24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 229

Undian kini dibuka, Gempak Most Wanted Awards kembali dengan tema Y2K

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Anugerah berprestij Gempak Most Wanted Awards (GMWA) 2023 kembali lagi dan bakal berlangsung pada 25 Februari depan.

Mengumumkan finalis Top 5, kali ini sembilan kategori bakal dipertandingkan.

Acara kemuncak itu bertujuan mengiktiraf personaliti serta bakat-bakat pencipta kandungan digital terkemuka dari pelbagai latar belakang.

Dengan tagline ‘Terpaling Trending!’, calon-calon Top 5 ini adalah pilihan pengguna media sosial pada undian fasa pertama dari 30 November hingga 30 Disember 2023 yang lalu menerusi laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com.

Menampilkan tema Y2K, GMWA 2023 akan mengimbas kembali era kebangkitan evolusi digital dari segi fesyen, muzik, dan gaya hidup.

Antara yang tercalon dalam senarai Top 5 GMWA 2023 termasuklah Amir Ahnaf, pelakon popular yang telah menambat hati ramai peminat dalam kategori ‘Selebriti Digital Tergempak’, bersama-sama Datuk Seri Siti Nurhaliza, Anna Jobling, Meerqeen dan Amir Masdi.

Runut bunyi filem pecah panggung, Polis Evo 3 yang dinyanyikan oleh Malique, Kmy Kmo, Aman Ra & Ernie Zakri bertajuk Ayuh, turut tercalon dalam kategori iaitu ‘Lagu/Audio Tergempak’, diikuti dengan lagu Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Pergilah Cinta (Danial Kifli), Test Drive (Firdaus Rahmat)  dan audio Makcik Dodoi (@chemass_kaklong). 

Pempengaruh resepi masakan kegemaran rakyat Malaysia, Che Nom turut bersaing dalam acara anugerah ini dalam kategori ‘Digital Content Creator (Lifestyle) Tergempak’ bersama Amin  & Abid Othman, Auntie Purple, Nelysa Norazlan  dan juga Ow To The Zie. 

Selain calon Top 5 GMWA 2023, turut diperkenalkan barisan hos yang akan mengemudi malam anugerah.

Amelia Henderson dan Sean Lee, selaku hos tetap program mingguan Gempak Most Wanted akan digandingkan bersama Zizan Razak dan Sherry Alhadad. 

Undian calon Top 5 bagi setiap kategori boleh dilakukan di laman rasmi www.gempakmostwantedawards.com bermula 17 Januari, jam 6 petang sehingga 25 Februari 2024, jam 12 tengahari. 

Pemenang setiap kategori akan diumumkan pada malam anugerah GMWA 2023. 

Mengekalkan format yang sama seperti tahun sebelumnya, calon yang mendapat undian keseluruhan tertinggi daripada kesemua kategori akan dinobatkan sebagai pemenang anugerah utama ‘Gempak Most Wanted 2023’.

Selain itu, anugerah ‘Gempak Hall of Fame’ juga diberikan kepada calon yang telah memberi impak yang tinggi kepada masyarakat berdasarkan undian daripada pengguna media sosial dan peminat.

Malam anugerah GMWA 2023 akan berlangsung pada 25 Februari 2024 secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, eksklusif di saluran Astro Ria (104) dan On Demand.

Acara ini juga boleh ditonton di platform penstriman YouTube, Facebook dan TikTok Astro Gempak menerusi GMWA 2023 Live+.

Acara kemuncak ini bakal menampilkan konsep Y2K, dengan kehadiran artis-artis ternama dan personaliti media sosial.

Acara berprestij GMWA 2023 akan dimeriahkan dengan persembahan daripada DOLLA, Akim & The Majistret, Aina Abdul, Khai Bahar dan kemunculan istimewa, diva Nusantara.

GMWA 2023 turut menampilkan segmen Sunsilk Moisture Boom di malam anugerah.

Satu kategori khas diwujudkan dengan nama ‘Anugerah Next Level Rambut Tetap Boom!’, di mana semua peminat berpeluang untuk mengundi kategori ini melalui laman web dan maklumat lanjut akan dikongsikan menerusi rancangan mingguan Gempak Most Wanted pada bulan Februari nanti.

Bawa teknologi Jepun, Speed Car Auto peneraju utama mesin penghawa dingin kereta di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Kekal menjadi peneraju utama pengeluar mesin dan alat ganti penghawa dingin kereta di Malaysia, Speed Car Auto Parts Sdn Bhd terus berbangga apabila berjaya membawa teknologi Jepun dengan buatan Malaysia.

Pengasasnya, Yap Kwee Heng berkata, pertambahan kenderaan di Malaysia memerlukan dia lebih cekap dalam mengatasi masalah penghawa dingin kereta.

Justeru, menjadi pengeluar utama mesin berkenaan di Malaysia memerlukannya mencari alternatif bagi mengatasi masalah pelanggan.

“Sebelum ini saya membawa masuk mesin dari luar negara dan berlaku masalah servis selepas jualan yang teruk berikutan ketiadaan alat ganti dan pengetahuan yang kurang dikalangan pengusaha bengkel.

“Disebabkan masalah itu saya mengambil inisiatif untuk membawa teknologi luar dan saya aplikasikan mengikut kesesuaian kereta dan cuaca di Malaysia.

“Saya berjaya mendapatkan teknologi dari Jepun dengan kerjasama daripada rakan niaga di China.

“Dengan kerjasama ini semua pemasangan kami lakukan di Malaysia tanpa sebarang masalah,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran bangunan milik SP Zone Speed Car Auto Parts di Seksyen 35, Shah Alam, Selangor.

Yap berkata, kini SP Zone adalah yang pertama di negara ini mengeluarkan teknologi mesin penghawa dingin automotif dengan jenama sendiri.

“Kami bangga kerana mempunyai mesin berteknologi tinggi ‘made in Malaysia’,” katanya lagi.

Speed Car Auto Parts Sdn Bhd berjaya mencapai kedudukan sebagai peneraju pasaran industri dalam tempoh yang singkat disebabkan profesionalisme dan dedikasinya kepada pelanggan.

Pada masa ini juga, Speed Car Auto Parts berjaya menembusi pasaran 8 negara antaranya Malaysia, Singapura, China, Taiwan, Filipina, Thailand, Brunei dan Indonesia. 

Waruga, kisah seram inspirasi daripada adat & kepercayaan kuno kaum Minahasa

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Perkataan ‘Waruga’ mungkin agak asing dalam kalangan orang Malaysia, namun ia bermaksud tempat persemadian mayat atau makam (kubur) orang yang meninggal dunia bagi kaum Minahasa yang wujud di Indonesia.

Mengikut kepercayaan Minahasa, jasad manusia yang meninggal dunia akan disemadikan di dalam Waruga dengan kedua-dua lutut dirapatkan ke dada seperti kedudukan bayi semasa dalam kandungan kerana dipercayai jasad berkenaan akan dilahirkan semula pada masa akan datang.

Melihat kepada keunikan kepercayaan berkenaan, ia telah memberi ilham kepada D’ Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Waruga – Kutukan Ilmu Hitam.

Pengarahnya, Azaromi Ghozali atau Romi berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula dengan penceritaan seorang penulis bernama Gawar Sawba’yah mengenai kepercayaan kuno berkenaan.

“Pada masa sama, saya turut mempunyai sebuah idea cerita seram yang berkait dengan ilmu hitam dan pemujaan mayat, secara tak langsung ia berkait dengan kepercayaan kaum Mihanasa ini.

“Jadi saya gabungkan dua idea ini dan terhasilnya filem Waruga. Filem ini menceritakan tentang ilmu hitam serta pemujaan untuk membangkitkan semula jasad orang yang telah mati.

“Saya memilih tajuk Waruga ini sebagai simbolik dan inspirasi kepada upacara kelahiran semula mengikut kepercayaan Minahasa,” katanya.

Romi berkata, beberapa babak yang dipaparkan dalam filem itu tidaklah dipaparkan dengan terlalu extreme kerana terikat garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem demi menjaga sensitiviti masyarakat.

Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan jalan cerita dan babak-babak yang dirasakan tidak sesuai itu telah diringankan agar sesuai untuk ditonton dan Filem Waruga berjaya mendapat P13.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Februari depan, Waruga menampilkan barisan pelakon popular seperti Zahiril Adzim, Datin Elvina Mohamad, Eriza Allya, Sahronizam Noor, Ustaz Dinie, Along Eyzendy, Izzue Islam, Ruminah Sidek, Nizam Kama, Putri Amirah Maisara dan Syed Irfan.

Berkongsi mengenai cabaran sepanjang pembikinan filem Waruga, Romi mendedahkan pelbagai perkara yang terpaksa dilalui dengan beberapa kejadian pelik yang menimpa pelakon dan kru penggambaran.

“Boleh dikatakan bermacam-macam kejadian yang terpaksa kami tempuh.

“Antaranya, salah seorang stuntman yang terjatuh dari siling ke lantai bilik kerana seakan ditolak oleh sesuatu dan menyebabkan tulang bahagian pangkal peha patah. 

“Begitu juga kejadian yang dilalui dua pelakon utama iaitu Zahiril dan Elvina yang turut ternampak ‘benda’ menyeramkan di depan mata.

“Apapun saya lega apabila penggambaran dapat diteruskan sehinggalah siap,” katanya.

Menjalani penggambaran di sekitar Lembang Klang pada Mac 2021 selama 20 hari, Romi menyatakan Waruga bukanlah sekadar sebuah naskhah seram semata-mata.

Katanya, filem terbaharu arahannya itu memberikan kelainan dengan menimbulkan banyak konflik hubungan yang diperkuatkan lagi dengan elemen seram. 

“Untuk filem ini, saya menggunakan konsep ‘open ending’ supaya penonton boleh membayangkan sendiri apa kisah yang berlaku seterusnya. 

“Apapun saya inginkan mereka yang menonton filem ini melihat dari sudut positif tentang mesej yang disampaikan.

“Misalnya masih ada segelintir masyarakat yang masih terpedaya dengan tipu daya iblis sehingga melakukan perbuatan yang sesat dan salah di sisi agama,” katanya.

Sementara itu, Penerbit D’ Ayu Pictures, Dato Rosmarayu Mokhtar berkata, pihaknya tertarik untuk menerbitkan filem seram kerana genre seram adalah salah satu kegemaran penonton tempatan dan sering mendapat sambutan yang baik.

Katanya, selepas kali pertama menerbitkan filem seram Harum Malam, dia merasakan Waruga yang menelan kos pembikinan sebanyak RM1.8 juta menampilkan sebuah jalan cerita yang menarik yang diinspirasikan daripada sebuah kepercayaan kuno.

“Sudah tentu sebagai seorang penerbit, saya mengharapkan filem ini mendapat sambutan hangat penonton, terutama kepada penggemar filem seram.

“Malah saya turut dilamar oleh tiga syarikat pengedaran dari Indonesia bagi mengadakan tayangan serantak di sana.

“Filem Waruga juga bakal ditayangkan di negara asean lain seperti Vietnam, Myammar, Singapura, Brunei dan Filipina.

“Sekurang-kurangnya dengan kutipan memberangsangkan, mungkin filem ini nanti akan ada sambungan atau saya akan terus menghasilkan filem seram yang lain pula,” katanya.

SINOPSIS

Mengisahkan seorang penuntut ilmu perubatan tradisional iaitu Rewan yang tidak dapat menerima kematian isterinya.

Rewan mula merayu kepada Mbah Usu Lijah yang juga guru perubatannya kerana dia tahu Mbah Usu Lijah memiliki ilmu membangkitkan jasad tanpa roh melalui kitab keturunan kaum Mihanasa.

Walau bagaimanapun Mbah Usu Lijah tidak membenarkan ia berlaku kerana Rewan bukan dari keturunan berkenaan dan jika dia mahu juga perlu melalui beberapa fasa atau tempoh waktu.

Sikap tidak sabar Rewan terlalu memuncak sehinggakan dia sanggup mencuri kitab berkenaan serta membunuh Mbah Usu Lijah.

Sebelum semua kejadian ini berlaku, Rewan telah mengarahkan anak tunggalnya Yamin untuk keluar dari kampung itu supaya tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap Yamin atas sebab kelakuannya. 

Selepas 10 tahun, Yamin telah menikahi seorang gadis bernama Ardila dan hidup tenang bersamanya.

Walaubagaimanapun, Yamin merahsiakan tentang keluarganya dengan menyatakan ayah dan ibunya telah lama meninggal.

Tidak serik, Naqiu masih berharap ada peluang jayakan konsert bersama Boboy

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan vokalis Boboy, Naqiu, masih berharap mempunyai peluang untuk menjayakan konsert bersama kumpulan Boboy.

Naqiu berkata, sebelum ini ada beberapa penganjur yang datang kepadanya menawarkan untuk menganjurkan konsert bersama kumpulannya itu.

Namun, sehingga kini janji hanya tinggal janji, malah dia membuang masa bertahun berbincang dan terkilan seolah-olah dipermainkan.

“Penganjur berkenaan seperti memberi harapan tetapi pertemuan bagi membincangkan konsert berakhir dengan sesi borak-borak kosong.

“Saya sebenarnya tidak pasti niat sebenar penganjur namun sikapnya yang sering ‘memancing’ untuk bertemu menggunakan nama Boboy menyebabkan saya rasa sakit hati untuk berurusan lagi.

“Kerenahnya ini berlanjutan lebih 10 kali dalam tempoh dua tahun kami berjumpa tetapi perancangan ke arah konsert tidak nampak apa-apa,” katanya kesal.

Juara Gegar Vaganza musim keenam itu berkata, dia mengesyaki motif individu itu menggunakan nama Boboy untuk bertemu hanya untuk cuba merapati dirinya.

“Terus-terang saya katakan, memang saya sakit hati dengan penganjur itu.

“Saya tidak meletakkan apa-apa syarat yang melampau dalam kerjasama konsert ini tetapi tidak faham mengapa dia bersikap sedemikian.

“Saya juga tidak mengharapkan ‘bulan dan bintang’ cukup sekadar penganjur komited menyediakan kelengkapan yang sewajarnya.

“Banyak benda saya minta dia tak boleh tunaikan, dan kemudian dia senyap-senyap tukar tarikh tanpa pengetahuan saya. Sudah tiga kali tukar tarikh,” katanya.

Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE), baru-baru ini.

Katanya lagi, sehingga kini Boboy tidak pernah mengadakan sebarang konsert membuatkan dia akan lebih berhati-hati lagi selepas ini.

“Boboy membawa nilai yang tinggi dalam hidup saya, jangan berani main-main dengan nama Boboy.

“Saya memang tidak serik dan berharap dapat mengadakan konsert Boboy sebab apabila buat persembahan solo pasti ada peminat minta nyanyikan lagu Boboy.

“Tidak adil jika nak bawa nama saya seorang sebab Boboy satu hal yang besar buat saya,” katanya lagi.

Suami isteri terpaksa duduk atas air kencing selama 10 jam penerbangan

editormaxinfo@gmail.com

WELLINGTON – Sepasang suami isteri yang menaiki pesawat Qantas Airways dari Bangkok, Thailand ke Sydney, Australia terpaksa menempuh pengalaman kurang menyenangkan apabila mendakwa harus duduk di kerusi yang basah dengan air kencing.

Pasangan yang berasal dari New Zealand itu menuntut bayaran balik sepenuhnya terhadap tambang yang mereka bayar bagi penerbangan mengambil masa 10 jam itu.

Pada awalnya, Qantas Airways menolak tuntutan itu, namun akhirnya memohon maaf dan membayar pasangan terbabit selepas perbalahan yang berpanjangan.

Hindustan Times yang memetik NZ Herald melaporkan ketika dalam pesawat, pasangan itu meletakkan barangan mereka di ruang bawah depan tempat duduk, namun apabila mahu mengambil barang itu, mereka mendapati ia basah termasuk bantal Qantas.

Mereka kemudian menyimpan barangan lain di kompartmen di atas kepala dan menerima bantal baru.

Bagaimanapun apabila menemui seluar dalam kanak-kanak di bawah tempat duduk mereka, pasangan itu membuat kesimpulan bahawa cecair yang mengotorkan barang mereka bukan air, sebaliknya air kencing.

Apabila membuat laporan, penyelia syarikat penerbangan itu menawarkan 10,000 mata Qantas sebagai ganti rugi tetapi ditolak pasangan berkenaan kerana mereka memutuskan untuk tidak lagi menaiki penerbangan dengan Qantas Airlines.

Mereka menuntut bayaran penuh dan mengganggap tawaran mata ganjaran itu tidak setimplan dengan pengalaman mereka yang terpaksa duduk di atas sisa najis.

Perbalahan suami isteri itu dan syarikat penerbangan berlanjutan dengan beberapa siri balasan emel sehinggalah syarikat akhirnya bersetuju membayar balik tambang dan memohon maaf.

Namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung cecair yang terdapat di lantai pesawat ketika kejadian. -Agensi

Mahu terus kekal relevan, Suria FM perkenal barisan penyampai radio baharu

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Dalam usaha untuk terus kekal relevan dalam industri radio, Suria FM tampil memperkenalkan barisan baharu penyampai radionya iaitu Datuk Fizz Fairuz, Chiwan Cilok dan Kai Hassan. 

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin berkata, kemasukan penyampai baru di Suria FM ini adalah salah satu langkah Suria seiring dengan keperluan semasa, untuk memantapkan dan mengukuhkan lagi tunggak utama barisan penyampai sebelum menjelang ‘Radio Survey’yang akan berlangsung bermula 18 Februari hingga 30 Mac 2024 ini.

“Fizz Fairuz bakal keudara di segmen Morning Morning Suria bersama Ajak dan Suraya pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi sehingga 10 pagi.

“Manakala Kai Hassan, bakal keudara dan mengambil alih segmen Morning Morning Suria dan Carta Suria Top 40 sepanjang tempoh Suraya bersalin bagi memastikan kelangsungan kualiti kandungan bagi kedua-dua segmen ini.

“Manakala Chiwan Cilok akan bergandingan bersama Rara menemani petang pendengar menerusi segmen Suria Petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 3 petang sehingga 7 petang.

“Setiap penyampai dipilih melalui proses pemilihan yang teliti, menekankan kemahiran profesional dan pengalaman luas selain mempunyai bakat serta minat yang mendalam dalam bidang penyiaran radio,” katanya pada majlis pengenalan mereka, baru-baru ini.

Selain memperkenalkan penyampai baharu, Suria FM turut menyajikan seleksi program hiburan dan ilmiah menarik antaranya Seikhlas Suria di mana Suria FM dengan berbesar hati ingin memberikan wang tunai sebanyak RM24,000 kepada pendengar bagi menghargai mereka yang masih menyokong Suria FM.

“Bermula 22 Januari sehingga 16 Februari, pendengar hanya perlu menghantar Whatsapp bagi pendaftaran di segmen (Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang atau Suria Cinta) dan pendengar berpeluang mendapat RM300.

“Selain itu, Ybae Suria Masuk Kampung adalah program CSR bagi mendekatkan penyampai Suria bersama penduduk setempat.

“Penyampai dan penduduk kampung akan menyediakan juadah dan berbuka bersama.

“Pendengar Suria boleh hantarkan penyertaan nama kampung dan ceritakan kenapa Ybae Suria harus ke kawasan mereka pada bulan Ramadan nanti.

“Tidak ketinggalan program Kempen Raikan Yang Dirai yang akan diadakan bersempena Ramadan Raya yang bakal tiba di mana Suria FM dengan bangganya bakal menghasilkan Drama Raya Suria 2024, lagu raya Suria, dan pelbagai program menarik,” katanya.

Tyzo hanya minta naik gaji RM500, akui tidak pernah besar kepala

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Xander, 47, mengakui ada membuat permintaan untuk menaikkan gajinya sebanyak RM500.

Namun tidak menyangka permintaannya itu tidak diendahkan malah situasi lain pula yang berlaku.

“Saya hanya minta naik gaji sebanyak RM500 sahaja. Tetapi ini yang saya terima.

“Pengurusan menolak permintaan saya itu, tetapi saya tetap tandatangani kontrak pada September lalu,” katanya ketika ditemui pada sidang media, petang tadi. 

Penama penuh Tuah Zolqarnain Idris itu berkata, dia turut terkilan apabila wujud dakwaan mengatakan dirinya besar kepala hanya kerana minta dinaikkan gaji.

“Mereka boleh mengambil tiga penyampai baharu tetapi tidak mampu untuk memberi kenaikan gaji yang saya minta.

“Kalau saya besar kepala atau berlagak diva, saya tidak akan tandatangan kontrak berkenaan,” luahnya kesal.

Dalam pada itu, Tyzo menafikan dakwaan dia tidak lagi berminat untuk terus berkhidmat di stesen radio berkenaan.

“Mereka buat kesimpulan saya tidak berminat hanya kerana tidak maklumkan awal mengenai keputusan berkaitan kontrak kepada pihak pengurusan.

“Berbeza dengan kontrak Sharifah Shahirah yang diperbaharui enam bulan sekali tetapi permintaan saya dipertikai pula,” katanya.

Tyzo berkata, dia juga sudi untuk berdamai dengan stesen radio berkenaan dan sedia kembali berkhidmat sekiranya masih diberikan peluang.

“Saya terbuka berdamai dan masih mahu kembali menjadi penyampai radio di Suria FM.

“Saya juga tidak ada masalah dengan stesen radio sebaliknya isu ini berlaku hanya antara saya, DJ Lin dan JJ.

“Saya sudah tahu kontrak akan ditamatkan pada 4 Januari lalu tetapi saya hanya berdiam diri sehingga 12 Januari, Jumaat lalu,” Katanya yang tidak reda dengan apa yang berlaku.

 

Bukan tanggungjawab DJ Lin, dia hanya mangsa tuduhan – Pengerusi Star Media Radio

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Susulan kontroversi penamatan kontrak penyampai radio, Tyzo Xander, wakil stesen radio Suria FM tampil menjawab segala persoalan dan dakwaan yang timbul sehingga membabitkan nama DJ Lin.

Pengerusi Star Media Radio Group Berhad (SMRG), Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse berkata, pihaknya kesal apabila isu itu turut memberi kesan kepada DJ Lin yang juga Pengurus Besar Suria FM.

Katanya, DJ Lin bukan individu yang bertanggungjawab membuat keputusan, sebaliknya segala keputusan yang sudah muktamad datang daripada dirinya sendiri.

“Saya sudah maklumkan pada Tyzo bahawa kontraknya tidak diteruskan dan mencadangkan tarikh akhir dia bersiaran adalah pada 12 Januari lalu.

“Saya juga minta dia buat rakaman sesi akhir di konti dan dia maklumkan tidak akan berbuat demikian kerana dia seorang yang profesional.

“Apa yang berlaku, Tyzo tidak buat rakaman, sebaliknya bersiaran langsung dan turut minta salah seorang pekerja ambil video.

“DJ Lin kebetulan ketika itu ada sama untuk mewakili Suria menyampaikan ucapan terima kasih tetapi Tyzo pula menyatakan ini adalah satu penganiayaan buatnya.

“Video berkenaan tular dan siapa yang mendengar serta melihat video itu akan bersimpati dengan Tyzo serta menyalahkan Suria FM.

“Disebabkan video itu juga DJ Lin menerima kecaman teruk, ada yang menyuruh letak jawatan dan memecat DJ Lin. Anak-anak DJ Lin juga turut menjadi mangsa kecaman warganet.

“Akibat semua ini, siapa sebenarnya mangsa? Mangsanya adalah DJ Lin, kredibilitinya menurun dan reputasinya terjunam,” katanya pada sidang media Ruang Udara Suria yang diadakan di Menara Star, Damansara, petang tadi.

Mohd Aminuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah SMRG berkata, kontrak Tyzo sepatutnya berakhir pada 9 Mac depan selepas Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) itu bersetuju untuk memperbaharui kontraknya selama enam bulan sahaja.

Memandangkan Suria FM bakal tampil dengan barisan penyampai baharu bermula Isnin minggu depan, Tyzo direhatkan daripada bersiaran bersama Sharifah Shahira.

“Kontrak Tyzo berakhir pada Oktober tahun lalu dan menerusi perbincangan pada Ogos tahun sama, kita menawarkan kontrak selama setahun tetapi Tyzo mahu sambung selama enam bulan sahaja. Oleh itu, kita setuju kontraknya berakhir pada 9 Mac tahun ini.

“Kemenangan Tyzo pada Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABP35) tidak membantu menaikkan rating Suria FM. Saya berpendapat kita mesti rombak semula Suria FM.

“Lagipun Tyzo dilihat sudah tidak berminat untuk bersama Suria FM kerana dari awal dia hanya mahu kontraknya bersambung enam bulan dan dia tidak datang menemui kami untuk berbincang mengenai kontraknya.

“Ingin saya tegaskan di sini, ia adalah tanggungjawab saya. Saya tidak kenal rapat dengan dia dan ini bukan keputusan peribadi.

“Lagipun pihak Suria tetap membayar gajinya sehingga kontraknya berakhir 9 Mac depan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Tyzo yang meminta penambahan gaji, Aminuddin tidak menolak ada perbincangan mengenai perkara itu sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung pada pertimbangan dan sekiranya kontrak sudah ditandatangani, maka persetujuan telah dicapai.

Dalam pada itu, Mohd Aminuddin menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang memburukkan Suria FM.

“Setakat ini pihak kami tidak merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Tyzo, tetapi selepas ini sesiapa sahaja yang buat kenyataan, kami akan pertimbangkan untuk ambil tindakan selanjutnya.

“Kami juga tidak akan menunggu  permohonan maaf daripada dia,” katanya lagi.

Terdahulu, Suria FM minggu lalu mengumumkan khidmat Tyzo Xander sebagai penyampai Suria FM menerusi segmen Suria Petang berakhir secara rasmi pada 12 Januari lalu.

DJ Lin dalam satu kenyataan berkata, keputusan yang dibuat adalah langkah Suria FM dalam merangka strategi dan perancangan baharu untuk menghasilkan produk yang lebih menarik serta segar bagi tahun 2024. 

Sasar 3 ribu pelajar untuk tahun 2024, YEG Academy teruskan siri jelajah bantu pelajar di kawasan pedalaman

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LANGAT – Sedar masih ramai yang tidak berminat menyambung pengajian selepas tamat persekolahan, YEG Academy terus melancarkan YEG Pesta Sambung Belajar untuk tahun 2024.

Memasuki tahun ketiga, kajian yang menunjukkan 72 peratus pelajar tidak mahu menyambung pelajaran agak merisaukan jika peratusan itu meningkat.

Menerusi YEG Pesta Sambung Belajar, diharapkan pelajar dapat menanamkan minat menyambung pengajian apatah lagi konsep yang diberikan menarik daripada biasa.

Ketua Pegawai Operasi YEG Academy, Mohamad Fikri Hasbi berkata, peratusan pelajar tidak mahu menyambung pengajian membimbangkan pihak mereka.

Justeru, dengan adanya kempen YEG Pesta Sambung Belajar #belajarteruskerja pelajar tidak perlu bimbang jika menganggur selepas tamat pengajian.

“Di YEG Academy kami menyediakan Program Work-Based Learning YEG dengan menawarkan konsep unik yang menyatukan pembelajaran teori dengan pengalaman praktikal di dalam industri.

“Program ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapatkan pendidikan berkualiti yang menyeluruh sambil merasai pengalaman praktikal dalam industri sebenar, melalui cara Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work Based Learning).

“Ini sekaligus dapat menyelesaikan isu pengangguran dan masalah kewangan yang dihadapi oleh rata-rata pelajar di Malaysia,” katanya pada sidang media pelancaran program berkenaan, semalam.

Mohamad Fikri berkata, selama tiga tahun mereka sudah melahirkan kira-kira 15,140 pelajar dan rata-rata berjaya menamatkan pengajian serta terus dapat kerja.

“Kami gembira dengan sambutan yang diterima tiga kursus yang ditawarkan sangat mendapat permintaan tinggi.

“Namun begitu, kami akan terus mengadakan siri jelajah atau promosi dalam usaha menarik lebih ramai lagi pelajar untuk menyertai kami.

“Untuk tahun ini kami menyasarkan 3,000 pelajar akan bersama-sama YEG Academy,” katanya.

Beliau berkata, usaha ini akan diteruskan lagi ke kawasan pedalaman dalam memberi penekanan betapa pentingnya menyambung pelajaran.

Malah, YEG Academy juga akan melihat keperluan untuk menambah kursus yang bersesuaian dengan permintaan masyarakat pada masa akan datang.

“Kami akan terus menjalinkan kerjasama dengan banyak lagi institusi pengajian tinggi dalam usaha menarik perhatian pelajar lepasan SPM menyambung pelajaran.

“Kami tidak mahu peratusan pelajar tidak mahu menyambung pengajian terus meningkat. Ini tidak bagus untuk masa depan negara dan mereka sendiri,” katanya lagi.