editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi apabila menjadi tuan rumah kepada MQA Presidents’ Forum 2025, yang menghimpunkan lebih 20 pemimpin badan akreditasi dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan pengiktirafan kelayakan akademik global.
Forum anjuran Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) itu menjadi wadah penting untuk memperkukuh kepercayaan terhadap sistem pendidikan tinggi antarabangsa, selain membuka ruang kerjasama strategik antara negara dalam membina sistem pengiktirafan yang lebih diyakini dan inklusif.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, berkata dunia pendidikan tinggi kini berdepan cabaran besar apabila wujudnya ketidaksamaan sistem pengiktirafan antara negara, yang sekali gus menjejaskan mobiliti pelajar, graduan serta pengiktirafan ijazah di peringkat antarabangsa.
“Kita berdepan realiti baharu dalam pendidikan tinggi, termasuk transformasi pesat yang didorong oleh globalisasi, digitalisasi dan teknologi kecerdasan buatan.
“Antara cabaran utama ialah pengiktirafan kelayakan akademik yang masih tidak seragam antara negara.
“Inisiatif seperti Putrajaya Motion amat penting untuk membina asas kepada sistem global yang lebih inklusif dan saling diiktiraf,” katanya ketika berucap merasmikan MQA Presidents’ Forum 2025 di Le Méridien Hotel, Putrajaya.

Menurut beliau, Malaysia komited untuk terus menjadi peneraju dalam membangunkan sistem jaminan kualiti berasaskan kepercayaan, keterangkuman dan kolaborasi antarabangsa.
Katanya, hanya melalui jaringan kerjasama global dan pelaksanaan dasar berpandangan jauh, ekosistem pendidikan tinggi yang diyakini dunia dapat diwujudkan.
Dr. Zambry turut menyentuh beberapa isu utama yang dibincangkan dalam forum berprestij itu, termasuk pengiktirafan digital, keselamatan data, umur pelajar antarabangsa serta langkah membanteras sijil akademik palsu yang kini menjadi ancaman global.
Beliau berkata, pembangunan sistem keselamatan digital berasaskan blockchain sedang giat dijalankan bagi menjamin kesahihan dan ketelusan dokumen akademik pada masa depan.
“Dalam konteks ASEAN, kita sudah melangkah jauh ke hadapan. Namun, masih terdapat cabaran apabila kelayakan negara tertentu tidak diiktiraf di luar rantau ini.
“Oleh itu, usaha mewujudkan pangkalan data global atau Global Register seperti yang dicadangkan dalam Putrajaya Motion perlu direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata forum berkenaan merupakan kesinambungan daripada kejayaan Presidential Forum 2024 di Kuching, Sarawak, yang menerima sambutan menggalakkan daripada ketua badan akreditasi antarabangsa.
Edisi 2025 menampilkan perbincangan lebih strategik dengan empat tema utama, iaitu Mobility Beyond Borders, Recognition in a Digital Era, Quality Assurance Through Collaboration dan Building a Trust Ecosystem.

“Forum ini menjadi wadah penting untuk memperkukuh hubungan antara badan akreditasi, berkongsi pengalaman serta merangka pendekatan bersama bagi masa depan pendidikan tinggi global.
Melalui dialog ini, Malaysia berharap untuk terus menjadi rujukan utama dalam bidang jaminan kualiti pendidikan tinggi serta peneraju kepada sistem akreditasi rentas sempadan yang diyakini,” katanya.
Dalam majlis sama, MQA turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua agensi jaminan kualiti antarabangsa National Agency for Academic Assessment and Accreditation (ANAAA, I.P.) dari Timor-Leste dan Foundation for International Business Administration Accreditation (FIBAA) dari Jerman.

MoU itu menandakan komitmen bersama dalam memperkukuh sistem akreditasi rentas sempadan melalui perkongsian kepakaran dan pemantapan mekanisme jaminan kualiti global.
“Kerjasama ini membolehkan pertukaran pengetahuan, peningkatan keupayaan institusi serta memperkukuh reputasi Malaysia sebagai peneraju jaminan kualiti di rantau ini,” tambah Prof. Dr. Mohammad Shatar.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Anesee Ibrahim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman; serta Pengerusi Majlis MQA, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.


https://shorturl.fm/5WXxP