editormaxinfo@gmail.com
PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh semangat kebersamaan dan kerohanian dalam kalangan warganya melalui Program Pemantapan Nilai-Nilai Murni yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, program ini tidak hanya bertujuan mengimarahkan Ramadan, tetapi juga sebagai platform penting untuk membentuk anggota yang berintegriti dan tahan lasak.
“Semangat kebersamaan dan integriti yang tinggi bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Maritim Malaysia, malah memastikan agensi ini terus cemerlang dalam menjalankan tanggungjawab melindungi perairan negara,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada program khas sempena Ramadan, aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk dan gulai kawah telah dijalankan melibatkan anggota dari pelbagai peringkat.
Tradisi ini, yang telah diterapkan dalam budaya Maritim Malaysia selama dua dekad, bukan hanya menghidupkan semangat kekeluargaan, tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim antara kakitangan.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, program kali ini turut diserikan dengan sesi penyampaian Bingkisan Aidilfitri kepada anggota yang bertugas sepanjang Ramadan dan Syawal di seluruh negara, anjuran PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia.

Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil, Datin Noriyanti Mohd Noor berkata, sumbangan itu adalah tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota yang terus bertugas tanpa mengira waktu demi keselamatan perairan negara.
“Semoga sumbangan kecil ini membawa keceriaan dan semangat kebersamaan dalam menyambut Syawal yang bakal tiba,” katanya.
Penyerahan simbolik Bingkisan Aidilfitri disempurnakan oleh Noriyanti kepada Mohd Rosli, sebelum diagihkan ke sektor-sektor di Ibu Pejabat dan Pengarah Maritim Negeri.
Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada PUSPANITA atas inisiatif ini, menyatakan bahawa sumbangan itu melambangkan kebersamaan dan keprihatinan keluarga besar Maritim Malaysia terhadap setiap anggota yang bertugas, walaupun pada saat orang lain bergembira dengan keluarga.
Menjelang waktu berbuka, program diteruskan dengan zikir munajat, tazkirah, dan perkongsian ilmu untuk pengisian rohani warga Maritim Malaysia.

Program ini diakhiri dengan Iftar Jama’ie, solat Maghrib berjemaah, dan solat Terawih yang dipimpin oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Ustaz Nik Kamaruddin Yunoh.
Majlis yang penuh keberkatan ini mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran hampir 300 warga Maritim Malaysia, termasuk kepimpinan tertinggi agensi.
Program ini turut menyantuni 16 anak yatim dari Rumah Bakti Al-Kausar Bangi, menggambarkan semangat kasih sayang dan kebersamaan yang menjadi tunjang kepada institusi Maritim Malaysia.

