KUCHING – Selepas diserahkan kepada Agensi Pengkuatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada 2 Januari yang lalu, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) secara rasmi memulakan pengoperasian pertamanya dengan melakukan pemantauan di kawasan perairan Sarawak.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi memaklumkan, pengoperasian sulung Kapal OPV1 ini dijangka akan memperkukuhkan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) khususnya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi tumpuan aktiviti ekonomi dan laluan kapal-kapal dagang yang menghubungkan dari bahagian selatan ke bahagian utara laut berkenaan.
Katanya, keberadaan Kapal OPV1 ini mampu memenuhi matlamat operasi penguatkuasaan Maritim Malaysia iaitu konsep deterrent bagi mengekang pencerobohan kapal-kapal asing.
“Kapal OPV1 akan menjadi kapal induk kepada bot-bot peronda Maritim Malaysia yang akan melakukan rondaan penguatkuasaan di kawasan yang menjadi tumpuan nelayan asing menceroboh masuk ke laut negara bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.
“Kehadiran Kapal OPV1 juga bertujuan untuk mengurangkan risiko syarikat carigali dan petroleum menjadi sasaran kes rompakan di laut memandangkan kapal berkenaan berkeupayaan untuk melakukan operasi di laut dalam jangka masa 21 hari tanpa ulang bekal,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan dan tinjauan pengoperasian kapal berkenaan, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus.
Selain Kapal OPV1, Maritim Malaysia juga bakal melaksanakan perolehan bagi 10 buah aset strategik maritim seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.
Mengulas lanjut berkaitan status Kapal OPV2 dan OPV3, Ruji berkata perkara berkenaan akan diangkat ke peringkat Menteri Kabinet.
Beliau terdahulu memaklumkan, Majlis Penamaan OPV1 ini dijadualkan akan disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam masa yang terdekat.
KUALA LUMPUR – Meraikan 20 tahun perjuangan dalam industri seni, kumpulan dari seberang Letto, hadir ke ibu kota menjayakan konsert mereka yang berlangsung pada 12 Januari lalu.
Konsert Letto 20th Anniversary Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu memberi peluang buat peminat di Malaysia untuk melihat persembahan Letto menyanyi secara live menerusi persembahan secara Gamelan.
“Persembahan kali ini kami membawa konsep yang lebih unik dengan membawa pemain gamelan dari Indonesia dan membawa Dalia Farhana sebagai artis jemputan,” kata penyanyinya, Noe.
Pada persembahan malam itu, Dalia Farhana menyanyikan dua lagu ‘ Rumah’ dan ‘Langit yang sama’ sebagai pembuka persembahan.
Diikuti dengan kemunculan Letto yang membuka tirai persembahan dengan lagu ‘bird song’.
Sesuai dengan konsertnya yang bertajuk micara atau dalam bahasa Jawa bermaksud berbicara, Noe banyak berdialog dengan penonton.
Dialog yang tercipta bukan main-main. Noe banyak membincangkan berkenaan budaya dan kehidupan manusia.
“Sebenarnya, semua lagu-lagu Letto banyak bercakap mengenai cinta kepada Tuhan. Namun saya serahkan interpretasi kepada pendengar,” kata Noe mewakili teman-teman.
Pada malam itu Letto mempersembahkan sebanyak 17 buah lagu yang pernah dipopularkan oleh mereka sepanjang 20 tahun berada di dalam industri muzik.
Dalam konsert berdurasi 2 jam itu, Letto berjaya menggamat suasana dengan tepukan gemuruh setiap kali lagu-lagu popularnya berkumandang.
Lagu ‘Sandaran Hati’, ‘Permintaan Hati’, dan ‘senyumanmu’ kembali membuat penonton menyanyikan lagu-lagu yang pernah menjadi kenangan nostalgia.
Bunyi gamelan yang halus membuatkan suasana konsert pada malam itu sedikit berbeza.
Jika Letto dikenali sebagai sebuah band dengan lagu genre pop, malam itu penambahan bunyi gamelan pastinya menjadikan susunan setiap lagu itu unik.
“Anda juga boleh mengatakan bahawa dalam beberapa bahagian susunan lagu mempunyai rasa magis.
“Kami mahukan penonton seperti berada di kota kelahiran kami, Jogjakarta sepanjang konsert di Kuala Lumpur. Boleh dianggap oleh-oleh dari Jogja,” kata Noe lagi.
Identiti seorang anak Jawa ditampilkan oleh Letto menerusi persembahannya semasa konsert di Kuala Lumpur.
Mereka menerbangkan tujuh orang pemain gamelan dari Jogjakarta mengiringi persembahan mereka malam itu.
Letto turut menyanyikan lagu popular daripada penyanyi Malaysia seperti Suci dalam debu daripada kumpulan Iklim dan lagu Isabella daripada kumpulan Search.
Kumpulan itu menyanyikan lagu ‘Sebelum Cahaya’ sebagai lagu terakhir juga penutup persembahan yang berjaya ditamatkan dengan lagu terindah seperti itu.
Terlihat wajah penonton yang berpuas hati apabila lampu pentas menyala.
Jarang dapat melihat Letto berkolaborasi dengan muzik gamelan tradisional seperti malam itu.
Konsert yang dibawakan oleh Qew Communications Sdn Bhd (Qew Comm) itu menjadi kemunculan kedua Letto di Malaysia selepas kali pertama hadir ke Kuala Lumpur bagi mementaskan ‘showcase’ pada 2007.
Letto melancarkan album pertama berjudul Truth, Cry And Lie pada 2005, Don’t Make Me Sad (2007), Lethologica (2009) dan Cinta…Bersabarlah (2011).
KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia secara rasmi melancarkan HONOR Magic V2, telefon boleh lipat yang dinanti-nantikan ramai pada harga RM6,999 dengan kapasiti storan 16+512GB.
HONOR Magic V2 menetapkan standard baru dalam industri sebagai telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia dengan penambahbaikan terhadap bateri, paparan, dan keseluruhan pengalaman pengguna.
Bagi yang berminat, prapesanan HONOR Magic V2 sudah bermula sekarang sehingga 24 Januari menerusi laman web rasmi HONOR, Kedai HONOR, Shopee, Lazada, TikTok Shop, termasuk pengedar sah seperti Maxis, Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.
Pembeli awal akan mendapat hadiah percuma eksklusif bernilai sehingga RM3,247 merangkumi HONOR Choice Cleaner Robot, Pemegang Telefon Boleh Lipat Graviti Kereta dan Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari.
HONOR menjadi jenama pertama menawarkan perlindungan skrin selama 365 Hari untuk telefon boleh lipat.
Perlindungan Skrin HONOR 365 Hari meliputi kerosakan skrin dalam dan luar disebabkan terlanggar atau terjatuh.
“Honor Magic V2 mencabar norma industri dengan menampilkan reka bentuk yang sangat nipis dan ringan.
“Jika sebelum ini, telefon boleh lipat eksklusif untuk kelompok pengguna tertentu, namun kini ia diubah kepada peranti perdana agar mudah dimiliki semua individu.
“Ia peranti pertama untuk mencapai ukuran di bawah 1.0 sentimeter (cm) iaitu hanya 9.9 milimeter apabila dilipat, manakala beratnya cuma 231 gram (g),” kata HONOR dalam satu kenyataan selepas melancarkan telefon pintar berkenaan, baru-baru ini.
HONOR Magic V2 dilancarkan baru-baru ini dan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Kenegaraaan Honor Malaysia, Matthew Ng.
Ia didatangkan dalam tiga warna premium iaitu hitam Black, ungu Purple dan Black (PU) dan boleh dibeli di kedai seluruh negara mulai 25 Januari.
Dari segi pembangunan telefon berkenaan, Honor Malaysia berkata, Magic V2 memiliki engsel kukuh dan ringan dengan menggunakan aloi titanium.
Engsel kukuh dan ringan
Engsel Magic V2 dapat menahan lebih 400,000 lipatan, manakala kaca nanohablur mempunyai rintangan jatuh 10 kali ganda berbanding kaca standard biasa.
Selain itu, engsel berkenaan juga dibina menggunakan struktur gear sifar yang unik bagi memudahkan pengguna menonton video dan mengambil gambar tanpa menggunakan tangan.
“Paling penting, HONOR Magic V2 menawarkan jangka hayat bateri lama. Bateri karbon silikon 5000mAh disokong HONOR SuperCharge 66W untuk pengecasan pantas dalam tempoh beberapa minit.
“HONOR adalah perintis menggunakan bateri karbon silikon ultranipis dalam telefon boleh lipat. Bateri seperti ini kali pertama digunakan dalam kenderaan elektrik seperti Tesla,” katanya.
Honor berkata, ia juga adalah telefon boleh lipat pertama dilengkapi teknologi pemalapan PWM 3840, paling tinggi dalam industri, untuk keselesaan mata, manakala paparan luar dan dalam disediakan kadar penyegaran tinggi 120Hz.
“Paparan dalam besar 7.92 inci memberi rasa seolah menggunakan tablet, memberi fungsi dua dalam satu, sesuai untuk ahli perniagaan atau individu yang sentiasa perlu melakukan beberapa tugas berbeza dalam satu masa.
“Ia menyokong HDR 10+, gamut warna 100 peratus DCI-P3 dan 1.07 bilion warna untuk menghasilkan visual dengan warna sebenar,” katanya.
Dalam pada itu,Magic V2 dikuasakan dengan cipset Snapdragon 8 Gen 2 dan menjalankan dalam operasi MagicOS 7.2 berasaskan Android 13 untuk prestasi lancar.
Dari segi fotografi, Magic V2 dilengkapi tiga persediaan kamera belakang terdiri daripada Kamera Utama 50 megapiksel (MP), kamera ultralebar 50MP dan kamera telefoto 20MP, manakala dua kamera hadapan adalah 16MP.
Sementara itu, HONOR mempertingkatkan ciri AI Recognition bagi menambah baik pengecaman imej untuk pengalaman fotografi yang lebih lancar dan pintar.
Penambah baik ini juga termasuk ciri HONOR Motion Sensing Capture yang berfungsi untuk menangkap pergerakan.
Ia juga dilengkapi cipset keselamatan diskret dan panggilan privasi AI yang dipertingkatkan untuk melindungi maklumat sensitif pengguna daripada diketahui pihak lain.
“Panggilan Privasi AI 2.0 berupaya menghalang orang sekeliling daripada mendengar perbualan dalam telefon pengguna dengan melaraskan bunyi panggilan mengikut keadaan persekitaran sama ada di kawasan sesak atau sunyi seperti di dalam lif,” katanya.
Katanya, pengguna boleh melakukan pelbagai perkara serentak dengan ciri berbilang tugas seperti bermain permainan mudah alih, menstrim, menyiapkan tugasan atau melayari media sosial.
Sehingga 4 tetingkap berbilang boleh dibuka pada satu masa dengan skrin pisah dalam mod menegak atau melintang.
Sebagai tambahan, skrin pisah memberikan pengalaman permainan dwi skrin yang unik.
KUANTAN – E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) komited dalam meningkatkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi penyediaan tenaga kerja industri minyak dan gas yang berpengetahuan dan berkemahiran di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Zulkarnain Ismail berkata, bagi tujuan itu, EPOMS bekerjasama dengan Pahang Skills dan Pusat Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Teknologi PETRONAS (CAPE) bagi pelaksanaan program minyak dan gas untuk tenaga kerja industri berkenaan.
Katanya, usaha itu adalah langkah proaktif bagi menawarkan program yang dirancang khusus untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran bakal graduan dalam industri minyak dan gas serta memastikan mereka memenuhi piawaian industri.
“Program yang kita mulakan ini bukan sekadar perjanjian di atas kertas, ini adalah komitmen untuk memupuk bakat, mendorong inovasi dan membina ekosistem yang berterusan bagi memajukan industri kita ke hadapan.
“Kerjasama antara Pahang Skills dan Universiti Teknologi PETRONAS akan mencipta sinergi yang merapatkan jurang antara akademik dan industri serta memastikan tenaga kerja kita dilengkapi kemahiran, pengetahuan dan daya saing serta penyesuaian yang diperlukan untuk berkembang dalam landskap yang sentiasa berubah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah EPOMS Datuk Mohd Pathil Ahmad, Pengarah Eksekutif Pahang Skills Mohd Yusri Mohd Nor dan Naib Canselor Universiti Teknologi PETRONAS, Profesor Datuk Ts. Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib, semalam.
Majlis menandatangani MoU yang memfokuskan kepada pengembangan program pendidikan dan latihan serta kerjasama penyelidikan dan pembangunan itu disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Wan Rosdy ketika ditemui berkata usaha yang dilaksanakan itu amat baik dan dilihat dapat memberi manfaat kepada semua pihak terbabit.
“Pahang akan sentiasa memberi kerjasama yang baik, kita sedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat yang mendatangkan manfaat khususnya kepada penduduk Pahang,” katanya.
Selain itu, EPOMS dalam kenyataan turut memaklumkan kerjasama itu juga bakal menyaksikan syarikat itu akan memimpin pembangunan modul latihan terkini, memastikan program yang merangkumi aspek pengetahuan teori dan aplikasi praktikal itu berjalan lancar.
Pahang Skills pula akan merangka program jangka pendek, sijil kecekapan profesional dan diploma manakala Universiti Teknologi PETRONAS melalui CAPE memainkan peranan penting dalam menyediakan bahan latihan elektronik untuk kursus berkenaan.
Manfaat daripada program ini dilihat antara lain dapat meningkatkan kebolehpasaran peserta kerana ia menawarkan gabungan seimbang pembelajaran di dalam kelas dan latihan praktikal selain membekalkan graduan Sijil Kemahiran Malaysia dengan pengetahuan dan kemahiran asas dalam industri minyak dan gas, selari dengan keperluan industri serta kemajuan teknologi.
EPOMS yang ditubuhkan pada 2012, adalah penyedia perkhidmatan utama untuk operasi dan selenggaraan fasiliti persisir pantai yang merangkumi seluruh rangkaian industri minyak serta gas negara, iaitu daripada pra-pengeluaran hingga aktiviti pasca pengeluaran.
Pahang Skills ditubuhkan pada 1994 adalah badan berkanun kerajaan negeri Pahang antara lain berperanan menawarkan latihan berteraskan kemahiran dan teknologi manakala CAPE yang ditubuhkan pada 2016 pula menyediakan program dan modul kursus pendek profesional.
KUALA LUMPUR – Bakal mengadakan konsert bulan depan, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang akui sudah penat dan mahu berehat selepas ini daripada menjayakan sebarang konsert.
Hetty, 67, berkata, keputusan itu dibuat disebabkan terlalu penat kerana sudah terbabit dengan puluhan konsert dan menghasilkan 150 album.
Penghibur yang sudah 53 tahun membabitkan diri dalam bidang seni itu berkata, apabila berehat nanti dia hanya mahu melihat perjalanan artis muda yang semakin ramai mewarnai persada seni muzik di negaranya.
“Saya sudah penat. Berilah peluang kepada penyanyi muda pula. Sudah lama saya terbabit dalam bidang seni, sudah sampai masa untuk saya jadi pemerhati sahaja.
“Pelbagai perkara sudah saya lakukan sepanjang karier seni ini. Rasanya sudah tidak ada apa lagi yang saya mahukan,” katanya.
Hetty berkata demikian pada sesi temu bual secara maya bersama media untuk mempromosikan persembahannya, After Hours With Hetty Koes Endang, baru-baru ini.
Katanya, dia tidak keberatan untuk terbabit dengan persembahan bagi tujuan kebajikan berbanding persembahan komersial.
“Saya hanya akan menolak persembahan berbentuk komersial sahaja. Jika membabitkan acara amal, saya akan lakukan.
“Perkara itu lebih membuatkan saya berasa senang,” katanya.
Berkongsi mengenai persembahan After Hours With Hetty Koes Endang yang bakal berlangsung pada 24 Februari nanti, pelantun lagu Kasih itu mengakui teruja apabila bakal menghiburkan peminatnya di Malaysia.
“Pastinya saya gembira dan tidak sabar untuk menghiburkan peminat saya di Malaysia. Saya berharap semua yang dirancang berjalan dengan lancar dan diberikan kesihatan yang baik,” katanya.
Persembahan pada malam itu turut menampilkan Naqiu, Afifah Yusuf, Zul 2by2 dan Intan Maya sebagai penyanyi undangan.
BANGI – Membuka tirai tahun baharu 2024 dengan nafas baharu, TV AlHijrah (TVAH) menampilkan pengisian program-program terbaik sepanjang tahun.
Pelbagai program-progam menarik dan bermanfaat telah diatur untuk penonton setia stesen ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Namanzee Harris berkata, TVAH melabuhkan tirai tahun 2023 dengan pelbagai kejayaan dan rekod terbaik yang berjaya dicapai.
“2023 menyaksikan TVAH kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
“TV AlHijrah berada di kedudukan top 5daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu.
“Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.
“Sebagai rekod, program-program menarik lain yang telah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023 ialah rancangan Assalamualaikum yang berjaya mencapai 12.5 juta screenview sepanjang tahun.
“Berita AlHijrah berjaya mencapai sebanyak 7.3 juta screenview. Quran@114 juga cemerlang dengan pencapaian screenview 7.3 juta setahun dan Pentas Marhaban dengan 3.2 juta screenview,” katanya.
Namanzee berkata, tahun 2024 TVAH bermula kompetitif apabila stesen ini berada di tangga lima teratas saluran TV di Malaysia pada awal Januari 2024.
Malah, bagi tahun 2024, stesen TVAH masih lagi mengekalkan konsep hiburan berilmu dengan meneroka format baharu rancangan Islamik tanpa mengenepikan pemerhatian khusus kepada tiga kunci utama penyiaran iaitu patuh syariah, kreatif dan popular.
Justeru, bermula 20 Januari akan datang program Akademi Qurra’ 2024 bakal ditayangkan pada setiap Sabtu, jam 9 malam.
“Selepas kejayaan mendapat 4.4 juta tontonan screenview secara keseluruhan di musim pertama siarannya, program ini akan kembali untuk musim terbaharu.
“Ujibakat hibrid yang berlangsung hampir sebulan sejak Disember lalu, menyaksikan 12 orang qari qariah berbakat, lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dipilih sebagai role model yang berpotensimentarbiah serta melahirkan masyarakat penonton yang cintakan al-Quran dan seni persembahannya.
“Dua mudarrisah baru diperkenalkan iaitu Mudarrisah Suhailah Zulkifly serta Mudarrisah Nadia Hashim. Manakala, Mudarris Amar Mukhlis masih dikekalkan,” katanya pada sidang media pelancaran program terbaharu TVAH, semalam.
Pada majlis itu, TVAH turut memperkenalkan barisan rancangan terbaik lain tahun ini. Antaranya ialah Riwayat Akhir Zaman, Quran@114 dan Carta 114. Kesemua program ini membaja ilmu, iman serta ketakwaan kepada Sang Pencipta.
Tidak dilupakan, bagi penggemar rancangan 30 Minit Bersama, tahun ini TVAH membawakan pendakwah yang tidak asing lagi iaitu Ustaz Dato Shamsuri Ahmad untuk memandu perbahasan Kitab Bahrul Mazi, yang juga huraian Syeikh Idris al-Marbawi terhadap hadis Rasulullah SAW yang dipilih daripada kitab Sunan al-Tirmidzi.
Program ini akan bersiaran pada setiap hari Selasa jam 8.30 malam.
Pada majlis sama, Namanzee turut mengumumkan mereka yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) boleh menikmati rancangan TVAH di dalam tren.
“Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TVAH boleh dinikmati oleh penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.
“Bukan itu sahaja, bagi memastikan penumpang perkhidmatan ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan look & feel program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.
“Ambillah masa, berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TVAH. Semakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui,” katanya.
Untuk info, aplikasi AlHijrah Plus yang memiliki lebih 8 ribu kandungan tersedia dan secara langsung juga telah dimuat turun oleh 100 ribu pemuat turun dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei.
Kesemua negara ini juga adalah antara negara yang tertinggi menonton AlHijrah Plus Live TV.
KUALA LUMPUR – Terus mencipta sensasi, pelakon Fasha Sandha memilih bersikap terbuka jika babak ranjang dalam drama bersiri terbaharunya, Rampas Cintaku 2 tular hingga mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.
Fasha, 40, berkata, dia yakin penonton hari ini lebih bijak dan rasional dalam membuat penilaian.
“Saya tidak boleh halang jika ada yang suka mahupun tidak babak seperti itu.
“Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggungjawab mengikut skrip yang diberikan. Saya percaya cerita ini ada banyak kisah moral dan pengajaran yang boleh diambil oleh penonton.
“Terpulang kepada penonton sama ada mereka mahu menilai dari sudut positif ataupun negatif. Terserah pada pandangan masing-masing mahu terima atau tidak,” katanya.
Fasha berkata, dia juga terima jika babak ranjang itu sengaja ditularkan dan ia dapat membantu meningkatkan jumlah penonton.
“Jika babak itu tular ia menjadi sebahagian daripada promosi drama ini, secara tidak langsung membantu penerbitan meraih sasaran tontonan sebanyak 400 juta seperti yang diharapkan.
“Saya juga mengharapkan drama ini trending dan menjadi fenomena,” katanya ketika ditemui pada sidang media dan tayangan perdana Rampas Cintaku 2, baru-baru ini.
Berkongsi mengenai wataknya, Fasha berkata, dia perlu menguruskan badan kerana membawakan watak ‘sugar mummy’ untuk musim kedua ini.
“Saya memang tidak sangka drama ini boleh mencetuskan fenomena sehingga mendapat jumlah tontonan 100 juta pada musim pertama.
“Penerbit ada beritahu, jika drama ini ada musim kedua, saya perlu kuruskan badan. Pada awal terasa hati juga seperti mereka ‘body shaming’ saya, tetapi saya ambil yang positif sahaja.
“Sejak kurus saya rasa lebih bertenaga dan ‘fresh’. Bukan bermakna gemuk itu tidak bagus tetapi apabila kurus ini rasa badan lebih ringan untuk bergerak dan melakukan kerja dengan lebih pantas,” katanya lagi.
Selain Fasha, drama terbitan MIG Production itu turut dilakonkan oleh bintang handalan seperti Erra Fazira, Zamarul Hisham, Keith Foo, Afieq Shazwan, Puteri Balqis dan ramai lagi.
Rampas Cintaku 2 akan mula disiarkan di platform penstriman iQIYI Malaysia bermula Jumaat ini.
JEPAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee mensasarkan penurunan jumlah penagih dadah baharu di DUN ini sebanyak 25 peratus pada akhir tahun 2024 berbanding 79 individu yang direkodkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu.
Iskandar berkata, bagi memastikan ia mencapai sasaran, program kesedaran dan pencegahan dadah perlu dilaksanakan secara berkala dan ia perlu membabitkan semua pihak.
Katanya, memulakan takwim tahun 2024, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) adalah agensi pertama menghulurkan kerjasama bersama pihaknya dengan menganjurkan Program Jom Gegar Jepak ; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak, Bintulu, Sabtu lalu.
Iskandar berkata, program berkenaan amat bertepatan dengan hasrat beliau untuk memastikan belia di DUN ini bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.
Program berkenaan juga adalah program Intervensi Bersepadu yang memberi fokus kepada Isu Dadah dan Substans (OBID) di bawah One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Bintulu.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jom Gegar Jepak ; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak.
Turut hadir Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Bintulu, Tuan Muhammad Dino Amid, Pengarah Komunikasi Korporat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Faridah Shuib, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman.
Sepanjang tahun 2023, AADK telah merekodkan seramai 306 individu di Daerah Bintulu terbabit dalam masalah penagihan dadah.
Jumlah berkenaan meletakkan Bintulu menjadi daerah keempat tertinggi daripada 3,079 jumlah keseluruhan individu dikesan terbabit dengan gejala dadah di Sarawak.
Sementara itu Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman berkata, program advokasi kesedaran bahaya dadah anjuran UPM Kampus Bintulu ini dilaksanakan bagi memberi penekanan khusus kepada menangani keperluan komuniti dan mewujudkan perubahan sosial yang positif.
Malah, program ini juga adalah program jaringan komuniti di bawah komponen CARE (Community Resilience Experential Learning) melalui projek lapangan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia di kawasan berkenaan tentang bahaya aktiviti jenayah di perairan dan penyalahgunaan dadah.
Bersempena program ini, seramai 42 orang mahasiswa Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian) Semester 1 Sesi 2023/2024 Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM Kampus Bintulu ‘turun padang’ bagi menjayakan projek komuniti ini.
Program sehari itu telah dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik merangkumi 20 aktiviti seperti Forum, Pertandingan Sukan, Segmen Kanak-kanak/ Remaja Pemimpin Masa Hadapan, pameran dari agensi dan jabatan kerajaan serta banyak lagi.
Program diadakan di Balairaya Kampung Jepak bermula jam 7 pagi sehingga 5 petang.
GEORGE TOWN – Ghazal Parti mungkin satu seni persembahan yang jarang didengar namun ia cukup popular di Utara Malaysia terutamanya Pulau Pinang.
Tidak mahu seni persembahan itu dilupakan, Pisang Production Sdn Bhd mengambil inisiatif dengan menganjurkan persembahan Ghazal Parti yang diadakan di pusat beli belah Prangin Mall, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Ghazal Parti ialah sebuah persembahan yang menggabungkan muzik, lagu, lawak dan tarian.
Gaya bahasa yang digunakan cenderung kepada dialek utara iaitu Kedah dan Pulau Pinang.
Pengarah Urusan merangkap Pengarah Program, Nik Nur Azlina Nik Ibrahim berkata, tujuan penganjuran ini diadakan untuk memberi pendedahan tentang Ghazal Parti kepada masyarakat terutamanya golongan muda tentang warisan seni budaya yang semakin dilupakan.
“Ia perlu dipelihara dan disemarakkan semula. Penggiat pelapis perlu diwujudkan bagi mengekalkan kesinambungan warisan seni ini agar ia tidak pupus di kemudian hari.
“Semoga warisan seni budaya negara kita dapat dipelihara dan dikekalkan hingga ke generasi seterusnya,” katanya.
Katanya, tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan persembahan Ghazal Parti ini termasuklah orang Pulau Pinang sendiri.
“Jika diikutkan Ghazal Parti ini sama popular seperti Boria tetapi disebabkan kurang pendedahan tidak ramai yang tahu mengenainya.
“Kami berharap inisiatif ini dapat menarik perhatian lebih ramai lagi terutamanya masyarakat Pulau Pinang sendiri.
“Sebagai anak jati Pulau Pinang saya akan terus menganjurkan persembahan ini supaya ia terus popular dan tidak akan dilupakan oleh generasi sekarang,” katanya lagi.
Pada persembahan Ghazal Parti itu turut diadakan Pertandingan Peragaan Pakaian Kreatif yang dibahagikan kepada 2 kategori iaitu 12 Tahun Ke-Bawah dan Terbuka.
Seramai lapan peserta telah mengambil bahagian bagi setiap kategori. Setiap pemenang menerima wang tunai, sijil dan piala.
Penganjuran itu juga turut mendapat sokongan ArtsFAS-Seni Sepanjang Musim, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.