25.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 9, 2026
Home Blog Page 234

Kelantan FC tidak layak beraksi di Liga Super musim depan

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan Kelantan FC gagal memperoleh lesen kebangsaan, sekali gus tidak layak untuk bertanding dalam saingan Liga Super musim 2024/2025.

Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata, keputusan itu dibuat kerana Kelantan FC gagal untuk melengkapkan dua kriteria kewangan dibawah sub kriteria F.04 dan F.11.

Katanya, ia membabitkan tunggakan gaji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sebelum tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 November 2023 dan 31 Disember 2023.

“Selepas gagal menyelesaikan langkah pertama dan langkah kedua pada 30 November 2023 dan 31 Disember 2023, Kelantan FC gagal untuk mendapatkan lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super musim 2024/2025.

“Bagaimanapun Kelantan FC diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Badan Rayuan Pelesenan Kelab MFL sebelum tarikh akhir pada 8 Januari 2024 sebelum jam 5 petang terhadap keputusan FIB yang menolak permohonan mereka mendapatkan lesen kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengikut kronologi permohonan Kelantan FC mendapatkan lesen kebangsaan, FIB sebelum ini bersetuju memberikan lanjutan masa untuk Kelantan FC menyelesaikan langkah pertama bagi sub kriteria F.04 sehingga 15 November 2023 untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji semasa sehingga Ogos 2023.

Langkah kedua bagi sub kriteria F.11 pula membabitkan penyelesaian lima kes Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang ada keputusan sehingga 31 Ogos 2023 perlu diselesaikan sebelum atau pada 31 Disember 2023.

Kelantan FC bagaimanapun merayu untuk diberikan lanjutan masa sehingga 30 November lalu bagi menyelesaikan langkah pertama dan FIB menerima rayuan terbabit tetapi dalam masa yang sama mengenakan hukuman denda sebanyak RM20,000 serta sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan seterusnya sehingga semua kes FIFA selesai sepenuhnya.

Sheikh Mohd Nasir menjelaskan, pada 1 Disember 2023 selepas tarikh tempoh 30 November yang diberikan FIB, Kelantan FC menghantar lampiran dokumen bukti menunjukkan ‘post dated cheque’, namun MFL meminta kelab itu menghantar bukti tambahan iaitu resit pembayaran yang menunjukkan bahawa cek sudah dijelaskan.

Beliau berkata, FIB menerima dokumen pada 10 Disember 2023 yang didakwa sebagai bukti pembayaran gaji pemain dan pegawai Kelantan FC untuk Ogos 2023, tetapi FIB mendapati bukti itu tidak mencukupi untuk mematuhi syarat pertama yang diberikan kepada Kelantan FC.

Katanya, FIB juga melakukan semakan bersama Persatuan Pemain Bolasepak Professional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bagi memastikan bahawa pembayaran gaji sudah dilakukan oleh Kelantan FC.

“Selepas semakan dibuat, terdapat beberapa pemain dan pegawai yang masih belum menerima gaji Ogos 2023 atas beberapa sebab.

“Pihak Kelantan FC menghubungi MFL dan menghantar cek yang baharu berserta melakukan pembayaran dalam talian kepada beberapa pemain dan pegawai terbabit.

“Kelantan FC kemudian menghantar bukti resit pembayaran yang baharu bagi semakan pihak FIB dan mendapati tujuh pemain dan seorang pegawai masih belum menerima gaji penuh untuk Ogos 2023 kerana isu penamatan kontrak antara pemain atau pegawai dengan Kelantan FC.

“MFL meminta Kelantan FC menghantar dokumen sokongan pada 18 Disember 2023 untuk semua tujuh pemain dan seorang pegawai yang terbabit bagi semakan pihak FIB.

“Selepas menerima dokumen daripada Kelantan FC, masih terdapat dokumen sokongan untuk seorang pemain dan seorang pegawai yang tidak lengkap.

“Seterusnya bagi langkah kedua, pihak FIB mengarahkan Kelantan FC menjelaskan semua lima kes FIFA yang mempunyai keputusan sebelum 31 Ogos 2023 sebelum atau pada 31 Disember 2023 jam 5 petang, bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang dokumen sehingga tarikh akhir.

“Kelantan FC juga tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran bulanan mengikut jadual yang ditetapkan oleh KWSP dan PERKESO untuk tunggakan sehingga Ogos 2023,” katanya. 

Jaz nyanyikan semula lagu Seribu Tahun versi sendiri

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda Jaz Hayat atau lebih mesra dengan panggilan Jaz, dengan single terbaru bertajuk ‘Seribu Tahun’.

Lagu ini adalah lagu saduran daripada penyanyi asal Imran Ajmain yang pernah popular pada tahun 2007.

Lagu ini juga telah mendapat sentuhan istimewa daripada komposisi asal Taufik Batisah dan penerbit lagu iaitu Seek yang membawa unsur fresh dan terkini.

Jaz berkata, dia memilih lagu ‘Seribu Tahun’ sebagai single terbarunya berikutan pernah beberapa bulan yang lalu dia memuat naik video rakaman lagu berkenaan di sosial media miliknya dan telah mendapat sambutan daripada ramai pengikutnya.

“Pada awalnya, saya sangat sukakan lagu ‘Seribu Tahun’ ini dan dijadikan sebagai content di Instagram dengan durasi satu minit 30 saat itu tiba-tiba mendapat sambutan daripada peminat.

“Selepas itu, saya dan syarikat rakaman Sony Music Entertainment berbincang untuk menghasilkan ia sebagai lagu saduran untuk keluaran single terbaru untuk tahun 2023 selepas single ‘Bersamamu’,” katanya.

Selain itu, lagu ini sangat istimewa untuk Jaz kerana ia mengisahkan tentang kesetiaan seseorang yang sanggup melakukan apa sahaja walaupun seribu tahun lamanya. Namun adakah ia akan bertahan selamanya? Jaz berasa teruja dengan lagu ini kerana pendengar dapat kaitkan dengan pengalaman peribadi masing-masing.

“Lagu ini mengenai kesetiaan seseorang yang akan bertahan seribu tahun lamanya dan adakah ia mampu bertahan selama itu? Keunikkan lagu ini juga tiada kesimpulan, sebaliknya ia memberi persoalan kepada pendengar.

“‘Seribu Tahun’ juga mempunyai makna lirik yang mendalam dan melodi yang indah, sekali gus genre ballad telah mengembalikan gaya nyanyian asal seperti single sulung saya, ‘Dari Mata’ dan ini dapat membantu saya dalam menyampaikan karya ini dengan lebih baik.

“Ketika saya sekolah menengah, ‘Seribu Tahun’ sudah pun popular di Kawasan Asia Tenggara seperti Brunei, Singapura dan Malaysia,” katanya.

Selain itu, lagu ‘Seribu Tahun’ ini telah mendapat sambutan yang luar biasa di Malaysia, apabila telah disenaraikan di dalam empat playlist teratas di saluran strim digital, Spotify seperti Galau Rabak, Carta Malaysia, Pop Balada dan Pop Terkini. 

“Saya tidak sangka lagu ini mendapat sambutan daripada Malaysia, dengan pencapaian ini saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas sokongan terhadap kerjaya saya terutamanya lagu ‘Seribu Tahun’ ini.

“Semoga tahun akan datang saya dapat menghasilkan karya-karya yang lebih banyak dan berkualiti tinggi,” katanya lagi.

Lagu ‘Seribu Tahun’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.  

BWF perlu kaji semula model penganjuran saingan Piala Thomas, Uber

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berpendapat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu menyemak semula model penganjuran saingan Piala Thomas dan Uber.

Beliau berkata, perbincangan dalaman perlu bagi kalangan ahli majlis badan dunia itu mengenai hak penganjuran untuk kejohanan berpasukan dunia lelaki dan wanita.

Mengulas sama ada BAM berminat untuk membida bagi saingan Piala Thomas dan Uber 2026, katanya, badan induk badminton negara itu tidak berhasrat untuk berbuat demikian pada masa ini, selepas BWF melanjutkan tarikh akhir permohonan untuk menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber sehingga 1 Februari.

“Sebelum saya mengulas sama ada Malaysia patut membida, saya berpendapat BWF mungkin perlu melihat dan mengkaji semula model untuk tuan rumah.

“Saya rasa agak mengecewakan kenapa sehingga kini masih tiada bidaan dan BWF terpaksa melanjutkan tarikh akhir,” katanya yang juga Ahli Majlis BWF.

Edisi sebelum ini diadakan di Nonthaburi, Thailand pada Mei 2022, manakala edisi seterusnya dijadualkan dari 28 April hingga 5 Mei 2024 di Chengdu, China.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Piala Thomas dan Uber ialah pada 2010 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kenny berkata, persediaan untuk pembukaan musim 2024 Terbuka Malaysia, yang dijadualkan mulai 9 hingga 14 Januari di Arena Axiata berjalan lancar.

“Jualan tiket memberangsangkan, setakat Jumaat, kebanyakan tiket separuh akhir dan akhir telah dijual,” katanya.

Mengenai pemain luar dibenarkan berlatih bersama-sama pemain kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara sebagai pemanas badan untuk Terbuka Malaysia, Kenny akan membincangkan perkara itu dengan pengarah kejurulatihannya Rexy Mainaky bagi mengelak kesesakan di pusat latihan negara itu. – Bernama

Lancar single, usahawan Alha Alfa tidak terfikir mahu jadi penyanyi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Alha Alfa tidak berhasrat mahu menjadi seorang penyanyi, sebaliknya pelancaran single pertamanya berjudul Cinta Agung dibuat sekadar suka-suka.

Menerusi single Cinta Agung, Alha, 34, berduet dengan pelakon Zara Zya.

“Saya tidak pernah terfikir untuk bergelar penyanyi. Tujuan saya menghasilkan single ini bersama Zara Zya sekadar mahu memeriahkan industri seni.

“Sebelum ini, ramai juga usahawan lain yang turut menceburkan diri dalam bidang seni.

“Malah ada juga artis berkecimpung dalam bidang perniagaan. Apa salahnya jika saya mengeluarkan lagu sendiri dan sekadar memeriahkan industri seni sahaja,” katanya.

Alha ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan, di ibu kota, baru-baru ini.

Hadir sama pelakon Zara Zya dan Datin Seri Umie Aida.

Dalam pada itu, Alha mengakui single ini adalah hadiah sebagai tanda persahabatannya dengan Zara yang sudah terjalin sejak 10 tahun lalu.

“Single ini adalah hadiah persahabatan buat Zara sepanjang 10 tahun kami bersahabat.

“Dia adalah ‘geng karaoke’ saya memandangkan kami suka menyanyi bersama-sama ketika watktu lapang,” katanya lagi.

Alha berkata, dia juga bersedia menerima kecaman warganet dan menganggap perkara itu adalah lumrah dalam industri hiburan.

“Saya bersedia menerima sebarang kecaman dan anggap itu perkara biasa. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun kena kecam, apa lagi saya,” katanya.

Pada majlis sama, Alha turut berkongsi perjalanan perniagaannya di mana dia turut menjadi penaja utama bagi konsert Mahalini pada Februari tahun depan.

Malah produk terbaharu keluaran Alha Alfa Cosmetics, kini berada di awan biru melalui kolaborasi sulungnya bersama syarikat penerbangan Air Asia Shop melalui produk terbaharu iaitu Lip Matte Gradient Lips Edition.

Jenama Alha Alfa Cosmetics turut melakar sejarah dengan mencatat rekod memasuki Malaysia Book of Records (MBR) sebagai Highest Latitude Cosmetic Demonstration (Demonstrasi Kosmetik Latitud Tertinggi).

Alha Alfa Cosmetics juga turut memperkenalkan keluaran terbaharu minyak wangi eksklusif bersama Umie Aida, Perfume AA X Umie Aida, dan juga rangkaian Perfume AA sendiri.

Shaa kembali, pertaruh single Kau Bukan Milikku

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Mana mungkin boleh melupakan penyanyi bersuara lantang ini yang telah menambat hati peminat muzik tanahair menerusi single sulungnya berjudul “Pertama Kali” pada 2017.

Fenomena dicipta Shaa, 28, atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari membuatkan setiap lagu yang dilancarkan berjaya meraih perhatian dan tontonan yang tinggi di saluran YouTube.

Video muzik dan video lirik lagu “Pertama Kali” dan “Biar Ku Pergi” nyanyian Shaa masing-masing berjaya mencapai gabungan tontonan sebanyak 37 juta dan 6.2 juta di YouTube. Malah lagu “Pertama Kali” kini melonjak popular di TikTok.    

Selepas lagu “Biar Ku Pergi” (2018) dan “Tersentak di Dada” (2022), Shaa kembali dengan single terbaharu berjudul “Kau Bukan Milikku” hasil ciptaan sepenuhnya oleh Mekiya yang diterbitkan oleh syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn Bhd.

Shaa berkata, dia sekali lagi mempertaruhkan genre ‘Balada Pop Melayu’ yang dianggap kena dengan vokal dimiliki selain memenuhi permintaan pendengar.

“Genre lagu kali ini sama saja macam lagu-lagu terdahulu saya. Bagi saya, genre Balada Pop Melayu cukup kena dengan vokal saya. Malah, peminat juga memberikan maklumbalas baik untuk lagu-lagu saya yang bergenre sebegini.

“Lagu Kau Bukan Milikku ini mengisahkan mengenai pasangan yang menipu dalam percintaan. Dia seakan cinta sepenuhnya tetapi sebenarnya penuh sandiwara dan penipuan. Sedangkan pasangannya mengharapkan cinta sejati.

“Kalau diamati bait lirik lagu ini, ia mungkin ada kaitan dengan mana-mana pasangan yang pernah melalui episod percintaan sebegini. Jadi, mereka dapat rasa betapa pedih dan sakitnya hati,” katanya.

Menurutnya, lagu “Kau Bukan Milikku” ini mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri berbanding single sebelumnya.

“Lagu ini mempunyai kelebihan dari segi melodi dan lirik. Melodinya sangat menarik dan mampu memukau pendengar dengan lenggok melodi yang sedap didengar.

Selain itu, liriknya juga sangat berkualiti dan mampu menyentuh perasaan setiap pendengar. Gubahan muzik moden dalam lagu ini tidak mengurangkan daya tarikan lagu ini.

Sebaliknya, ia memberikan sentuhan segar kepada lagu ini agar seiring dengan trend terkini. 

“Ia dapat menambat hati pendengar sehingga mereka berasakan bahawa lagu ini relevan dengan zaman sekarang.

“Selain itu, keserasian antara melodinya yang menangkap halwa telinga dan lirik-lirik yang bermakna menjadikan lagu ini mesra pendengar.

“Pendengar akan berasakan hubungan emosi yang kuat ketika mendengarkan lagu ini kerana ia mampu menggambarkan situasi atau perasaan manusia secara asli,” katanya.

Berkongsi lanjut, Shaa berkata, dia tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu ini. Malah, kerjasama kali kedua dengan komposer Mekiya memudahkan lagi proses rakaman lagu ini.

“Seperti sebelum ini, proses rakaman ambil masa lama juga. Tapi untuk lagu ini, sekejap saja. Cuma, ia memberikan cabaran dari segi menjiwai lagu serta hafal melodi dengan cepat.

“Ini juga kali kedua saya bekerjasama dengan komposer Mekiya. Kali pertama menerusi lagu Biar Ku Pergi. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Sama seperti single terdahulu, Shaa juga berharap lagu “Kau Bukan Milikku” ini mendapat sambutan baik di kalangan peminat dan pencinta muzik tanahair.

“Harapan saya sangat tinggi sebab saya sudah buat yang terbaik untuk lagu ini. Semoga lagu ini diterima baik, disukai ramai dan menjadi hits yang teratas. 

“Saya berharap lagu ini juga dapat mengharumkan nama saya semula dalam persada muzik tanahair dan tentunya mahu lagu ini tercalon di Muzik Muzik dan seterusnya ke Anugerah Juara Lagu,” katanya.

Untuk lagu “Kau Bukan Milikku”, Farez Asmadi bertindak sebagai penerbit dan penggubah merangkap pemain piano dan strings,  Pown Hasril (Gitar), Tariq Tahir (Bass) dan Syazwan Yazid (Drum).

Lagu “Kau Bukan Milikku” Shaa boleh mula didengar di semua pelantar striming muzik digital pada 29 Disember 2023.

Video lirik dan video akustik lagu “Kau Bukan Milikku” Shaa juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang di pautan https://www.youtube.com/watch?v=jjwLJ2nDIYg (Lirik Video) & https://youtu.be/EmMw1t8b_TU (Akustik Video).

Hero, Dewi Remaja 2023 milik Aiman Ameer dan Nurel

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Pencarian Hero Dewi Remaja 2023 melabuhkan tirainya malam tadi, apabila Aiman Ameer dan Nurel masing-masing dinobatkan sebagai Hero Remaja 2023 dan Dewi Remaja 2023, sekaligus mengetepikan saingan 10 peserta lain yang turut sama berentap di pentas akhir Hero Dewi Remaja 2023.

Selepas bersiaran selama lapan episod di Astro Ria, kedua-dua juara tahun ini masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 beserta sebuah trofi dan Dewi Remaja 2023 turut menerima sebuah mahkota di pentas akhir yang

bersiaran secara langsung dari CIDB Convention Centre, Kuala Lumpur.

Tracie Sinidol selaku Dewi Remaja 2022 dan Mierul Aiman Hero Remaja 2021 turut hadir di pentas utama untuk memberikan mahkota penerus legasi kemenangan mereka.

Berkongsi perasaan masing-masing, Ameer, 23, berkata, sejujurnya dia mengakui saingan begitu sengit dan tidak menyangka juara menjadi miliknya.

Justeru, kemenangan ini diharap menjadi permulaan untuknya berusaha lebih keras lagi dalam memantapkan diri sebagai seorang pelakon terbaik satu hari nanti.

“Sejak awal memilih menyertai program ini saya sudah tetapkan hati mahu fokus berlakon. Selepas ini saya akan mengikuti lebih banyak kelas lakonan.

“Saya mahu asah bakat lakonan saya supaya orang dapat menilai kemenangan ini selayaknya milik saya,” katanya.

Bagi Nurel, 21, kemenangan ini lebih meyakinan dirinya untuk pergi menghadiri uji bakat lakonan.

“Sebelum ini saya banyak menyertai iklan komersil kerana tiada keyakinan diri menghadiri uji bakat sedangkan saya begitu meminati lakonan.

“Dengan kemenangan ini dan menerima ‘Best Actress in Action’ pada episod 7 program ini meyakinkan saya untuk lebih kerap hadir uji bakat,” katanya.

Dalam persaingan yang cukup sengit itu, Naib Juara Hero Remaja 2023 menjadi milik Fitri manakala Naib Juara Dewi Remaja 2023 dimenangi oleh Arabella yang berjaya mengekalkan prestasi konsisten sepanjang tempoh pertandingan.

Mereka masing-masing menerima wang tunai bernilai RM7,000 dan sebuah trofi.

Selain Juara Hero dan Dewi Remaja 2023, pemenang kategori Hero dan Dewi Inspirasi pada tahun ini telah dipilih secara eksklusif oleh penaja, Yaya Nadia Empire di mana penerima anugerah Hero dan Dewi masing-masing menerima kontrak kerjasama bernilai RM20,000 berserta sebuah trofi.

Penerima anugerah Hero dan Dewi Inspirasi Yaya Empire ialah Aiman Ameer dan Adrina.

Selain itu, menerusi hasil undian peminat di laman web REMAJA (www.remaja.my), kategori Hero Favourite dan Dewi Favourite disandang oleh Razin Qidran dan Nurel.

Manakala, kategori BestChesmistry Duo pula dimenangi oleh Jay Iskandar dan Arabella.

Kesemua pemenang kategori ini masing-masing membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan sebuah trofi.

Pada malam finale Hero Dewi Remaja 2023, peserta telah dinilai oleh barisan juri yang cukup berpengalaman iaitu Scha Alyahya selaku juri tetap dan mentor rancangan ini bersama dua juri jemputan, Datuk Azni Nawawi dan Datuk Yusry Abdul Halim.

Sementara itu, Ketua Bahagian New Gen, Men & Hobbies, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Fiezreen Ahmad berkata, sejarah tercipta apabila dua juara dinobatkan sekaligus, pertama kali dalam sejarah Dewi & Hero

Remaja sepanjang lebih 38 tahun penganjuran.

“Pemilihan kedua-dua mereka dianggap tepat dan mampu meneruskan legasi cemerlang juara-juara sebelum ini.

“Pencarian ini bukan hanya mengiktiraf bakat yang cemerlang dan berpotensi, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk mereka meneroka dunia seni, membina keyakinan diri, dan menjadi contoh yang memberi inspirasi kepada generasi masa kini.

“Sepanjang lebih lapan minggu bertanding, kesemua 16 peserta telah didedahkan dengan pelbagai ilmu dan aktiviti-aktiviti kerja sosial yang memberi manfaat.

“Selain itu, mereka turut diberikan peluang untuk muncul dalam program-pogram digital yang disusun secara strategik bagi memberi lebih banyak pendedahan terutamanya dalam industri seni di Malaysia,” katanya.

Martabat seni persembahan Boria, pertandingan Boria bakal jelajah Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Dalam usaha memartabatkan seni persembahan Boria, Arena Pinang Sdn Bhd baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Boria 2023.

Bertempat di UNISEL, Kampus Shah Alam, Selangor, penganjuran itu bagi mendedahkan kepada orang ramai terutamanya masyarakat di negeri lain mengenai persembahan Boria.

Pengarah Program, Razali Hussain berkata, lazimnya orang hanya tahu mengenai Boria apabila datang ke Pulau Pinang.

Malah untuk menyaksikan persembahan itu ia lebih banyak diadakan di negeri Pulau Mutiara itu.

“Saya mahu memartabatkan seni dan budaya yang ada di Malaysia dan memilih untuk menganjurkan persembahan Boria.

“Ini adalah penganjuran kali kedua dan diadakan di Selangor. Saya berharap selepas ini dapat menganjurkan lebih banyak lagi pertandingan Boria ini di semua negeri di Malaysia,” katanya.

Pada pertandingan itu, Sebanyak 9 kumpulan telah bersaing dalam merebut kejuaraan yang julung kali diadakan di Selangor.

Juri pertandingan terdiri daripada Omara Omar Hashim, Yusof Hashim, S Azli dan Penyanyi 90’an, Razis Ismail.

Manakala, pertandingan diacarakan oleh Pengacara Sensasi Farouk Hussain dan Azrul Zaidi.

Penganjuran itu turut mendapat sokongan daripada ArtsFAS-Seni Sepanjang Musim, Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan.

Pertandingan Boria ini terbahagi kepada dua segmen iaitu dimulakan dengan persembahan Sketsa dan persembahan nyanyian Boria.

Dalam pada itu, Razali turut menyatakan, pada awal dia bimbang menganjurkan pertandingan ini di Selangor andai tidak mendapat sambutan.

“Alhamdulillah dengan bantuan dari Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan hebahan melalui media sosial, akhirnya penyertaan mencapai sasaran.

“Pada awalnya 10 kumpulan telah menyatakan pengesahan penyertaan, namun pada saat akhir 1 kumpulan telah menarik diri,” katanya.

Selain pertandingan Boria, Arena Pinang turut mengadakan program sitkom berbentuk Boria berjudul Mai Chek Mai yang disiarkan di saluran TV2 setiap Khamis jam 9 malam.

Program 13 episod itu mula ditayangkan sejak 26 Oktober dan dilakonkan oleh Imuda, Mamak Puteh, Azrul dan ramai lagi.

MFWS 2024 berjaya tarik peserta lebih dari 62 negara

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Modest Fashion and Womenpreneur Summit (MFWS) 2024 berjaya menarik peserta dari lebih 62 negara.

Bakal diadakan pada 8 hingga 10 Februari depan, MFWS 2024 akan menjadi rumah baharu untuk usahawan wanita dari seluruh dunia menjalin rangkaian dan mencipta peluang kerjasama.

Pada persembahan sulungnya itu, MFWS 2024 membawa tema ‘Forum Wanita Peringkat Tinggi Untuk Pertumbuhan dan Kelestarian Ekonomi’.

Selaras dengan tema itu, MFWS 2024 bertujuan meluaskan rangkaian usahawan wanita supaya mereka boleh berkembang dengan lebih pesat dan meningkatkan daya saing dalam ekosistem perniagaan moden yang kompetitif ini.

“Tahap tinggi bermakna mereka mempunyai nilai yang mampu menyelesaikan masalah di persekitaran. Mempunyai rasa keprihatinan dan keinginan untuk terus berkembang dan berguna, bukan sahaja untuk syarikat, tetapi juga untuk manusia dan alam sekitar.

“Dengan mewujudkan forum untuk sidang kemuncak usahawan wanita ini, mereka boleh berhubung antara satu sama lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kreasi Mode International yang juga penganjur MFWS 2024, Ayu May Fakih.

Daripada tema besar ini, MFWS 2024 merumuskan tiga perkara utama yang mesti menjadi keutamaan setiap usahawan wanita yang ingin memajukan perniagaannya iaitu strategi pemasaran, strategi kewangan & pelaburan, dan pengukuhan sistem.

“Sebagai usahawan, tiga perkara itulah yang kita fikirkan setiap hari. Itu yang kita harus faham macam mana kita boleh lakukan dalam bisnes.

“Kerana ketiga-tiga tema ini mendorong usaha kami bagaimana kita boleh memahami strategi pemasaran yang relevan dengan situasi semasa dan tepat pada sasaran dengan trend yang berubah dengan pantas.

“Perniagaan adalah tentang membina sistem, bagaimana sistem itu boleh diduplikasi, dijalankan dengan sendirinya, dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah, dan kekal relevan.

“Bagaimana syarikat boleh mendapatkan akses kepada pembiayaan untuk pembangunan syarikat,” katanya.

Bagi membawa pengetahuan baharu kepada peserta, MFWS 2024 akan mempersembahkan beberapa penceramah yang berpengalaman dalam pelbagai bidang perniagaan.

Antaranya ialah Eva Law (Ketua Persatuan Pejabat Keluarga di Asia), Nur Asia Uno (Pengerusi Persatuan Fesyen Indonesia), Susan Emir (Pemilik Rumah Sabine), Alia Khan (Pengasas dan Ketua Fesyen Islam dan Design Council), dan tokoh lain serta pemimpin perniagaan wanita lain.

Dalam penganjuran MFWS 2024, Penciptaan Fesyen Antarabangsa tidak bersendirian. Beberapa institusi/organisasi, syarikat dan jenama mengambil bahagian dalam memastikan penganjuran acara ini.

Selain itu, memandangkan skop peserta sasaran yang luas dari pelbagai negara, sokongan daripada syarikat tempatan dan asing, institusi/organisasi dan jenama amat diperlukan bagi mengukuhkan kredibiliti acara ini.

“Pada masa ini terdapat lapan rakan kerjasama yang telah mengambil bahagian dalam menjayakan acara MFWS. Kerjasama ini tidak terhad kepada promosi acara tetapi juga mencapai sumber dan juga penajaan dan rakan media.

“Antara institusi terbabit ialah Persatuan Fesyen Indonesia, Modest Fashion Australia, Modest Fashion Manila, Islamic Fashion & Design Council dari London, Association of Family Office in Asia dari Hong Kong, Scarf Media, hellobcr dan Dewan Fesyen Indonesia.

“Kami masih mengalu-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak bagi menjayakan majlis ini,” kata Pengurus Projek MFWS 2024, Nurasiah Jamil.

MFWS 2024 bukan sahaja forum perniagaan, tetapi juga pertunjukan modest fashion yang akan menampilkan 12 jenama modest fashion terpilih dari pelbagai negara.

“MFWS 2024 akan bermula dengan pembukaan yang merangkumi pertunjukan modest fashion. Kami ada 12 slot yang akan dipaparkan.

“Pada masa ini terdapat 5 jenama Indonesia. Dari negara lain, kami sedang merekrut daripada rakan kongsi dan juga dari mereka yang mendaftar.

“Disebabkan slot yang terhad, sasaran kami hanya 12, namun kami berharap lebih banyak jenama fesyen dari pelbagai negara boleh menyertainya,” kata Nurasiah lagi.

Terdahulu, bagi memperkenalkan program berkenaan, jawatankuasa MFWS 2024 telah mengadakan beberapa acara kecilan melalui perjumpaan yang diberi nama ‘Intimate Gathering’.

Acara itu pertama kali diadakan di Jakarta Selatan pada 5 Disember dan dihadiri 23 jenama fesyen di seluruh Jabodetabek.

Perjumpaan kedua telah diadakan di Kuala Lumpur, pada 13 Disember dan dihadiri oleh 25 jenama dan organisasi tempatan Malaysia.

Selain itu, terdapat juga perjumpaan secara maya untuk menyambut usahawan Australia pada 17 Disember.

MFWS 2024 telah dimulakan oleh Ayu May Fakih dan syarikatnya, Kreasi Mode International. Wanita lulusan Universiti Indonesia ini berpengalaman memulakan pelbagai persembahan antarabangsa yang memfokuskan pembangunan belia melalui Model United Nations yang membabitkan lebih 100 negara dan dihadiri ribuan peserta.

“Bersama Kreasi Mode International, saya ingin membina forum di mana usahawan wanita boleh berhubung tanpa dihadkan oleh jarak antara negara atau perbezaan dalam sektor perniagaan.

“MFWS 2024 direka sebagai ruang inklusif untuk menjadi sistem sokongan buat ahli perniagaan di seluruh dunia,” katanya.

Ungu gegar Pesta Muzik Kuantan 24 Februari depan, tiket bermula RM58

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Istimewa buat warga Pahang dan Pantai Timur, Pesta Muzik Kuantan bakal menggegarkan negeri itu sempena menyambut kepulangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah bersama KDYMM Seri Paduka BagindaRaja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang bakal menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI di Istana Negara dan berangkat pulang ke negeri Pahang.

Pesta ini bakal mempersembahkan gabungan seni muzik dan budaya penduduk tempatan yang ingin terus dipelihara dan dikomersialkan.

Ia adalah antara daya tarikan pelancongan yang terbaik untuk pengunjung datang ke Kuantan dan negeri lain di sekitar Pantai Timur.

Selaku penganjur, Showpro Entertainment Sdn Bhd dengan berbesar hati menghimpunkan barisan artis terkenal yang akan membuat persembahan antaranya kumpulan terkenal dari Indonesia iaitu Ungu bersama barisan artis-artis tempatan seperti Naim Daniel, Khai Bahar, Ara Johari, Nabila Razali, Eda Ezrin dan Den Manjo.

Penampilan Ungu yang cukup terkenal dengan hits seperti Kekasih Gelapku dan Cinta Dalam Hati akan mencatat sejarah tersendiri sebagai kumpulan Indonesia pertama yang tampil dalam Pesta Muzik Kuantan kali ini.

Pesta Muzik Kuantan Bersama Dengan Ungu & Artis Tanah Air dijadualkan berlangsung pada 24 Februari 2024 akan diadakan di Stadium Darul Makmur Kuantan, Pahang dari jam 5 Petang.

Menurut pengarah-pengarah Showpro Entertainment, penganjuran Pesta Muzik Kuantan adalah satu penghormatan buat KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mahu rakyat jelata menikmati sebuah keraian yang menggabungkan antara muzik dan kebudayaan setempat.

Selain daripada itu, beliau juga telah menyediakan sistem bunyi dan cahaya yang terhangat untuk menarik perhatian pengunjung-pengunjung Pesta Muzikal Kuantan.

“Showpro Entertainment sangat berbesar hati menganjurkan Pesta Muzik Kuantan sempena menyambut kepulangan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku ke negeri Pahang.

“Keraian ini tidak akan lengkap tanpa bintang jemputan terutama kumpulan Ungu yang memang sangat popular di Malaysia.

“Ungu juga tidak pernah mengadakan persembahan di Stadium Darul Makmur secara khusus,maka ia adalah peluang terbaik untuk rakyat negeri Pahang dan dari Pantai Timur datang ke sini menyaksikan persembahan kumpulan ini.

“Bukan sahaja Ungu, kami juga turut menampilkan artis-artis tanah air yang berbakat besar bagi memeriahkan lagi Pesta Muzik Kuantan seperti Naim Daniel, Nabila Razali, Khai Bahar, Ara Johari, Den Manjo, Eda Ezrin dan ramai lagi.

“Selain hiburan, Pesta Muzik Kuantan juga mempunyai objektif untuk terus melestarikan budaya termasuklah makanan dan produk tempatan kepada pengunjung dari jam 11pagi di kawasan luar stadium,” kata Haniah Hassan.

Sementara itu, Ungu berkata, lamaran Showpro Entertainment ibarat sebuah kesempatan yang tidak selalu ada dan mereka mengaku tiada sebab untuk menolak selepas melihat objektif yang mahu dicapai menerusi Pesta Muzik Kuantan.

“Terima kasih kepada penganjur kerana memilih Ungu untuk turut serta di Pesta Muzik Kuantan. Ini mungkin akan menjadi pengalaman pertama kali kami bermain di hadapan penduduk Pahang dan rakyat Pantai Timur.

“Lebih istimewa lagi adalah penganjuran Pesta Muzik Kuantan ini bersempena dengan sambutan kepulangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke Pahang.

“Ia menjadi satu penghormatan buat Ungu apa lagi berkongsi pentas bersama barisan artis tanah air dan bertemu peminat di kawasan Pantai Timur,” kata Pasha.

Lebih mengujakan Pesta Muzik Kuantan menawarkan ‘harga rahmah’ serendah RM58 untuk menikmati segala persembahan dan hiburan yang telah diatur sepanjang hari.

Harga tiket adalah seperti (Sejauh Mungkin) RM58, (Demi Waktu) RM88, (Cinta Dalam Hati) RM98, (Kekasih Gelapku & Seperti Yang Dulu) RM118,  (Gegar) RM128, (VIP B, FREE SEATING) RM388, (VIP A, FREE SEATING), RM448, (MIP, NUMBERED SEATING), RM628 boleh dibeli mulai hari ini, 29 Disember melalui Ticket2u dari jam 2.45 petang.

Sebarang pertanyaan dan urusan MIP, VIP, hubungi 012-268 2700 ( Haniah Hassan) dan hotline 012-488 6225.