30.1 C
Kuala Lumpur
Monday, June 1, 2026
Home Blog Page 108

Gerobok Biru Gegak Gempita Raya 2025: Festival raya terbesar dan terlama di Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Festival jualan raya yang paling ditunggu-tunggu, Gerobok Biru Gegak Gempita Raya, bakal mencipta sejarah sebagai festival raya terpanjang dan terbesar di Malaysia.

Festival ini akan berlangsung selama 11 hari berturut-turut, dari 14 hingga 24 Mac 2025 di WTC Kuala Lumpur.

Dengan tema “Shopping Awal Tak Kalut,” festival ini bukan sahaja menampilkan pameran jualan, tetapi juga sebuah pengalaman penuh warna-warni yang menggabungkan festival raya dan festival makanan dalam satu acara gempak.

Dari Kiri Elton ( Owner VNM Studio),Wan Mohd Hafiz (CEO Specta / Rasa Fusion Food Festival), Hafiidzzul (CEO Mivas City Sdn Bhd), Ashraf Muslim ( Owner Ashraf Muslim Premium Clothing), Shaick Saifullah (Owner Ombak Exclusive).

Sebagai acara yang bakal mencatatkan sejarah dalam Malaysia Book of Records sebagai festival raya terpanjang dan terlama, Gerobok Biru Gegak Gempita Raya menjanjikan pengalaman membeli-belah yang luar biasa.

Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai tarikan istimewa, termasuk cabutan bertuah harian dengan hadiah utama berupa sebuah kereta elektrik (EV Car), serta lebih 300 gold coin yang menanti pemenang setiap hari.

Tidak hanya tentang membeli-belah, festival ini juga akan dihidupkan dengan persembahan artis tempatan setiap malam, menjanjikan hiburan tanpa henti untuk semua pengunjung.

Selain itu, 80 booth makanan eksklusif daripada Rasa Fusion Food Festival akan menawarkan pelbagai juadah enak, meriahkan suasana Ramadan dan menjadikan festival ini yang pertama menggabungkan pameran raya dan festival makanan sempena bulan puasa.

Festival ini juga menawarkan live booth percuma bagi vendor terpilih, serta sesi podcast harian sepanjang acara yang membincangkan pelbagai topik menarik berkaitan persiapan raya dan trend terkini.

Pengunjung juga berpeluang berinteraksi dengan selebriti dan influencer terkenal seperti Ashraf Muslim, Kak KM, Emy Takal, Ifik Takal, Bella Hanna, Aisyah Rahim, Nurul Ellyna, Iddin Ramli, dan ramai lagi yang bakal menambah kemeriahan festival ini.

Penganjur, Mivas City Sdn Bhd berkata, mereka bersama rakan strategik berkongsi pelbagai aktiviti dan kejutan menarik yang akan berlangsung sepanjang festival.

Gerobok Biru Gegak Gempita Raya bukan sekadar festival membeli-belah, tetapi juga satu platform untuk mengangkat keunikan budaya, gaya hidup, dan tradisi rakyat Malaysia dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pelbagai pilihan fesyen raya, biskut tradisional, gajet, produk kecantikan, dekorasi rumah, dan banyak lagi akan tersedia di bawah satu bumbung, memastikan semua keperluan raya pengunjung dapat dipenuhi.

Acara ini mendapat sokongan daripada WTC Kuala Lumpur sebagai Official Venue, Specta sebagai Strategic Partner, Rasa Fusion Food Festival sebagai Official Food Festival, Ombak Exclusive sebagai Official Printing Partner, dan VNM Studio sebagai Official Media Partner.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kemeriahan Gerobok Biru Gegak Gempita Raya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Mivas City Sdn Bhd di sales.gerobokbiru@gmail.com atau kunjungi media sosial mereka di TikTok, Facebook, dan Instagram: @gerobokbiru.

MQA dan CHED rancang kerjasama strategik untuk tingkatkan kualiti pendidikan tinggi

editormaxinfo@gmail.com

MANILA – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Commission on Higher Education (CHED) Filipina sedang merancang untuk memperkukuh kerjasama dalam usaha menjamin kualiti pendidikan tinggi di kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa inisiatif khas untuk CHED yang memberi tumpuan kepada aspek jaminan kualiti.

Inisiatif ini dijangka akan dilaksanakan di Malaysia pada suku kedua 2025, dengan penyertaan sekitar 20 peserta dari pengarah eksekutif dan pengarah kanan daripada lima badan jaminan kualiti di Filipina, termasuk CHED.

Tambahnya, CHED juga menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan MQA dalam usaha menanda aras pendidikan fleksibel yang telah diperkenalkan di Malaysia.

“Perbincangan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) antara MQA dan CHED sedang berjalan, dan draf awalnya akan diperhalusi dalam masa terdekat,” katanya.

Kerjasama ini dijangka akan mengukuhkan lagi reputasi negara dalam bidang pendidikan tinggi, bukan sahaja di peringkat ASEAN, tetapi juga di peringkat global.

Ini selaras dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan global.

Perbincangan ini berlangsung selepas mesyuarat antara MQA dan Pesuruhjaya CHED, Marita R. Canapi, bersama wakil-wakil CHED, di ASEAN Education Forum 2025, yang diadakan baru-baru ini.

Delegasi CHED turut dihadiri oleh Pengarah Jaminan Kualiti Institusi & Tadbir Urus, Dr. Raul F. Muyong; Ketua Pakar Program Pendidikan, Dr. Mildred M. Libot; serta beberapa pakar program pendidikan kanan dan pakar pendidikan dari Filipina.

Selain itu, MQA diwakili oleh Ketua Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa (MQA International), Muhammad Hasfarizal Kamaludin, serta Penolong Pengarah Kanan Seksyen Antarabangsa MQA International, Fairul Nahar Baharudin.

Sebelum itu, Mohammad Shatar telah dijemput menyampaikan ucaptama pada Persidangan Tahunan Agensi Akreditasi Kolej dan Universiti Tercharter di Filipina (AACCUP), yang dihadiri oleh lebih 900 peserta terdiri daripada ahli Lembaga Pemegang Amanah AACCUP, Presiden Universiti Negeri, dan Pengarah Akreditasi Pendidikan Tinggi dari seluruh Filipina.

Persidangan selama tiga hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada universiti-universiti tempatan di Filipina mengenai hala tuju pendidikan tinggi global.

Pengerusi CHED, Prof. Dr. J. Prospero, turut menyatakan bahawa Filipina berhasrat mewujudkan satu standard amalan yang seragam bagi semua agensi jaminan kualiti yang dilantik untuk menilai akreditasi institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara itu.

Kerjasama dengan MQA ini diharapkan dapat memperkukuh usaha kedua-dua negara dalam meningkatkan standard jaminan kualiti pendidikan tinggi di peringkat serantau.

JobCare Selangor tawar lebih 40,000 peluang pekerjaan bermula April

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Program Jelajah Jaminan Kerja (JobCare) Selangor yang memasuki tahun keempat akan menawarkan lebih 40,000 peluang pekerjaan di sembilan daerah di Selangor bermula April ini.

 EXCO Sumber Manusia, V Papparaidu berkata, inisiatif ini akan membabitkan pelbagai sektor pekerjaan termasuk perkhidmatan, pemasaran, kesihatan, dan pengangkutan, yang bertujuan memberi peluang kepada pencari kerja untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Kerajaan Selangor menggalakkan pencari kerja untuk memanfaatkan peluang yang ada demi kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan.

Program JobCare ini akan berlangsung di beberapa lokasi di Selangor, dengan tarikh dan lokasi berikut:

  • Gombak (19 April – Dewan Seri Siantan Selayang)
  • Petaling (24 Mei – Dewan Serbaguna MBPJ SS3)
  • Kuala Langat (21 Jun – Dewan Sri Jugra)
  • Hulu Selangor (5 Julai – Dewan Merdeka KKB)
  • Hulu Langat (19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ)
  • Klang (27 September – Dewan Hamzah)
  • Kuala Selangor (9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam)
  • Sabak Bernam (11 Oktober – Dewan Tun Razak)
  • Sepang (15 November – Dewan Komuniti BBST)

Jelajah JobCare ini dimulakan pada tahun 2022 sebagai salah satu inisiatif pentadbiran negeri untuk membantu golongan yang kehilangan pekerjaan akibat kesan pandemik Covid-19. Papparaidu berkata, Kerajaan Selangor merancang untuk mengadakan program Karnival Kerjaya Khas yang membabitkan penyertaan lebih 40 syarikat dari sektor awam dan swasta.

Bagi yang berminat untuk bekerja dalam sektor awam, mereka disarankan untuk mendaftar melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia di www.spa.gov.my atau melayari portal negeri di www.selangor.gov.my.

Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat padanan kerja melalui portal Kementerian Sumber Manusia di www.myfuturejobs.gov.my.

Papparaidu berkata, seramai 2,465 daripada 2,530 individu di Selangor telah kembali bekerja setakat 14 Februari lalu.

Menurutnya, terdapat 49,526 kekosongan jawatan di Selangor dengan 5,437 pencari kerja, berdasarkan laporan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial.

“Keberhasilan penempatan semula sebanyak 2,465 individu ke dalam pekerjaan baru ini mencerminkan peluang besar yang wujud dalam pasaran kerja di Selangor,” katanya.

AI di sekolah rendah: Pendekatan berperingkat tanpa menambah beban sukatan pelajaran

editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di peringkat sekolah rendah harus diperkenalkan secara berperingkat dengan pendekatan yang lebih organik, tanpa menambah beban sukatan pelajaran yang sedia ada.

Bendahari Persatuan Internet Kebendaan (IoT) Malaysia, Pathmanathan Muniandy berkata, elemen AI boleh diintegrasikan ke dalam subjek seperti Matematik dan Sains untuk membantu pelajar memahami konsep teknologi ini dengan lebih mendalam.

“Kita tidak perlu mencipta silibus baru hanya untuk memperkenalkan AI.

“Sebaliknya, pendidikan AI boleh diterapkan dengan memberi penekanan kepada penggunaan yang selamat, etika, serta memahami kemampuan dan batasan teknologi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pathmanathan berkata, pendedahan awal kepada AI adalah penting untuk membina asas pengetahuan dalam kalangan pelajar agar mereka lebih bersedia untuk menggunakan teknologi ini dalam kehidupan dan kerjaya mereka pada masa depan.

Beliau juga mencadangkan pemantauan berkala bagi memastikan integrasi AI dalam sistem pendidikan kekal relevan dan tidak memberi kesan negatif kepada pelajar.

“Beberapa sekolah rendah sudah mula memperkenalkan chatbot seperti ChatGPT dan Copilot kepada pelajar, namun kita perlu berhati-hati agar teknologi ini tidak disalahgunakan, sehingga menyebabkan pelajar terlalu bergantung kepada AI untuk menyiapkan tugasan mereka,” katanya.

Pathmanathan berkata, AI harus berfungsi sebagai alat bantu pembelajaran yang menggalakkan pemikiran kritis dan inovasi, bukan sekadar mekanisme automasi yang menggantikan usaha pelajar.

Oleh itu, keseimbangan dalam penggunaan AI perlu dicapai melalui bimbingan aktif daripada guru dan ibu bapa untuk memastikan kanak-kanak menggunakan teknologi ini secara bertanggungjawab.

“Jika AI diperkenalkan tanpa bimbingan yang betul, ia boleh memberi kesan negatif seperti pembaziran masa dan kebergantungan yang berlebihan.

Namun, jika digunakan dengan betul, AI mampu merangsang kreativiti dan inovasi sejak usia muda,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Kementerian Pendidikan terus mengkaji keberkesanan penggunaan AI di sekolah rendah dan menyesuaikan strategi pelaksanaannya mengikut keperluan serta tahap pemahaman murid.

Dengan perkembangan pesat AI, pendekatan pendidikan yang seimbang dan terkawal dapat memastikan pelajar memperoleh manfaat maksimum tanpa menjejaskan asas pembelajaran konvensional.

Keharmonian dan kebersamaan serikan program pemantapan nilai-nilai murni Maritim Malaysia

editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kerohanian dalam kalangan warganya melalui Program Pemantapan Nilai-Nilai Murni yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, program ini tidak hanya bertujuan mengimarahkan Ramadan, tetapi juga sebagai platform penting untuk membentuk anggota yang berintegriti dan tahan lasak.

“Semangat kebersamaan dan integriti yang tinggi bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Maritim Malaysia, malah memastikan agensi ini terus cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab melindungi perairan negara,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada program khas sempena Ramadan, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dan gulai kawah telah dijalankan melibatkan anggota dari pelbagai peringkat.

Tradisi ini, yang telah diterapkan dalam budaya Maritim Malaysia selama dua dekad, bukan hanya menghidupkan semangat kekeluargaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, program kali ini turut diserikan dengan sesi penyampaian Bingkisan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas sepanjang Ramadan dan Syawal di seluruh negara, anjuran PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil, Datin Noriyanti Mohd Noor berkata, sumbangan itu adalah tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota yang terus bertugas tanpa mengira waktu demi keselamatan perairan negara.

“Semoga sumbangan kecil ini membawa keceriaan dan semangat kebersamaan dalam menyambut Syawal yang bakal tiba,” katanya.

Penyerahan simbolik Bingkisan Aidilfitri disempurnakan oleh Noriyanti kepada Mohd Rosli, sebelum diagihkan ke sektor-sektor di Ibu Pejabat dan Pengarah Maritim Negeri.

Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada PUSPANITA atas inisiatif ini, menyatakan bahawa sumbangan itu melambangkan kebersamaan dan keprihatinan keluarga besar Maritim Malaysia terhadap setiap anggota yang bertugas, walaupun pada saat orang lain bergembira dengan keluarga.

Menjelang waktu berbuka, program diteruskan dengan zikir munajat, tazkirah, dan perkongsian ilmu untuk pengisian rohani warga Maritim Malaysia.

Program ini diakhiri dengan Iftar Jama’ie, solat Maghrib berjemaah, dan solat Terawih yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Ustaz Nik Kamaruddin Yunoh.

Majlis yang penuh keberkatan ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 300 warga Maritim Malaysia, termasuk kepimpinan tertinggi agensi.

Program ini turut menyantuni 16 anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar Bangi, menggambarkan semangat kasih sayang dan kebersamaan yang menjadi tunjang kepada institusi Maritim Malaysia.

AS laksana hukuman mati dengan regu tembak, kali pertama dalam 15 tahun

editormaxinfo@gmail.com

AMERIKA SYARIKAT – Seorang banduan di Amerika Syarikat, Brad Sigmon, 67 tahun, dilaksanakan hukuman mati menggunakan kaedah regu tembak, menjadikannya eksekusi pertama menggunakan kaedah itu dalam tempoh 15 tahun.

Hukuman mati itu dilaksanakan di Penjara Broad River, Columbia pada 7 Mac.

Menurut jurucakap penjara South Carolina, Chrysti Shain, Sigmon disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor pada jam 6.08 petang, tiga minit selepas tembakan dilepaskan.

Sigmon dijatuhi hukuman mati kerana membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya dengan menggunakan kayu besbol pada tahun 2001.

Dalam eksekusi itu, Sigmon diikat pada kerusi di bilik eksekusi dan memakai pakaian serba hitam, dengan tanda sasaran di bahagian jantungnya.

Dalam kenyataan terakhir yang dibacakan oleh peguamnya, Gerald ‘Bo’ King, Sigmon menyampaikan mesej cinta dan menyeru penganut Kristian untuk berusaha menghentikan hukuman mati.

Regu tembak yang terdiri daripada tiga orang sukarelawan dari Jabatan Pemasyarakatan South Carolina melepaskan tembakan melalui celah dinding kira-kira lima meter dari Sigmon.

Sigmon memilih kaedah regu tembak berbanding suntikan maut atau kerusi elektrik kerana kebimbangan kaedah lain mungkin lebih menyakitkan.

Permohonan rayuan terakhir Sigmon ke Mahkamah Agung serta pengampunan daripada Gabenor South Carolina, Henry McMaster, ditolak.

Eksekusi terakhir yang menggunakan regu tembak di AS sebelum ini dilaksanakan di Utah pada tahun 2010. -Agensi

Soma meriahkan Aidilfitri dengan lagu terbaharu “Aku Tetap Raya”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu tanah air, Soma, atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar melancarkan lagu raya terbaharunya, “Aku Tetap Raya”, serta video muzik (MV) rasmi lagu berkenaan.

Lagu “Aku Tetap Raya” adalah hasil ciptaan Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri.

Dengan melodi yang ceria dan lirik yang menyemarakkan semangat Aidilfitri, lagu ini mengajak pendengar untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan perayaan Syawal yang bakal tiba.

Soma berharap lagu ini dapat menjadi pilihan utama peminat untuk merayakan hari raya dan membawa keceriaan sepanjang musim perayaan.

MV rasmi lagu ini turut menampilkan dua figura ikonik dalam industri seni Malaysia iaitu penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim, yang menjadi sumber inspirasi Soma sejak awal perjalanan seni, turut membuat penampilan khas dalam video muzik berkenaan.

Selain Datuk Khadijah, model terkenal Zahnita, yang kini kembali aktif dalam industri seni, turut meriahkan MV ini.

“Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sahaja pelancaran lagu dan MV rasmi, tetapi juga kesempatan untuk berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa menyokong saya.

“Saya berterima kasih atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, ‘Perjalanan’. Saya berharap lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan dan berbuka puasa dengan media, baru-baru ini.

Soma baru-baru ini melancarkan album sulungnya bertajuk “Perjalanan”, yang mengandungi lima lagu, termasuk tiga lagu istimewa ciptaan Allahyarham S. Atan.

Album ini mendapat sambutan hangat dari peminat muzik tempatan, sekali gus memperkukuhkan lagi nama Soma dalam industri muzik Malaysia.

Dengan pelancaran lagu “Aku Tetap Raya” dan video muziknya, Soma berharap lagu ini dapat menghangatkan suasana perayaan dan memberi keceriaan kepada semua peminat muzik tanah air.

Lagu “Aku Tetap Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music bermula 14 Mac 2025.

Jangan lupa untuk menonton MV rasmi lagu ini yang turut dilancarkan pada masa yang sama.

Menjulang warisan muzik Melayu Klasik: Lagu Dari Seluloid Volume 2 digitalisasi 10 lagu legenda

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Menyemarakkan semangat warisan muzik Melayu, Lagu Dari Seluloid Volume 2 adalah projek pengarkiban pendigitalan dan rakaman semula 10 lagu dari filem-filem Melayu Klasik era 1950-an.

Inisiatif ini bertujuan untuk mengadaptasi skor muzik dan rakaman audio secara digital, mengikut arus perkembangan teknologi digital masa kini.

Projek ini diterajui oleh Mac Training Centre Sdn Bhd dengan kerjasama Studio Funky Brigade.

Tujuan utama adalah untuk memastikan khazanah seni muzik Melayu Klasik ini dapat dikekalkan dan diakses oleh generasi akan datang, selain memperkenalkan karya agung ini dalam bentuk digital yang lebih segar.

Dengan sokongan Yayasan Hasanah, projek ini memberi fokus pada pengarkiban lagu-lagu dari filem-filem Melayu yang dihasilkan tanpa bantuan teknologi canggih seperti yang kita lihat hari ini.

Projek Lagu Dari Seluloid Volume 2 ini adalah kesinambungan daripada projek yang dilancarkan pada tahun lalu.

Ia bertujuan untuk mengangkat martabat karya seni komposer, penulis lirik, dan penyanyi yang terlibat dalam filem-filem klasik era terbabit.

Selain itu, projek ini diharapkan dapat menjadi sumber rujukan yang penting untuk perkembangan muzik dan filem Malaysia pada masa hadapan.

Antara lagu-lagu yang dikumpulkan dalam projek ini termasuklah Merpati Dua Sejoli dari filem Bakti (1950), Semarak Hati (filem Juwita – 1951), Mesra Ibu/Kasih Ibu (filem Sedarah – 1952), Ingin Tahu (filem Hujan Panas – 1953), Chahaya (filem Insaf – 1954), dan Sejakku Bertemu Padamu (filem 4 Isteri – 1955).

Lagu-lagu lain yang turut tersenarai termasuklah Tiada Kata Secantik Bahasa (filem Anakku Sazali – 1956), Nak Dara Rindu (filem Bujang Lapok – 1957), Sumpah Tanda Setia (filem Gergasi – 1958), dan Sang Ratu (filem Raden Mas – 1959).

Barisan penyanyi yang terbabit dalam projek ini termasuk Aqasha, Sharifah Zarina, Ayu Damit, Azizul Haqim, Ezdianie Hayatie, dan Idris Brown, dengan sebahagian lagu dinyanyikan secara solo dan duet.

Sebagai sebahagian daripada usaha untuk memastikan kesahihan sejarah lagu-lagu ini, projek ini turut menjalankan kajian terperinci dengan mewawancara tokoh penting seperti maestro muzik dan komposer, Dato’ Dr. Johari Salleh, serta pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzi.

Kedua-dua tokoh ini dikenali dengan sumbangan besar mereka dalam perkembangan muzik dan sinema Malaysia di era kegemilangan Singapura.

Pengarah Urusan Mac Training Centre, Samirah Hambali, berkata pentingnya pengarkiban ini sebagai usaha memelihara muzik Melayu Klasik dan menyatakan penghargaan kepada Yayasan Hasanah atas sokongan berterusan mereka.

_cuva

Sementara itu, Pengarah Projek dan Pengarah Muzik, Shamsul Cairel berkata, salah satu cabaran dalam pengarkiban adalah kekurangan salinan filem lama, namun usaha keras pihak mereka berjaya membawa semula lagu-lagu ini dalam bentuk yang lebih segar dan relevan.

Projek ini juga membabitkan kerjasama dengan ASWARA, dengan sumbangan penyelidikan daripada pelbagai pihak termasuk Bahagian Muzik RTM, Arkib Negara, dan Perpustakaan Negara.

Rakaman audio dan visual yang lengkap dengan kredit komposer, penulis lirik, dan penyanyi akan disiarkan di saluran YouTube Mac Training Centre Sdn Bhd pada 27 Februari 2025.

Projek ini mendapat tajaan daripada Mastika Katering, ASWARA sebagai penaja venue, serta geran ArtsFAS 2024 dari Yayasan Hasanah, yang turut menyokong usaha pelestarian seni warisan negara.

Untuk info, projek Lagu Dari Seluloid yang pertama kali dilaksanakan tahun lalu turut mengetengahkan lagu-lagu dari filem klasik seperti Sayang Di Sayang (filem Racun Dunia – 1950), Rindu Hatiku Tidak Terkira (filem Juwita – 1951), dan Ibu (filem Ibu – 1953), antara lain.

HONOR raih lebih 50 anugerah media untuk inovasi AI dan produknya di MWC Barcelona 2025

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global HONOR berjaya mencuri tumpuan di Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) Barcelona 2025 di Sepanyol dengan memperkenalkan HONOR ALPHA PLAN.

Strategi korporat baharu ini menyasarkan untuk mentransformasikan HONOR daripada sebuah pengeluar telefon pintar kepada syarikat ekosistem peranti AI yang terkemuka di peringkat global.

Pengumuman ini telah menarik perhatian media-media global dan pakar industri, sekaligus menandakan fasa penting perjalanan HONOR ke arah kecemerlangan inovasi dan teknologi.

Ini terbukti dengan HONOR menerima lebih 50 anugerah media bagi inovasi AI dan kecemerlangan produknya semasa di MWC.

Ketika MWC, HONOR telah memperkenalkan peranti baharu HONOR Watch 5 Ultra, HONOR Pad V9, HONOR Earbuds Open dan HONOR MagicBook Pro 14 yang menerima pujian daripada pelbagai agensi media seperti TechRadar, Tom’s Guide, Android Authority, 9to5Google dan GadgetMatch kerana mengetengahkan ciri-ciri inovatif, prestasi tinggi serta rekaan menawan, menjadikan peranti ini lebih menonjol berbanding yang lain.

HONOR Watch 5 Ultra telah dinobatkan sebagai Jam Tangan Pintar Terbaik MWC 2025 oleh TechRadar yang memuji kombinasi luar biasanya dari segi harga mampu milik, keserasian pelbagai sistem, dan jangka hayat bateri yang lama.

TechRadar turut menonjolkan ciri-ciri jam ini seperti kerangka titanium, paparan AMOLED 1.5 inci dan jangka hayat bateri sehingga 15 hari.

Bagi tablet HONOR Pad V9, ianya mendapat pengiktirafan bagi rekaan dan prestasinya yang luar biasa.

Tom’s Guide menyifatkannya sebagai pesaing hebat bagi iPad, sambil mengetengahkan paparan yang menawan, jangka hayat bateri lama dan antara muka pengguna yang dipertingkatkan oleh AI.

9to5Google turut menyuarakan penilaian positif terhadap spesifikasi kukuh tablet berkenaan, termasuk prosesor yang laju, RAM besar, bateri berkapasiti besar serta pengecasan pantas.

HONOR Earbuds Open turut menerima pengiktirafan positif bagi rekaan terbuka yang unik serta kualiti bunyi yang bagus.

TechRadar menamakan fon putik ini sebagai ‘Earbud Terbaik’ kerana mempunyai audio luar biasa dengan bunyian bass yang lebih mantap berbanding beberapa pesaingnya.

Selain itu, fon putik ini turut dilengkapi pembatalan bunyi aktif, terjemahan langsung AI, rekaan yang nipis dan mudah dibawa.

GadgetMatch juga memuji keselesaan dan kualiti bunyi hebat Earbuds Open, terutamanya untuk bas yang disifatkan sebagai “bassing”, dan setanding fon putik terbaik lain di pasaran.

HONOR MagicBook Pro 14 pula diiktiraf kerana reka bentuk yang anggun dan keupayaan prestasinya.

NotebookCheck khususnya memuji paparan OLED dengan ketepatan warna yang tinggi dan pilihan dua prosesor Intel berbeza, menjadikan komputer riba ini pilihan menarik bagi golongan profesional yang mencari visual berkualiti tinggi dan kuasa pemprosesan yang mantap.

Dalam pada itu, agensi media CNBC, Reuters, Bloomberg, Tom’s Guide dan ZDNet mengiktiraf HONOR ALPHA PLAN atas pelaburan AS$10 bilion dalam AI, pengembangan strategik HONOR dalam ekosistem pelbagai yang dikuasakan AI, serta komitmen jenama ini menyediakan 7 tahun kemas kini Android OS dan keselamatan bagi siri HONOR Magic.

Strategi berkenaan meletakkan HONOR sebagai pesaing yang serius kepada penggiat teknologi terkemuka yang lain.