24.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, March 8, 2026

DUN Jepak sasar 25 peratus penurunan kes penagihan dadah jelang akhir tahun 2024

editormaxinfo@gmail.com

JEPAK – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak,  Iskandar Turkee mensasarkan penurunan jumlah penagih dadah baharu di DUN ini sebanyak 25 peratus pada akhir tahun 2024 berbanding 79 individu yang direkodkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) pada tahun lalu.

Iskandar berkata, bagi memastikan ia mencapai sasaran, program kesedaran dan  pencegahan dadah perlu dilaksanakan secara berkala dan ia perlu membabitkan semua pihak.

Katanya, memulakan takwim tahun 2024, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) adalah agensi pertama menghulurkan kerjasama bersama pihaknya dengan menganjurkan Program Jom Gegar Jepak ; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak, Bintulu, Sabtu lalu.

Iskandar berkata, program berkenaan amat bertepatan dengan hasrat beliau untuk memastikan belia di DUN ini bebas daripada masalah penyalahgunaan dadah.

Program berkenaan juga adalah program Intervensi Bersepadu yang memberi fokus kepada Isu Dadah dan Substans (OBID) di bawah One Stop Committee (OSC) bagi Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Daerah Bintulu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Jom Gegar Jepak ; Sahabat Maritim Bebas Dadah Bersama Komuniti Jepak di Kampung Jepak.

Turut hadir Setiausaha Eksekutif, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dr. Zufar Yadi Brendan Abdullah, Pegawai Daerah Bintulu, Tuan Muhammad Dino Amid, Pengarah Komunikasi Korporat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Faridah Shuib, dan Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman.

Sepanjang tahun 2023, AADK telah merekodkan seramai 306 individu di Daerah Bintulu terbabit dalam masalah penagihan dadah.

Jumlah berkenaan meletakkan Bintulu menjadi daerah keempat tertinggi daripada 3,079 jumlah keseluruhan individu dikesan terbabit dengan gejala dadah di Sarawak.

Sementara itu Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu, Prof. Madya Dr. Mohamad Maulana Magiman berkata, program advokasi kesedaran bahaya dadah anjuran UPM Kampus Bintulu ini dilaksanakan bagi memberi penekanan khusus kepada menangani keperluan komuniti dan mewujudkan perubahan sosial yang positif.

Malah, program ini juga adalah program jaringan komuniti di bawah komponen CARE (Community Resilience Experential Learning) melalui projek lapangan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada belia di kawasan berkenaan tentang bahaya aktiviti jenayah di perairan dan penyalahgunaan dadah.

Bersempena program ini, seramai 42 orang mahasiswa Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian) Semester 1 Sesi 2023/2024 Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPM Kampus Bintulu ‘turun padang’ bagi menjayakan projek komuniti ini.

Program sehari itu telah dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik merangkumi 20 aktiviti seperti Forum, Pertandingan Sukan, Segmen Kanak-kanak/ Remaja Pemimpin Masa Hadapan, pameran dari agensi dan jabatan kerajaan serta banyak lagi.

Program diadakan di Balairaya Kampung Jepak bermula jam 7 pagi sehingga 5 petang.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular