24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 231

Guardian tawar edisi terhad siri animasi popular Jepun, SPYxFAMILY

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Farmasi Guardian menawarkan koleksi  edisi terhad barangan siri manga dan televisyen popular Jepun, SPYxFAMILY yang kini boleh didapati di semua stor dan di dalam talian seluruh negara.

Pengarah Pemasaran, Guardian Malaysia, Anna Ng berkata, pihaknya menawarkan empat set barangan koleksi yang dihasilkan berdasarkan karakter utama iaitu Lord Forger, Yor Forger dan Anya Forger dalam siri animasi popular itu.

“Empat set barangan koleksi ini dihasilkan berdasarkan karakter dalam siri manga berkenaan dan keempat-empatnya boleh didapati dengan harga RM99 setiap satu.

“Pelanggan boleh memiliki set barangan koleksi itu pada setiap kali mereka membelanjakan RM20 untuk jenama yang mengambil bahagian seperti Aiken, Bio Essence, Lóreal Dermo-Expertise, Eucerin, Garnier, Lóreal, Maybelline, Nivea Skin dan Sunsilk atau RM50 untuk jenama lain dalam satu resit,” katanya dalam satu kenyataan.

Ng berkata, set Barangan Koleksi 1 dikenali sebagai LOID FORGER, sempena watak bapa dalam siri anime itu.

“Koleksi Loid yang bernilai RM199 telah pun ditawarkan mulai 27 Disember 2023 dan didatangkan dalam Kotak Rekaan Loid khas yang mengandungi satu sarung komputer riba 14 inci, satu pemegang telefon akrilik Loid dan pelekat kalis air lentikular Loid,” katanya.

Beliau berkata, set Barangan Koleksi 2 dikenali sebagai YOR FORGER, sempena watak ibu dalam siri anime itu bernilai RM199 yang ditawarkan di stor Guardian bermula 11 Januari lalu didatangkan dengan kotak rekaan khas mengandungi satu uncang Yor Beauty, satu rantai kunci akrilik Yor berserta cermin dan pelekat kalis air lentikular Yor.

“Set Barangan Koleksi 3 dikenali sebagai ANYA FORGER bernilai RM230 bersempena watak anak perempuan dalam siri popular itu akan ditawarkan di stor Guardian mulai 25 Januari ini dengan penampilan kotak rekaan khas mengandungi satu fail Anya bersaiz A4, satu kotak puzzle 500 keping Anya, satu pek kad permainan memori Anya dan pelekat kalis air lentikular Anya,” katanya.

Beliau berkata, set Barangan Koleksi 4 dikenali sebagai pek Kotak Forger Series akan dikeluarkan pada 28 Februari ini.

“Ia adalah peluang keemasan untuk mengumpul beberapa koleksi edisi terhad yang hebat daripada salah satu siri manga dan anime paling popular pernah dihasilkan di Jepun, yang mungkin boleh menjadi barangan kegilaan pengumpul di masa hadapan.

“Lebih menarik, ia juga memuatkan barangan praktikal yang menepati gaya hidup aktif pelanggan kami,” katanya lagi.

SPY×FAMILY adalah sebuah siri manga Jepun yang ditulis dan dilukis oleh Tatsuya Endo yang mengisahkan misi penyamaran seorang pengintip yang berkahwin dan mengambil anak angkat sebagai sebahagian daripada penyamarannya.

Pengintip itu tidak menyedari anak angkatnya memiliki kuasa telepati dan wanita yang dikahwininya pula ialah pembunuh upahan yang handal.

Ketiga-tiga mereka perlu berusaha untuk kekal bersama.

Sebagai sebuah siri web animasi, SPYxFAMILY telah dipilih sebagai Komik Web Paling Popular Nombor 1 pada 2019 dan telah mencecah 480 juta tontonan pada Ogos 2022.

Menjelang Disember 2023, SPYxFAMILY telah mencapai lebih 34 juta edaran, menjadikannya salah satu siri manga terlaris di pasaran. 

Mahalini simpan hasrat mahu cipta lagu untuk Siti Nurhaliza

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Bintang cantik dari Indonesia, Mahalini Raharja menyimpan hasrat untuk menghasilkan lagu buat penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Penyanyi yang popular dengan lagu Sial itu mengakui sangat meminati Siti Nurhaliza kerana pernah mencipta fenomena di Indonesia.

“Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah penyanyi Malaysia yang sangat saya minati kerana dia mempunyai aura sehingga berjaya mencipta satu fenomena di Indonesia.

“Namanya sering menjadi sebutan di sana sewaktu saya belum menjadi artis dan apabila mengadakan persembahan di televisyen saya pernah menyanyikan lagunya.

“Jika diberi peluang mencipta lagu untuknya pastinya saya mahu dan sangat teruja, tetapi tidak pasti jika Siti Nurhaliza mahu menerima lagu ciptaan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai konsertnya itu, pemilik nama Ni Luh Ketut Mahalini Ayu Raharja, 23, itu teruja sekali lagi bakal menghangatkan Kuala Lumpur dengan konsert yang turut menampilkan tunangnya, Rizky Febian sebagai penyanyi jemputan.

Bakal mendendangkan lebih kurang 17 buah lagu, konsert kali ini diberi sedikit kelainan apabila menampilkan persembahan orkestra dari Malaysia.

“Saya memang memilih Rizky kerana kami ada lagu bersama dan banyak peminat di Malaysia yang mahu lihat kami bergabung di pentas.

“Lagipun, saya mahu lakukan sedikit kelainan kerana selalunya kita akan bergabung bersama vokalis dua negara cuma kali ini pemuzik-pemuzik orkestra saya pilih dari Malaysia untuk mengiringi konsert saya pada malam itu jadi gabungan itu sudah cukup mencipta satu kelainan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, tiket konsert sudah terjual lebih 80 peratus  sejak ia dibuka untuk jualan.

“Jualan tiket sudah mencapai 80 peratus sejak mula dibuka dan kami berharap ia akan habis dijual sebelum menuju ke konsert nanti,” katanya.

Penonton boleh mendapatkan tiket menerusi www.ticket2u.com.my/mahalini pada harga Standing (RM279), Gold Seated (RM299), VIP Standing (RM399), VIP Seated (RM429) dan VVIP Seated (RM799).

Konsert Lovechestra Mahalini Live In Kuala Lumpur akan berlangsung pada 3 Febuari di Megastar Arena Kuala Lumpur.

Tyzo akur khidmat di Suria FM ditamatkan lebih awal

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Selama lapan tahun berkhidmat dan menjadi penyampai radio Suria FM, Tyzo akhirnya terpaksa meninggalkan stesen radio swasta itu, meskipun kontrak sepatutnya akan tamat pada Mac depan.

Ramai pendengar yang terkejut dan sedih dengan pengumuman itu kerana tiada lagi celoteh Tyzo yang akan menemani mereka sepanjang menempuh kesesakan jalan raya, setiap petang menerusi segmen Suria Petang.

Dalam ucapan terakhirnya yang dimuat naik di Instagram miliknya, Tyzo menyatakan tidak reda dengan keputusan itu.

Tyzo berkata, dia masih sayangkan stesen radio itu dan minatnya pada dunia penyiaran radio masih menebal.

“Terima kasih atas penganiayaan ini,” katanya pada sebuah klip video yang dimuat naik di sosial media.

Penama sebenar Tuah Zoqarnain Idris itu berkata, desas-desus penamatan kontraknya mula bertiup sebelum Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) lagi, tetapi berita itu semakin kedengaran selepas kemenangannya.

Katanya, dia dipanggil pihak atasan untuk memaklumkan berita sedih itu.

Tidak tahu di mana salah dan silapnya, Tyzo akur dengan keputusan pengurusan atasan yang mengarahkannya berehat daripada tugas seminggu yang lalu.

“Saya minta maaf kerana ini bukan keputusan saya. Saya masih mahu bekerja. Saya punya anak, tapi ini bukan kehendak saya.

“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah kemenangan Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2023.

“Selepas ini mohon tiada pihak spin cerita, olah ayat, tuduh diva demi menutup aib. Hanya yang pernah lalui sahaja tahu sakitnya,” luahnya.

Naqiu lengkapi persembahan malam konsert Hetty Koes Endang di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer tempatan, Naqiu bakal memeriahkan malam acara After Hours With Hetty Koes Endang (AHHKE) yang akan berlangsung pada 24 Februari depan.

Bakal berlangsung di Grand Shah Alam, SACC, Selangor, konsert bintang legenda dari Indonesia itu dianjurkan oleh Visual Print Sdn Bhd.

Ini adalah acara julung kali yang bakal menghimpunkan 1,000 penonton berkonsepkan majlis makan malam penuh romantis secara intimasi, dekat dan peribadi bersama Hetty yang mesra disapa Bunda.

Pembabitan Naqiu yang baru sahaja menamatkan perjuangan 12 minggu dalam program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) ini dipilih oleh penganjur dan Hetty sendiri bagi melengkapi penganjuran konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam.

Pengarah Eksekutif Visual Print Sdn Bhd, Anis Fathiah Abd Hamid berkata, Naqiu dipilih kerana pesona persembahannya di atas pentas yang cukup bersesuaian dengan konsep dan tema acara AHHKE.

Malah, vokalis kumpulan Boboy yang terkenal dengan lagu Episod Cinta ini mempunyai penjiwaan yang sangat baik ketika menyanyi hingga seringkali mendapat pujian daripada Hetty Koes Endang yang juga juri tetap ASGV.

“Kami mencadangkan beberapa nama penyanyi tempatan bagi memeriahkan lagi malam AHHKE namun nama Naqiu menjadi pilihan utama kami dan juga Bunda.

“Mungkin impak daripada persembahan Naqiu yang menyanyikan lagu Kuda Hitam pada minggu kelapan ASGV hingga diperkatakan di semua sosial media juga menjadi tarikan utama kepada pemilihan juara Gegar Vaganza 6 (GV6) itu.

“Malah komitmen serta kemampuan Naqiu yang terkenal dengan gerak persembahan memukau setiap kali menyanyi adalah sebab utama kami memilih dia bagi menjadi penyanyi undangan pada malam 24 Februari nanti,” katanya.

Sementara itu, Naqiu berkata, peluang untuk tampil memeriahkan AHHKE adalah satu penghargaan buat dirinya yang menyifatkan Hetty sebagai idola.

“Terkejut pada awalnya tapi saya sangat teruja untuk berkongsi pentas bersama Bunda yang sebelum ini menjuri saya selama 11 minggu ketika GV6 pada 2019 dan terbaru di ASGV. Inilah yang dikatakan rezeki,” katanya.

Naqiu bakal menyampaikan lima lagu manakala Hetty Koes Endang selaku penghibur utama akan mempersembahkan peminat dengan 10 lagu.

Lebih istimewa, Hetty dan Naqiu juga akan berduet untuk beberapa lagu yang menjadi kejutan kepada penonton nanti.

AHHKE dijangka bermula pada jam 8 malam dengan sajian makan malam terbaik turut menampilkan puteri Hetty Koes Endang, Afifah Yusuf sebagai penyanyi undangan, Zul 2By2 dan Intan Maya (bekas anggota kumpulan The Girls).

Untuk pembelian tiket konsert layari laman web www.tix-box.com, IG @tixboxmy atau hubungi hotline di talian 017-7118945.

Nafi dakwaan sudah berkahwin, Erra anggap cerita hanya fitnah

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi, Erra Fazira menafikan dakwaan dia sudah berkahwin dengan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berikutan tersebarnya gambar.

Erra berkata, dakwaan itu adalah fitnah semata-mata dan dia sedia memaafkan pihak-pihak yang mengada-adakan dan menyebarkannya cerita berkenaan.

“Itu adalah fitnah. Tak apalah saya maafkan dia yang menyebarkan cerita ini. Saya tahu diri saya macam mana dan bila dengar gosip berkahwin ini saya gelak sahaja.

“Sudah bertahun saya minta orang berhenti mengada-adakan cerita kahwin ini. Tapi ia tidak pernah berhenti. Jadi suka hati merekalah mahu kata apa,” katanya.

Erra berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Rampas Cintaku 2, petang tadi.

Terdahulu, khabar angin mengaitkan Erra dengan ahli politik berkenaan kembali timbul apabila muncul cerita yang kononnya seorang rakan pelakon berkenaan ternampak gambar perkahwinan Erra dan Faizal ketika berkunjung ke kediaman pelakon jelita itu tahun lalu.

Erra berkata, dia enggan namanya dikaitkan lagi dengan Ahmad Faizal bagi menghormati kedua-dua pihak.

“Saya harap perkara ini tidak diperkatakan lagi. Kita kena hormati dia di tempatnya sebagai orang politik dan saya di dunia hiburan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Erra mengakui dia masih bergelar ibu tunggal namun sedia menerima sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh.

“Saya masih ibu tunggal, sudah bertahun saya tegaskan perkara ini. Namun begitu, saya tidak pernah menutup pintu hati, cuma belum ada rezeki bertemu jodoh lagi,” katanya.

Lagu Dawai lebih popular, Fadhilah Intan tidak kecil hati

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia yang semakin dikenali menerusi lagu Dawai, Fadhilah Intan tidak berkecil hati apabila peminat lebih mengenali lagu berkenaan berbanding dirinya.

Fadhilah, 25, berkata, lagu Dawai terlebih dahulu popular di Malaysia dan peminat sering memanggilnya dengan nama ‘Dawai’.

“Tidak saya nafikan lagu Dawai sangat memberi kesan kepada kehidupan saya sejak ia popular.

“Meskipun pada awal peminat tidak tahu nama saya dan mereka hanya memanggil ‘Dawai’ saya gembira kerana lagu itu dikenali.

“Tidak hanya di Indonesia, malah lagu ini juga sangat popular di Malaysia dan saya sangat gembira atas sambutan yang diterima,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Wali ‘Cari Jodoh’ & ‘Dawai’ In Penang, baru-baru ini.

Berasal dari Surabaya, Fadhilah mengakui,  itu berkata, lagu Dawai sangat memberi impak apabila dia semakin banyak menerima pelbagai jemputan untuk membuat persembahan termasuk menjadi tetamu dalam program televisyen (TV).

“Sebelum adanya lagu Dawai, tawaran nyanyian saya terima tidak banyak. Kadang-kadang hanya dua atau tiga kali sahaja dalam tiga bulan.

“Sejak lagu Dawai popular tawaran semakin banyak hampir 10 jemputan saya terima dalam sebulan.

“Malah tidak sangka ditawarkan menyanyi hingga ke Malaysia dan bakal menjayakan konsert di Pulau Pinang tidak lama lagi,” katanya.

Fadhilah berkata, dia juga tidak sabar untuk melancarkan dua single baharunya tidak lama lagi.

“Saya sudah ada dua single baharu dan baru sahaja selesai rakaman beberapa hari lalu. Mungkin ia akan dilancarkan pada Februari ini,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang bersama Wali Band, Fadhilah mengganggap ia adalah peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan.

“Saya anggap ini kesempatan terbaik apabila dapat membuat persembahan di Malaysia.

“Sebelum ini, saya adalah pencipta kandungan di media sosial, tetapi sekarang sudah lebih dikenali sebagai penyanyi,” katanya.

Konsert Wali Cari Jodoh & Dawai In Penang dianjurkan oleh Orange International turut menampilkan Khai Bahar dan Saixse yang akan berlangsung di Spice Arena, Pulau Pinang pada 3 Februari depan.

Tiara Andini angkat budaya Jawa menerusi single terbaharu ‘Ngeluwihi’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi dari seberang, Tiara Andini tampil dengan single istimewa dan menakjubkan menerusi lagu berjudul Ngeluwihi.

Single ini boleh dikatakan menjadi salah satu yang terbaik, bagi penyanyi berusia 22 tahun itu memulakan tahun baru 2024.

Dalam lagu ini, Tiara Andini kembali bekerjasama dengan penerbit muzik dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang sebelumnya pernah berkolaborasi dengannya dalam lagu ‘Flip It Up’.

Hasilnya, lagu ‘Ngeluwihi’ juga memberikan sentuhan KPop dalam susunan muziknya.

Sesuai dengan tajuknya, perkataan ‘Ngeluwihi’ diambil dari Bahasa Jawa yang bererti ‘melebihi’.

Perkataan ini dipilih kerana Tiara ingin membawa asal usulnya sebagai perempuan berdarah Jawa ke dalam karyanya serta ingin menunjukkan versi lebih baik dari dirinya melalui single ini.

Walaupun sebahagian besar liriknya dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris, namun di awal lagu dia memberikan lirik berbahasa Jawa yang menambah keunikan pada lagu itu sendiri.

Tidak hanya itu, Tiara juga mengukuhkan nuansa Jawa dalam gambar promosi lagu ‘Ngeluwihi’ di mana dia memakai pakaian tradisional Jawa hasil kolaborasi antara Jember Fashion Carnaval (dengan Bubah Alfian sebagai pengarahnya), Lisa Ju, Atara Batik, dan Torenda Indonesia.

Duo pereka fesyen ByAnsoe juga turut menyumbang dalam pakaian yang dikenakan Tiara dalam video muzik berkenaan.

Sementara itu, untuk pengarah fesyen keseluruhan, Tiara menggunakan khidmat Rikki Simanjuntak.

“Aku ingin membawa budaya di mana aku lahir, iaitu budaya Jawa, dan ternyata setelah dicuba hasilnya sangat memuaskan, tidak hanya lagunya, tetapi semua hasil produksinya juga melebihi jangkaan aku sebelumnya,” kata Tiara.

Lagu ‘Ngeluwihi’ itu sendiri menceritakan tentang bagaimana seseorang yang diremehkan oleh orang lain pada akhirnya mampu bangkit untuk membuktikan bahawa orang berkenaan salah kerana dia mampu menjadi versi yang lebih baik dari dirinya sendiri.

Susunannya sendiri, seperti yang sudah disebutkan sebelumnya, menyaksikan Tiara bersama penerbit Hyuk Shin kembali menampilkan nuansa muzik KPop yang agresif dan sangat rancak.

Unsur hip-hop, rap, R&B, pop, semua menjadi satu dalam adunan terbaik penerbit ditambah dengan kemampuan Tiara yang menyajikannya dengan kualiti vokal yang hebat.

Tidak hanya itu, video muzik yang ditampilkan juga mengagumkan siapa pun yang melihatnya.

Tiara membawa konsep budaya Jawa hampir di setiap babak yang ada di video muzik ‘Ngeluwihi’ sambil menampilkan tarian yang sangat menarik.

Pakaian tradisional Jawa menjadi salah satu tumpuan yang mencuri perhatian di video muzik ini. Ditambah lagi ia menampilkan “Gunungan” atau “Kayon” yang ada di dalam wayang kulit sebagai latar belakang video muziknya.

“Gunungan” atau “Kayon” pada wayang itu berbentuk kon dan tipis ke atas yang melambangkan kehidupan manusia.

Tiara berharap warna muzik yang ingin ditampilkan dapat diterima dan didengar oleh masyarakat dengan lebih luas lagi.

Tidak hanya di Indonesia, namun juga meliputi penggemar di Asia, bahkan dunia.

“Harapannya tetap ingin dapat dinikmati pendengar yang lebih luas lagi, sehingga lebih banyak lagi juga yang bisa mengetahui budaya Jawa yang ditampilkan di single ini.

“Semoga makna lagu ini juga bisa menjadi motivasi bagi banyak orang untuk selalu menjadi versi yang lebih baik dari diri mereka,” katanya.

Keluarga arwah Fiza terima dua faedah PERKESO

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Waris kepada Siti Nor Hafiza Kamarudin, 40, pengarang portal hiburan yang meninggal dunia akibat barah, di London, layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memaklumkan, semakan rekod caruman ibu kepada dua cahaya mata, masing-masing berusia 8 dan 10 tahun itu mendapati, beliau pernah berkhidmat di tujuh syarikat berbeza, sejak Disember 2002.

“Sehubungan itu, suami Allahyarhamah, Roshdi Ramli, layak mendapat faedah PERKESO untuk sepanjang hayat, manakala dua anaknya diberikan manfaat sama sehingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama.

“Berdasarkan rekod caruman PERKESO milik Siti Nor Hafiza, mendapati keluarganya layak untuk menerima bayaran berkala Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,975 setiap bulan dan FPM sebanyak RM2,000 secara sekali bayar, menerusi Skim Keilatan, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya ketika mengadakan Ziarah Prihatin di kediaman waris wartawan terbabit.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau Altimet.

PERKESO menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan semoga penyaluran faedah ini berupaya membantu kelangsungan hidup mereka.

Terdahulu, pemergian wartawan hiburan berkenaan turut mendapat perhatian rakyat Malaysia yang menderma melalui tabung BANTULAH FIZA.

Sumbangan derma daripada pelbagai pihak artis, media dan orang ramai ini disalurkan melalui Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dimana sebanyak RM50,000 sebelum ini turut disampaikan.

Ia bagi membiayai kos membawa pulang jenazah ke tanahair pada Sabtu lalu.

Enam finalis Anugerah Carta 114 TV AlHijrah berentap rebut gelaran juara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, TV AlHijrah (TVAH) bakal menerbitkan Anugerah Carta 114 yang akan berlangsung Sabtu ini, 13 Januari bermula jam 9 malam.

Dibawakan dari Studio Penyiaran Digital TVAH, Anugerah Carta 114 adalah sebuah platform pengiktirafan yang memberikan penghormatan kepada bakat penggiat seni  terbaik dalam industri nasyid dan lagu ketuhanan Malaysia.

Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Kandungan TVAH, Zulkarnaen Mokhtar berkata, Anugerah Carta 114 (AC114) musim pertama ini dibuat bagi menghargai karya penasyid, penulis lagu, pemuzik video serta penonton setia stesen TVAH.

“Enam kategori utama telah dipertandingkan sepanjang rancangan Carta 114 mula disiarkan setahun yang lalu. 

“Kategori terbabit adalah Artis Solo Pilihan, Artis Kumpulan Pilihan, Lirik Terbaik, Muzik Video Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pilihan Peminat.

“Penonton diberi kuasa penuh untuk memilih pemenang mingguan menerusi undian kod QR dan pautan yang dikongsi di televisyen pada setiap episod siaran rancangan ini.

“Pada minggu ke 39 siaran, Jalal Zaiki selaku hos rancangan telah mengumumkan pemenang 6 kategori utama yang layak berentap di pentas akhir AC114,” katanya.

Zulkarnaen berkata, undian penonton telah memuktamadkan Shidee Khayran yang menyampaikan lagu Hadirmu sebagai pemenang kategori Artis Solo Pilihan.

Artis Kumpulan Pilihan pula dimenangi oleh InTeam dengan lagu Selimut Putih. Manakala Ustaz Tiga Beradik yang menyampaikan lagu Si Bujur Sireh menjuarai kategori Lirik Terbaik.

Tiga kategori berbaki iaitu Muzik Video Terbaik, Susunan Muzik Terbaik dan Lagu Pilihan Peminat Lagu dimenangi oleh Fitri Harris dengan lagu Hanya kamu, One Path dengan penampilan Nazrey Johani menerusi lagu Laila Majnun dan Darwish dengan lagu Linangan Laduni.

“Kemuncak pada Sabtu ini, kesemua juara enam kategori ini akan berentap membuat persembahan terbaik bagi memenangi tiga  kategori anugerah utama.

“Juara Anugerah Carta 114 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM 20,000 berserta trofi.

“Bagi pemenang vokal terbaik dan pemenang persembahan terbaik pula, masing-masing bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi.

“Manakala pemenang Anugerah Khas Carta 114 akan membawa pulang RM5,000 dan trofi,” katanya.

Katanya, mereka berusaha untuk pastikan AC114 menjadi acara tahunan di TV AlHijrah.

“Ini adalah permulaan. Ini juga adalah cara stesen kami menghargai penonton dan pemuzik nasyid yang banyak membantu dalam memacu pertumbuhan industri muzik nasyid tempatan.

“Kesemua finalis akan diadili juri professional iaitu Farihin Abdul Fatah selaku ketua juri dan dibantu Amran Omar dan Lah Ahmad. Semestinya, mereka mencari juara yang berbakat, berilmu, versatil dan relevan,” katanya lagi.

Sementara itu, Fitri Harris, penyanyi dan anggota kumpulan nasyid UNIC, ternyata teruja apabila lagu Hanya Padamu dendangannya diundi penonton bagi kategori Muzik Video Terbaik.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat. Saya tidak menjangkakan langsung. Namun, jika dilihat dari segi kualiti muzik video sepanjang 22 tahun saya berkecimpung di dalam industri ini, muzik video Hanya Kamu adalah yang terbaik pernah saya hasilkan. Lagu ini juga dijadikan runut bunyi untuk drama di Nurflix.

“Persiapan semuanya berjalan lancar walaupun saya kini berada di Lubnan untuk misi kemanusiaan. Saya akan sampai di Malaysia sehari sebelum AC114.

“Dari segi kesihatan, konsep dan lain-lain, kita berhubung secara atas talian untuk pastikan semua berjalan seperti yang dirancang. Ada kejutan untuk peminat pada malam persembahan nanti.

“Harapan saya agar lagu ciptaan saya dan Awi Rafael ini dapat diterima semua penonton dan juri pada malam itu nanti. Saya akan buat yang terbaik dan akan sampaikan mesej daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Hablum Minallah dan Hablum Minannas Insya-Allah,” katanya.

Anugerah Carta 114 turut dimeriahkan dengan persembahan Medley oleh Aris Ariwatan, Amir Ukays dan Syafiq Farhain serta Kumpulan nasyid terkemuka Raihan.