25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 233

Kapal pesiaran mewah Norwegian Aqua bakal tarik pelancong dengan permainan gelongsor 10 tingkat

editormaxinfo@gmail.com

MELANCONG menggunakan pengangkutan laut terbesar seperti kapal cruise pasti mengujakan, apatah jika anda dibawa belayar dengan penuh kemewahan seperti dalam kediaman sebuah banglo dan dilengkapi taman permainan gelonsor 10 tingkat dan banyak lagi.

Lebih menarik, percutian mewah disediakan pelbagai aktiviti, dihidangkan dengan sajian lazat, sambil menikmati pemandangan lautan luas terbentang pasti menjadi idaman semua.

Impian anda dapat direalisasikan apabila sebuah syarikat dari Eropah akan melancarkan kapal persiaran serba baharu, pada 2025 dengan keunikan tersendiri yang dilengkapi roller- coaster dan gelongsor air hibrid di laut yang pertama di dunia.

Dikenali sebagai Norwegian Aqua ia adalah kapal persiaran terbaharu dari Norwegian Cruise Line (NCL) yang akan membentuk sebahagian daripada kelas prima mereka.

Presiden Norwegian Cruise Line, David J Herrera, berkata Norwegian Aqua adalah bukti sebenar gabungan perkara yang mewakili masa depan jenama itu sebagai kapal pertama dalam Kelas Prima Plus dan komitmen untuk memberikan pengalaman pertama gelombang lautan kepada penumpang.

“Dinamakan Norwegian Aqua sempena warna biru yang indah dari lautan dan hubungan kami dengan laut, ia akan menampilkan sesuatu yang baharu, tinggi dan mengujakan sekali gus mempamerkan NCL sebagai sebagai penyumbang utama kepada era baharu pelayaran.

Penumpang boleh menempah pelayaran pertama kapal mulai sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Boleh memuatkan 3,751 penumpang

Dijangka mula melakukan pelayaran dari Florida pada April 2025, Norwegian Aqua boleh memuatkan kira-kira 3,751 penumpang untuk pelayaran selama tujuh hari melalui Caribbean ke pelbagai destinasi eksotik.

Ini termasuklah Puerto Plata di Republik Dominican, Tortola di Kepulauan Virgin British, St Thomas di Kepulauan Virgin Amerika Syarikat serta pulau persendirian syarikat pelayaran itu sendiri di Bahamas.

Di dalam kapal cruise ini, terdapat pelbagai pilihan penginapan disediakan termasuk Duplex Haven Suites dengan tiga bilik tidur.

Bilik suite mewah ini akan merentangi dua tingkat yang di dalamnya turut dilengkapi ciri-ciri seperti ruang tamu, ruang makan, tiga bilik mandi, balkoni dan tingkap dari lantai ke siling.

Terdapat juga satu siri Studio Stateroom yang direka untuk pengembara solo.

Ada gelonsor air hibrid pertama di dunia

Menyentuh mengenai roller- coaster dan gelongsor air hibrid di laut yang pertama di dunia, kapal itu akan dilengkapi dengan Aqua Slidecoaster yang mempunyai dwi gelongsor dan ia akan merentangi tiga tingkat kapal dengan beberapa lorong berliku-liku.

Bukan setakat itu saja, terdapat juga kompleks sukan digital baharu di atas kapal di mana ia dikenali sebagai Glow Court yang mempunyai lantai lampu diod pemancar cahaya (LED) interaktif di mana penumpang akan dapat bermain pelbagai aktiviti pada siang hari, sebelum bertukar menjadi ruang kelab malam ketika menjelang petang.

Ada gelonsor bebas 10 tingkat

Ciri-ciri lain di kapal itu termasuklah The Drop – gelongsor bebas 10 tingkat dan ruang permainan yang dipanggil stadium di mana aktiviti percuma akan ditawarkan.

Terdapat juga aktiviti mesra keluarga di atas kapal seperti Akademi Splash untuk penumpang berusia antara tiga hingga 12 tahun, manakala Entourage akan menjadi ruang khusus kapal untuk remaja.

Ruang pejalan kaki dan jambatan kaca

Sementara itu, ruang luar dilengkapi laluan pejalan kaki bagi memudahkan anda mengelilingi seluruh kapal serta jambatan kaca yang dipanggil Oceanwalk.

Di ruang Pantai Infinity, penumpang akan menemui beberapa kolam yang menghadap setiap sisi kapal dan terdapat juga ruang istirahat terbuka yang dipanggil La Terrazza di mana penumpang akan dapat menikmati lebih banyak pemandangan.

Bukan setakat itu saja, Explora I akan menjadi kapal persiaran mewah pertama dari Explora Journeys di mana ia boleh memuatkan 922 penumpang di dalam 461 suite, dan ia juga akan menjadi lokasi kepada jenama Rolex serta Cartier di laut yang pertama di dunia.

Dilengkapi hospital 24 jam dan salun

Sementara itu, bagi penumpang kapal MV Gemini pula, mereka boleh menerokai 135 negara dengan harga yang lebih murah daripada kos untuk menyewa flet di London.

Kapal Life At Sea Cruises juga menjanjikan pengalaman yang tiada bandingannya dengan pusat kecergasan, hospital 24 jam yang boleh dihubungi, salun, dek matahari dan kolam renang serta beberapa pilihan tempat makan untuk memuaskan hati penggemar makanan.

Bayaran bermula daripada AS$2,499 (RM 11,586) sebulan. -Agensi

Program ‘Percuma Jer’ tarik usahawan sertai iklan di televisyen

editormaxinfo@gmail.com

SHAH ALAM – Melihat sosial media yang semakin menjadi pilihan ramai usahawan dalam mempromosikan produk mereka ketika ini, memberi idea kepada stesen TV AlHijrah (TVAH) dalam membantu dengan cara promosi menerusi televisyen.

Program Percuma Jer diharap mampu menarik ramai usahawan tidak kira baru atau lama untuk sama-sama mempromosikan produk dan jenama perniagaan mereka di tv.

Walaupun ia adalah cara lama dan  semakin dilupakan, dengan kemunculan siaran pertamanya pada 1 Februari ini diharap mampu memberi impak kepada usahawan di luar sana menaikkan jenama produk mereka.

Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed berkata, menerusi program berkenaan penonton juga berpeluang  mendapatkan produk yang dijamin selamat dan sihat.

“Program ini memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak iaitu usahawan dan penonton.

“Penonton hanya perlu mengikuti langkah yang diberikan untuk mendapatkan produk yang dipromosikan pada hari berkenaan.

“Setiap produk juga akan ditapis dan dipastikan keselamatannya daripada pihak yang berkenaan.

“Begitu juga dengan penonton yang terbabit kami akan cuba seadil mungkin untuk memastikan ke semua penonton TVAH sama-sama dapat menikmati produk percuma yang diberikan,” katanya pada sidang media program berkenaan yang diadakan di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama pada program berkenaan Pengasas Pasak Sdn Bhd, Ku Addy Fazly Ku Radin.

Program ini juga sebagai menyahut Pelan Transformasi Al-Falah yang diperkenalkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Bertumpu kepada Teras Kesejahteraan Insan, program ini diperkenalkan bagi memperkasa kemampanan ekonomi Islam disamping kebajikan sosial dan perpaduan ummah.

Program Percuma Jer bakal bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada jam 6 hingga jam 7 petang adalah hasil cetusan idea TVAH dan Pasak Sdn Bhd.

Program terbaik yang menjanjikan kelainan ini memfokuskan pemasaran produk di kaca televisyen dengan konsep baharu.

Malah program ini adalah yang pertama kali seumpamanya di Malaysia dalam memberikan demonstrasi, promosi serta yang paling utama adalah sampel barangan percuma kepada penonton.

Nadzariah berkata, penonton yang ingin mendapatkan produk percuma perlu memuat turun aplikasi AlHijrah Plus di Apple Apps Store atau Google Play Store, kemudian mereka perlu mengimbas kod QR untuk memiliki barangan sampel dikehendaki.

“Setiap penghantaran produk akan diuruskan oleh usahawan yang terbabit dalam program ini.

“Kita menyasarkan 600 penyertaan dari usahawan dan setakat ini sudah 100 usahawan yang terbabit di mana program ini bakal menawarkan lebih daripada 400 produk barangan.

“Pelbagai jenis barangan seperti makanan, produk kecantikan dan kesihatan, barangan teknologi maklumat (IT) dan pelbagai lagi ditawarkan kepada penonton,” katanya lagi.

Mohon maaf, Amir Ahnaf janji lebih berhati-hati dengan watak

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pelakon yang semakin meningkat naik, Amir Ahnaf, 23, memohon maaf dan berjanji untuk lebih berhati-hati sebelum mengambil sebarang tawaran dalam menjayakan sesuatu watak.

Ia susulan video tular yang memaparkan Amir menjayakan babak tidak sopan dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah sehingga meraih kecaman warganet.

“Jujurnya saya tidak tahu perlu menjayakan babak seperti itu dan pada mulanya saya berat hati juga hendak buat.

“Saya minta maaf isu ini menyentuh sensitiviti penonton. Insya-Allah saya akan lebih berhati-hati lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem pertama lakonannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di Putrajaya, selasa lalu.

Bekas Hero Remaja 2021/2022 itu berkata, pada awal dia hanya dimaklumkan mengenai tajuk, jalan cerita dan senarai pelakon, manakala skrip pula diterima seminggu sebelum penggambaran bermula.

Namun begitu, sebagai pelakon baharu, dia takut untuk menolak menjayakan babak panas itu kerana bimbang dituduh besar kepala.

“Saya sudah tanda tangan kontrak dan saya pula orang baru. Takut juga nanti dikatakan besar kepala. Apa pun, ini saya akan lebih berhati-hati dan berbincang kalau ada yang tidak kena.

“Saya lega kerana ibu bapa faham akan kerja saya dan ingin saya beritahu di sini, babak itu hanyalah  ‘cheat shot’ sahaja dan bukannya terjadi betul-betul,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai wataknya dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Amir berkata, dia menerima tawaran itu tiga hari sebelum penggambaran.

Katanya, sukar untuk menolak watak Andak kerana dia diperlukan untuk membawa watak anak Terengganu yang mempunyai kemahiran bersilat.

“Abang Reza sebelum ini terbabit dengan pembikinan Projek High Council dan dia yang tawarkan watak ini sebab dia rasa saya adalah pelakon yang paling sesuai untuk watak Andak.

“Walaupun tawaran ini datang kurang tiga hari sebelum penggambaran, saya tidak fikir panjang kerana Andak ini dekat dengan jiwa saya sebagai anak Terengganu.

“Saya memang tidak pandai memanah tetapi saya sempat berlatih dan buat kajian tentang cara memanah serta pegang pedang.

“Bagi saya sebagai pelakon kita kena sentiasa bersedia dan cepat belajar,” katanya lagi.

HONOR Magic V2, telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia bakal dilancarkan di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia menyambut 2024 dengan mengumumkan bakal melancarkan flagship terbaharu HONOR Magic V2 yang juga telefon boleh lipat paling nipis dan ringan di dunia.

Selepas diperkenalkan di China pada Julai lalu, HONOR Magic V2 mendapat sambutan hangat dan mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat teknologi di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang sudah tidak sabar menanti kedatangannya.  

Menjelang pelancaran HONOR Magic V2 di Malaysia, HONOR hari ini menganjurkan acara eksklusif bersama rakan media bagi mendemonstrasi betapa ringan peranti ini.

Sebagai teaser, HONOR Magic V2 diikat pada tali sebiji belon helium besar sebelum dilepaskan ke udara bagi membuktikan ia sangat ringan.

HONOR Magic V2 telefon boleh lipat pertama dengan ketebalan di bawah 1cm apabila dilipat, menjadikannya Pilihan Terbaik Era Baru dalam rekaan telefon pintar.

Ini menandakan komitmen berterusan HONOR terhadap inovasi. HONOR Magic V2 mempunyai badan ultranipis dengan ketebalan hanya 9.9mm apabila dilipat, manakala 4.7mm dalam keadaan dibuka, bersamaan dengan 3 kredit kad yang disusun. Lebih menarik, berat HONOR Magic V2 cuma 231g sahaja, lebih ringan dan nipis berbanding model terdahulu.

Peranti canggih ini direka bagi menawarkan rekaan rapi dan canggih yang tiada tandingan di pasaran. HONOR mengutamakan mudah alih menerusi struktur, pembuatan dan material yang halus serta teliti.

Hasilnya, HONOR Magic V2 mempunyai kenipisan luar biasa dan tahan lama. Bagaimana HONOR Magic V2 dicipta menjadi begitu ringan dan nipis? Berikut menerangkan tentang kemajuan inovatif HONOR yang menyumbang kepada kecanggihan peranti tersebut.

Engsel Titanum Super Ringan, Kecanggihan Teknologi Pertama Dalam Industri Material

Meskipun reka bentuk yang nipis, HONOR Magic V2 mempunyai engsel yang sangat kukuh dan tahan lama. Peranti ini menggunakan engsel titanium sangat ringan yang diperbuat daripada aloi titanium, sejenis material gred aeroangkasa untuk mencapai berat dan kekuatan yang seimbang. Berbanding penutup aci aloi aluminium, aloi titanium 150 peratus lebih kukuh, sangat sesuai untuk menghasilkan telefon boleh lipat yang ringan.

Bagi meningkatkan lagi ketahanan, HONOR turut menggunakan keluli proprietari HONOR Shield Steel dalam bahagian utama engsel. Material canggih tersebut membentuk 67 peratus daripada engsel dan diilhamkan oleh keluli yang digunakan dalam kerja pengorekan terowong. Keluli proprietari tersebut berfungsi untuk mengimbangi antara kenipisan dan ketahanan supaya engsel menahan penggunaan harian peranti.  

Selain itu, HONOR Magic V2 menggunakan teknologi pengacuan kamiran puting dan tanggam lubang (mortise and tenon integral molding technology) yang menggabungkan penutup aci engsel dengan sempurna. Gabungan tersebut mengurangkan ruang di bahagian dalam dan ketebalan keseluruhan peranti, sekaligus menangani masalah yang lazim berlaku dalam reka bentuk telefon boleh lipat.

Dalam pada itu, kemajuan teknologi tersebut membolehkan HONOR Magic V2 menahan lebih 400,000 lipatan atau 100 kali lipatan sehari. HONOR Magic V2 mempunyai jangka hayat sehingga 10 tahun.

Struktur Canggih dan Komponen HONOR

HONOR Magic V2 tampil dengan struktur sokongan engsel yang direka semula. Ketebalan berjaya diturunkan sebanyak 75 peratus, manakala garis lipat skrin dalam dikurangkan sebanyak 47 peratus berbanding model sebelumnya.

Selain itu, struktur peredam kaliper brek canggih yang baharu dengan tujuh set sesondol melancarkan dan menstabilkan engsel apabila peranti dibuka dan ditutup untuk bebas hover di pelbagai sudut. Ciri tersebut sangat berguna untuk aplikasi bersesuaian seperti fotografi hover dan persidangan.

Untuk prestasi optimum, HONOR turut memperkenalkan komponen kunci mikro bersaiz sebutir beras bagi mengelak skrin daripada salah jajaran dan kesan lipatan.

Seni Bina untuk Ruang Lebih Besar, Kuasa dan Kebuk Wap Ultranipis

Walaupun reka bentuk yang sangat nipis, HONOR Magic V2 didatangi bateri karbon silikon kapasiti besar 5000mAh yang dimuatkan menerusi komponen pemacu paparan ‘tiga dalam satu’. Reka bentuk inovatif ini dapat menghasilkan lebih banyak ruang di dalam peranti.

Bagi menghalang pemproses menjadi panas dan memberi ketahanan jangka panjang, kebuk wap (VC) yang sangat nipis dipanggil sebagai Sistem Penyejukkan VC Bionik Ultranipis HONOR dipasangkan di dalam peranti.

Akhir sekali, HONOR Magic V2 mempunyai antena ultranipis berukuran tiga millimeter, paling nipis dalam industri telefon boleh lipat.

Semua inovasi serba canggih ini menjadikan HONOR Magic V2 Pilihan Terbaik Era Baru dalam industri telefon pintar dengan mengetengahkan telefon boleh lipat sebagai inovasi untuk generasi masa depan. HONOR Magic V2 pasti menjadi pilihan individu yang mengemari telefon boleh lipat tercanggih.

Shaiful Hazizy minta Sanusi berhenti malukan diri

editormaxinfo@gmail.com

ALOR SETAR – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyelar tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengatakan bahawa kerajaan akan tumbang adalah perkara yang memalukan diri.

Katanya, Sanusi seperti biasa melakukan cubaan mencapai KPI bulanan dengan melakukan adegan adegan memalukan diri di hadapan khalayak umum.

“Kali ini, Sanusi dengan penuh berani dan yakin cakap kerajaan akan tumbang. Sanusi ni sebenarnya dia takut dengan bayang- bayang Perikatan Nasional (PN) sendiri.

“Mereka sedar mereka semakin hilang sokongan, jadi mereka jadi tak tentu arah dan malu dengan penyokong mereka,” katanya.

Beliau berkata, selepas 145 hari berlalu sejak Pilihanraya Negeri (PRN), rakyat sudah bosan dan tidak mahu lagi mendengar ‘countdown’ yang dilakukan oleh PN malah sokongan kepada Perdana Menteri semakin hari semakin bertambah.

“Cerita mereka nak jadi kerajaan ni bukan pertama kali, kalau ini drama TV, orang sudah tukar awal-awal siaran sebab skrip sama sahaja.

“Waktu PRN enam negeri, pun cakap nak tukar kerajaan, tapi sudah 145 hari sejak PRN, tapi apa yang berlaku? Tiada apa-apa.

“Malah selepas PRN, satu demi satu post ‘countdown’ mereka muat naik di sosial, kata kerajaan bakal bertukar 31 Ogos, tapi ni sudah 31 Disember apa pun tak jadi.

“Apa yang terjadi adalah, beberapa MP Bersatu sudah sokong dengan PMX, jumlah sokongan PMX semakin lama semakin bertambah, mereka sahaja dok berkurang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Merbok itu juga mengatakan bahawa Langkah Dubai yang dilakukan untuk menumbangkan kerajaan gagal dan amat memalukan.

“Lebih memalukan, Langkah Dubai yang mereka cuba buat ini gagal. Kerajaan tidak dapat ditumbangkan, malah pelan mereka untuk bawa masuk duit RM750 juta ke negara pun gagal kerana ketangkasan KDN bersama FBI, Interpol dan CIA menghalang usaha terbabit,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan hari ini sangat stabil kerana parti komponen sudah memberikan kesetiaan dan UMNO sendiri melalui Presiden parti itu mengatakan bahawa UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani.

“Kerajaan Madani ini sangat stabil, bertepatan dengan analogi kerajaan atap konkrit yang digunakan oleh PMX. Parti-parti komponen kerajaan Madani sudah menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi.

“Premier Sarawak dan juga pemimpin GPS sendiri mengatakan Langkah Dubai ini adalah buang masa.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi juga sudah menyatakan UMNO akan kekal bersama kerajaan Madani. Kita juga tahu, yang sibuk nak bekerjasama dengan PN ini bukan kem Zahid pun, jadi kegusaran itu tidak perlu ada.

“Kepada Sanusi dan seluruh PN, ikut dan dengarlah nasihat dan tulisan TG Hadi, orang yang sibuk mencari kesalahan kerajaan ini sama sahaja seperti ini lebih teruk dari beruk dan tupai.

“Oleh itu sudah-sudah lah jadi beruk dan tupai, jadi lah manusia yang normal dan rasional, hendak ubah kerajaan boleh, ubah sewaktu PRU nanti. Lawan cara anak jantan,” katanya.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengesahkan wujud rancangan di pihak PN untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan Madani untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN. 

Aaron lega filem ‘Sayu Yang Syukur’ akhirnya temui penonton dipawagam

editormaxinfo@gmail.com

PETALING JAYA – Hampir lapan tahun menanti, pelakon dan pengarah Datuk Aaron Aziz akhirnya lega apabila filem kedua arahannya, Sayu Yang Syukur menemui penonton di seluruh pawagam tanah air.

Aaron, 47, berkata, mengikut perancangan filem berkenaan sepatutnya ditayangkan pada tahun 2016.

Namun atas beberapa perkara filem bergenre romantik itu akhirnya mula ditayangkan di pawagam, sejak 28 Disember lalu.

Selain proses pasca produksi yang mengambil masa lama, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjadi faktor tertangguhnya filem terbabit.

“Filem ini selesai menjalani penggambaran pada 2016 dan kita ambil masa agak lama untuk proses suntingan.

“Kami terpaksa lakukan suntingan banyak kali kerana filem ini dirasakan terlalu panjang dan saya tak mahu naskhah ini jadi meleret-leret.

“Apabila kerja suntingan selesai dan sedia untuk ditayangkan, berlaku pelaksanaan PKP berikutan penularan virus Covid-19.

“Ketika keadaan kembali pulih, kami dapati ada banyak genre filem yang lebih kurang sama. Oleh itu, kami buat keputusan untuk tangguh dahulu tayangan kerana tidak mahu kacau pasaran.

“Alhamdulillah, rasa sangat bersyukur akhirnya filem ini dapat ditayangkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan filem Sayu Yang Syukur yang diadakan di Damansara Utama, baru-baru ini.

Turut hadir barisan pelakon seperti Nora Danish, Arja Lee, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Kismah Johar, Raja Ema dan ramai lagi.

Filem Sayu Yang Syukur mengisahkan Liana lakonan Nora yang terbabit dalam kemalangan ketika pulang ke kampung dan ditemui Qudaim lakonan Aaron.

Pertemuan itu menjadi permulaan baharu buat Liana apabila maruahnya tercalar lantas mencetuskan kebimbangan andai nama baik keluarga terjejas. 

Berkongsi cabaran pembikinan filem ini, Aaron berkata, ia menuntut komitmen tinggi ini kerana dia menggalas dua tanggungjawab yang besar.

Aaron mengakui tertekan kerana tidak cukup tidur dan tidak dapat berjumpa dengan anak-anak.

“Watak Qudaim yang saya bawa sangat berat kerana jadi orang gila.

“Jika diikutkan skrip asal, watak saya bukan begitu. Tetapi, demi mencari kelainan, saya ubah perwatakan Qudaim meskipun saya sedar ia menambah beban serta tekanan pada diri saya,” katanya lagi.

Jangan terburu-buru, tonton dahulu sebelum kritik – Fazura

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Pelakon Nur Fazura menasihatkan penonton untuk tidak terburu-buru mengkritik sebelum menonton filem terbaru lakonannya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin itu mengulas demikian susulan tercetusnya perbalahan di media sosial berhubung busana karakter srikandi yang digayakan dalam naskhah berkenaan.

“Saya berharap penonton janganlah mencari silap, tonton dulu dan datang dengan minda positif.

“Seperti yang diberitahu penerbit, kita belum tengok lagi filem itu tapi sudah kritik awal-awal.

“Saya tahu di luar sana ramai suka kritik filem Melayu, apabila dah keluarkan karya yang berkualiti sebegini, apa kata kita sama-sama mendukungnya.

“Ini kerana saya rasa mesej disampaikan bagus serta berasaskan agama serta menyuntik semangat juang dalam diri kita,” katanya ketika ditemui pada sidang media tayangan filem berkenaan, semalam.

Fazura, 40, berkata, dia yakin dengan keputusan pengarah untuk memilih apa-apa kostum dirasakan sesuai kerana dia terlebih dulu membuat kajian mengenai keseluruhan jalan cerita yang ingin disampaikan.

Aktres itu berkata, pakaian digunakan pelakon wanita direka bertujuan memudahkan pergerakan terutama apabila skripnya banyak menuntut srikandi turut bertempur.

“Dari segi logik, pakaian itu memang memudahkan srikandi untuk berperang bahkan ia juga dicipta untuk menutup aurat kami,” katanya.

Baru-baru ini tular komen pengguna di media sosial yang mengecam busana diperagakan pelakon wanita yang disifatkan tidak sesuai kerana terlalu bertutup-litup.

Mengulas cabaran perlu ditempuhinya, Fazura berkata dia perlu menjayakan babak menunggang kuda yang menimbulkan kerisauan.

Katanya, dia bimbang sekiranya terjatuh sewaktu melakonkan aksi dikehendaki pengarah dan ia sekali gus mendatangkan kesan buruk pada saluran peranakannya.

“Ketika hari pertama di set penggambaran saya sudah cedera. Tapi memang setiap hari saya ada berdoa jangan jatuh kuda sebab mana tahu jika teringin nak bersalin lagi.

“Walaupun ada asas tunggang kuda sejak kecil tapi saya tetap risaukan tentang peranakan saya.

“Itu sebab apabila saya tengok adik-adik lain berlakon sampai kuda mereka jatuh, saya pun jadi risau juga,” katanya.

Namun begitu, Fazura menafikan dirinya sedang merancang untuk hamil anak kedua.

Katanya, ketika ini dia masih terikat dengan kesibukan jadual lakonan dan enggan kehamilan mengganggu kesihatan diri dan bayinya.

 “Saya dan Fattah ada perancangan keluarga tak mahu nanti dah tandatangani kontrak tiba-tiba hamil.

“Saya lihat ramai rakan-rakan yang tiba-tiba terhamil dan situasi itu menjejaskan kesihatan dan bayi dikandung.

“Sebagai manusia bertanggungjawab ini langkah yang saya kena ambil supaya boleh beri komitmen sepenuhnya pada karier,” katanya.

Selepas 45 tahun berkhidmat dengan gereja, bekas paderi peluk Islam

editormaxinfo@gmail.com

KISAH seorang paderi terkemuka di Australia, Gould David memeluk Islam baru-baru ini tersebar dan menjadi berita utama di negara berkenaan dan seluruh dunia.

Bekas paderi itu bukan calang-calang individu. Beliau dilaporkan telah mendedikasikan 45 tahun kehidupannya dengan berkhidmat di gereja.

Tidak dapat dipastikan bilakah tarikh sebenar beliau memeluk agama suci Islam.

Menurut laporan portal Muslim Telegraph, Gould David mengambil nama Islamnya sebagai Dave Abdur Rahman Gould.

“Berita ini telah menarik perhatian dan mencetuskan perbualan meluas dalam kalangan agama kerana orang ramai tidak sabar-sabar untuk mengetahui motivasi di sebalik keputusannya (kembali kepada fitrah Islam),” katanya memetik muslimtelegraph.com.

Difahamkan, Abdur Rahman sebelum ini pernah mendapat penghormatan sebagai seorang paderi dalam komuniti Kristian di bumi kanggaru itu.

Dalam catatan ringkasnya di laman sosial Facebook miliknya, Abdur Rahman mencoretkan: “Seumur hidup mencari kedamaian Tuhan dan al-Quran telah menunjukkan kepada saya bahawa keamanan dan kebenaran terletak dalam Islam,” katanya.

Berita tentang saudara baharu itu turut menarik perhatian dunia dan ramai yang meninggalkan komen di media sosial masing-masing.

Ramai yang mengalu-alukan pengislaman Abdur Rahman.

Mereka turut menitipkan pesan untuk Dave terus menggali ilmu tentang Islam dan menyampaikannya dengan sebaik mungkin. -Edisi 9

Ganti pengarah, penerbit filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah perkenal pengarah baru

editormaxinfo@gmail.com

PUTRAJAYA – Penerbit filem sekuel, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Studio Kembara menjelaskan hanya 30 hingga 35 peratus hasil kerja pengarah Areel Abu Bakar digunakan dalam versi penuh filem sekuel berkenaan.

Penerbitnya, Abdul Rahman Dali berkata, baki selebihnya adalah hasil pengarahan bersama Shahruddin Dali dan Saiful Reza yang telah dipilih menggantikan Areel.

“Kami membuat keputusan untuk menggantikan pengarah kerana melihat ada sudut-sudut boleh menjejaskan produk akhir filem ini.

“Atas faktor itu kita ambil alih untuk siapkan. Hanya itu sahaja yang dibuat. Hal lain tidak ada isu,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem berkenaan di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, penggambaran filem itu dimulakan oleh Areel Abu Bakar namun nama pengarah itu tiba-tiba digugurkan April lalu tanpa alasan rasmi walaupun filem berkenaan didakwa sudah disiapkan sebanyak 90 peratus.

Areel yang juga pengarah filem Walid mengakui akibat keputusan itu dirinya murung tiga hari namun hatinya terubat selepas karyanya berjaya mendapat tayangan di Los Angeles dan New York.

Disember lalu, ketika majlis pengumuman runut bunyi dan trailer Pendekar Awang : Darah Indera Gajah, Abdul Rahman sekali lagi mengunci mulut mengenai pengarah yang bakal menyiapkan filem sekuel Mat Kilau itu.

Dia hanya menjawab nama Areel digugurkan ekoran enggan terbabit kontroversi dan sebarang perkara yang boleh menimbulkan perbahasan.

Sementara itu, pada majlis sama, pengarah dan penulis skrip, Shahruddin Daly berkata, pihak produksi tidak berniat untuk berahsia mengenai senarai pelakon dan sebagainya.

Sebaliknya mereka mengambil pendekatan untuk menyiapkan penggambaran terlebih dahulu.

“Kita tidak merahsiakan pelakon, tetapi ambil keputusan untuk siapkan penggambaran dahulu.

“Apabila semuanya sudah siap dan selesai dengan baik, barulah kita hebahkan kepada semua orang,” katanya.

Mengulas tentang kos pembikinan filem terbabit, Abdul Rahman berkata, setakat ini kos sudah mencecah RM15 juta termasuk kos promosi.

“Tidak dinafikan ada pembaziran yang berlaku kerana kita jalani penggambaran semula. Sebagai orang baru, kita tidak ada pengalaman lagi,” katanya.

Filem Pendekar Awang : Darah Indera Gajah adalah kesinambungan daripada naskhah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya mencipta fenomena luar biasa dengan kutipan RM97 juta pada tahun 2022.

Perjalanan filem kali ini diaduk antara fiksyen dan bukan fiksyen, membawa penonton menyaksikan usaha Tok Gajah ke Terengganu bagi mendapatkan bantuan.

British yang mendapat tahu perkara itu cuba menangkap Tok Gajah dan Awang perlu memastikan misi British tidak berjaya. 

“Alur cerita ini bukan fiksyen tetapi diinspirasikan daripada kisah sebenarnya. Contohnya beberapa kejadian yang berlaku adalah kisah benar, tetapi nama watak itu kita fiksyenkan namanya.

“Daripada segi penggunaan dialog, saya tidak menekankan ayat yang terlalu baku atau klasik agar penonton lebih mudah faham selepas mendengarnya,” kata Shahruddin.

Katanya lagi, segala kisah benar yang dimuatkan dalam sekuel ini adalah berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum menghasilkan Mat Kilau.

“Saya mahu membentangkan sebuah kisah untold story, jadi saya ambil inisiatif dengan berjumpa sendiri cucu cicit pahlawan Melayu ini dan tidak hanya bersandarkan kepada buku semata-mata.

“Saya rasa kita juga perlu membuat rujukan daripada pelbagai sumber dan bahan lain kerana kita paparkan kisah yang belum pernah di dengar. Saya rasa itu lebih menarik,” katanya.

Pendekar Awang : Darah Indera Gajah dibintangi oleh Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amerul Affendi, Hasnol Rahmat dan ramai lagi.

Filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 11 Januari ini.