27.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 226

‘Jelmakan Auramu’ bersama Ernie Zakri dan Zeleb+ NMN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Rentetan daripada penerbitan album debut Ernie Zakri berjudul AURA, di bawah Universal Music Malaysia hujung tahun lalu, bintang bersuara emas ini teruja untuk berkongsi video muzik Aura yang telah mula dipertontonkan di Youtube miliknya sejak Jumaat lalu.

Lagu Aura menceritakan tentang kekuatan serta keyakinan diri seorang wanita. Ia adalah sebuah karya yang mengangkat nilai pemerkasaan dan perjuangan wanita masa kini.

Mesej ini diterjemahkan dengan begitu indah dan sempurna dalam video muzik Aura.

“Lagu ini sebenarnya sudah lama dirancang dan telah siap dirakam sekitar dua ke tiga tahun yang lalu.

“Namun, kami terpaksa menangguhkan pelancarannya seketika kerana menanti masa yang tepat untuk memperkenalkannya kepada peminat.

“Kebetulan, perancangan untuk melahirkan album penuh tahun lalu berjaya dilaksanakan tepat pada masanya.

“Oleh itu, kami putuskan untuk menerbitkannya di dalam album pertama saya di bawah naungan Universal Music Malaysia dan menamakan album berkenaan sebagai AURA,” kata Ernie tentang lagu ini.

Erni berkata, untuk menjayakan video muzik yang berdurasi empat minit, dia mengenakan tiga persalinan pakaian, dan video ini banyak bermain dengan kesan khas.

“Untuk menyudahkan semua proses itu, ia memakan masa yang agak lama. Saya akui ia agak meletihkan, namun saya anggap setiap detik yang saya lalui untuk menjayakan karya ini sebagai pengalaman berharga dan mengujakan,” katanya.

Menariknya tentang video muzik Aura ini, ia turut menampilkan produk kesihatan Ernie yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu, Zeleb+ NMN.

Ernie berkata, sebenarnya lagu ini bukanlah pilihan sebagai single pertama tetapi kebetulan pula penceritaannya sesuai dengan jenama dan imej Zeleb+ NMN.

Untuk pengetahuan semua, produk Zeleb+ NMN ini direka untuk wanita dan lelaki. Ia diformulasikan dengan bahan yang bertujuan untuk menyediakan tenaga, terutamanya kepada wanita dan mereka yang memasuki peringkat matang usia.

“Bagi saya sendiri, Zeleb+ NMN adalah teman terbaik untuk saya lalui hari-hari saya yang padat.

“Kenapa saya munculkan ia di video muzik ini? Kerana saya tidak hanya mahu berkongsi muzik saya dengan peminat, tetapi juga gaya hidup saya seperti amalan dan produk yang saya ambil untuk kekal sihat dan bertenaga,” katanya.

Katanya, selepas mengamalkan produk ini selama tiga bulan, dia mendapati kulitnya semakin mulus dan membantu meningkatkan kecerdasan otak.

Kecemerlangan Zeleb+ NMN yang diiktiraf secara meluas telah menjadikannya produk pilihan personaliti terkenal.

Ernie Zakri kini banyak terbabit dalam mempromosikan Zeleb+ NMN. Slogan produk ‘Jelmakan Auramu’ juga diinspirasikan daripada lagu Aura itu sendiri yang melambangkan intipati bercahaya dan bersinar yang boleh didapati menerusi kebaikan NMN.

Pra pelancaran Zeleb+ NMN diadakan semalam dengan pelbagai aktiviti selingan seperti sesi bertemu peminat dan perkongsian ilmu mengenai produk Zeleb+ NMN bersama Ernie Zakri.

Zeleb+ NMN tetap komited dalam menyampaikan kualiti dan kepercayaan kepada pengguna.

Dengan dedikasi untuk kecemerlangan, produk ini memastikan penyelesaian yang boleh dipercayai dan premium untuk kesihatan dan kesejahteraan anda dan disahkan sebagai Halal untuk memenuhi keperluan yang pelbagai dari pengguna yang dihargai.

Untuk maklumat lanjut, layari www.zelebnmn.com.my.

Babit 22 kaum dan etnik, Unity Parade KL sasar lebih 20,000 penyertaan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 penyertaan disasarkan sempena menjayakan program Unity Parade Kuala Lumpur 2024 yang akan berlangsung pada 24 dan 25 Februari ini.

Acara berbentuk perarakan itu akan bermula pada jam 5 petang di Dataran Merdeka membabitkan lima hentian utama iaitu Pasar Seni, pusat beli-belah komuniti kreatif GMBB, Jalan Alor, pusat beli-belah Lot 10 serta Berjaya Times Square dan berakhir di Lalaport BBCC.

Perarakan itu adalah antara pengisian program anjuran Unity Parade dan Kuala Lumpur Society dengan kerjasama rakan strategik Kementerian Perpaduan Negara, Kuala Lumpur Prosperity Walk dan World Dragon and Lion Dance Extravaganza.

Pengarah projek Norrizan Abd Majid berkata, acara itu akan menampilkan pelbagai kumpulan agama, etnik, kebudayaan, kesenian dan muzik dengan berarak di sepanjang laluan sejauh 3.6 kilometer di ibu kota.

“Acara ini tercetus selepas melihat kejayaan sebuah komuniti tempatan menganjurkan Kuala Lumpur Prosperity Walk bagi meraikan sambutan Chap Goh Mei pada 2022 dan 2023.

“Perarakan ini akan menampilkan pelbagai keunikan elemen seni dan budaya masing-masing seperti persembahan kebudayaan, aktiviti dan pakaian tradisional serta kenderaan berhias,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, baru-baru ini.

Norrizan berkata acara itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan rakyat Malaysia turut memainkan peranan ampuh dan berterusan dalam memelihara keamanan, kerukunan serta semangat bersatu padu.

“Acara ini bukan sahaja dapat memupuk dan mengukuhkan semangat perpaduan, membentuk identiti nasional, membina rakyat yang patriotik dan demokratik tetapi juga boleh mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.

“Penyertaan aktif daripada pelbagai kaum ini juga sudah pasti akan membawa kepada masyarakat yang lebih bersemangat dan harmoni,” katanya.

Unity Parade Kuala Lumpur 2024 akan menampilkan lebih 10 aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan antaranya Unity Parade Kuala Lumpur Photo Competition dan Unity Parade Village sepanjang dua hari program berlangsung.

Program itu juga bakal dijadikan acara tahunan bagi mempromosi sektor pelancongan di ibu kota.

Bagi mereka yang berminat mengenai acara yang akan dijalankan atau ingin menyertai acara perarakan itu boleh mendaftar secara percuma di laman rasmi unityparade.my.

Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, jadi jawapan percintaan dua dekad

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penampilan penyanyi Siti Nordiana dalam busana perkahwinan menimbulkan pelbagai persoalan netizen terutama peminat setianya.

Siti Nordiana bakal berkahwin? Siti Nordiana bakal naik pelamin?  Siti Nordiana cantik berbusana pengantin dan Siti Nordiana mahu mengumumkan hari paling bersejarah dalam hidupnya….?

Semua itu menjadi spekulasi yang bertebar kencang beberapa hari kebelakangan ini. Semuanya gara-gara foto penyanyi berusia 39 tahun itu yang manis menyarung gaun pengantin warna putih tersebar di internet.

Hari ini adalah hari Siti Nordiana Alias memberi jawapan kepada setiap persoalan dan spekulasi yang bertebaran.

Tanpa berselindung, bintang yang sudah lebih dua dekad bertapak kukuh dalam industri seni tempatan khususnya muzik mengaku ada yang istimewa di sebalik tersebarnya foto beliau menyarung gaun putih bak pengantin tersebut.

Menyarung busana berkenaan barangkali sinonim dengan acara pernikahan tetapi ‘perkahwinan’ yang membabitkan Siti Nordiana ini bukan melihatkan seorang lelaki sebaliknya jutaan hati lelaki dan wanita yang menjadi tulang belakang kariernya selama ini iaitu peminat.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf jika ada pihak yang salah faham dan menyangka saya akan mendirikan rumah tangga selepas tersebarnya foto berbusana pengantin baru-baru ini.

“Sebenarnya fotografi itu diadakan khusus untuk acara istimewa, julung kali ini dan sangat bermakna ini.

“Ia untuk konsert perdana sepanjang lebih dua dekad saya berkecimpung dalam dunia seni khususnya muzik iaitu Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.

“Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun terlalu istimewa buat saya kerana akan menjadi panggung dan ‘pelamin khas’ untuk saya meraikan karier bersama peminat yang tidak pernah berhenti menyokong perjalanan muzik saya selama ini,” katanya merungkai spekulasi ‘perkahwinannya’ itu.

Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan berlangsung pada 11 Mei 2024 di Zepp KL bermula jam 8.30 malam.

Bagi penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini, Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun akan menjadi saksi jatuh bangun dan sepak terajang perjalanan karier yang tidak semuanya manis namun setiap satu diambil sebagai pelajaran buat dirinya kekal relevan dengan pasaran masa kini.

Di panggung Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun juga Siti Nordiana akan menggamit nostalgia peminat menerusi lagu-lagu miliknya seperti Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Tak Upaya Menangis Lagi sehingga Satukan Rasa.

Sementara itu,penganjur, Icon Entertainment pula menyifatkan pemasaran yang diwar-warkan selari dengan konsep konsert yang dicetuskan.

Ia bukan publisiti murahan memandangkan Siti Nordiana telah mencetak sukses dengan pelbagai anugerah yang telah dicapai selain profil beliau sebagai penyanyi yang telah membuktikan bakat nyanyian sebagai bukan hanya penyanyi Pop tetapi Balada, Entik Kreatif dan Irama Malaysia.

Menurut penganjur Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, Iman Tang, mesej yang ingin disampaikan menerusi poster sehingga ke konsert nanti amat jelas iaitu ingin membangkitkan kembali nostalgia atau memori bukan hanya Siti Nordiana tetapi juga peminat yang hadir.

“Semua hal yang berkaitan dengan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun adalah tentang menggamit nostalgia.

“Menyebut nama Siti Nordiana sendiri kita sudah berasa nostalgia dan terus terkenang lagu-lagu hit mendayu-dayu beliau seperti Memori Berkasih, Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.

“Kebanyakan lagu beliau dilahirkan pada sekitar awal tahun 2000 tapi masih bersifat malar segar sehingga sukar dilupakan peminat.

“Siti Nordiana sendiri telah membuktikan bakat nyanyiannya sejak kecil dan masih relevan terhadap industri sehingga kini.

“Ini juga yang membuat Icon Entertainment mahu menganjurkan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun selepas melihat beliau belum pernah melakukan konsert sepanjang kariernya.

“Jadi Icon Entertainment membawa konsep memori atau nostalgia lagu-lagu Siti Nordiana yang penuh dengan kisah cinta dalam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun,” kata Mike Manicka selaku wakil penganjur.

Pada malam Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun juga, peminat yang hadir WAJIB menyarung busana MEMORI SILAM untuk larut dalam momen dan sejarah yang bakal dicipta menerusi konsert terbabit.

“Wajib berpakaian memori silam kerana sekali lagi saya tekankan Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun adalah tentang nostalgia.

“Jadi apa yang dimaksudkan dengan pakaian memori silam ini adalah memakai busana pertama kali keluar bercinta atau dating, pakaian sweet couple dengan pasangan anda atau pakaian sewaktu cinta monyet di zaman sekolah (kecuali baju sekolah).

“Konsep ini adalah untuk lebih membangkitkan kehangatan dan menggamit nostalgia semua yang hadir,” kata Mike lagi.

Buat peminat, inilah momen terbaik untuk menggamit kenangan bersama Siti Nordiana. Pastikan kehadiran wajib anda di Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun pada 11 Mei 2024 di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket-tiket berharga RM188 (PALING COMEL), RM228 (MEMORI BERKASIH), RM308 (MAINAN CINTA), RM4888 (VIP BOX, 8 PAX PER BOX) boleh dibeli menerusi atas talian www.ticket2u.com.my atau hubungi talian hotline 012 6530 700 (whatsapp).

Denda dikurangkan, Najib Razak dibebaskan pada 23 Ogos 2028

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 peratus pengurangan diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu berkata, selepas mempertimbangkan pendapat serta nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara, selain pengurangan denda yang perlu dibayar.

“Oleh yang demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda yang perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan berhubung permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan selepas disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 12 tahun pada 2022.

Perdana Menteri, bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak akan membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan itu, sebaliknya ia bakal dilakukan sendiri oleh Lembaga Pengampunan.

Berita mengenai isu pengampunan Najib berlegar dalam media sosial dan dilaporkan media massa sejak beberapa hari lalu, dengan desas-desus kuat mendakwa nasib bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman penjara itu sudahpun diputuskan oleh Lembaga Pengampunan.

BERSATU tekad pastikan ahli Parlimen sokong Anwar kosongkan kerusi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – BERSATU akan menggerakkan apa saja kaedah dan bertindak dalam ruang lingkup perundangan serta politik bagi memastikan beberapa kerusi Parlimen milik parti itu dikosongkan seperti termaktub dalam Akta Anti Lompat Parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Afif Bahardin, berkata kerusi Parlimen seperti Labuan, Kuala Kangsar, Bukit Gantang, Gua Musang, Tanah Merah dan Tanjung Karang perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil dalam masa terdekat.

Pada masa sama beliau menyelar kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman yang mencabar parti untuk memecatnya.

“Kami di BERSATU mencabar beliau untuk segera mengosongkan kerusi Parlimen Labuan kerana hakikatnya BERSATU mempunyai ramai lagi tokoh yang mampu untuk mewakili dan menjaga kebajikan rakyat Labuan.

“Kami bersedia walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan dan intimidasi daripada pentadbiran kerajaan campuran PH-BN,”katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Suhaili digantung keahlian enam tahun berkuat kuasa November lalu oleh BERSATU kerana membuat sokongan terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan alasan memudahkan mereka mendapat bantuan untuk rakyat di kawasan masing-masing.

Lima lagi Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Sementara itu, beliau yang baharu dilantik sebagai MPT berikrar akan memainkan peranan memperkukuh hala tuju dan asas perjuangan parti selain terus menjuarai isu rakyat terutamanya di dalam agenda membela kebajikan rakyat dan membangun polisi keterjaminan masa depan orang muda di negara ini.

“BERSATU di dalam kerangka Perikatan Nasional akan terus menjadi parti ulung bagi mewakili dan membela masyarakat Bumiputera dan keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira ras dan agama.

“Dengan kesatuan pimpinan dan ahli BERSATU, saya dan rakan-rakan akan menggerakkan satu inisiatif bagi mendekati golongan muda terutamanya di kalangan profesional muda dan mahasiswa bagi memperjelaskan prinsip perjuangan parti dan memperkenalkan tokoh-tokoh pimpinan muda di dalam BERSATU.

“Inisiatif ini bermatlamat bagi mengalakkan lebih banyak penyertaan di kalangan profesional muda dan mahasiswa di dalam wadah perjuangan BERSATU,”katanya.

Pusat Pakaian Hari-Hari tawar diskaun uniform sekolah dan kasut

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pusat Pakaian Hari-Hari mengadakan Jualan Rahmah dengan menawarkan diskaun RM3 untuk pembelian uniform sekolah dan RM6 untuk kasut sekolah sempena Putrajaya Open Day 2024 yang diadakan di Putrajaya bermula hari ini sehingga 4 Februari depan.

Pusat Pakaian Hari-Hari dalam satu hantaran di Facebook berkata, diskaun yang ditawarkan bagi memberikan kemudahan kepada orang ramai khususnya ibu bapa untuk membuat persediaan awal menyediakan kelengkapan sekolah anak mereka yang akan mula bersekolah pada Mac nanti.

“Sepanjang Jualan Rahmah selama empat hari itu, Pusat Pakaian Hari-Hari menyediakan kelengkapan sekolah sama ada untuk pelajar sekolah rendah dan menengah dengan menawarkan harga yang berpatutan.

“Orang ramai terutamanya ibu bapa perlu berkunjung ke reruai kami yang terletak di dalam khemah besar berhadapan bangunan Perbadanan Putrajaya berhampiran Istana Kehakiman Putrajaya, Putrajaya untuk mendapatkan kelengkapan sekolah anak-anak mereka kerana stok adalah terhad,” katanya.

Kenyataan itu berkata, Jualan Rahmah berlangsung pada Khamis hingga Sabtu bermula jam 9 pagi hingga 10 malam manakala Ahad pula, sesi jualan akan berakhir pada jam 5 petang.

“Orang ramai jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan tawaran diskaun yang disediakan kerana ia sangat berbaloi.

“Ia membantu ibu bapa untuk berjimat dan berbelanja dengan berhemah dalam menyediakan kelengkapan sekolah terutamanya bagi mereka yang mempunyai anak yang ramai,” kata kenyataan itu lagi.

HONOR bakal lancar Siri HONOR Magic6, Magic V2 RSR di MWC 2024

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global HONOR, mengumumkan bakal menyertai Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2024 yang akan berlangsung di Barcelona, Sepanyol bulan depan.

Pada pameran berkenaan, HONOR juga akan melancarkan dua rangkaian flagship di peringkat global, iaitu HONOR Magic V2 RSR dan HONOR Magic6 Series pada 25 Februari, jam 9 malam waktu tempatan.

Pameran ini akan strim secara langsung di Facebook HONOR Malaysia dan laman web rasmi HONOR.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan inovasi dan teknologi canggih yang mengujakan ini.  

HONOR di tangga pertama dalam pasaran android China pada 2023

Dalam perkembangan lain, HONOR berada di kedudukan teratas dalam pasaran penghantaran Android di China pada suku keempat dan keseluruhan tahun 2023, lapor International Data Corporation (IDC).

Menurut IDC, selepas mengharungi pemulihan pantas pada 2022, HONOR terus mengekalkan pertumbuhan kukuh pada 2023 dan kejayaan ini disebabkan penambahbaikan dalam saluran perkongsian dan strategi produk yang komprehensif.

HONOR menembusi pasaran mewah dengan kejayaan rangkaian telefon boleh lipat dan juga menarik minat peringkat permulaan ke pertengahan menerusi pelbagai model yang popular.

Pelancaran peringkat global HONOR Magic V2 RSR dan HONOR Magic6 Series boleh ditonton di https://www.hihonor.com/my/events/honor-mwc/.

Artis pertama punya saluran Pop-Up eksklusif, Elly Mazlein terima anugerah Malaysia Book of Records

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Baru sahaja melancarkan single pertamanya berjudul Sayap, penyanyi Elly Mazlein berjaya memecahkan rekod ‘Longest Non-Stop Music Video Launching on A Pop-Up TV Channel’ atau Pelancaran video muzik tanpa henti terpanjang di saluran TV Pop-Up.

Elly mengakui teruja apabila diberi penghargaan menerima anugerah istimewa ini.

 “Saya sangat gembira dan berterima kasih atas pengiktirafan yang diberikan dan bersyukur serta berbangga kerana dengan anugerah ini memberikan saya semangat yang lebih tinggi dalam menjayakan kelahiran Sayap sebagai buah tangan terbaru di permulaan tahun 2024 ini,” katanya.

Selama tempoh bersiaran selama 48 jam baru-baru ini, peminat Elly Mazlein dapat meneroka dunia seni nyanyian Elly Mazlein dengan pelbagai pengisian menarik termasuk video muzik Sayap, temu bual eksklusif dan momen-momen di sebalik pembikinan muzik video.

Format unik ini ditampilkan untuk memberi pendekatan baharu yang lebih interaktif dan menggembirakan kepada peminat agar lebih mendekati dan meraikan kemunculan semula Elly Mazlein di pentas muzik tempatan.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Rocketfuel Entertainment selaku pihak syarikat rakaman bagi Elly Mazlein atas pencapaian ini dan kami berharap untuk terus mengiktiraf lebih banyak pencipta rekod tempatan untuk sebarang pencapaian seperti ini,” kata Malaysia Book of Records.

Lagu ‘Sayap’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan melalui kesemua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian pilihan utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala untuk anda yang ingin menonton video muzik ‘Sayap’, ianya boleh ditonton di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Lima otai rock bersatu jayakan konsert bantu madrasah Al-Muqwa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – LIMA otai rock bakal bersatu dalam sebuah pentas bagi menjayakan majlis Makan Malam Kesadaran Amal untuk mengumpul dana membantu Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.

Mereka yang terbabit ialah Datuk Awie Wings, Ali XPDC, Ijam Medicine, Adi Wow dan Anjang Terra Rossa.

Majlis yang dijangka berlangsung pada 17 Februari itu bakal diadakan di Dewan MBSA Convention Centre, Shah Alam, Selangor.

Mewakili teman-teman Ali berkata, mereka meletakkan harapan yang tinggi orang ramai dapat bersama menghulurkan bantuan bagi menjayakan hasrat Madrasah Al-Muqwa untuk terus ‘bernafas’.

“Ini adalah sebahagian daripada kerja amal kami untuk membantu sedaya mungkin hasrat penganjur.

“Saya berharap selain berhibur kita juga beramal ke arah kebaikan semoga amalan kita diberkati Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Mudir Al-Muqwa, Amran Johari berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak RM1.3 juta berjaya dikumpul sempena majlis berkenaan.

“Kami menyasarkan kutipan sebanyak RM1.3 juta daripada jualan meja dan sumbangan daripada pelbagai aktiviti kebajikan yang dirancang pada malam berkenaan seperti jualan lelong barangan artis dan pelbagai lagi,” katanya pada majlis pelancaran Makan Malam Kesadaran Amal, semalam.

Turut hadir Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Dan Ekosistem Malaysia (MEEDC), Tengku Adena Tengku Abdullah selaku Penaung Majlis; Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid; Pengurus Kandungan Radio Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor serta barisan artis yang terbabit iaitu Ijam Medicine, Adi Wow, Faisal Ismail, Anjang Terra Rossa dan Ali XPDC selaku Duta Al-Muqwa.

Turut memeriahkan majlis pada malam itu ialah Faizal Ismail dan Mawi yang akan bertindak sebagai pengacara majlis.

Mengulas mengenai sasaran RM1.3 juta, Amran berkata, ia bagi membantu meneruskan pengurusan madrasah memandangkan pihaknya menanggung bebanan hutang hampir RM285,000 untuk membiayai kos operasi sebelum ini, selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Kami juga mempunyai tunggakan atau tuntutan hutang daripada pembekal tenaga dan juga syarikat air yang mana jumlah tunggakan bil-bil utiliti mencecah sehingga RM80,000 untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Amran berkata, madrasah juga kerap terputus bekalan makanan sejak setahun setengah yang lalu.

Berikutan masalah yang dihadapi, mencetuskan idea buatnya meneruskan penganjuran majlis makan malam amal ini buat kali kedua dimana penganjuran pertama adalah pada 26 Februari 2022.

“Ketika itu kutipan berjaya dikumpul lebih kurang RM160,000 sahaja. Memandangkan perbelanjaan Madrasah setiap bulan sekurang-kurangnya RM13,000, jumlah yang diperoleh tidak mencukupi untuk kos pengurusan keseluruhannya.

“Saya mengharapkan sumbangan pembelian meja atau dari orang perseorangan atau dermawan dapat mencapai jumlah yang disasarkan. 

“Kutipan dana menerusi jualan meja makan dan juga kerusi yang dijual ini akan digunakan sepenuhnya bagi tujuan membiayai kos operasi madrasah yang terjejas pendapatan sumber bantuan sejak dua tahun lalu kesan daripada pandemik Covid-19,” katanya.

Majlis Makan Malam Kesadaran Amal dijual pada tiga kategori jualan meja bermula dengan harga RM3,000 (Bronze) RM5,000 (Silver) dan RM8,000 (Gold) untuk satu meja.

Bagi orang perseorangan tiket dijual pada harga RM200 di mana penonton boleh menyaksikan konsert melalui skrin gergasi yang akan dipasang di luar dewan.

Penonton bukan sahaja dihiburkan dengan lagu-lagu popular artis kegemaran masing-masing tetapi halwa telinga turut disajikan dengan ‘hidangan’ lain seperti persembahan salawat, bacaan ayat-ayat Al Quran dan perkongsian pengalaman artis-artis hijrah, bermula dari 6 petang hingga 11 malam.

Maklumat lanjut berhubung jualan meja makan atau kerusi hubungi Amran di talian  0126212582 atau wasap.my/60126212582; Roslan- 0162446567 atau wasap.my/60162446567; Omar- 0163753117 atau wasap.my/60163753117; Hasroy : – 0176396368 atau wasap.my/60176396368; Khusairi.