editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu tanah air, Soma, atau nama sebenarnya Rosmah S. Sengari @ Basar melancarkan lagu raya terbaharunya, “Aku Tetap Raya”, serta video muzik (MV) rasmi lagu berkenaan.
Lagu “Aku Tetap Raya” adalah hasil ciptaan Belle Fattah, Adinda Amiro, dan Soma sendiri.
Dengan melodi yang ceria dan lirik yang menyemarakkan semangat Aidilfitri, lagu ini mengajak pendengar untuk merasai kegembiraan dan kemeriahan perayaan Syawal yang bakal tiba.
Soma berharap lagu ini dapat menjadi pilihan utama peminat untuk merayakan hari raya dan membawa keceriaan sepanjang musim perayaan.

MV rasmi lagu ini turut menampilkan dua figura ikonik dalam industri seni Malaysia iaitu penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim, yang menjadi sumber inspirasi Soma sejak awal perjalanan seni, turut membuat penampilan khas dalam video muzik berkenaan.
Selain Datuk Khadijah, model terkenal Zahnita, yang kini kembali aktif dalam industri seni, turut meriahkan MV ini.
“Saya amat teruja dengan acara ini kerana ia bukan sahaja pelancaran lagu dan MV rasmi, tetapi juga kesempatan untuk berjumpa dan berbuka puasa bersama rakan-rakan media yang sentiasa menyokong saya.

“Saya berterima kasih atas sokongan mereka, terutama selepas pelancaran album pertama saya, ‘Perjalanan’. Saya berharap lagu ini dapat memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran lagu berkenaan dan berbuka puasa dengan media, baru-baru ini.
Soma baru-baru ini melancarkan album sulungnya bertajuk “Perjalanan”, yang mengandungi lima lagu, termasuk tiga lagu istimewa ciptaan Allahyarham S. Atan.
Album ini mendapat sambutan hangat dari peminat muzik tempatan, sekali gus memperkukuhkan lagi nama Soma dalam industri muzik Malaysia.

Dengan pelancaran lagu “Aku Tetap Raya” dan video muziknya, Soma berharap lagu ini dapat menghangatkan suasana perayaan dan memberi keceriaan kepada semua peminat muzik tanah air.
Lagu “Aku Tetap Raya” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music bermula 14 Mac 2025.
Jangan lupa untuk menonton MV rasmi lagu ini yang turut dilancarkan pada masa yang sama.

