27.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 10, 2025

Seramai 32 elit korporat diiktiraf, MTPN perkenal 5 teras idea pengguna kosmopolitan  

editormaxinfo@gmail.com

JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mengiktiraf pemimpin korporat dari pelbagai bidang, menghargai usaha mereka dalam menyumbang kepada masyarakat dan menyediakan produk serta perkhidmatan berkualiti kepada pengguna menerusi Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia (Consumers’ Choice Award, CCA) dan Tokoh Pintar Terbaik (Best Intelligent Figures, BIF).

Anugerah Pilihan Pengguna Malaysia itu adalah hasil usaha MTPN dan China Press untuk menaikkan jenama dan syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti untuk pengguna di pasaran.

Seramai 32 elit korporat telah meraih anugerah manakala 20 elit lagi berjaya mencapai Tokoh Pintar Terbaik.

Anugerah ini mempunyai matlamat untuk memilih elit korporat yang memiliki kebijaksanaan, kepintaran dan IQ yang tinggi.

Yang Dipertua MTPN Johor, Noorman Kamsani dalam ucapannya berkata, 8 hak pengguna yang diperkenalkan pada tahun 1983 sempena Hari Pengguna Sedunia perlulah diperhalusi dan seiring dengan perubahan semasa era digital.

“Saya ingin berkongsi idea yang dilhamkan oleh Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo dibantu oleh Alston Tan Chaw Xian ini akan diperkenalkan sebagai langkah baharu yang merujuk kepada pandangan atau sikap yang menekankan pada keuniversalan, inklusiviti, dan pemahaman saling menghormati antara individu atau kumpulan dari pelbagai budaya, bangsa, atau latar belakang.

“Pengguna Kosmopolitanisme mencari peluang untuk belajar dari kepelbagaian, memupuk pemahaman antarabangsa, dan menghargai perspektif global dalam interaksi kehidupan mereka,” katanya.

Malam anugerah yang diadakan dengan meriah itu berlangsung di Taman Daya Johor, dengan kehadiran wakil rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Alaodeen Hameed, Setiausaha Agung World Humanitarian Drive (WHD), Prof Dato Dr GP Doraisamy a/l Govindasamy, Presiden Kebangsaan MTPN, Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo dan Pengurus besar Media Chinese International Limited, Vincent Lee.

Noorman berkata, Dasar kosmopolitanisme pengguna ini akan membabitkan penekanan pada keadilan, hak asasi manusia, dan penyesuaian kepada keperluan pelbagai komuniti.

Kesedaran terhadap budaya dan nilai-nilai global yang akan diintegrasikan untuk memastikan penggunaan yang bertanggungjawab dan memperkaya pengalaman digital.

Lima teras ekologi yang telah digariskan MTPN merangkumi; ekologi pendidikan, ekologi dasar, ekologi budaya, ekologi ekonomi dan ekologi pengguna.

“Kesemua 5 elemen ekologi ini akan memberi petunjuk kepada sebuah indikator yang besar secara keseluruhannya yang dapat memberi keseimbangan kepada sebuah gagasan komuniti pengguna yang lebih harmoni dan adil kepada semua bangsa,” katanya.

Selaras itu, MTPN berharap anugerah ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap syarikat dan jenama tempatan, serta meningkatkan taraf ekonomi negara.

Disamping itu, MTPN turut menyeru kepada semua pihak untuk bekerjasama dengannya, menjadikan Majlis Tindakan Pengguna Negara sebagai standard penilaian kualiti oleh pengguna.

Sementara itu, Presiden Kebangsaan MTPN,  Dato’ Paduka Dr. Kevy KV Yeo berkata, penganjur telah menerima sebanyak 181 permohonan pencalonan tetapi hanya 32 syarikat dan 20 elit perniagaan baru layak dipilih.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua calon atas penyertaan aktif dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

Katanya, pembangunan sebuah syarikat yang kukuh dan besar memerlukan jalinan rangkaian perniagaan bagi menggalakkan kerjasama perniagaan dan perkongsian pengalaman serta sumber.

Oleh itu, beliau percaya bahawa BIF dan CCA akan menjadi sokongan terbaik untuk golongan elit korporat.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular