24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 228

Kempen CNY 2024 Media Prima, sebar keriangan #HappyLongLongTime

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Media Prima bakal menyemarakkan kempen #HappyLongLongTime sempena Tahun Baharu Cina 2024.

Kempen ini diterajui oleh 8TV, saluran bahasa Cina No. 1 di Malaysia dan disokong oleh rakan rasmi pelbagai platform seperti saluran radio Eight FM, portal video Tonton, laman portal Rojaklah, Viralcham dan Tantannews (TTN) dan rangkaian TV beli-belah WOWSHOP. 

Tahun ini 8TV akan menampilkan 25 CNY Buddies yang merangkumi selebriti, barisan penyampai TV3 dan radio melancarkan album CNY 2024 bersama dengan barangan eksklusif ‘Happy Long’.

CNY Truck juga akan menjelajah ke beberapa lokasi di Malaysia serta himpunan program-program menarik bagi menambahkan keriangan dan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina 2024.

Ketua Pegawai Operasi 8TV, Kevin Foo berkata, tema tahun ini menggambarkan tuah dan kebahagiaan sentiasa menghampiri kita.

“Semoga ia sentiasa membawa berkat dan rezeki yang berterusan setiap hari supaya kita dapat menempuhi cabaran hidup dengan lebih positif dan optimis.

“Selain itu, kami juga berharap supaya generasi muda kini dapat menghayati erti sebenar sambutan Tahun Baharu Cina serta menghayati warisan kebudayaan masyarakat Cina menerusi aktiviti-aktiviti yang disediakan seperti tarian naga, seterusnya mewarisi kekayaan dan keindahan budaya ini demi membina masa depan yang lebih indah,” katanya.

Lagu tema CNY 2024 ‘Happy Long Long Time’ telah dinyanyikan oleh CNY Buddies seperti Owen Yap, Ong Ching Yee, Tan Chia Yong, Tan Ley Teng, KK Wong, Cherly Lee, Rickman Chia, Orange Tan, Desmond Tey, Natalie Ng, Jan Chin, Jane Ng, Kyann Lim, Ke Qing, Hana Teo, Ngoi Shao Long, Charlotte Seow, Victoria Ng, Loh Chen Yuk, Minsley Chin, Gino Wong, Emily Chua, Choo Yee Jie, Houson Ng dan Bryan Matthew.

Lebih menarik, muzik video ‘Happy Long Long Time’ berlatarbelakangkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di pelbagai zaman.

CNY Buddies juga diberikan cabaran nyanyian dan membuat gerak tari yang lebih kompleks pada tahun ini. 

Selain itu, turut dilancarkan single CNY iaitu ‘You Ni Zhen Hao’ yang dinyanyikan oleh barisan penyampai 8TV popular iaitu Owen Yap, Ong Ching Yee, Rickman Chia dan Orange Tan bersama-sama dengan pelapis baharu yang kian meningkat naik seperti Ngoi Shao Long, Charlotte Seow, Victoria Wong, Loh Chen Yuk, Emily Chua, Houson Ng, serta pempengaruh popular May Ho dan juga Xair Pang, seorang penyanyi yang sering menjuarai pertandingan nyanyian.

Kombinasi menarik ini juga telah menyuntik elemen yang segar dalam lagu ‘You Ni Zhen Hao’.

CNY 2024 dimeriahkan lagi dengan barangan eksklusif seperti plush toy, key chain, pemacu kilat (USB), beg bekalan makanan, kemeja T, set mangkuk seramik dan tikar alas kaki yang boleh didapati di Kedai Buku Popular ataupun menerusi laman web dan e-dagang mereka.  

Untuk tahun ini, 8TV Fun Together diteruskan lagi ekoran sambutan hangat daripada orang ramai dan telah menjelajah ke beberapa lokasi di Malaysia seperti di Taiping & Bercham, Perak, Seremban & Bahau di Negeri Sembilan, Raub & Bentong di Pahang, serta Kajang & Semenyih di Selangor.

Roadshow Happy Long Long Time pula akan memeriahkan dua lokasi terpilih iaitu Gurney Plaza, Pulau Pinang (27 Januari, 2 hingga 4 petang) dan Sunway Pyramid, Selangor (3 Februari, 2 hingga 4 petang). 

Restoran berputar Menara KL beroperasi semula 29 Januari ini

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Restoran berputar ARAS Menara Kuala Lumpur akan mula beroperasi pada 29 Januari ini.

Menara Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, untuk memastikan pengalaman menjamu selera yang terbaik, pengunjung digalakkan untuk membuat tempahan lebih awal, memandangkan tempat yang tersedia adalah terhad.

“Restoran menyediakan gabungan masakan untuk citarasa tempatan dan antarabangsa di mana ARAS menjanjikan pengalaman makan yang unik dengan menu gabungan yang disesuaikan untuk memenuhi citarasa tempatan dan antarabangsa.

“ARAS akan diuruskan oleh MKL Cuisine Sdn Bhd, yang juga anak syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd.

“Restoran ini bersedia untuk menjadi destinasi kulinari utama di ibukota,” kata kenyataan itu.

Untuk fasa ini, ARAS akan menghidangkan makan malam secara eksklusif kepada pengunjung.

Selain itu, untuk menawarkan pengalaman yang lebih menarik, restoran ini juga akan menyediakan majlis tertutup (private function) bagi sesi makan tengah hari.

Sebarang maklumat atau tempahan untuk mendapatkan slot di ARAS, hubungi atau WhatsApp +6011 2888 2020 atau emel kepada booking@aras.kltower.com.my.

Kekangan bajet, Intan jadi bidan terjun, ‘terpaksa’ mengarah filem Banglo Seksyen 12

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Tidak pernah terfikir bakal menjadi pengarah, namun ia bukan alasan buat pelakon Intan Ladyana menyahut cabaran itu menerusi filem arahan pertamanya berjudul Banglo Seksyen 12.

Mulai menemui penonton di seluruh pawagam tanah air hari ini, Intan mengakui sokongan daripada penerbit penyelia naskhah berkenaan dan pengarah bersama filem ini meyakinkan dirinya duduk di kerusi pengarah.

“Sepatutnya saya hanya bertindak sebagai penerbit dan pelakon untuk filem ini.

“Memandangkan ketika itu kami hampir kepada waktu untuk penggambaran saya terpaksa juga mengarah disebabkan kami tidak cukup bajet untuk mengambil pengarah lain.

“Untuk filem ini syarikat produksi saya, Prisma Pictures Sdn Bhd mendapat dana pembiayaan (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) Finas yang disediakan hanya RM500 ribu saja.

“Ada juga beberapa nama pelakon yang kami rasa layak untuk mengarah tetapi mereka menolak kerana tidak sesuai dengan bajet.

“Disebabkan tidak punya waktu lagi untuk cari pengarah, saya terjebak dan menjadi bidan terjun mengarah untuk filem ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan filem Banglo Seksyen 12, baru-baru ini.

Selain Intan, filem ini diarahkan bersama oleh Dharma Nasution serta diedarkan oleh Metrowealth (MiG).

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang menghasilkan filem ini, Intan berkata, penggambaran sepatutnya bermula pada 2020 dan disebabkan pandemik Covid-19 ketika itu, ia ditangguhkan seketika dan penggambaran disambung semula pada tahun 2021.

Malah filem inspirasi daripada novel popular yang menggunakan judul sama hasil tulisan Hasrudi Jawawi itu perlu dirombak beberapa kali berikutan masalah teknikal yang mereka hadapi.

“Selain tertangguh akibat Covid-19, kami sukar merentas negeri disebabkan pandemik yang berlaku.

“Banyak plot dan jalan cerita saya ubah kerana saya mahukan kelainan daripada novel asal,” katanya lagi.

Selain Intan, filem Banglo Seksyen 12 turut dilakonkan oleh Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Mustaqim Bahadon, Farah Yasmin, Faris Fitri dan Faez Malek.

Filem ini mengisahkan tentang pembunuhan misteri sekumpulan remaja pada tahun 2006 di sebuah banglo yang menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal untuk membuat penggambaran sebagai kandungan di platform digital mereka. 

Tekad banteras rasuah, PEKEMA lakukan kunjungan hormat ke SPRM

editormaxinfo@gmail.com

CYBERJAYA – Persatuan Peniaga dan Pengimpot Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) menunjukkan tekadnya dalam membanteras rasuah dengan melaksanakan kunjungan hormat buat julung kali ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pertemuan yang berlangsung selama satu jam di Ibu Pejabat SPRM itu, Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Azam Baki, memberi fokus kepada inisiatif dan kerjasama strategik yang boleh dilaksanakan oleh kedua-dua pihak dalam membanteras gejala rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Azam berkata, SPRM terbuka untuk menjalinkan kerjasama erat dengan PEKEMA demi meningkatkan keberkesanan langkah-langkah pencegahan rasuah di Malaysia.

“Diharapkan hubungan antara SPRM dan PEKEMA ini dapat diperkasakan melalui perkongsian pengetahuan pada masa akan datang dengan penganjuran program seperti forum berkaitan isu-isu rasuah dan penerangan tentang Akta-Akta SPRM,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazari pula berkata, pihaknya mengungkapkan penghargaan kepada SPRM atas inisiatif kerjasama yang dapat memperkukuhkan hubungan antara PEKEMA dan SPRM.

“Salah satu usulan yang dibicarakan adalah penyelenggaraan program khusus mengenai Akta Rasuah dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram bagi syarikat ahli PEKEMA bertujuan memberikan pemahaman mendalam kepada anggota PEKEMA tentang prosedur penyiasatan yang dilakukan oleh SPRM dalam sesuatu kes,” katanya.

Kunjungan berkenaan dianggap sebagai langkah awal dalam membangun sinergi antara sektor swasta dan agensi pencegahan rasuah, dengan harapan mencapai tujuan bersama untuk mewujudkan masyarakat bebas dari gejala rasuah di Malaysia.

Menerusi kunjungan hormat itu, Nazari turut diiringi oleh Timbalan Presiden PEKEMA, Dato Wan Sazrudeen Wan Zaid; Setiausaha Kehormat PEKEMA, Ahmad Faresh Ahmad Zahid; Bendahari Kehormat PEKEMA, Ikmal Haqemi Ikmal Hisham serta pihak pengurusan PEKEMA. 

Tiga ikon usahawan wanita kongsi kisah dan pengalaman pada program Wacana Srikandi

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Tiga ikon usahawan wanita bakal berkongsi pelbagai kisah dan pengalaman mereka kepada lebih 1,000 tetamu yang dijangka hadir pada program Wacana Srikandi Sempena Hari Wanita Sedunia.

Program anjuran SACC Convec Sdn Bhd (SCSB) itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 5 Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Nor Azlina Amran berkata, tiga ikon berkenaan akan menyertai forum yang juga sebahagian daripada acara menarik sempena sehari program Wacana Srikandi yang akan membicarakan aspek ekonomi dan sosial.

“Tiga ikon yang terbabit itu ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aliza Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd, Aleeya Zailan dan penerima Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor, Masitah Mohd Affandy.

“Mereka terbabit dalam forum bual bicara wanita bertajuk Wanita Inspirasi Ikon Berkualiti pada program itu yang dihoskan oleh Fedtri Yahya.

“Forum ini dijangka memberikan pencerahan kepada tetamu yang hadir mengenai peranan wanita dalam dunia yang kian mencabar ini.

“Kami berharap perkongsian kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan akan memberikan manfaat kepada mereka yang hadir,” katanya.

Dengan tema ‘Memperkasakan Wanita, Mengarus Perdana Gender’, program itu bertujuan memperingati peranan wanita dalam pelbagai bidang dan memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus mencapai kerjaya dan kehidupan.

‘’Setiap kejayaan seorang wanita pasti ada satu perkara yang menyebabkan mereka bangkit, dari situ saya terfikir kenapa tidak memanggil tokoh untuk berkongsi.

‘’Kita juga akan merungkai apakah rahsia di sebalik kejayaan panel-panel kita pada hari berkenaan di dalam keadaan dunia yang semakin mencabar ini,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, yang diadakan semalam.

Hadir sama Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Sapna Turmidi dan penyanyi terkenal, Syamel serta beberapa penaja utama.

Wacana Srikandi itu bakal dirasmikan oleh Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Azlina berkata, program Wacana Srikandi diadakan bagi memperingati peranan wanita dalam pelbagai bidang dan memberikan inspirasi kepada generasi baharu untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

“Program ini diharap menjadi medium untuk berkongsi kisah pahit manis dan kejayaan tokoh-tokoh wanita di Malaysia dengan harapan kisah mereka dijadikan panduan untuk menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.

Katanya, penaja utama program itu ialah PKNS, Menteri Besar Incorparated, Worldwide Holdings Berhad, Selgate Corporation, Argania, Ferraflora dan kerjasama Thrillerz dan www.myticket.asia.

Program Wacana Srikandi bakal dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi terkenal tanah air seperti Anuar Zain, Syamel dan Ernie Zakri.

Mereka yang berminat untuk menyertai program Wacana Srikandi boleh membuat pembelian tiket melalui www.myticket.asia

Usahawan Nur Sajat dedah dirinya derita kanser dan mohon maaf

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usahawan kontroversi, Nur Sajat membuat pendedahan dirinya kini sedang menghidap sakit kanser.

Dalam siaran langsung di aplikasi TikTok itu, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 39, berkata, dia kini sedang sakit dan menunggu ajal.

Pendedahannya itu turut meraih simpati orang ramai yang menyaksikan siarang langsung berkenaan.

“Saya sebenarnya sakit, sakit kanser. Kalau saya tak sempat untuk meminta maaf, saya minta maaf sekarang,” katanya.

Namun begitu, Sajat tidak mendedahkan secara terperinci kanser apakah yang dihidapinya.

Sajat berkata, peminatnya tidak perlu berasa sedih dengan dugaan yang menimpa dirinya itu.

“Korang tak perlu rasa sedih, kerana saya masih boleh berhibur walaupun menghidap kanser. Bagi saya itu sudah cukup membuat diri saya rasa seronok. 

“Kalau tiba-tiba saya senyap maksudnya saya sudah tiada lagi,” katanya sambil menangis di siaran langsung berkenaan.

Untuk info, Nur Sajat kini menetap di Australia selepas dikatakan ‘melarikan diri’ daripada pihak berkuasa Malaysia berikutan waran tangkap ke atasnya dikeluarkan kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita pada tahun 2018. 

HONOR Magic V2 dijual di seluruh negara mulai esok

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Prapesanan HONOR Magic V2 telah menerima sambutan hangat sejak dilancarkan pada 16 Januari lalu.

Orang ramai masih boleh membuat prapesanan telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia ini sebelum jualan rasmi di seluruh negara bermula esok.

HONOR Magic V2 dijual pada harga RM6,999 dengan kapasiti storan 16+512GB dan didatangkan dalam tiga warna premium iaitu hitam Black, ungu Purple dan hitam Black (PU).

Bagi setiap pembelian HONOR Magic V2, pembeli akan membawa pulang hadiah percuma bernilai sehingga RM2,247 yang merangkumi HONOR CHOICE Haylou, Pemegang Telefon Boleh Lipat Graviti Kereta dan Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari.

HONOR Magic V2 boleh dibeli di laman web rasmi HONOR, Kedai HONOR, Shopee, Lazada, Tik Tok Shop, termasuk pengedar sah Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic. Selain itu, telefon ini juga boleh didapati di CelcomDigi dan Maxis, manakala akan datang U Mobile dan Yes.

HONOR turut menawarkan pilihan pembayaran lebih mudah dengan pelan ansuran 0 peratus selama 6 hingga 24 bulan.

Pelanggan boleh membeli peranti ini dengan bayaran serendah RM291.63 sebulan*.

Tonton HONOR Magic V2 Di Buka Satu Persatu

Sementara itu, nantikan video memaparkan HONOR Magic V2 dibuka satu persatu di Facebook HONOR Malaysia pada 26 Januari ini.  

Video ini akan menunjukkan proses bermula dengan membuka bahagian belakang HONOR Magic V2 diikuti setiap komponen yang menyumbang kepada ciptaan hebat telefon ini.

HONOR Magic V2 telah dibina semula dengan 210 teknologi yang dipatenkan.

Turut ditonjolkan dalam proses ini adalah bateri dwi-sel karbon silikon 5000mAh yang canggih dan pertama kali digunakan dalam kenderaan elektrik seperti Tesla.

Dengan ketebalan hanya 2.72mm, bateri ultranipis ini meletakkan HONOR sebagai perintis dalam teknologi bateri termaju di dalam industri telefon boleh lipat.

Video ini juga menunjukkan perbandingan kenipisan bateri dengan sekeping kad RFID dan pemegang kad 5.33mm.

HONOR Magic V2 membuktikan gelarannya sebagai telefon boleh lipat paling nipis di dunia dengan ukuran 9.9mm apabila dilipat dan 4.7mm apabila dibuka.

Berat hanya 231g menjadikan telefon ini selesa disimpan di dalam poket selain mudah dibawa ke mana-mana.

Bagi mencapai keseimbangan kenipisan, berat dan ketahanan, HONOR menggunakan aloi titanium untuk menghasilkan engsel HONOR Magic V2.

Telefon ini mampu menahan lebih 400,000 lipatan, dengan 100 lipatan sehari dan mencapai jangka hayat sehingga 10 tahun.

Apabila dibuka, paparan telefon ini adalah 7.92 inci, mengabungkan telefon pintar dan tablet.

Ciri multitetingkap membolehkan empat aplikasi dibuka sebelah menyebelah serentak dan ini melacarkan tugasan.  

HONOR Magic V2 dilengkapi Pemalapan PWM 3840Hz bersama Pemalapan Dinamik dan Paparan Malam Sirkadia bagi mengurangkan ketegangan mata serta memberi kualiti tidur lebih baik.

Ciri-ciri inovasi ini menunjukkan komitmen HONOR dalam mencipta produk inovatif yang hebat dan fungsi rekaan dengan teknologi tercanggih.

Dari kemeja batik, Eizlan tercetus idea hasilkan baju kurta

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Minatnya yang sering menggayakan baju batik mencetuskan idea buat pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof terjebak dalam perniagaan penghasilan baju kurta.

Eizlan yang juga duta kepada jenama Annissa My Batik berkata, idea itu tercetus selepas masing-masing berbincang untuk mengeluarkan koleksi edisi Hari Raya Aidilfitri.

“Selepas berbincang saya mengambil peluang untuk mengeluarkan baju kurta jenama sendiri, kerana saya sendiri begitu meminati baju kurta.

“Ini kerana potongannya yang longgar ditambah fabrik cotton yang lembut memberi keselesaan kepada si pemakai.

“Saya sendiri, sukakan apa sahaja pakaian yang selesa, mudah untuk bergerak dan sesuai dengan cuaca negara kita.

“Kerana itulah saya memilih baju kurta yang dilihat paling sesuai dan boleh dipakai secara kasual atau rasmi di mana-mana majlis,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan koleksi kurta yang diberi nama Joe Kurta by Eizlan Yusof, baru-baru ini.

Eizlan berkata, sebagai permulaan sebanyak 1200 helai akan dijual di mana enam pilihan warna dihasilkan bagi melihat sambutan orang ramai terhadap koleksi ini.

“Sebagai pengenalan kita hasilkan enam warna sahaja dahulu antaranya putih, hitam, kelabu, hijau, merah dan khaki.

“Harga asal adalah RM119 dan promosi selama dua mingu kami jual pada harga RM79 sahaja.

“Insya-Allah, jika mendapat permintaan baik dari pelanggan, kami akan cuba tingkatkan pengeluaran.

“Namun begitu, buat masa ini pengeluaran mengikut kemampuan kilang kerana saya tidak mahu berlaku masalah tidak dapat memenuhi permintaan pasaran,” katanya lagi. 

Sementara itu, Pengasas Annissa My Batik, Nur Annissa Hawa Zaidi berkata, pihaknya memilih menjalinkan kerjasama dengan Eizlan Yusof memandangkan pelakon itu memahami kesesuaian pemakaian batik dan kurta.

“Saya melihat dia mengikuti perkembangan pakaian untuk orang lelaki.

“Saya berharap kerjasama penghasilan kurta ini dapat meluaskan lagi jenama Joe Kurta dan Annissa My Batik di seluruh Malaysia,” katanya.

Joe Kurta by Eizlan Yusof boleh didapati di beg kuning TikTok rasmi Annissa My Batik atau secara fizikal di KL East Mall atau Four Season, Kuala Lumpur. 

Konsert Jilid Akhir:Ella Puteri Kota di Sabah meriah

editormaxinfo@gmail.com

KOTA KINABALU – Fenomena konsert Jilid Akhir:Ella Puteri Kota melanda ibu kota Sabah dengan persembahan Ratu Rock Malaysia Ella pada malam Sabtu lalu.

Pengalaman yang sangat menakjubkan itu berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) pada jam 8.30 malam yang dibawakan oleh penganjur acara terkemuka, Hitman Solutions bersama RockQueen.

Selepas konsert berakhir, Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin mengakui sangat tersentuh dengan sambutan yang diterima dari peminat-peminat.

“Terima kasih ‘urang’ Sabah atas sokongan yang tidak terhingga. Saya berharap semua orang yang hadir ke konsert dapat jadikan ini suatu memori yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Siri Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang bermula di Axiata Arena Bukit Jalil Kuala Lumpur melakar sejarah apabila menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold-Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh The Malaysia Book of Records.

Kemudian di Spice Arena Pulau Pinang mengumpulkan 14,000 Ellasgang, dan kini, di Kota Kinabalu, Sabah, kesemuanya punyai kejayaan tersendiri.

“Kota Kinabalu ‘special’ dan dekat di hati saya kerana di sinilah lokasinya saya dan suami mula berkenalan sewaktu mula-mula bercinta dahulu dan menjadi memori terindah kami,” kongsi Ella tentang lokasi keempat konsert jelajah ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, kejayaan demi kejayaan diraih melalui siri jelajah konsert Jilid Akhir:Ella Puteri Kota ini adalah untuk peminat yang ingin merasakan konsert bertaraf antarabangsa untuk artis tempatan kesayangan mereka.

“Kami di Hitman Solutions akan terus memberikan kepuasan yang maksimum buat penggemar muzik di Malaysia, dan nantikan pengumuman kami yang seterusnya,” katanya.

Konsert yang berlangsung sekitar 2 jam lebih di bawah bimbingan pengarah muzik tersohor, Datuk Acis itu mempersembahkan hampir 30 buah lagu di antaranya Standing In The Eyes Of The World, Kesal, Retak, Anak Patung dan banyak lagi.

Malam itu telah menjadikan lokasi keempat untuk Jilid Akhir: Ella Puteri Kota namun peminat masih mempunyai permintaan untuk jelajah di teruskan di lokasi-lokasi lain.

Sebagai penghargaan kepada negeri Sabah yang penuh dengan budaya, suatu persembahan kejutan dibawakan oleh Kumpulan Budayawan dengan tarian tradisional Sabah.

Peminat-peminat terkesima dengan bunyian tradisional di konsert rock menjadikan ini suatu pengalaman yang tidak mungkin boleh dilupakan.

Konsert gilang gemilang ini tidak mungkin dapat di teruskan tanpa sokongan dari rakan-rakan penaja yang telah bersama-sama menjayakan Jilid Akir: Ella Puteri Kota iaitu Era Sabah & Sarawak (Radio Rasmi), Imago Shopping Mall (Rakan Pusat Membeli-belah Rasmi), Ming Garden Hotel & Residences (Rakan Hotel), D’Bundle Mania, Jee Harris Corporation, Film Horizon, BluPrints, Mangkuk Malaysia (Rakan Sokongan) dan Rafa Travel (Rakan Pengangkutan Rasmi).