editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Bermula dengan program realiti di media sosial ‘Superlaki’, pendatang baru Aiman Coco melangkahkan kaki setapak lagi ke hadapan di dalam bidang nyanyian bidang yang diminatinya sejak dari kecil.
Sangat meminati penyanyi dari seberang iaitu Charly ST12, Aiman Coco cuba mempertaruhkan lagu berentak balada untuk single pertamanya berjudul ‘Silam’.
Pemilik nama Muhammad Nasrul Ali yang berasal dari Hulu Langat Selangor ini mula berjinak-jinak dalam industri suara sejak di bangku sekolah lagi.
Bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian malah Aiman sangat berkebolehan dalam bidang Qasidah dan seringkali mendapat gelaran juara dalam mana-mana pertandingan yang disertainya.
Seorang yang agak pendiam, pemalu dan sangat ringan tulang, tapi sangat mesra jika seseorang telah mula mengenalinya.
Aiman Coco yang pernah mempunyai single raya bertajuk ‘Raya 4 Suara’ pada tahun lalu bersama tiga orang lagi rakan artis di bawah label muzik yang sama iaitu RR Entertainment.
Pembabitannya dalam lagu menyebabkan pihak RR Entertainment menawarkannya untuk menghasilkan lagu Silam.

Berkongsi perasaannya apabila diberi peluang menghasilkan single Silam, Aiman berkata, segala yang diimpikan telah termakbul.
“Alhamdulillah Allah makbulkan, terima kasih RR Entertainment dan Sony Music Malaysia kerana memberi peluang dan ruang untuk mengetengahkan bakat saya dalam bidang nyanyian.
“Saya amat menghargainya dan akan cuba yang terbaik selagi diberikan peluang.
“Saya sudah lama mengimpikan untuk mempunyai lagu sendiri dan tidak menyangka perkara ini berlaku selepas sahaja menghasilkan lagu raya ‘Raya 4 Suara’.
Berkongsi pengalaman menghasilkan single barunya, Aiman berkata lagu ini bukanlah pengalaman atau cerita peribadinya.
“Mula-mula saya dengar lagu tu memang jatuh cinta jadi saya terus setuju untuk menyanyikan lagu Silam dan inilah juga peluang yang saya nanti-nantikan selama ini.
“Malah saya berharap akan dapat menyampaikan yang terbaik untuk pendengar-pendengar di luar sana supaya cerita di sebalik lagu ini dapat di rasai oleh pendengar. Harap-harap pendengar dapat la rasakannya,” katanya.
Lagu Silam dihasilkan oleh RR Entertainment manakala gubahan sepenuhnya oleh Herda Syira.
Lagu ‘Silam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

