mengingatkan kepada semua kelab agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing.

Elly Mazlein terbang tinggi dengan single terbaharu berjudul ‘Sayap’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas 17 tahun sepi daripada lagu baharu, penghibur Malaysia, Elly Mazlein,tampil dan terbang tinggi dengan single terbaharunya berjudul ‘Sayap’, terbitan Rocketfuel Entertainment.

Menariknya, dalam usaha mempromosikan lagu berkenaan, baru-baru ini, peminat dan pendengar diberi peluang mendengarkan lagu dan menyaksikan video muzik

‘Sayap’ menerusi Elly Mazlein (Saluran 111), yang juga saluran sementara (pop-up) disajikan secara eksklusif kepada pelanggan Astro.

Elly Mazlein (Saluran 111) bersiaran bermula 12 tengah malam, 25 Januari sehingga 11.59 malam, 26 Januari 2024, selama 48 jam di Astro.

Selama tempoh bersiaran, peminat bakal meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik ‘Sayap’, temu bual eksklusif dan momen- momen di sebalik pembikiran muzik video.

Format unik ini ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

Malah, Elly Mazlein (Saluran 111) bakal mencipta sejarah dan meraih anugerah sebagai penerima Malaysia Book of Records yang akan dimaklumkan kemudian.

Elly Mazlein turut menyatakan keterujaannya mengenai pelancaran saluran istimewa itu.

“Saya sangat gembira berkongsi Sayap dengan peminat setelah sekian lama berada di dalam industri muzik tempatan.

“Elly Mazlein (Saluran 111) ini adalah salah satu cara untuk saya mencipta kenangan dan memberikan buah tangan terbaharu kepada peminat.

“Saya berharap agar semua peminat gembira menyaksikannya dan menyertai saya dalam mencipta sejarah buat pertama kalinya di Malaysia,” katanya.

‘Sayap’ dicipta oleh komposer dan penulis lirik popular tempatan seperti Naim Daniel, Omar K, dan Iqie Hugh.

Lagu ini mempunyai maksud yang tersendiri, dengan mengetengahkan elemen kasih sayang serta cinta kepada Maha Pencipta dan sesama manusia.

Lirik yang ditonjolkan pula berunsurkan ketuhanan dan mempunyai mesej mendalam tentang keperibadian manusia yang sentiasa diberi ruang dan peluang untuk menuju ke arah kebaikan.

Kemunculan semula Elly Mazlein bukan sekadar mewarnai industri muzik, namun ia menyaksikan saat yang signifikan dalam kerjaya Elly Mazlein yang semakin meningkat naik.

Lagu ‘Sayap’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala video muzik juga boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Lebih 40 bintang terkenal hangatkan Festival Supalapa di Genting Highlands

editormaxinfo@gmail.com

GENTING HIGHLANDS – Lebih daripada 40  bintang antarabangsa bersama karyawan tempatan dengan pelbagai genre muzik dan hiburan tanpa limitasi dihimpunkan sepanjang tempoh penganjuran sulung Festival Supalapa.

Festival Supalapa yang dijadualkan berlangsung selama dua hari pada 2 dan 3 Mac depan di Resorts World Awana, Genting Highlands.

Pengunjung Festival Supalapa akan disajikan dengan sebuah acara yang gilang-gemilang dan akan meletakkan penanda aras yang baharu dalam penganjuran festival.

Tiësto, The Kid Laroi, EAJ, Somi, XG, Ali Gatie, Armani White, Tones and I, Ian Asher, Keemokazi, Paul Van Dyk, Rave Republic, Notep,  antara lebih 40 nama bintang ternama antarabangsa yang sedia menanti peminat pada festival yang berlangsung selama dua hari itu.

Bersama mereka, bintang tempatan Yuna, Siaxse, Kidd Santhe, Talitha, Cluadia, Belle Sisoski, Jovynn, Coex, Forceparkbois & DJ Ziqq Axel Groovejuga siap membuat pengunjung teruja dengan persembahan mereka.

Pada Festival Supalapa ini, pengunjung yang hadir boleh menikmati tiga genre muzik sekaligus dari EDM, Pop dan  Kpop.

Ke semua genre muzik ini kemudian dipersembahkan dalam panggung masing-masing iaitu di “Live Stage”, “EDM Stage” dan “Pool Stage”.

Tidak cukup lagi, acara ini bukan sekadar hiburan berkaitan muzik tetapi di Festival Supalapa pengunjung akan melalui banyak pengalaman pertama kali yang tidak didapatkan dalam acara hiburan sebelum ini.

Di Festival Supalapa, melalui pembayaran secara sistem RFID yang pertama kali seumpamanya, pengunjung boleh menikmati pelbagai keseronokkan termasuk pengalaman di “Wrestling Ring”, “Bali Swing”, “Carnival Games” dan “Silent Cinema.”

Pengerusi Maestro Production And Prodigy 1 Nation, Parthiban Murugaiya berkata, Festival Supalapa akan menjadi tanda aras pesta hiburan di Malaysia yang akan dinantikan setiap tahun.

“Kami berharap penganjuran pertama Festival Supalapa akan menjadi acara tahunan yang ditunggu-tunggu kerana pengunjung telah menemukan semua jenis hiburan bukan sekadar muzik di dalam satu festival.

“Apa yang penting juga adalah Festival Supalapa mampu membantu melonjakkan nama Malaysia dalam kalangan pelancong dari luar negara kerana di sini mereka akan menemukan sebuah hub hiburan setaraf penganjuran antarabangsa.

“Tentu sahaja melalui Festival Supalapa dengan menghimpunkan lebih 40 bintang atau karyawan seni, penganjuran acara ini menjadi platform terbaik buat pemuzik tempatan berkongsi pentas sekaligus mendapat pengalaman menerusi kemunculan bintang antarabangsa.

“Kami juga mahu Supalapa menjadi sebuah jenama global untuk festival muzik bagi dunia.

Festival Supalapa bukan sekadar tentang hiburan tetapi bagaimana kami memberikan keseronokan tanpa limitasi sesuai dengan objektif penganjuran iaitu menjadi hub hiburan yang membuat pengunjung sentiasa teruja,” katanya.

Naib Presiden Kanan Jualan, Pemasaran & MICE Resorts World Genting, Spencer Lee berkata, selepas melalui perubahan besar, Resorts World Awana kini adalah destinasi riadah bertaraf dunia di mana kita boleh mengatur percutian bertemakan alam semula jadi buat diri sendiri atau menikmati masa tenang bersama ahli keluarga di tengah-tengah kehijauan dan udara gunung yang sejuk.

Pengarah Festival, Addam Al Maleq pula berkata, Supalapa akan menjadi festival muzik yang tidak pernah dilangsungkan sebelum ini, pengalaman muzik yang menyeronokkan dan menarik di Resorts World Awana.

“Alami  pengalaman luar biasa yang dipenuhi dengan keseronokan tanpa had di Festival Supalapa.

“Rasai semuanya di Festival Supalapa pada 2 dan 3 Mac ini di Resorts World Awana,” katanya.

Prodigy 1Nation bersama rakan kongsi acaranya Maestro Productions telah melaksanakan pelbagai konsert yang berjaya dan ‘sold out’  di seluruh dunia di seluruh Eropah, Kanada dan Asia. Ini adalah festival muzik pertama mereka di Malaysia.

Sebarang pembelian tiket layari supalapa.com. 

Istana ‘berhantu’ Al Qasimi Jinn bakal menjadi kunjungan orang ramai

editormaxinfo@gmail.com

DUBAI – Selepas dibiarkan lebih tiga dekad lalu, Istana Al Qasimi Jinn yang terletak di Ras Al Khaimah, Dubai sudah menjalani proses pembaikan namun diselubungi pelbagai cerita mistik di sebaliknya.

Memetik laporan The Sun, istana empat tingkat itu asalnya didiami oleh Sheikh Abdulaziz Humaid Al Qasimi dan keluarganya sebelum mereka melarikan diri pada hari sama berpindah akibat ketakutan.

Dihiasi dengan lantai marmar, candelier kaca dan pelbagai karya seni, istana dengan 35 bilik tidur itu diukir dengan teliti selama 15 tahun bagi mengingati Sheikh Al Qasimi.

Istana yang siap dibina pada 1985 itu dianggarkan bernilai AS$135 juta (kira-kira RM638 juta) dan harga pasaran semasa AS$402 juta (kira-kira RM1.9 bilion).

Menurut legenda, pada hari Sheikh Al Qasimi berpindah masuk, dia mengalami detik menyeramkan apabila perabot terbang melintasi bilik, wajah-wajah muncul di tingkap dan di dinding dan objek hilang tanpa sebab.

Disebabkan itu, dia segera melarikan diri dan percaya bahawa roh ghaib sedang berkeliaran dalam istana itu.

Pasukan paranormal dari seluruh dunia mengembara untuk melawat istana itu.

Seorang daripadanya, Anjaly Thomas berkata, dia mendengar jeritan terpancar keluar dari istana.

Selepas bertahun-tahun tidak berpenghuni, istana itu meninggalkan kesan tapak kaki dalam debu, kaca pecah bertaburan, patung pecah, dan perabot terbalik.

Potret gadis yang tergantung di dinding seolah-olah memerhatikan setiap pergerakan Anjaly, perabot menjadi semakin tidak menentu dan kemudian terdapat ruang bawah tanah di mana perkataan “gooooo” ditulis dengan warna merah darah di dinding.

Selain paranormal, pengamal perubatan turut dipanggil untuk mendoakan roh yang tidak diingini.

Mereka membuang potret wanita, lelaki dan haiwan yang menghiasi dinding kerana mereka menyangka bahawa itu adalah gambaran bentuk hidup yang menarik jin.

Istana itu kemudiannya mempunyai pemilik baharu sejak beberapa tahun lalu iaitu Tareq Al Sharhan.

Dia mahu orang ramai melihat istana seperti yang dimaksudkan pada asalnya sebagai tempat yang istimewa, artistik dan indah.

“Pada 1980-an, ini adalah sesuatu yang sangat istimewa. Saya fikir saya boleh menukar ceritanya kepada sesuatu yang lebih baik, sesuatu budaya, sesuatu untuk pelancong,” katanya.

Tiga puluh lima bilik itu mempunyai lukisan dan arca mahal yang dikembalikan kepada mereka, 40 candelier kristal dipulihkan, jubin dinding Maghribi dicat semula dan disematkan semula serta barang antik dari seluruh dunia.

Walaupun Al Sharhan tidak mendedahkan berapa banyak kos baik pulih istana itu, dia berkata harga itu berbaloi.

Sejak pembukaan semula istana itu, ia menjadi salah satu destinasi pelancongan paling popular di Ras Al Khaimah.

Terdapat rancangan untuk mengubahsuainya lagi, yang membawa kepada beberapa spekulasi bahawa orang ramai mungkin boleh tinggal di salah satu bilik istana itu pada masa akan datang. -Agensi

Imran Ajmain nafi bermasam muka dengan Fazley, mahu fokus kembangkan kerjaya sendiri

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Penyanyi asal Singapura, Imran Ajmain menafikan dirinya bermasam muka dengan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob seperti yang didakwa.

Imran, 42, berkata, persahabatan mereka yang dilihat seperti  ‘renggang’ itu kerana dia mahu fokus dengan kerjaya sendiri selepas mendapat tawaran sebagai pengarah di Persatuan Komposer dan Penulis Singapura (Compass).

“Saya tidak ada masalah dengan Fazley. Saya berhenti secara baik kerana mahu mengejar impian dan fokus mengembangkan kerjaya nyanyian saya.

“Tambahan pula tawaran yang saya terima itu memerlukan saya lebih banyak masa di Singapura dan ia adalah peluang yang sudah lama saya nantikan kerana saya juga lebih dekat dengan ibu yang seorang diri sejak ketiadaan bapa pada 2013 lalu.

“Fazley juga menyokong keputusan saya dan akur rezeki saya di tempat lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Padam dan Pergi serta Konsert Malam Seribu Tahun, semalam.

Imran berkata, selepas 15 tahun bersama Suka Sucre dia sedikitpun tidak menyesal kerana turut berpeluang menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang pemasaran.

“Saya akui kerjaya saya tidak berkembang selama bersama Suka Sucre kerana terikat namun saya gembira masih berpeluang melakukan perkara yang saya minati iaitu bidang pemasaran dan komunikasi.

“Saya sudah lakukan yang terbaik dan banyak produk yang keluar dari hasil titik peluh saya.

“Banyak produk yang keluar dan terhasil melalui cetusan idea saya sendiri. Bila rezeki lain datang untuk saya seorang, saya rasa rugi jika tidak ambil.

“Pada usia sekarang saya tidak boleh menolak tawaran menarik yang diberikan kerana peluang tidak akan selalu datang,” katanya.

Terdahulu, timbul gosip mengatakan persahabatan akrab antara Fazley dan Imran mengalami masalah, selepas kedua-dua mereka tidak lagi dilihat bersama seperti sebelum ini.

Namun begitu, Fazley yang ditemui media baru-baru ini, turut menegaskan hubungannya dengan Imran masih baik meskipun sudah tidak bekerja bersama lagi sekali gus menafikan dakwaan yang tersebar.

Perkenal koleksi Singapore Series, Buttonscarves perluas jenama pasaran ke global

editormaxinfo@gmail.com

SINGAPURA -Terus memperluaskan jenamanya, Buttonscarves memulakan perjalanan global dengan mengadakan #ButtonscarvesGoesGlobal sebagai pembuka awal tahun 2024 dengan memperkenalkan Pameran Fesyen Modest di Singapura dari 18 hingga 28 Januari ini.

Dengan suasana yang meriah berlatar belakangkan Design Orchard Singapore Amphitheatre, Buttonscarves turut melancarkan Pemasangan Pop-Up bagi menonjolkan koleksi terkini Singapore Series.

Singapore Series adalah koleksi tudung eksklusif yang diinspirasikan oleh keindahan Singapura dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura. Ia menawarkan 14 variasi warna yang berbeza dan menawan pesona negara itu.

Lebih menarik, dua warna ini tersedia secara eksklusif di Pemasangan Pop-Up Singapura.

Selain itu, Buttonscarves juga terbabit dalam penjenamaan bersama dengan gerai ‘One Dollar Ice Cream’ yang cukup terkenal, mempamerkan reka bentuk yang dihiasi dengan Buttonscarves monogram.

Pengunjung dapat merakam foto dengan maskot Buttonscarves dan menikmatinya di Gerai One Dollar pada 18 Januari sebagai sebahagian daripada keseluruhan aktiviti pemasaran.

Pada 22 Januari lalu, Buttonscarves turut menjemput BSLady dari Indonesia, Malaysia, dan Singapura, bersama tetamu VIP dan media, untuk pengalaman yang mengasyikkan di Pameran Fesyen Modest.

Acara ini diserikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Buttonscarves Linda Anggrea dan Pengarah Kawasan untuk Indonesia di Lembaga Pelancongan Singapura, Mohamed Hafez Marican.

Linda berkata, ini menandakan pengembaraan sulung #ButtonscarvesGoesGlobal pada tahun 2024.

“Dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura untuk Singapore Series dan Pameran Fesyen Modest, kami bercita-cita untuk memperkenalkan Buttonscarves kepada pasaran Singapura dan berpotensi dibuka di luar talian kedai di sini,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Hafez berkata, kerjasama dengan Buttonscarves menawarkan peluang yang luar biasa untuk mempamerkan daya tarikan dan keunikan Singapura kepada global.

“Kami teruja dengan kerjasama dan penampilan ini ke Pameran Fesyen Modest yang memberikan pengalaman yang menawan dan memikat.

“Kami berharap dapat menarik lebih ramai pengunjung datang ke Singapura dan menjadikan negara ini sebagai destinasi mesra Muslim di mana momen biasa dijadikan luar biasa,” katanya.

Buttonscarves dan Lembaga Pelancongan Singapura menjemput lebih ramai lagi peminat fesyen untuk datang menyertai dan merasai keindahan serta daya tarikan Singapura melalui Pameran Fesyen Modest yang dianjurkan.

Dengan koleksi eksklusif dan acara yang menarik disediakan, Buttonscarves dan Lembaga Pelancongan Singapura berharap dapat memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua pelawat ke negara itu.

Wings perkenalkan Tonton, Gores & Menang untuk pembeli tiket konsert di Penang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selepas menjelajah Kota Singa dan Bandaraya Shah Alam, kumpulan rock legenda, Wings menerbangkan sayap mereka ke Pulau Pinang pula sebagai destinasi Konsert The Rock Emperor. 

Kali ini Datuk Awie (vokal), Eddie (bass), Black (drum), Sham (gitar) dan Edrie (gitar) akan menggegarkan SPICE Arena Penang menerusi Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter yang akan berlangsung pada jam 9 malam, 24 Februari depan.

Mengimbas kembali, Konsert The Rock Emperor mula membuka tirai di dipentas The Star Theatre Singapura, pada 29 Julai 2023 yang mendapat sambutan hebat daripada penonton. 

Ia seterusnya dikembangkan dengan Konsert Wings The Rock Emperor – Kuala Lumpur Chapter di Stadium Malawati pada 16 Disember lalu yang mencatat sejarah tersendiri dengan kehadiran lebih 9,000 peminat tegar mereka. 

Penonton yang hadir rata-rata memuji kehebatan kumpulan yang sudah bertapak hampir empat dekad dalam industri muzik tanah air dan sukar dicari ganti ini. 

Ramai juga yang masih belum ‘move on’ dari keterujaan menyaksikan kehebatan vokal Awie yang masih hebat menyanyikan lagu-lagu popular Wings menerusi konsert mega lebih tiga jam itu.

Usia yang menjangkau 55 tahun bukanlah halangan buat Awie mempamerkan kemantapan vokal dan showmanshipnya diatas pentas yang  lagaknya bagaikan di usia 20-an. 

Malah anggota lain juga yang melewati usia 50-an tetap mantap dengan permainan instrumen masing-masing sekaligus melengkapi persembahan kumpulan yang dilihat mempunyai semangat ‘brotherhood’ yang sangat kuat itu.

Persembahan berkonsepkan teaterikal dengan tema ala ‘viking’ ditampilkan mereka, benar-benar memukau semua yang hadir di Shah Alam. 

Mereka terhibur dengan lebih 20 lagu yang dipersembahkan antaranya Adoney Dari Paran, Jumpa Hilang, Lubuk Pusing, Cinta Seusia Kita, Komplikasi Pramaya dan Jerangkap Samar. 

Tidak ketinggalan lagu Bernafas Dalam Lumpur, Gemuruh, Ingatkan Dia, Nur Nilam Sari, Sekeping Kertas Bermaruah, Rock N Roll Lu Punya Suka, Awang Trasher, Dalam Kehadiran Sofiah, medley Intanku Kesepian, Belenggu Irama, Anugerah, Misteri Mimpi Syakilla dan banyak lagi. 

Bercerita mengenai Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter, Awie berkata, mereka akan mengetengahkan satu konsep baharu iaitu Tonton, Gores & Menang kepada penonton. 

“Untuk setiap tiket, kita akan buat satu Gores dan dalam Gores itu ada hadiah-hadiah tertentu yang akan dimenangi oleh penonton bertuah. 

“Terdapat lebih 700 barangan akan diberikan kepada pembeli tiket Konsert Rock Emperor. Ia merangkumi semua pembeli dari tiket berharga RM95 sehingga lebih RM300. 

“Barangan untuk dimenangi itu termasuk prelove barangan Wings terpakai yang akan kita hadiahkan kepada pemenang-pemenang,” katanya.  

Walaupun keseluruhan peminat berpuashati dengan apa yang ditampilkan dalam dua konsert terdahulu, Awie tetap akan melakukan perubahan dalam persembahan. 

“Insya-Allah kita akan cuba perbaiki apa sahaja kelemahan-kelemahan yang ada sebelum ini. Wings akan buat lagi bagus. 

“Sudah tentu konsert ini tidak akan sama seperti yang berlaku di Shah Alam. Kita akan ubah sikit repertoire dan juga persembahan serta akan jadikan intronya lebih menarik di Pulau Pinang. 

“Lokasinya tidak terlalu besar sangat. Untuk itu, kami akan sesuaikan persembahan dengan tempat itu,” katanya. 

Tiket untuk menonton konsert boleh didapati di https://wings.ubertickets.asia.