editormaxinfo@gmail.com
NEW DELHI – Seorang pramugari ditahan berikutan dakwaan menyeludup hampir satu kilogram emas dari Muscat, Oman ke Kannur, bandar di barat daya India, dengan menyembunyikannya di dalam dubur.
Sumber Direktorat Perisikan Hasil (DRI) berkata, taktik wanita itu terbongkar selepas risikan khusus dilakukan pasukan DRI Cochin.
Katanya, wanita dikenali sebagai Surabhi Khatun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur sebaik tiba dari Muscat pada 28 Mei lalu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati 960 gram (g) emas cuba diseludup dalam bentuk kompaun, disorokkan dalam duburnya.
“Selepas disoal siasat dan melengkapkan proses lain diperlukan, wanita itu dibawa ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di penjara wanita di Kannur,” kata sumber berkenaan kepada media.
Menurut sumber itu lagi, kejadian berkenaan adalah kes pertama penyeludupan emas dengan cara itu yang membabitkan kru kabin syarikat penerbangan.
“Siasatan terperinci telah bermula dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan suspek pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ini.
“Kita juga sedang menyiasat pembabitan kumpulan penyeludupan yang berpangkalan di Kerala yang berkemungkinan terkait aktiviti itu,” katanya.
Sementara itu, wakil syarikat penerbangan tidak memberikan sebarang reaksi dan maklum balas mengenai kejadian ini.