25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 232

Rancangan-rancangan terbaik Astro Sepanjang 2023

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR– Astro memperlihatkan senarai rancangan-rancangan paling diminati oleh penonton Astro pada tahun 2023.

Berdasarkan senarai ini, penonton lebih cenderung menonton drama, rancangan hiburan, realiti dan sukan secara langsung.

Berikut adalah senarai rancangan popular Astro yang berjaya menambat hati penonton:

Projek: High Council – Daripada pencipta Projek: Anchor SPM, siri ini memaparkan kisah benar yang berlaku di dalam kehidupan pelajar asrama dan mengetengahkan isu semasa di sekolah seperti kegiatan buli, masalah depresi, dan isu kekeluargaan.

All Stars Gegar Vaganza – Pertandingan nyanyian realiti No. 1 Malaysia kembali untuk musim kesepuluh dan kali ini mempertandingkan semua juara musim dari sebelumnya.

Andai Itu Takdirnya – Adaptasi novel terlaris Siti Rosmizah yang mengisahkan Aleya, seorang gadis dari keluarga sederhana dan Syed Adam Aizril, anak kepada seorang tokoh korporat.

Malaysian Football League – Astro adalah penyiar rasmi Malaysian Football League yang terdiri daripada Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Liga Perdana – Semua 380 perlawanan musim 2023/2024 disiarkan secara langsung di Astro yang mempamerkan kemuncak bola sepak Inggeris.

Pasanga – Drama bersiri Tamil yang mengisahkan kepentingan persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang.

Didi & Friends – Kartun edutainment kegemaran kanak-kanak prasekolah Malaysia berkonsep muzik yang menampilkan tiga ekor ayam comel menyanyikan sajak-sajak setempat.

Travel with Mummy – Duo pengembaraan luar biasa, Jason Yeoh dan Jack Lim bersama-sama ibu mereka bersedia untuk melawat beberapa destinasi pelancongan terbaik.

Travelawak: Projek Bapak-Bapak – Program kembara realiti komedi yang menghimpunkan legenda tempatan termasuk Datuk Ramli MS, Datuk Jalaludin Hassan, Roy Azman dan Jatt Ali.

Semua pelanggan Astro boleh menikmati tontonan PERCUMA untuk saluran baharu, HITS NOW (Saluran 702), disertai dengan akses terhad kepada lima saluran tambahan: HBO Hits, HBO Family, Showcase, K-Plus dan Moonbug secara percuma.

Sehingga 31 Januari 2023*, nikmati perayaan dan raikan tahun yang akan datang dengan menyelami kandungan premium sesuai untuk setiap ahli keluarga.

Tawaran eksklusif ini adalah tanda penghargaan Astro terhadap pelanggan untuk menyambut tahun baharu bersama-sama. 

Rancangan-rancangan paling diminati oleh penonton Astro boleh ditonton melalui On Demand dan untuk pelanggan baru Astro, marilah bersama-sama meraikan detik-detik terindah bersama keluarga dengan rangkaian Pek TV Astro, dengan potongan 30 peratus** bermula daripada hanya RM41.99/sebulan.

Kongsi pengalaman indah ini bersama Astro dengan melayari www.astro.com.my.   

Usahawan Chryseis Tan, Rizman Nordin kongsi pandangan mengenai HONOR Magic V2

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia mengumumkan tarikh pelancaran HONOR Magic V2, telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia pada 16 Januari ini, jam 8 malam.

HONOR Magic V2 meningkatkan penanda aras industri ke tahap lebih tinggi dengan melakukan pembaharuan baik dari segi pembentukan, ketahanan bateri, paparan dan pengalaman pengguna secara keseluruhan.

Peranti ini direka untuk mudah dibawa ke mana-mana dan HONOR telah memperhalusi struktur telefon, proses pembuatan dan pemilihan material dengan teliti untuk menetapkan standard baru dalam rekaan telefon pintar.

HONOR Magic V2 sangat nipis dengan kurang 1 sentimeter apabila dilipat dan adalah telefon pintar boleh lipat pertama untuk mencapai rekod ini, sekaligus menjadikannya Pilihan Terbaik Era Baru dalam telefon pintar.

Menjelang pelancaran HONOR Magic V2, anak bilionair Malaysia yang juga usahawan berjaya Chryseis Tan dan pereka fesyen terkenal tanah air Rizman Nordin antara individu pertama untuk merasakan pengalaman menggunakan telefon pintar boleh lipat inovatif ini.

HONOR Magic V2 – Paling Nipis dan Ringan

Chryseis mengagumi rekaan bentuk ringan HONOR Magic V2 yang berat hanya 231 gram dan senipis 9.9 milimeter apabila dilipat.

“Ini pertama kali saya melihat telefon pintar boleh lipat yang sangat nipis dan ringan,” katanya.

Rekaan premium peranti ini sepadan dengan keanggunan Chryseis.

Rizman turut kagum terhadap HONOR Magic V2 dan mendapati peranti ini mudah untuk dibawa ke mana-mana.

Pengasas jenama Rizman Ruzaini ini berkata telefon boleh lipat tersebut muat dengan sempurna ke dalam poket di bahagian atas jaketnya.

“Saya sangat cerewet tentang saiz telefon dan HONOR Magic V2 muat dengan selesa di dalam poket saya,” katanya.

Selain itu, reka bentuk HONOR Magic V2 yang menggabungkan tablet dan telefon pintar memudahkan Rizman melakukan tugas di mana-mana serta menunjukkan rekaannya pada paparan yang lebih besar.

HONOR Magic V2 – Kuasa dan Ketahanan

Mengenai kuasa, HONOR Magic V2 didatangi dengan bateri silikon karbon 5000mAh bersama pengecas pantas 66W. Kapasiti bateri yang besar membuatkan Rizman tidak perlu bimbang tentang bateri cepat habis.

“Saya sentiasa sibuk dan banyak menggunakan telefon pintar, terutama sekali melayari Pinterest dan menonton pertunjukan fesyen untuk mengikuti perkembangan industri fesyen,” katanya.

Sementara, Chryseis berkata telefon pintar adalah alat komunikasi penting dalam kehidupan seharian untuk mendapatkan informasi, berkomunikasi, melayari media sosial dan mengambil gambar.

Usahawan ini tidak perlu bimbang tentang ketahanan HONOR Magic V2 yang mampu menahan lebih 400,000 lipatan. Ketahanan ini mdenjaminkan sehingga 10 tahun dengan 100 lipatan sehari.

Ketahanan ini disebabkan engsel HONOR Magic V2 diperbuat daripada aloi titanium, sejenis material yang lebih ringan daripada aluminium dan lebih kuat daripada keluli. Inovasi tersebut melayakkan peranti tersebut memperoleh pensijilan daripada SGS.

Bagi mengelak peranti dari panas dan memastikan prestasi optimum apabila digunakan untuk jangka waktu lama, HONOR Magic V2 dimuatkan dengan Sistem Penyejukan BioniK VC Ultranipis.

Tonton Strim Langsung Pelancaran HONOR Magic V2

Saksikan pelancaran telefon pintar boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia menerusi strim langsung HONOR Magic V2 di Facebook HONOR Malaysia pada 16 Januari 2024, jam 8 malam.  

Perkasa pengajian berasaskan WBL, YEG Academy jalin kerjasama dengan Kolej Meatech dan Awesome Nomad

editormaxinfo@gmail.com

MANTIN – Kolej Meatech bersama rakan strategik YEG Academy Sdn Bhd dan Awesome Nomad Sdn Bhd hari ini menjalin kerjasama dalam bidang pengajian industri penerbangan dan pelancongan yang berasaskan pembelajaran terus kerja (WBL) dalam peringkat diploma.

Ketua Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi, berkata program pengajian yang ditawarkan mempunyai potensi kepada permintaan tinggi di pasaran dengan memberi penekanan kepada laluan kerjaya bagi pelajar.

“Bidang pengajian peringkat diploma yang ditawarkan dan berasaskan WBL sudah pasti memberi jaminan kerjaya bagi pelajar dan permintaan industri yang tinggi juga adalah salah satu faktor pada masa kini.

“Bermula dari YEG Academy ini diasaskan, seramai 87 peratus graduan telah dilahirkan dan hampir keseluruhan terus dipanggil bekerja mengikut kemahiran yang terlatih,” katanya pada sidang media pelancaran kerjasama itu di Auditorium Lincoln, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Sekolah Hospitaliti Penerbangan, Kolej Meatech, Che Rozaina Azizan berkata, konsep WBL adalah satu revolusi pendidikan tinggi yang mampu mengintegrasikan pembelajaran di universiti dengan pembelajaran di industri selain mewujudkan pengalaman bersepadu kepada pelajar iaitu teori dan praktikal.

“Kita menyahut saranan Perdana Menteri yang ingin meningkatkan pembelajaran TVET terutama kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berikutan data menunjukkan 72 peratus pelajar selepas tamat persekolahan tidak berminat menyambung pelajaran, jadi usaha ini dilihat sebagai salah satu cara bagi menanam minat kepada mereka untuk belajar ke peringkat lebih tinggi.

“Pihak industri berpeluang membawa semangat dan idea baharu kepada organisasi selain mempunyai cara baik mengenal pasti bakal rekrut yang akan membawa penyelesaian kos efektif pengambilan pekerja dan mengurangkan latihan di masa hadapan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya mengalu-alukan lebih banyak lagi industri bekerjasama dengan akademik bagi memastikan kurikulumnya relevan dengan keperluan industri.

Kerjasama dengan YEG Academy di bawah payung Aviation Career Malaysia, menawarkan dua program unik iaitu diploma berkaitan penerbangan selama dua setengah hingga tiga tahun dan program persediaan yang berfokus selama tiga bulan.

Antara bidang yang ditawarkan termasuklah Diploma Teknologi Penyelenggaraan Pesawat, Diploma Pengurusan Kargo Udara dan Diploma Pengurusan Operasi Lapangan Terbang.

Bagi program persediaan pula terdiri daripada kru kabin, khidmat pelanggan dan ejen ramp.

Dalam masa sama, Kolej Meatech dan YEG Academy juga turut bekerjasama dengan Awesome Nomad menawarkan program pengajian peringkat diploma dalam jurusan pengurusan pelancongan membabitkan kolaborasi dalam WBL.

Perunding Utama Awesome Nomad Sdn Bhd, Dr Irwan Dahnil berkata, program ini menawarkan tempoh pengajian selama satu tahun setengah di dalam kelas dan selama setahun mereka akan ditempatkan dalam industri berkaitan.

“Pelajar program jurusan pengurusan pelancongan secara WBL akan dihantar ke luar negara pada semester akhir selama tiga bulan untuk latihan.

“Menerusi syarikat, kami menyediakan khidmat pengurusan pelancongan untuk kembara ke luar negara sebagai ketua kembara atau ‘tour leader’membawa pelancong dari Malaysia melawat negara-negara terkenal khususnya di benua Eropah.

“Program pembelajaran berasaskan pekerjaan atau WBL ini akan memberi pendedahan industri kepada pelajar di sepanjang pengajian mereka,” katanya.

Beliau berkata, setiap graduan bidang pelancongan akan dilatih dengan silibus pengajian tepat lebih-lebih lagi dalam menghadapi situasi apabila pelancong kehilangan pasport di luar negara dan pelancong yang mengalami gangguan kesihatan malah kematian semasa melancong.

Wani Kayrie harumkan Malaysia, beraksi di pentas ‘28th Asian Television Awards’

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Walaupun lagunya ‘Kamu Kamu’ tidak berjaya mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38), bakatnya tetap dipandang di negara luar. 

Penyanyi Wani Kayrie akan terbang ke negara Vietnam bagi memenuhi undangan membuat persembahan di majlis penuh berprestij peringkat Asia iaitu ‘28th Asian Television Awards’ pada 12 dan 13 Januari ini.

Menerusi muat naik status di Instagram milik Wani ada berbaur kekesalan dengan keputusan AJL38, namun semangatnya sedikit pun tidak goyah malah lebih bersemangat dan tidak sabar-sabar untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa tidak lama lagi.

Wani berkata, perasaan teruja serta berkobar-kobar sangat menebal di jiwa selain merasa bertuah, kerana dipilih mewakili negara buat kali kedua untuk membawa nama Malaysia selain nama label naungannya, Rocketfuel Entertainment.

“Saya sangat berbesar hati dengan pemilihan ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik ketika berada di sana nanti.

“Saya juga sedang mempersiapkan diri dari segi latihan vokal secara bersendiri tanpa bantuan dari mana-mana pihak, ini termasuk koreografi yang turut dilakukan secara bersendirian juga.

“Dari segi penataan gaya sahaja saya memerlukan khidmat pakar serta khidmat pereka fesyen untuk busana yang bakal disarungkan nanti,” katanya.

Wani bakal menyanyikan tiga pada majlis itu nanti antaranya dua buah lagu sendiri iaitu ‘Kamu Kamu’ dan ‘Fajar’, manakala satu lagi lagu ‘Bang Bang’ nyanyian Ariana Grande dengan versinya sendiri.

“Saya mengharapkan sokongan seluruh rakyat Malaysia dan doakan semuanya berjalan dengan lancar.

“Ini adalah momen saya untuk menunjukkan bakat pada semua, kalau boleh rakyat Malaysia membuka mata serta melihat sendiri kebolehan dan kemampuan Wani Kayrie bernyanyi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Penonton boleh menyaksikan siaran langsung ‘28th Asian Television Awards’ bermula 12 dan 13 Januari ini melalui aplikasi penstriman video atas talian seperti viu.com atau siaran digital melalui saluran YouTube rasmi majlis berkenaan.

Boost, RHB jalin kerjasama sebagai bank digital

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau Boost dan rakan konsortiumnya, RHB Banking Group (RHB), menerima kelulusan rasmi daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk memulakan operasi sebagai bank digital, berkuatkuasa 15 Januari ini.

Boost dalam satu kenyataan berkata, konsortium ini akan menjadi bank digital pertama majoriti milik Malaysia untuk memulakan operasi dengan aplikasi bank digital di pasaran tempatan.

“Aplikasi ini direka untuk menangani jurang keterangkuman kewangan bagi golongan yang kurang dan tidak mendapat akses perbankan.

“Konsortium Bank Digital Boost-RHB menerima kelulusan kawal selia lebih awal dari jadual, selepas melalui audit kesediaan operasi menyeluruh yang disahkan oleh BNM.

“Selepas berjaya mempamerkan infrastruktur asas yang teguh dan berdaya tahan bagi bank digital, kini secara rasminya dikenali sebagai Boost Bank oleh Axiata dan RHB (Boost Bank), konsortium ini akan beralih ke fasa ujian alfa yang membabitkan pekerja, keluarga, rakan, dan kumpulan pelanggan terpilih.

“Menjelang pelancaran awam rasmi, bank digital ini akan mempertingkatkan proposisi produknya secara progresif dan memperhalusi pengalaman pengguna bagi membuka jalan kepada era baharu kewangan demi memenuhi pelbagai keperluan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Pasukan bank digital ini akan diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Boost Bank, Fozia Amanulla, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan, Axiata, Vivek Sood,  Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon.

Fozia Amanulla berkata, pihaknya dengan berbesar hati untuk menerajui pasukan bank digital yang luar biasa ini, sambil membuka jalan, bukan sahaja untuk industri, malah untuk seluruh negara.

“Berakar umbi dalam kepercayaan asas bahawa semua orang berhak menikmati masa depan kewangan yang cerah, kami berazam untuk memacu Malaysia ke zaman keterangkuman kewangan sejati, dengan memanfaatkan potensi kewangan terbaik melalui bank digital kami.

“Disokong oleh gabungan ekosistem dan data konsortium, kami berada pada kedudukan yang unik untuk menawarkan kewangan inklusif.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengawal selia atas sokongan dan bimbingan berterusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid berkata, kelulusan yang diterima daripada BNM dan MOF adalah pencapaian penting dalam komitmen mereka bersama Boost untuk mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif, terutamanya untuk perniagaan dan individu yang kurang mendapat akses perkhidmatan kewangan di Malaysia.

“Di bawah kepimpinan dinamik Fozia Amanulla dan pasukan perbankan digital yang berpengalaman, kami yakin Boost Bank bersedia untuk menerajui landskap teknologi kewangan digital.

“Bersama-sama, kami akan merealisasikan kemajuan bagi semua, untuk memastikan ekosistem kewangan yang teguh dan inklusif yang bakal memberi manfaat kepada semua dalam komuniti kami,” katanya.

Konsortium Bank Digital Boost-RHB yang mana Boost menguasai 60 peratus ekuiti dan baki 40 peratus dikuasai RHB, adalah antara 5 pemohon lesen yang berjaya diumumkan oleh BNM pada April 2022.

Apabila konsortium ini memulakan operasinya secara berperingkat berikutan penyelesaian audit kesediaan operasi, Malaysia akan meraih manfaat daripada keterangkuman kewangan yang lebih besar.

Raja Ema akui lebih bahagia hidup sendiri

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Pelakon dan penyanyi, Raja Ema akui bahagia menjalani kehidupan solo selepas bercerai dengan penyanyi Sheqal lebih dua dekad lalu.

Raja Ema, 55, berkata sehingga kini dia belum terfikir untuk kembali berumah tangga meskipun ada lelaki yang ingin mengisi kekosongan hati.

“Saya seorang yang mementingkan diri sendiri dan tidak suka berkongsi ruang dan masa dengan orang lain. Saya lebih suka menghabiskan masa dengan diri sendiri.

“Mungkin juga sebab saya sudah terbiasa hidup sendiri sejak lama menyebabkan tidak pernah terfikir untuk mencari pengganti.

“Tidak dinafikan adalah juga lelaki yang cuba mendekati, tetapi saya tidak tahu sejauh mana kejujuran mereka.

“Lagipun saya pernah bercerai dan boleh dikatakan serik sebenarnya untuk kembali berumah tangga.

“Memang tiada langsung jejaka idaman dihati,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton dan sidang media filem Sayu Yang Syukur, baru-baru ini.

Penyanyi yang popular pada era 1980-an yang kini menetap di Melaka itu mengejutkan industri seni apabila mengumumkan bakal bernikah dengan penyanyi Sheqal pada 1993.

Ini kerana anak kepada pelakon veteran, Allahyarhamah Yusni Jaafar itu tidak pernah berkongsi kisah percintaannya ketika itu.

Dalam pada itu, Raja Ema pernah berkahwin buat kali kedua, selepas lama bergelar ibu tunggal namun identiti bekas suaminya terus menjadi tanda-tanya. 

Death Whisperer filem Thai pertama ditayangkan dalam IMAX

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Death Whisperer adalah sebuah filem seram Thai yang berdasarkan urban legend sebenar sudah pun menemui penonton di seluruh  pawagam seluruh Malaysia sejak 4 Januari lalu.

Lebih menarik, filem Death Whisperer adalah satu-satunya filem Thai pertama yang ditayangkan dalam IMAX dengan Laser, menggabungkan imej tayang 4K Laser sejernih kristal dengan sistem bunyi termaju IMAX. 

Dengan teknologi terkini sebegini, ia sedikit sebanyak akan membawa roh dan rasa seram ke tahap seterusnya dengan pengalaman sinematik yang paling maju, dikuasai semula khas dalam teknologi DMR (Digital Re-Mastering) proprietari IMAX.

Filem ini juga adalah salah satu filem box office terbesar Thailand pada tahun 2023 yang memikat hati di seluruh negara dan ditutup dengan kira-kira THB475 juta (kira-kira RM64 juta) box office dalam kejayaan.

Death Whisperer dibintangi oleh Nadech Kugimiya, Mim Rattanawadee Wongthong, Denis Jelilcha Kapaun, Junior Kajbhunditt Jaidee, Friend Peerakrit Phacharaboonyakiat dan Nina Nutthatcha Padovan, bersama dengan Fresh Arisara Wongchalee dan Ply Pramer Noiam. 

Diarahkan oleh Kui Taweewat Wantha dan Penerbit Eksekutif Pap Narit Yuwaboon, pasukan terkenal di sebalik filem seram itu melanda “Long Weekend” daripada lagenda internet yang menggerunkan kepada kengerian skrin besar yang menggegarkan darah.

Sebuah filem seram ghaib di luar bandar Thailand mengisahkan tentang pertemuan mengerikan sebuah keluarga dengan roh syaitan yang merasuk anak perempuan mereka dan menyebabkan kematian misteri, memaksa adik-beradik itu mengambil langkah melampau untuk menghentikan kehadiran jahat yang menghantui kampung mereka.

Kisah ini berlaku di sebuah perkampungan terpencil di Thailand di mana seorang gadis muda mati secara misteri selepas mendengar nyanyian “Tee Yod” yang menyeramkan. 

Bertahun-tahun kemudian, sebuah keluarga digeruni oleh roh jahat yang sama merasuk tubuh anak perempuan mereka Yam.

Abangnya, Yak meminta bantuan daripada ahli sihir untuk melakukan ritual untuk menghalau syaitan. 

Selepas perjalanan berbahaya untuk membawa Yam ke hospital, Yak terpaksa menembak adiknya untuk menghalau roh yang keluar dari mulutnya.

Di hospital, syaitan itu merasuki Yam sekali lagi dalam bentuk kucing hitam. Yam mati ngeri, tetapi roh jahat masih menghantui keluarga.

Yak berikrar membalas dendam terhadap kuasa jahat purba yang melanda kampung itu.

Death Whisperer telah pun ditayangkan pada 4 Januari lalu di IMAX dan skrin standard berhampiran penonton.

Kerteh FC cipta sejarah kelab bola sepak pertama tubuh koperasi

editormaxinfo@gmail.com

KERTEH – Kelab Bola sepak komuniti, Kerteh FC yang berpangkalan di Mukim Kerteh, Terengganu mencipta sejarah baharu apabila menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini yang menubuhkan koperasi.

Presidennya, Mohd Razeman Mat Nashim berkata, keahlian koperasi itu adalah berasaskan keahlian penyokong-penyokong Kerteh FC dari seluruh negara.

“Alhamdulillah, kita telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan di Dewan Sivik Kerteh semalam di mana hampir 60 orang telah menghadiri mesyuarat ini yang bertujuan untuk melantik Ahli Lembaga Koperasi (ALK), membentuk serta meluluskan undang-undang kecil KPKBKB.

Setakat ini kita telah menerima maklum balas menggalakkan menerusi pendaftaran awal seramai hampir 200 orang yang terdiri daripada penyokong Kerteh FC yang juga ibu bapa pelatih-pelatih akademi Kerteh FC untuk menjadi ahli koperasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat semalam telah memutuskan Koperasi Penyokong Kelab Bola sepak Kerteh Berhad (KPKBKB) sebagai nama yang akan didaftarkan di Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Mesyuarat juga bersetuju sebulat suara melantik anak jati Kerteh, Hazran Mohamed sebagai Pengerusi Koperasi bersama lima lagi Ahli Lembaga Pengarah.

“Kita meletakkan sasaran awal untuk menarik seramai lebih kurang 3 ribu ahli koperasi dan kita ada menawarkan yuran istimewa untuk tempoh 3 bulan pertama ini kepada yang mendaftar awal sebagai ahli.

“Matlamat utama kita menubuhkan koperasi ini sebenarnya adalah untuk berkongsi manfaat kepada seluruh komuniti Kerteh dan juga penyokong Kerteh FC,” katanya.

Razeman berkata, mengikut perancangan pengurusan, semua aset Kerteh FC akan diletakkan di bawah pemilikan KPKBKB bagi membolehkan ahli-ahli koperasi mendapat manfaat hasil perniagaan yang dijalankan.

Mereka yang berhasrat untuk menjadi ahli KPKBKB, boleh menghubungi sekretariat koperasi menerusi emel admin@kertehfc.com.

Kerteh FC yang ditubuhkan pada 2018, dimiliki oleh syarikat KAL Services Sdn Bhd dan turut menguruskan kompleks Stadium Mini Kerteh, akademi latihan bola sepak dan juga lain-lain perniagaan termasuk cenderahati kelab.

Kelab bola sepak komuniti itu sebelum ini turut mencipta sejarah apabila menjalin kerjasama dengan sebuah akademi bola sepak yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol iaitu Riera Sport dan pemiliknya Oscar Riera dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC.

Untuk rekod, Kerteh FC sebelum ini menjadi Juara Liga Perdana dan Juara Piala Liga Amatur Terengganu (TAL) pada 2019.

Dengan status pasukan Liga M5, Kerteh FC turut memiliki Skuad Akar Umbi dari pelbagai peringkat umur bermula dari Bawah 6 Tahun. 

‘Voice Of The Heart Concert’ satukan jiwa, bantu rakyat Palestin

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Krisis peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 lalu di Palestin telah memberi kesan bukan sahaja rakyat dalam negara malah di seluruh dunia.

Apa yang berlaku di Palestin sekarang ini akan memberi kesan yang besar kepada kita. Implikasi kepada peperangan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang. 

Tidak hanya itu, ramai umat islam yang telah terkorban. Krisis kemanusiaan yang dicetuskan oleh peperangan yang kejam dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah serta menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan. 

Simpati dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin, syarikat pengurusan acara CS Excellent tampil menganjurkan persembahan ‘Voice Of The Heart Concert’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, jam 8.30 malam, pada 7 Mac depan.

‘Voice Of The Heart Concert’ menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Rahmad Mega, Jay Jay, Nadeera dan Ernie Zakri.

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama ‘Voice Of The Heart Concert’ ini diadakan adalah untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu saudara kita di Palestin yang amat memerlukan bantuan. Antara bantuan yang diperlukan seperti makanan, tempat tinggal, perubatan dan infrastruktur.

Tidak lupa juga kepada Persatuan Artis Veteren Malaysia dan Pertubuhan Limpahan Kasih (Anak-Anak Yatim dan Asnaf).

“Kita tahu, mereka ini juga antara yang turut melalui fasa kesukaran sama. Jadi, kita tidak mahu melupakan mereka.

“Dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki bersama. Diharap sumbangan yang bakal disalurkan ini adalah menyeluruh.

“Voice Of The Heart Concert’ adalah persembahan kedua terbesar yang kami anjurkan. Sebelum ini kami turut menjalankan acara sama iaitu Rhythm Of Legends Live In Concert di Plenary Hall KLCC membabitkan barisan penyanyi negara antaranya Datuk Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcees dan ramai lagi.

“Sepanjang hampir enam tahun bergiat aktif dalam bidang ini, ada banyak juga program lain yang sudah kami buat,” katanya.

Marinatasha berkata, sebelum ini ada ramai artis lain yang mereka jemput untuk terbabit sama, tapi hanya ini sahaja yang tersenarai dan berkelapangan untuk persembahan ini.

“Mereka juga berminat untuk sama-sama terbabit bagi membantu dan beramal.

“Dari segi persembahan, penganjur telah menetapkan konsep persembahan perjuangan dan kedamaian selaras dengan tujuan persembahan ini.

“Selain lagu popular, mereka juga turut menyampaikan beberapa buah lagu ditujukan khas buat Palestin dalam persembahan Istimewa itu nanti,” katanya.

Marinatasha yang juga Ketua Biro Kebudayaan dan Keseniaan Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat dan orang perseorangan yang ingin menyumbang.

Dalam masa sama, Marinatasha mengajak orang ramai untuk membeli tiket sekaligus boleh berhibur dan memberi sumbangan.

“Dengan bantuan ini, kita sedaya upaya membantu golongan Keluarga Syuhada dan Keluarga Miskin di sana. Ayuh berdoa dan menyumbang sebagai tanda solidariti kita kepada rakyat Palestin.

“Sebelum ini, saya juga bersama Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) terbabit dalam beberapa program amal.

“Malah, saya bersama seorang lagi Pengarah Urusan CS Excellent iaitu Qhal Mustaffa memang aktif menjalankan kerja sukarelawan. Apabila berlaku krisis kemanusiaan ini dapat dilihat bahawa masyarakat di Gaza telah hilang segala-galanya.

“Konsert ini diadakan bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Kepada pembeli tiket, mereka bukan saja boleh berhibur tapi juga beramal. Kami turut mengalu-alukan dan membuka kepada mana-mana badan korporat dan orang perseorangan jika mahu menaja dan menyumbang,” katanya.

Tiket konsert boleh didapati di myticketempire.com bermula esok, 6 Januari.

Harga tiket menyaksikan ‘Voice Of The Heart Concert’ seperti berikut White Team (Standing) : RM 99, Green Team (Seated) : RM199, Red Team (Seated) : RM299, Black Team (Seated) : RM399, VIP Box with Holding Room (4 seated and 4 standing) : RM5,000, Meet & Greet – Add on : RM150.