KUALA LUMPUR – Melihat ‘kegilaan’ rakyat Malaysia terhadap industri K-Pop mendorong syarikat produksi, Hundred Years Popcorn Production menghasilkan filem aksi berjudul The Lord Musang King.
Lebih menarik, filem ini menyatukan dua negara iaitu Malaysia dan Korea Selatan, disamping mengetengahkan raja buah iaitu durian berkualiti tinggi, Musang King.
Penerbit Eksekutifnya, Ong Peng Chu, berkata hasrat menggabungkan dua negara dalam satu naskhah filem tercetus selepas dia dan pengarah filem, Lee Moon Ho yang juga warga Korea Selatan menikmati durian Musang King.
Malah dia tidak menyangka, menjadikan Musang King sebagai subjek utama mampu mencetuskan sebuah filem yang turut menggabungkan Malaysia dan Korea Selatan.
“Malaysia tidak pernah ada kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang perfileman, jadi saya mula cari rakan kongsi Korea Selatan sekiranya sudi datang ke Malaysia.
“Pada mulanya ramai cakap kos itu sangat tinggi, namun saya berterima kasih apabila semua yang terbabit tidak ‘demand’ dengan saya.
“Pengarah, Moon Ho juga sangat memberi kerjasama dan dia seorang yang berpengalaman serta merendah diri. Malah dia juga seorang yang serius dalam bekerja,” katanya.
The Lord Musang King adalah filem sulung terbitan Hundred Years Popcorn Production malah Peng Chu yang juga Penerbit Muzik Veteran, selama 38 tahun dalam industri Muzik tempatan dan antarabangsa memberi keyakinan tinggi baginya untuk menceburi dunia perfileman yang dirasakan satu bidang yang seiring.
Ini adalah filem Malaysia pertama yang diarahkan oleh Pengarah dari Korea Selatan, Moon Ho yang sebelum ini terkenal dengan filem arahannya seperti My Way dan Underground Dragon King.
Sudahpun menemui penonton di seluruh pawagam tanah air sejak 21 Disember lalu, Peng Chu berharap filem ini dapat diterima oleh pencinta filem negara sekaligus memberi sokongan dengan menontonnya dipawagam.
Berbekalkan modal RM2.5 juta, filem The Lord Musang King menampilkan pelakon dari Malaysia dan Korea Selatan, manakala lokasi penggambaran dibuat sepenuhnya di Malaysia.
Filem ini menggunakan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Korea yang menampilkan pelakon Malaysia seperti Yusuf Bahrin, Harissa Adlynn Halim, Fimie Don, Azri Sabri, Hafizuddin Fadzil dan Jay Iswazir, manakala pelakon dari Korea Selatan pula adalah Kim Bo Yeon dan Kwak Dong Hyuk.
The Lord Musang King mengangkat kisah Haikal, anak pekebun durian yang berjaya, namun diperdaya dan dipenjarakan.
Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya.
Namun, Samad dibunuh ‘taikun’ Korea Selatan ketika cuba membebaskan anaknya. Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal tampil menuntut bela atas kematian bapanya.
LONDON – Pempengaruh TikTok Soudi Al Nadak atau dikenali @soudiofarabia baru-baru ini menggemparkan media sosial apabila mendedahkan senarai syarat jika suaminya yang juga jutawan ahli perniagaan, Jamal Al Nadak, mahu dia hamil.
Portal MSN melaporkan, Soudi memuat naik permintaan mewahnya, termasuk bayaran 240,000 pound sterling (kira-kira RM1.4 juta) setiap kali hamil, hadiah berjenama dan layanan tetamu kenamaan (VIP), semasa dan selepas bersalin.
Menerusi video tular yang ditonton oleh lebih 2.3 juta individu dalam masa seminggu itu, Soudi berkata tiada rundingan berkaitan kehamilannya.
Antara tuntutan lain, dia menekankan keperluan untuk cincin perkahwinan, akses penuh kepada kad kredit suaminya untuk kecemasan, dan pelbagai hadiah mewah, termasuk beg tangan berjenama dan kereta baharu.
Alasannya membuat tuntutan itu kerana dia tidak mahu menyakitkan badan secara percuma.
“Saya tidak akan meletakkan badan saya melalui kesakitan sebanyak itu secara percuma,” katanya.
Bayaran yang dinyatakan membabitkan pelbagai perbelanjaan, daripada sesi terapi kepada fisioterapi, latihan peribadi, akupunktur, dan urutan untuk dirinya dan bayi.
Dia juga berkeras mahukan push present (hadiah kerana meraikan ibu yang melahirkan bayi), khususnya lebih banyak hartanah pelaburan dan beg Birkin.
Senarai itu diperluaskan kepada keinginan Soudi untuk tidak bekerja lagi, penambahan pembantu di rumah, lawatan daripada 1,000 kepada 2,000 individu selepas bersalin, dan juga pasukan solek dan rambut yang berdedikasi.
Rata-rata penonton meluahkan rasa terkejut dan ragu-ragu, malah ada yang mempersoalkan ‘keaslian’ gaya hidup Soudi.
Sementara itu, ada juga yang menyokong kemahuannya dengan menyatakan cabaran kehamilan dan melahirkan anak.
Ketika berdepan kritikan, Soudi menegaskan bahawa cinta mereka adalah ikhlas, dan dia terus menerima sokongan, terutamanya daripada wanita di Dubai yang menghargai kehidupannya yang mewah. -Agensi
KUALA LUMPUR – Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin dilaporkan kritikal selepas tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, semalam.
Fiza, 40, atau nama sebenar Siti Nor Hafiza Kamarudin kini dirawat di Hospital Charing Cross.
Difahamkan, kejadian berlaku beberapa jam sebelum Fiza bersama keluarga berlepas pulang ke tanah air.
Sehubungan itu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) melancarkan tabung kecemasan bagi membantu memudahkan urusan Fiza.
Presidennya Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, inisiatif melancarkan tabung khas itu selepas mendapat persetujuan daripada suami Fiza iaitu Mohd Roshdi.
“WHAM mengambil kesempatan ini dengan mengalu-alukan semua pihak bagi membantu sahabat kita ini yang sedang memerlukan. Biarpun sedikit tetapi ia sungguh bermakna dan dihargai.
“Kami juga mengalu-alukan sumbangan rakan artis dan mana-mana pihak yang pernah bekerjasama dengan Fiza sepanjang kerjaya mereka.
“Memandangkan kita belum tahu berapa lama lagi Fiza perlu mendapatkan rawatan di sana dan bilakah dia akan dibawa pulang ke Malaysia, sudah pasti keluarganya memerlukan bantuan dan sokongan kewangan.
“WHAM merakamkan jutaan terima kasih dan semoga urusan Fiza dipermudahkan di sana. Semoga doa kita untuk kesembuhan sahabat kita itu dimakbulkan,” katanya.
Fiza yang juga wartawan di portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU sebelum ini terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London.
Dia, suami dan dua anaknya berlepas pada pertengahan Disember lalu dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 27 Disember.
Meskipun keadaan kesihatannya kurang baik sebelum ini, keluarga memilih untuk menunaikan hajat Fiza bercuti atas permintaannya sendiri.
Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Maybank 5620 2169 1966 atas nama Mohammad Sudirman (Penolong Setiausaha WHAM).
PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya memohon maaf mengenai babak berpelukan yang dilakukannya dalam sebuah drama.
Zara, 38, berkata, sebagai manusia dia mengakui khilaf dan terlepas pandang sehingga babak itu mendapat kecaman teruk daripada warganet berikutan dia bertudung.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku, saya akui rasa sedikit ralat dan menyesal kerana tidak fikir panjang.
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana saya perlu lebih menjaga batas sebagai seorang yang bertudung,” katanya.
Zara berkata, tiada niat hendak mencetuskan kontroversi kerana dia bukanlah seorang artis yang begitu.
“Saya tidak menyangka perkara ini akan mengakibatkan perdebatan di kalangan penonton. Saya bukan selebriti yang sukakan kontroversi.
“Pastinya saya sedih pada mereka yang hilang hormat dengan saya, tetapi janganlah terlalu ikut perasaan. Beri saya peluang kedua untuk betulkan khilaf ini.
“Terima kasih juga kepada sesiapa yang menegur dan yang kecam saya terima dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Sayu Yang Syukur, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zara mengakui bimbang dengan tayangan drama berkenaan kerana terlampau memikirkan pandangan penonton.
“Ini pertama kali saya risau apabila drama ingin keluar kerana memikirkan penerimaan orang tentang watak dan drama itu.
“Saya tidak boleh tutup mulut tempayan dan juga tidak mahu menegakkan benang yang basah,” katanya lagi.
Terdahulu, tular video teaser sebuah drama menunjukkan babak Zara dipeluk oleh Syarul Ezani.
Rata-rata warganet meluahkan rasa tidak puas hati dengan adegan berkenaan memandangkan penampilan Zara yang kini sudah bertudung.
JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mengiktiraf pemimpin korporat dari pelbagai bidang, menghargai usaha mereka dalam menyumbang kepada masyarakat dan menyediakan produk serta perkhidmatan berkualiti kepada pengguna menerusi Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia (Consumers’ Choice Award, CCA) dan Tokoh Pintar Terbaik (Best Intelligent Figures, BIF).
Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia itu adalah hasil usaha MTPN dan China Press untuk menaikkan jenama dan syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti untuk pengguna di pasaran.
Seramai 32 elit korporat telah meraih anugerah manakala 20 elit lagi berjaya mencapai Tokoh Pintar Terbaik.
Anugerah ini mempunyai matlamat untuk memilih elit korporat yang memiliki kebijaksanaan, kepintaran dan IQ yang tinggi.
Yang Dipertua MTPN Johor, Noorman Kamsani dalam ucapannya berkata, 8 hak pengguna yang diperkenalkan pada tahun 1983 sempena Hari Pengguna Sedunia perlulah diperhalusi dan seiring dengan perubahan semasa era digital.
“Saya ingin berkongsi idea yang dilhamkan oleh Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo dibantu oleh Alston Tan Chaw Xian ini akan diperkenalkan sebagai langkah baharu yang merujuk kepada pandangan atau sikap yang menekankan pada keuniversalan, inklusiviti, dan pemahaman saling menghormati antara individu atau kumpulan dari pelbagai budaya, bangsa, atau latar belakang.
“Pengguna Kosmopolitanisme mencari peluang untuk belajar dari kepelbagaian, memupuk pemahaman antarabangsa, dan menghargai perspektif global dalam interaksi kehidupan mereka,” katanya.
Malam anugerah yang diadakan dengan meriah itu berlangsung di Taman Daya Johor, dengan kehadiran wakil rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Alaodeen Hameed, Setiausaha Agung World Humanitarian Drive (WHD), Prof Dato Dr GP Doraisamy a/l Govindasamy, Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo dan Pengurus besar Media Chinese International Limited, Vincent Lee.
Noorman berkata, Dasar kosmopolitanisme pengguna ini akan membabitkan penekanan pada keadilan, hak asasi manusia, dan penyesuaian kepada keperluan pelbagai komuniti.
Kesedaran terhadap budaya dan nilai-nilai global yang akan diintegrasikan untuk memastikan penggunaan yang bertanggungjawab dan memperkaya pengalaman digital.
Lima teras ekologi yang telah digariskan MTPN merangkumi; ekologi pendidikan, ekologi dasar, ekologi budaya, ekologi ekonomi dan ekologi pengguna.
“Kesemua 5 elemen ekologi ini akan memberi petunjuk kepada sebuah indikator yang besar secara keseluruhannya yang dapat memberi keseimbangan kepada sebuah gagasan komuniti pengguna yang lebih harmoni dan adil kepada semua bangsa,” katanya.
Selaras itu, MTPN berharap anugerah ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap syarikat dan jenama tempatan, serta meningkatkan taraf ekonomi negara.
Disamping itu, MTPN turut menyeru kepada semua pihak untuk bekerjasama dengannya, menjadikan Majlis Tindakan Pengguna Negara sebagai standard penilaian kualiti oleh pengguna.
Sementara itu, Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo berkata, penganjur telah menerima sebanyak 181 permohonan pencalonan tetapi hanya 32 syarikat dan 20 elit perniagaan baru layak dipilih.
Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua calon atas penyertaan aktif dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
Katanya, pembangunan sebuah syarikat yang kukuh dan besar memerlukan jalinan rangkaian perniagaan bagi menggalakkan kerjasama perniagaan dan perkongsian pengalaman serta sumber.
Oleh itu, beliau percaya bahawa BIF dan CCA akan menjadi sokongan terbaik untuk golongan elit korporat.
CYBERJAYA – Alasan untuk menolak makanan sihat kerana tidak sedap tidak lagi relevan pada masa kini apatah lagi dengan pelbagai alternatif yang ditawarkan di pasaran.
Dalam usaha mempromosikan makanan yang sedap tetapi sihat, DXN Holdings Berhad (DXN), syarikat produk makanan kesihatan tambahan memperkenalkan pilihan makanan yang menarik.
Antara menu yang dihidangkan pada sesi prebiu baru-baru ini ialah D’burger atau Burger Cendawan, Spirudle Curry (Mee Kari), Nasi Tomato, roti kering ranggup (Zhi Crostini & Spirulina Crostini), kek (SpiralNana & Nenas Lingzi), jus Kiwi dan kopi Lingzi yang berkhasiat.
Kesemua makanan ini diperkaya dengan bahan premium antaranya ialah cendawan gano, spirulina, reishi gano dan sayuran segar.
Sebagai contoh, biskut dan kek diperkaya dengan bahan seperti spirulina dan ekstrak ganoderma bagi kesihatan tubuh badan.
Begitu juga nasi tomato serta mee yang disediakan dengan kaedah jaminan bersih serta berkhasiat. Bahkan cara penyediaannya juga cukup mudah dan pantas.
Antara produk baharu yang mendapat sambutan ramai adalah D’Burger atau Burger Cendawan. Kebiasaannya burger diklasifikasikan sebagai makanan segera yang kurang sihat.
Namun, berbeza dengan Burger Cendawan keluaran DXN di mana dagingnya diperbuat daripada tumbuhan termasuk bijirin dan cendawan.
Oleh itu, mereka yang ingin mencuba Burger Cendawan ini tidak perlu bimbang selain berkhasihat rasanya masih sedap seolah-olah daging sebenar.
Bekas penyampai Manis FM, Suraya J yang juga penggemar makanan kesihatan berkata, makanan yang dihidangkan sangat sedap serta sama seperti yang selalu dinikmati.
“Mungkin kita takut untuk makan makanan seperti ini kerana bimbang rasa kurang sedap, tetapi makanan ini memang sedap dan sihat.
“Sesuai juga untuk majoriti yang hidup aktif serta sibuk pada masa kini dan golongan yang menjaga kesihatan,” katanya.
Kesemua produk makanan keluaran DXN yang dijual bermula pada harga RM5 sehingga RM10 dihasilkan dengan begitu teliti demi menjaga kualiti dan kesegaran rasa dalam setiap hidangan.
KUALA LUMPUR – HONOR Malaysia meraikan cuti akhir tahun dengan menawarkan hadiah menarik dan tawaran eksklusif di HONOR Year End Festive Roadshow yang akan berlangsung di Sunway Pyramid bermula 27 Disember 2023 hingga 1 January 2024.
Lebih menarik, hadiah dan cabutan bertuah bernilai sehingga RM440,000 menanti pengunjung yang membuat pembelian peranti serta menyertai aktiviti di sepanjang jerayawara berkenaan.
Nikmati potongan harga hebat sehingga RM1,000 berserta hadiah percuma apabila membeli HONOR Magic5, HONOR Magic5 Pro, HONOR 90 dan HONOR Pad X8.
Pembeli berpeluang memenangi cabutan bertuah yang mana hadiah tempat pertama adalah komputer riba HONOR MagicBook X16 bernilai RM3,499.
Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang jam tangan pintar HONOR Watch GS3 (RM899) dan fon telinga HONOR Choice Earbuds X3 (RM249).
Hadiah sagu hati pula adalah Cawan Thermos Talent, Thermos Keluli Tahan Karat Kayu Premium, Travel Adapter, Wooden Bluetooth, Bag Jinjing Talent dan Cawan Tahan Karat Talent.
Berikut senarai peranti HONOR dengan hadiah dan tawaran menarik:
Model
Variasi
Harga Runcit
Harga Promosi
Hadiah Percuma
HONOR X9b
20GB+256GB
RM1,499
–
HONOR Choice Earbuds X5, Perlindungan Retak Depan & Belakang 365 Hari dan Sarung Telefon Eksklusif HONOR X9b (bernilai RM858)
HONOR X8b
16GB+512GB
RM999
–
HONOR Choice Earbuds X5 Lite (bernilai RM139)
HONOR X7b
16GB+256GB
RM799
–
HONOR Choice Earbuds X5 Lite (bernilai RM139)
HONOR X6a
4GB+128GB
RM599
RM499
–
HONOR Magic VS
12GB+512GB
RM5,999
–
Lanjutan Jaminan Setahun dan Perlindungan Retak Skrin 180 Hari (bernilai RM 1,298)
HONOR Magic5 Pro
12GB+512GB
RM4,299
RM3,499
Setahun Jaminan Lanjutan Tambahan, Perlindungan Retak Skrin 180 Hari dan Hadiah Life Pakej 4 (bernilai RM717)
HONOR Magic5
12GB+256GB
RM3,499
RM2,499
Setahun Jaminan Lanjutan Tambahan, Perlindungan Retak Skrin 180 Hari dan Hadiah Life Pakej 4 (bernilai RM 637)
HONOR 90 5G
12+256GB
RM1,799
RM1,699
HONOR Earbuds X5, Setahun Jaminan Lanjutan Tambahan, Perlindungan Retak Skrin 180 Hari dan HONOR Talent Kettle (bernilai RM776)
HONOR 90 5G
12+512GB
RM2,099
RM1,899
HONOR Earbuds X5, Setahun Jaminan Lanjutan Tambahan, Perlindungan Retak Skrin 180 Hari dan Cerek HONOR Talent (bernilai RM776)
HONOR 90 Lite 5G
8+256GB
RM1,099
–
Setahun Jaminan Lanjutan Tambahan & Payung Three-Fold (bernilai RM188)
HONOR Pad 8
10GB+256GB
RM1,499
–
Papan Kekunci Pintar HONOR Pad 8 dan Mug Vakum (bernilai RM368)
HONOR Pad X8
4GB+64GB
RM799
RM699
Sarung Flip HONOR Pad X8 dan Mug Vakum (bernilai RM168)
HONOR Pad X9
7GB+128GB
RM1,099
–
Papan Kekunci Pintar Bluetooth HONOR Pad X9 dan Mug Vakum (bernilai RM368)
Siri HONOR X – Tahan Lasak dan Bergaya
Mereka yang ingin mencari telefon pintar tahan lasak boleh memilih HONOR X9b 5G yang adalah peneraju dalam industri skrin tahan jatuh yang direka untuk menahan daripada kerosakan apabila terjatuh dari pelbagai sudut. HONOR X9b 5G peranti mid-range pertama di Malaysia dilengkapi dengan cipset Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 serta dikuasakan Bateri Ultra Tahan Lama 5800mAh dan konfigurasi 20G+256GB. Dengan semua ciri-ciri hebat ini, HONOR X9b 5G hanya berharga RM1,499.
HONOR X8b pula berbaloi untuk dibeli kerana didatangi storan gergasi 512GB dan harganya cuma RM999 sahaja. Kapasiti storan ini boleh menyimpan sehingga 124,000 gambar. Selain itu, peranti ini mempunyai Kamera Hadapan Potret Spotlight 50MP dengan lampu sorot hadapan dan Auto Switch Field of View (FOV) untuk menghasilkan swafoto yang cantik dan menarik.
Sementara HONOR X7b sangat sesuai untuk golongan yang menghabiskan banyak masa bersama telefon pintar kerana kapasiti bateri besar 6000mAh. Harganya hanya RM799 dan mempunyai storan 256GB untuk menyimpan 60,000 gambar, 24,000 lagu atau 950 video HD.
Siri HONOR Magic5 – Tawaran Menakjubkan
Miliki Siri Magic5, telefon pintar flagship terbaik HONOR bagi 2023 pada harga diskaun hebat hanya di jerayawara ini. HONOR Magic5 Pro telah menjadi bualan hangat ramai disebabkan teknologi tercanggih Sistem Kamera Millisecond Falcon Capture, paparan Super Dynamic Vivid Display dan Bateri Ketumpatan Tinggi Ultra 5100mAh. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan peranti ini pada harga RM3,499 selepas potongan diskaun RM800.
Manakala HONOR Magic5 dilengkapi kapasiti bateri 5100mAh, Sistem Kamera Miliesecond Falcon Capture dan teknologi paparan keselesaan mata terbaik dalam kelas tersendiri seperti Paparan LTPO Pemalapan PWM 160Hz, Paparan Malam Sirkadia dan Pensijilan Mesra Sirkadia TÜV Rheinland. Bawa pulang HONOR Magic5 pada harga RM2,499 selepas potongan diskaun RM1,000.
HONOR 90 5G – Peranti Mengagumkan dengan Pemalapan PWM
HONOR 90 5G dilengkapi Kamera Super Sensor 200MP dan mempunyai frekuensi Pemalapan PWM 3840Hz untuk mengurangkan ketegangan mata. Paparan dilengkapi ciri-ciri hebat seperti Pemalapan Dinamik dan Paparan Malam Sirkadia memberi pengalaman menonton yang selesa. Peranti ini didatangi dalam dua storan pilihan iaitu 12+256GB dan 12+512GB, masing-masing ditawarkan pada harga RM1,699 dan RM1,899.
HONOR Pad X8 – Perlindungan mata dan Genggaman Selesa
HONOR Pad X8 tablet yang nipis dengan ukuran 7.55mm, berat 460g dan permukaan lengkung. Apabila digenggam, tablet ini memberi keselesaan pada tangan dan akan ditawarkan pada harga RM699 sahaja sepanjang jerayawara ini. HONOR Pad X8 turut didatangkan bersama dengan beberapa ciri-ciri perlindungan mata untuk keselesaan mata sepanjang hari.
HONOR X6a – Prestasi Baik Pada Harga Rendah
Bagi mereka yang mencari telefon pintar pada harga rendah, HONOR X6a berharga RM499 sahaja. Dengan konfigurasi 4GB+128GB, bateri tahan lama 5200mAh dan kamera 50MP, peranti ini sememangnya berbaloi untuk dimiliki.
KUALA LUMPUR – Sentuhan magisnya bak ‘Midas Touch’ sentiasa meraih perhatian ramai, bagi meraikan sokongan peminat, penyanyi Hael Husaini, tampil dengan album sulung yang dinantikan oleh peminat setianya.
Antonim (Part 1) memuatkan 6 lagu kesemuanya yang dicipta oleh barisan komposer ternama tanah air seperti Ezra Kong, Omar K, Iqie Hugh, Hanis Rafi, Firdaus Rahmat serta Hael Husaini sendiri.
Album berkenaan bakal dilancarkan pada 5 Januari depan, manakala MV ‘Diam’ pula sudah pun dilancarkan 22 Disember lalu.
Hael berkata, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, dia telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertamanya ini.
“Selepas berbincang dengan pihak label serta pasukan saya, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenarai pendekkan serta beberapa buah lagu lama yang telah diberi susunan semula khas untuk album ini.
“Dalam album Antonim (Part 1) terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra), di mana 4 buah lagu daripada album ini telah dipilih kerana menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri popular yang mula ditayangkan baru-baru ini.
“Manakala ada dua lagi lagu yang belum pernah diperdengarkan kepada umum,” katanya.
Hael berkata, perjalanan seninya menjangkau hampir 17 tahun dan album ini mempunyai signifikasinya sendiri.
“Album sulung ini sangat penting buat karier saya kerana sudah lama saya cuba merealisasikannya, ianya impian terbesar saya dan banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan saya tempuhi.
“Antonim (PART I & II) saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” katanya.
Katanya, setiap naskhah dalam album ini mempunyai jalan cerita dan kisah yang tersendiri, berlandaskan dari kisah benar malah ada juga yang bersifat dongeng serta kisah-kisah orang di sekeliling yang menjadi idea buatnya.
Lagu Diam sudah diperdengarkan turut dilancarkan dalam bentuk MV mempunyai keistimewaannya tersendiri.
“Lagu ini sangat dekat dengan persekitaran kita, ia adalah satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita.
“Orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah.
“Proses rakaman dilakukan di beberapa buah studio mengikut lagu dan penerbitnya sendiri, saya juga ada menggunakan khidmat beberapa penerbit dan jurutera bunyi dari luar negara untuk mendapatkan sentuhan berbeza dari segi bunyi.
“Saya berharap kesemua lagu yang terkandung di dalam album Antonim (PART I) meraih perhatian serta menjadi popular, kerana saya, rakan penulis lirik, penerbit, pihak pengurusan dan label telah bertungkus lumus dan banyak berkorban dalam melaksanakan album ini.
“Semoga semua penggemar muzik di luar sana sentiasa menyokong industri muzik kita semaksima yang mungkin,” katanya lagi.
MV ‘Diam’ boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Hael Husaini Official.
PENAMPANG – Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak mahu terburu-buru dalam proses menggabungkan kedua-dua parti untuk memastikan ia dilaksana secara teratur serta mencapai objektif memperkukuh perjuangan membela rakyat Negeri Di Bawah Bayu.
Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, kedua-dua parti ketika ini melihat kepada usaha untuk mengadakan program secara bersama yang mampu membantu rakyat Sabah selepas penganjuran Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 di Penampang, semalam.
“Program hari ini julung kali berjaya dibuat (oleh kedua-dua parti), kita lihat melalui program ini ada potensi besar untuk kerjasama lain selepas ini tetapi kita ‘belajar berjalan’ dulu, selepas ini baru boleh buat lebih sikit.
“Kita mahu supaya rakyat dapat memberi restu dan sokongan (kepada) kerjasama ini supaya kita dapat bantu rakyat sama-sama,” katanya kepada pemberita pada kedua-dua program anjuran bersama PBS dan STAR.
Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Kitingan, yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, program kerjasama seperti itu penting bagi memastikan masa, wang dan tenaga PBS dan STAR tidak dibazirkan dengan pertelingkahan sebaliknya dapat disalurkan untuk membina kekuatan kedua-dua parti itu sendiri selain memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Rakyat juga tidak bingung serta akan selesa dengan kita selain bangga apabila kita bersatu dan tidak bertelingkah sesama kita, sudah tentu sokongan kepada GRS bertambah selain perpaduan masyarakat KDMR (Kadazandusun, Murut dan Rungus) diperkukuh,” katanya.
Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim pula berkata, terdapat keinginan dalam kalangan pemimpin serta ahlinya untuk melihat kedua-dua pihak bekerjasama dengan lebih rapat dan justeru itu, PBS menyambut hasrat terbabit dengan langkah yang sesuai.
“Boleh dikatakan kerjasama kedua-dua parti semakin hari bertambah baik, harapan kita supaya kerjasama itu lebih erat dan kesefahaman tentang inti pati perjuangan jelas selain persefahaman dapat dibentuk dengan jitu,” kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu.
Pada 13 Disember lalu, Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majunki dan Setiausaha Agung STAR, Edward Linggu dalam kenyataan bersama memaklumkan kedua-dua pihak dijangka menandatangani memorandum kerjasama sebelum Tahun Baharu Cina 2024.
Selain PBS dan STAR, komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP). -Bernama