26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 109

Dongfeng perkenal model EV baharu di Mydin USJ

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Dongfeng Cars Malaysia, anak syarikat PEKEMA yang diwakili oleh Central Auto Distributors Bhd, telah mengambil peluang untuk memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) terbaharu mereka, Dongfeng Box, di Mydin Mall USJ.

Acara ini memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai sendiri keunikan serta teknologi terkini dalam dunia EV.

Program ini juga diserikan dengan kehadiran Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, yang turut hadir bersama isteri serta barisan kepimpinan PEKEMA.

Dalam kesempatan itu, Dongfeng turut memperkenalkan tawaran istimewa untuk dua model EV mereka, iaitu Dongfeng E2 dan Dongfeng E3.

Dengan harga bermula dari RM78,888 dan RM88,888, tawaran ini terhad kepada jumlah unit yang tertentu.

Inisiatif ini selaras dengan komitmen PEKEMA untuk menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik di Malaysia dan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau.

Penggunaan EV bukan sahaja membantu mengurangkan kesan perubahan iklim, tetapi juga memastikan masa depan yang lebih lestari bagi negara.

Yayasan PEKEMA salur RM600,000 bantu asnaf dan pelajar tahfiz menjelang Syawal

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menyambut kedatangan Syawal, Yayasan PEKEMA sekali lagi memperuntukkan RM600,000 dalam usaha meringankan beban anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara bagi membuat persiapan hari raya.

Inisiatif tahunan ini menyaksikan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah dalam sebuah program khas yang diadakan di Mydin Mall USJ, Subang Jaya.

Program ini adalah yang pertama daripada siri bantuan yang akan dilanjutkan ke pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga simbol keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

“Kehadiran kami adalah lebih daripada sekadar menyampaikan sumbangan, ia adalah tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Diharapkan program ini dapat membawa kegembiraan dan mengurangkan beban mereka dalam menyambut Syawal,” katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025.

Bantuan ini tidak hanya tertumpu di Selangor, tetapi turut diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang, bagi memastikan lebih ramai yang mendapat manfaat.

Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi, termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut menerima perhatian dalam program ini.

Dengan pemilihan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah, program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak Mydin.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, turut hadir bersama isteri serta barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan bersama Yayasan PEKEMA.

Mohamed Nazari berkata, pihaknya berharap usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Setiap sumbangan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan perlu dikongsi bersama.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program ini dan berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu golongan yang memerlukan, terutama menjelang musim perayaan.

U Mobile dan Qualcomm jalin kerjasama percepat transformasi digital IoT Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – U Mobile Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Qualcomm Services Ltd untuk mempercepatkan transformasi digital dalam pasaran Internet of Things (IoT) di Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penjejakan masa nyata, pemantauan peranti, serta kecekapan dalam rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile Neil Tomkinson, berkata kerjasama ini akan memacu inovasi dalam penyelesaian IoT, seterusnya membolehkan rantaian bekalan menjadi lebih berdaya saing dan cekap.

“Melalui gabungan rangkaian generasi akan datang kami bersama Qualcomm Aware Platform, kami dapat memastikan prestasi yang lancar dengan latensi ultra rendah dan pemindahan data berkelajuan tinggi, yang memungkinkan automasi yang lebih maju,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut U Mobile, penyelesaian ini akan membantu meningkatkan pengesanan dan keselamatan aset, menambah baik kecekapan operasi, serta mengurangkan kos operasi perusahaan melalui penggunaan analisis ramalan dan automasi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

Bagi memperluaskan penerapan teknologi ini, kedua-dua pihak akan membangunkan strategi khusus untuk pelbagai industri, termasuk sektor yang memerlukan penjejakan masa nyata seperti logistik, penjagaan kesihatan, dan pembuatan.

Kerjasama ini turut menyasarkan industri yang bergantung kepada keadaan persekitaran seperti farmaseutikal, pertanian, dan logistik rantaian sejuk, serta sektor yang sedang melaksanakan transformasi digital seperti peruncitan pintar, minyak dan gas.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang merasmikan kerjasama ini telah ditandatangani di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress (MWC) 2025 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Chee Hong Leong.

Adidas umum kurangkan 500 pekerja, langkah penstrukturan semula operasi

editormaxinfo@gmail.com

FRANKFURT – Syarikat sukan gergasi, Adidas, mengumumkan langkah drastik untuk mengurangkan 500 pekerja sebagai sebahagian daripada usaha menstruktur semula operasinya.

Keputusan ini diambil selepas perpisahan kontroversi dengan penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Kanye West, yang telah memberi impak besar kepada jenama terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Adidas, Bjorn Gulden berkata, pengurangan tenaga kerja ini akan membabitkan kakitangan di ibu pejabat syarikat di Herzogenaurach, Jerman, dan pelaksanaannya akan dilakukan secara sukarela.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi kami untuk meningkatkan kecekapan operasi serta menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik pasaran global,” kata Gulden.

Gulden yang mengambil alih kepimpinan Adidas pada tahun 2023, ketika syarikat itu berdepan krisis berikutan penamatan kontrak dengan Kanye West atau Ye susulan kenyataan anti-Semitik yang dikeluarkan oleh artis berkenaan, berkata, syarikatnya kini berusaha untuk mengatasi kesan daripada kontroversi itu.

Sejak itu, Adidas telah mengambil langkah untuk menjual stok kasut Yeezy yang masih ada bagi mengurangkan kerugian yang dialami.

Walau bagaimanapun, Adidas masih berdepan cabaran global, termasuk kemungkinan tarif baharu yang bakal dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang boleh memberi kesan kepada operasi syarikat. -Agensi

AirAsia pindahkan perkhidmatan domestik ke KLIA T2 bermula 7 April 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – AirAsia mengumumkan pemindahan operasi perkhidmatan domestiknya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2), bermula pada 7 April 2025.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata, langkah ini bertujuan untuk mengoptimumkan kecekapan operasi berikutan permintaan perjalanan yang semakin meningkat, serta untuk meningkatkan pengalaman penerbangan secara keseluruhan.

“Walaupun Lapangan Terbang Subang menawarkan kemudahan yang mudah, terutama bagi penduduk bandar, pembangunan semula lapangan terbang ini untuk menyokong pertumbuhan masa depan akan mengambil masa.

“Oleh itu, AirAsia akan menggabungkan semua operasinya di KLIA T2 untuk memaksimumkan kecekapan dan memberi pengalaman yang lebih baik kepada tetamu kami,” kata kenyataan itu.

AirAsia juga berkata, jumlah penumpang antara Kuala Lumpur dan destinasi utama seperti Kota Kinabalu dan Kuching telah meningkat lebih daripada 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Oleh itu, pemindahan operasi domestik ke KLIA T2 adalah langkah tepat untuk menampung peningkatan trafik dan memastikan keberkesanan operasi yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, KLIA T2 mempunyai infrastruktur yang lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penerbangan sambungan berskala besar, terutamanya pada waktu puncak perjalanan.

“Dengan kapasiti yang lebih besar di KLIA T2, kami akan dapat terus berkembang dan menawarkan lebih banyak penerbangan, khususnya ke Sabah dan Sarawak yang kini mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar, AirAsia akan terus beroperasi dari Lapangan Terbang Subang sepanjang minggu sambutan Hari Raya untuk memenuhi permintaan sedia ada.

Ini akan membolehkan tetamu yang merancang perjalanan semasa musim perayaan menikmati kemudahan Subang sebelum peralihan sepenuhnya ke KLIA T2.

“Sesi perundingan yang positif dengan konsortium Gateway Development Alliance (GDA) juga memastikan peralihan ini sejajar dengan pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta matlamat ketersambungan jangka panjang,” katanya lagi.

Untuk rekod, AirAsia mula beroperasi di Lapangan Terbang Subang pada 30 Ogos 2024, dengan memperkenalkan dua laluan utama iaitu Kuching dan Kota Kinabalu.

Piala Esports Malaysia 2025 bermula sabtu ini, pasukan Mobile Legends: Bang Bang bakal beraksi

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Piala Esports Malaysia 2025 bakal mencuri perhatian peminat e-sukan apabila ia membuka tirainya pada Sabtu ini dan berlangsung sehingga 23 Mac.

Kejohanan ini akan menyaksikan pertembungan antara pasukan-pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran kejohanan ini dengan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia.

Penganjuran Piala Esports Malaysia 2025 adalah salah satu inisiatif untuk memperkasakan industri e-sukan tempatan.

Selain itu, ia juga menjadi platform utama bagi pemain profesional dan semi-profesional untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam pertandingan yang penuh kompetitif.

Sebanyak 16 pasukan akan bersaing sengit, terdiri daripada lapan pasukan daripada Liga MPL Malaysia dan lapan pasukan dari Liga Akademi MLBB (MAL).

Format pertandingan yang kompetitif ini pastinya menjanjikan aksi yang mendebarkan serta strategi permainan yang mengagumkan.

Terdapat tiga peringkat utama yang akan dilalui oleh pasukan-pasukan yang bertanding iaitu peringkat Kumpulan (8 hingga 11 Mac): 16 pasukan akan bertanding secara dalam talian menggunakan format round-robin BO3.

Peringkat Play-In (14 hingga 16 Mac): Lapan pasukan yang layak akan bertanding dalam format double-elimination.

Peringkat Akhir (22 dan 23 Mac): Pertandingan akan berlangsung di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil.

Umairah sampaikan rindu di Hari Raya melalui single pertama, “Tak Balik Raya”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – SN Legacy Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan pelancaran single raya pertama daripada penyanyi Umairah yang berjudul Tak Balik Raya.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Tak Balik Raya mengisahkan dilema seseorang yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh dari keluarga akibat komitmen kerja.

Walaupun liriknya menyentuh perasaan dengan rasa rindu dan sayu, lagu ini turut menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar dan penuh ceria.

Menurut Umairah, lagu ini menceritakan realiti yang sering dihadapi oleh anak-anak rantau setiap kali musim perayaan.

Walaupun liriknya mengundang kesedihan, namun teknologi moden membolehkan mereka terus berhubung dengan keluarga melalui pelbagai cara, seperti panggilan telefon dan video.

“Lagu ini sangat mudah melekat di ingatan. Sejak saya melancarkan ‘teaser’ beberapa minggu lalu, saya menerima banyak komen positif daripada warganet.

“Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan, terutama sebagai artis baharu dalam industri muzik,” ujar Umairah yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara kategori vokal (junior) di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tak Balik Raya adalah hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Lagu yang disampaikan dengan penuh perasaan ini telah berjaya menambat hati Umairah sewaktu pertama kali mendengar demo beberapa bulan yang lalu.

“Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih lagu ini. Muziknya yang segar dan emosi yang dibawakan sangat sesuai dengan usia saya,” katanya.

Umairah bakal melancarkan video muzik untuk Tak Balik Raya di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada jam 9 malam ini. Video muzik ini dihasilkan oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio.

Dalam video muzik berkenaan, Umairah turut menampilkan rakan-rakan dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring.

Bagi Umairah, ini adalah cara untuk berkongsi bakat dan memberi peluang kepada rakan-rakannya yang berbakat dalam bidang tari untuk tampil ke hadapan.

Lagu Tak Balik Raya juga mendapat sokongan penuh daripada Universal Music Sdn. Bhd. sebagai pengedar yang akan membantu mempromosikan lagu ini terutama pada Ramadan dan Syawal.

Aeon meterai MoU bagi pembesaran Aeon Mall Kinta City, Perak

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Aeon Co (M) Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pacific Trustees Bhd, pemegang amanah KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT), bagi projek pembesaran Aeon Mall Kinta City yang terletak di Perak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, projek pembesaran ini dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dari tarikh perjanjian ditandatangani.

Aeon Mall Kinta City, adalah pusat beli-belah pertama Aeon di Perak sejak mula beroperasi pada 1997, akan mengalami proses naik taraf besar-besaran membabitkan penambahan ruang runcit baharu, penambahbaikan kawasan awam, serta peningkatan kemudahan sedia ada.

Majlis menandatangani MoU itu telah diadakan di Aeon Mall Taman Maluri, di mana perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Pacific Trustees Bhd, Edward Cheah, dan Pengarah Urusan Aeon, Naoya Okada.

Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah Ketua Pegawai Hartanah Aeon, Lee Beng Beng, dan Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan.

Selain daripada projek pembesaran ini, Aeon juga telah menandatangani pembaharuan pajakan untuk bangunan sedia ada serta perjanjian pajakan induk bagi ruang baharu yang akan dibangunkan.

Dalam MoU ini, Aeon akan memeterai perjanjian pajakan jangka panjang, yang mencerminkan komitmen berterusan mereka terhadap lokasi ini serta memperkukuhkan hubungan strategik dengan KIP REIT.

Ketua Pegawai Eksekutif KIP REIT, Valerie Ong Pui Shan berkata, pembesaran Aeon Mall Kinta City menunjukkan komitmen KIP REIT terhadap pertumbuhan mampan melalui strategi peningkatan aset.

“Dengan meningkatkan nilai hartanah dan menarik penyewa berkualiti, kami sedang mengukuhkan portfolio kami untuk kejayaan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Naoya Okada berkata, Aeon komited untuk menyediakan pengalaman beli-belah yang lebih moden dan selesa, selaras dengan permintaan pengguna masa kini, serta mengukuhkan kedudukan Aeon Mall Kinta City sebagai destinasi beli-belah utama di Perak.

“Kami sangat menghargai kerjasama erat dengan KIP REIT dan Pacific Trustees, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan pembesaran ini,” katanya.

Selepas bayar denda, Eda Ezrin dijangka dibebaskan dari penjara Narathiwat hari ini

editormaxinfo@gmail.com

NARATHIWAT – Penyanyi dikir barat moden yang popular dari Kelantan, Eda Ezrin, dijangka akan dibebaskan dari penjara di Narathiwat hari ini selepas menyelesaikan denda yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat.

Menurut sumber, penyanyi berusia 30 tahun itu akan dibebaskan setelah membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.

Selain Eda Ezrin, empat lagi rakyat Malaysia turut dijangka dibebaskan dalam masa terdekat.

“Mahkamah Wilayah Narathiwat dijadualkan untuk menjatuhkan hukuman terhadap enam rakyat Malaysia pagi esok kerana didakwa terbabit dalam kes pemilikan pil Yaba dan penyalahgunaan dadah.

“Lima daripada mereka, termasuk Eda Ezrin, berkemungkinan akan didenda kerana kesalahan mengambil dadah,” kata sumber itu.

Penyanyi itu, bersama empat lagi individu, berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan denda kurang RM1,000 kerana kesalahan menggunakan dadah.

Dengan tempoh tahanan selama hampir empat bulan sejak penangkapan mereka pada 1 November tahun lalu, mahkamah dijangka membebaskan mereka lebih awal sebaik denda dibayar.

Selain Eda Ezrin, dua rakyat Malaysia yang lain, seorang wanita dan seorang lelaki, akan dikenakan denda dan hukuman penjara kerana masuk ke Thailand tanpa dokumen yang sah dan tinggal melebihi had masa yang dibenarkan.

Seorang lagi lelaki warga Malaysia yang berusia 30-an dijangka akan menghadapi pertuduhan berkaitan pemilikan pil Yaba.

Namun begitu, sumber itu juga mengingatkan pihak pendakwaan masih berhak untuk membantah keputusan berkenaan semasa perbicaraan yang dijadualkan esok.

Mahkamah Wilayah Narathiwat akan menjatuhkan hukuman terhadap Eda Ezrin, atau nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama lima individu lain atas tuduhan mengambil dadah di pekan Sungai Golok.