27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 14, 2026
Home Blog Page 225

Siri HONOR Magic6 bersaing dengan Samsung Galaxy S24 di pasaran mewah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR mencabar Samsung dalam pasaran mewah dengan flagship terbaharu, Siri HONOR Magic6 dalam persaingan langsung dengan Siri Samsung Galaxy S24.

HONOR Malaysia memuat naik sekeping surat di Facebook rasmi, yang ditujukan kepada jenama telefon pintar Korea Selatan itu.

Dalam surat berkenaan, HONOR Malaysia mengucapkan selamat ulang tahun ke-24 kepada jenama itu dan turut menyertakan sentimen ‘time for a change’ atau ‘masa untuk berubah’.

Ini susulan prestasi cemerlang HONOR Malaysia pada 2023, yang mana HONOR X9a, HONOR 90, dan HONOR X9b tersenarai dalam 10 telefon pintar paling dicari di Carian Tahun 2023 Google dalam negara.

Selepas berpisah dengan Huawei pada 2021, HONOR dengan pantas mencapai pengiktirafan di dalam pasaran mewah melalui pembangunan teknologi canggih, khususnya dalam Siri Magic. 

HONOR telah membangunkan teknologi baharu antaranya Sistem Kamera Falcon HONOR, bateri karbon silikon, Teknologi Perlindungan Mata Bebas Risiko, Cipset Keselamatan Diskret, Pelindung Nanohablur HONOR dan engsel titanium ringan untuk HONOR Magic V2.  

Dalam pada itu, HONOR sedang bersiap sedia untuk pelancaran global Siri HONOR Magic6 dan Magic V2 RSR di Kongres Mudah Alih (MWC) 2024, sekaligus membuat ramai peminat teknologi tidak sabar menyaksikan acara besar berkenaan.

HONOR menjangkakan peranti baharu ini berprestasi lebih cemerlang dalam pasaran telefon pintar tahun ini.  

Pelancaran HONOR Magic V2 dan perkenalan V2 RSR edisi Porsche Design di Malaysia baru-baru ini sudahpun memikat hati ramai ketua pegawai eksekutif tempatan sebagai peranti pilihan mereka.

Pelancaran global HONOR Magic V2 RSR dan Siri HONOR Magic6 akan berlangsung di Barcelona, Sepanyol pada 25 Februari 2024, jam 9 malam waktu tempatan.

Acara ini boleh disaksikan menerusi strim langsung di laman web HONOR https://www.hihonor.com/my/events/honor-mwc/  

Aiman Coco pertaruh bakat dan suara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bermula dengan program realiti di media sosial ‘Superlaki’, pendatang baru Aiman Coco melangkahkan kaki setapak lagi ke hadapan di dalam bidang nyanyian bidang yang diminatinya sejak dari kecil.

Sangat meminati penyanyi dari seberang iaitu Charly ST12, Aiman Coco cuba mempertaruhkan lagu berentak balada untuk single pertamanya berjudul ‘Silam’.

Pemilik nama Muhammad Nasrul Ali yang berasal dari Hulu Langat Selangor ini mula berjinak-jinak dalam industri suara sejak di bangku sekolah lagi.

Bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian malah Aiman sangat berkebolehan dalam bidang Qasidah dan seringkali mendapat gelaran juara dalam mana-mana pertandingan yang disertainya.

Seorang yang agak pendiam, pemalu dan sangat ringan tulang, tapi sangat mesra jika seseorang telah mula mengenalinya.

Aiman Coco yang pernah mempunyai single raya bertajuk ‘Raya 4 Suara’ pada tahun lalu bersama tiga orang lagi rakan artis di bawah label muzik yang sama iaitu RR Entertainment.

Pembabitannya dalam lagu menyebabkan pihak RR Entertainment menawarkannya untuk menghasilkan lagu  Silam.

Berkongsi perasaannya apabila diberi peluang menghasilkan single Silam, Aiman berkata, segala yang diimpikan telah termakbul.

“Alhamdulillah Allah makbulkan, terima kasih RR Entertainment dan Sony Music Malaysia kerana memberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan bakat saya dalam bidang nyanyian.

“Saya amat menghargainya dan akan cuba yang terbaik selagi diberikan peluang.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri dan tidak menyangka perkara ini berlaku selepas sahaja menghasilkan lagu raya ‘Raya 4 Suara’.

Berkongsi pengalaman menghasilkan single barunya, Aiman berkata lagu ini bukanlah pengalaman atau cerita peribadinya.

“Mula-mula saya dengar lagu tu memang jatuh cinta jadi saya terus setuju untuk menyanyikan lagu Silam dan inilah juga peluang yang saya nanti-nantikan selama ini.

“Malah saya berharap akan dapat menyampaikan yang terbaik untuk pendengar-pendengar di luar sana supaya cerita di sebalik lagu ini dapat di rasai oleh pendengar. Harap-harap pendengar dapat la rasakannya,” katanya.

Lagu Silam dihasilkan oleh RR Entertainment manakala gubahan sepenuhnya oleh Herda Syira.

Lagu ‘Silam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Meraikan ‘Big Prosperity Celebration’, Pavilion Bukit Jalil anjur pelbagai aktiviti meriah untuk pengunjung

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Meraikan Tahun Naga sempena Tahun Baru Cina ini, Pavilion Bukit Jalil menyambutnya dengan meriah melalui pelbagai kempen yang dianjurkan sempena ‘Big Prosperity Celebration’ sehingga 25 Februari ini.

Raikan semangat limpahan dan kemakmuran Tahun Baru Cina dengan pameran kemeriahan perayaan tahunan ditambah hiasan perayaan yang menampilkan 9 ekor naga, pengalaman menarik dan ganjaran hebat dalam meraikan perayaan kali ini.

Pengunjung dijemput bergambar bersama 9 ekor naga di sekeliling centre court pusat beli belah yang membawa simbolik kepada kemakmuran, nasib baik, serta rezeki melimpah ruah.

Aktiviti Menarik & Persembahan Menghiburkan Di Pavilion Bukit Jalil

Pengunjung juga boleh mencuba nasib di mesin Big Prosperity Luck dan mesin Big Prosperity Spin serta menerokai pelbagai gerai jualan yang disediakan di CNY Marketplace di Centre Court, Aras 2.

Pengunjung juga boleh menulis harapan yang ingin dicapai dan dihajati mereka bagi tahun baharu bersama yang tersayang pada sekeping kad khas dan mengantungkan kad berkenaan di Pavilion Wishes Tree.

Selain itu, kunjungi pelbagai gerai jualan di CNY Marketplace dan pesta perayaan di PIAZZA, seperti Watsons x Ping Min CNY Artisan Market (19 – 21 Januari 2024) dan Selangor New Village 2.0 – Balik Kampung CNY Fest 2024 (1 – 4 Februari 2024), mempamerkan makanan tempatan, seni, kraf dan budaya tradisional Cina.

Berbelanja & Tebus Pek Angpao

Mulai sekarang sehingga 25 Februari 2024, belanja dan tebus pek ang pow, baucar beli-belah dan dulang kaca berjenama Pyrex dengan pembelanjaan minimum RM100, RM300 atau RM600 dalam satu resit di seluruh pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil.

Pengunjung juga boleh mendaftar sebagai ahli baharu sekaligus membolehkan untuk menebus beg bertuah Watsons istimewa bernilai RM88.

Pameran Menarik Di Pavilion Bukit Jalil

Kunjungi pameran menarik yang diadakan di Pavilion Bukit Jalil semasa musim perayaan ini antaranya REX Home Expo (19 – 21 Januari 2024), iFood Expo: CNY Carnival 2024 (26 – 28 Januari 2024) di Pavilion Bukit Jalil Exhibition Centre, aras 5, The Fullmetal Alchemist Exhibition (24 Januari – 24 Mac 2024) di aras 2, Zon Jingga dan B★VERSE, Singing the Stars Immersive Exhibition World Tour (1 Disember 2023 – 10 Mac 2024) di aras 3, Zon Jingga.

MQA komited mahu mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara

editormaxinfo@gmail.com

SEPANG – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) komited untuk mengantarabangsakan pendidikan tinggi negara supaya terus menjadi destinasi pilihan pelajar antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, banyak wakil negara yang berminat untuk menjalin kerjasama bersama Malaysia dalam sektor pendidikan tinggi kerana keyakinan mereka terhadap kualitinya.

Katanya, perkara itu dinyatakan oleh wakil kedutaan dan negara yang hadir pada program libat urus Menteri Pendidikan Tinggi bersama perwakilan negara luar, baru-baru ini.

“Kira-kira 100 duta dan wakil negara yang hadir untuk mendengar perkongsian dan berdialog dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan wakil agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Kehadiran ramai duta dan wakil negara itu membuktikan minat mereka terhadap pendidikan tinggi Malaysia dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya terutama mengenai aspek kualiti dan inisiatif kita lakukan, ini memberi ruang besar kepada kita untuk mempromosi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, selepas sesi dialog itu, ramai dalam kalangan wakil negara bertemunya untuk menjalin kerjasama dengan MQA berteraskan pendekatan pengiktirafan bersama antaranya dari India, Yaman, Libya dan Jordan.

Beliau berkata, MQA akan bekerjasama dengan badan akreditasi di luar negara supaya mempunyai persetujuan mana-mana program IPT Malaysia yang sudah menerima akreditasi MQA akan diterima pakai oleh mereka dan begitulah sebaliknya.

Katanya, MQA selaku badan tunggal yang menyelia jaminan kualiti pendidikan tinggi akan sentiasa meneroka kerjasama dengan agensi akreditasi luar negara, namun inisiatif itu perlu mendapat sokongan IPT kita dengan menawarkan program yang menepati citarasa pelajar antarabangsa.

“Di MQA, kita sentiasa memastikan kualiti pendidikan tinggi negara berada pada tahap terbaik kerana itulah antara indikator utama mengapa pelajar antarabangsa memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian mereka.

“Semua inisiatif ini selaras dengan fokus Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dalam ucapan menteri pada Landasan Tahun Baru KPT 2024 dan sesi libat urus bersama perwakilan negara luar,” katanya. 

Mahalini buai perasaan penonton dengan penuh romansa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Kehadirannya bagaikan sudah dinanti oleh semua penonton yang hadir memenuhi segenap ruang di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Bijak menguasai pentas dan berusaha berbicara menggunakan bahasa Melayu, penyanyi cantik dari seberang Mahalini Raharja berjaya memukau hampir 5 ribu penonton pada malam konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur yang berlangsung malam Sabtu lalu.

Konsert yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh Kharisma Music itu bermula pada jam 8.30 malam.

Mahalini membuka acara pentas dengan lagu berjudul ‘Bawa Dia Kembali’.

“Terima kasih buat semua yang hadir menyaksikan konsert saya ‘kalian’ are the best,” kata penyanyi berusia 23 tahun itu.

Membawa tema ‘Lovechestra’ (love + orchestra), konsert turut diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.

Tidak ketinggalan penyanyi tempatan iaitu Aishah Retno turut naik ke pentas berduet bersama dengan Mahalini.

Mahalini memberikan kejutan yang memukau penonton dengan persembahan diatas buaian dan tergantung di udara dengan berlatarbelakangkan video pertunangannya bersama penyanyi Rizky Febian menerusi lagu kisah sempurna.

Ternyata, kesemua penonton yang hadir dibuai asyik oleh kemerduan suara yang dimiliki Mahalini selama hampir 2 jam dalam menyanyikan hampir 16 buah lagu kesemuanya seperti Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.

Lebih istimewa, kehadiran Rizky pada malam konsert ternyata membuatkan penonton bersorak riuh apabila ‘Iky’ muncul di pentas menyanyikan bersama lagu-lagu duet Mahalini seperti Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan juga You’re Mine.

Rizky turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.

Meskipun mikrofon Rizky mengalami sedikit masalah teknikal, persembahan tetap diteruskan dengan baik. Kemesraan dan keserasian yang ditunjukkan Mahalini dan Rizky mendapat sorakan riuh penonton.

Dalam pada itu, Mahalini mengejutkan penonton dengan kemunculannya dari bahagian kerusi VVIP dan VIP untuk mempersembahkan lagu terakhirnya yang berjudul Sial.

Malam konsert juga turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta, serta pemenang lainnya dengan hadiah-hadiah yang menarik.

Polis nafi dakwaan Taib Mahmud ‘dilarikan’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud ‘dilarikan’ adalah tidak benar kerana keberadaan beliau diketahui ahli keluarga.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima beberapa laporan dalam media sosial yang dikeluarkan ahli keluarga berkaitan penafian dakwaan Abdul Taib dilarikan.

“Laporan-laporan itu kita ambil dan kita siasat kerana ia bukannya daripada Pesuruhjaya Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman atau saya sendiri.

“Bagaimanapun, dakwaan beliau diculik tidak masuk akal kerana keberadaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu di rumah. Ada anak, adik beradik, doktor dan jururawat,” katanya.

Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan Abdul Taib berada dalam keadaan selamat selepas didakwa dibawa keluar dari sebuah hospital swasta kelmarin.

Menurutya, Abdul Taib kini berada di kediaman beliau di Kuching, Sarawak bersama isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Pada 6 Februari lalu, Mancha mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta terbabit tular di media sosial pada Isnin.

Dalam laporan itu, pengadu mendakwa Abdul Taib telah dibawa keluar dari hospital berkenaan oleh ahli keluarganya, meskipun telah dinasihatkan oleh doktor agar beliau kekal menerima rawatan sewajarnya.

Taib, 87, berkhidmat selama tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Januari lalu.

Lancar kempen ‘Edge of Style’, Converse tampil koleksi De Luxe terbaharu

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama terkemuka Converse kembali mencipta semula gaya Chuck Taylor yang ikonik dengan koleksi De Luxe yang tinggi.

Converse yang terkenal dengan kreativiti dan ekspresi diri turut melancarkan kempen ‘Edge of Style’ selaras dengan penambahan gaya terbaharu bagi koleksi De Luxe.

Jenama yang mahir dalam mencipta gaya yang bersesuaian dengan bentuk dan fungsi itu turut menghasilkan gaya yang di luar jangkaan Chuck menerusi gabungan klasik dan Luxe.

Antaranya ialah Chuck 70 De Luxe Heel yang juga Chuck 70 De Luxe Wedge kini turut didatangi dengan ketinggian sehingga empat inci.

Malah, koleksi itu turut mengubah penutup kaki getah bulat ikonik jenama berkenaan menjadi satu dimensi yang baru sekali gus mengetengahkan DNA Chuck Taylor DNA pada bahagian atas.

Lebih menarik lagi, Koleksi De Luxe baharu itu dilancarkan bersama-sama sebuah siri kerjasama global dengan pasukan kreatif wanita, Martine Ali, dan Feng Chen Wang.

Setiap kolaborator perlu mencipta laluan baharu dan mentakrifkan semula status quo, dan Converse telah menawarkan Chuck yang ikonik Siluet Taylor sebagai inspirasi, dan pemangkin kreativiti untuk menentukan masa depan fesyen.

Sempena pelancaran kempen ‘Edge of Style’ baharu, Converse turut menjadi pemangkin kepada penemuan yang  membolehkan orang ramai meneroka apa yang dimaksudkan untuk menolak melebihi had gaya.

Chuck 70 Deluxe Wedge kini boleh didapati di The Exchange TRX, Pavilion, Mid Valley, Sunway Pyramid, cawangan One Utama dan kedai Digital Flagship converse.my.

Orang ramai juga boleh melayari laman web www.converse.com untuk maklumat lanjut tentang produk Converse, rakan usaha samanya dan tawaran akan datang.

Program Usahawanita bantu naik taraf hidup wanita muda

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Kerajaan Negeri Selangor komited meningkatkan taraf hidup wanita muda dengan menggalakkan penglibatan mereka sebagai usahawan digital.

EXCO pembangunan wanita berkata, sebanyak RM231,000 diperuntukkan bagi menyediakan program Insentif Media Digital Usahawan Wanita Muda (Usahawanita).

“Objektif program ini jelas bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan wanita muda mengenai pentingnya program e-usahawan selain memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan tenaga pengajar.

“Apa yang penting adalah menaik taraf kehidupan wanita dan keluarga mereka seterusnya memberi sesuatu kepada komuniti melalui kejayaan yang diperoleh,” kata Anfaal Saari.

Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan program Usahawanita di Hotel Geno.

Seramai 200 peserta dipilih menyertai program itu membabitkan empat fasa iaitu latihan asas, lanjutan, pratikal dan pertandingan untuk 30 peserta terakhir bersama produk masing-masing.

Program dengan kerjasama Hijrah Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) akan menobatkan seorang Ikon Usahawanita Muda Selangor pada Jun depan.

Anfaal berkata, dunia perniagaan bukan satu bidang yang asing bagi golongan wanita.

“Perlu disedari bahawa kita sedang berada di zaman globalisasi dan kata-kata tempat wanita hanya diceruk dapur adalah tidak relevan lagi.

“Pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tangan yang menghayun buaian itu sebenarnya berupaya menggegarkan dunia adalah benar,” katanya. -Selangorkini

Mizz Nina dakwa Musa alami trauma dan sakit

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Aktivis kemanusiaan, Mizz Nina mendakwa anak angkatnya, Musa mengalami trauma selepas dibawa keluar dari rumah tanpa keizinan dan kebenarannya selama lebih tiga minggu.

Memetik laporan Berita Harian, Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman, 44, berkata Musa berhadapan dengan masalah trauma selepas dipercayai diambil oleh bekas suaminya yang juga penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.

“Bayangkan budak sekecil dibawa keluar dari rumahnya. Dia trauma sebab terpaksa berjauhan dengan keluarga, kawan-kawan dan jiran yang memang rapat dengannya.

“Musa trauma sebab tercari-cari emaknya, tapi tak boleh nak jumpa. Dia mengalami ketakutan yang amat sangat dan begitu juga saya, sangat risaukan Musa,” katanya.

Mizz Nina ditemui di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pagi tadi turut memaklumkan, dia ada membawa Musa berjumpa dengan pakar psikiatri selepas mendapatkan Musa semula.

“Ketika Musa pulang ke rumah, dia mengalami sakit seperti cirit-birit, muntah, kukunya panjang dan kotor.

“Saya dan suami segera bawa Musa berjumpa dengan beberapa doktor dan pakar psikiatri untuk melakukan pemeriksaan ke atas kesihatan fizikal dan mentalnya,” katanya.

Tambah Mizz Nina, kejadian itu juga membuatkan Musa berhadapan dengan masalah pengabaian atau ‘abandonment issue’.

“Sebagai contoh, kalau saya nak bawa keluar, Musa akan takut dan berpegang erat kepada saya. Musa seolah-olah seperti hilang kepercayaan dan merasakan saya takkan kembali kepadanya,” katanya.

Berikutan itu, Mizz Nina menegaskan tiada keperluan untuk bekas suami, Noh Salleh menuntut hak penjagaan bersama.

Dalam masa sama, suaminya, Essam Muhammad menegaskan untuk tidak mahu membabitkan Musa dalam permasalahan memandangkan kanak-kanak itu masih kecil.

“Tiada anak yang ingin membesar bersama ibu bapa yang bercerai. Kenapa Musa yang tidak stabil perlu terbabit dalam keadaan begini.

“Bekas suami (Noh) bukan bapa kandung dan namanya juga tiada dalam dokumen rasmi. Dia (Noh) juga sudah menandatangani SD (akaun berkanun) selepas bercerai dan tiba-tiba, masa kami berkahwin, dia datang nak ambil Musa.

“Musa bukan boleh dibuang sesuka hati. Hormatinya sebagai manusia dan kanak-kanak,” kata Essam.

Semalam, Mizz Nina diwakili peguam dan Essam memutuskan untuk memfailkan penarikan balik kes penjagaan penuh dan inter-parte bagi hak penjagaan sementara bagi Musa.

Terdahulu, Mizz Nina mendakwa Noh membawa keluar anak angkatnya, Musa tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Mizz Nina mengakui ia disifatkan sebagai satu pengkhianatan dan memberikan kesan emosi kepadanya, apatah lagi, dirinya adalah ibu susuan Musa dan tidak pernah berjauhan dengan anak angkatnya selama itu.

Katanya, kejadian anaknya dibawa keluar dari rumahnya berlaku pada 19 Disember tahun lalu ketika dia dalam penerbangan menuju ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.

Mizz Nina kemudiannya mendapatkan perintah mahkamah dan berjaya mendapatkan Musa kembali.

Bagaimanapun, Noh atau nama sebenarnya, Mohammad Noh Salleh, 39, sebelum itu membuat kenyataan dalam program Melodi menafikan ada unsur penculikan seperti didakwa, malah sudah mendapatkan kebenaran ibu kandung Musa untuk menjaga kanak-kanak itu.

Vokalis kumpulan Hujan itu kemudian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dituntut oleh ibu kandung Musa yang hanya mahu dikenali sebagai Athira.

Noh, menerusi hantaran di Instagram (IG) berkata, dia juga akan mengikut beberapa tuntutan lain seperti menarik balik kenyataan yang dikeluarkan termasuk memadam gambar Musa dalam media sosial.