editormaxinfo@gmail.com
NARATHIWAT – Penyanyi dikir barat moden yang popular dari Kelantan, Eda Ezrin, dijangka akan dibebaskan dari penjara di Narathiwat hari ini selepas menyelesaikan denda yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Menurut sumber, penyanyi berusia 30 tahun itu akan dibebaskan setelah membayar denda yang ditetapkan oleh mahkamah.
Selain Eda Ezrin, empat lagi rakyat Malaysia turut dijangka dibebaskan dalam masa terdekat.
“Mahkamah Wilayah Narathiwat dijadualkan untuk menjatuhkan hukuman terhadap enam rakyat Malaysia pagi esok kerana didakwa terbabit dalam kes pemilikan pil Yaba dan penyalahgunaan dadah.
“Lima daripada mereka, termasuk Eda Ezrin, berkemungkinan akan didenda kerana kesalahan mengambil dadah,” kata sumber itu.
Penyanyi itu, bersama empat lagi individu, berdepan dengan hukuman penjara tidak lebih enam bulan dan denda kurang RM1,000 kerana kesalahan menggunakan dadah.
Dengan tempoh tahanan selama hampir empat bulan sejak penangkapan mereka pada 1 November tahun lalu, mahkamah dijangka membebaskan mereka lebih awal sebaik denda dibayar.
Selain Eda Ezrin, dua rakyat Malaysia yang lain, seorang wanita dan seorang lelaki, akan dikenakan denda dan hukuman penjara kerana masuk ke Thailand tanpa dokumen yang sah dan tinggal melebihi had masa yang dibenarkan.
Seorang lagi lelaki warga Malaysia yang berusia 30-an dijangka akan menghadapi pertuduhan berkaitan pemilikan pil Yaba.
Namun begitu, sumber itu juga mengingatkan pihak pendakwaan masih berhak untuk membantah keputusan berkenaan semasa perbicaraan yang dijadualkan esok.
Mahkamah Wilayah Narathiwat akan menjatuhkan hukuman terhadap Eda Ezrin, atau nama sebenar Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, bersama lima individu lain atas tuduhan mengambil dadah di pekan Sungai Golok.