editormaxinfo@gmail.com
KUALA LUMPUR – Piala Esports Malaysia 2025 bakal mencuri perhatian peminat e-sukan apabila ia membuka tirainya pada Sabtu ini dan berlangsung sehingga 23 Mac.
Kejohanan ini akan menyaksikan pertembungan antara pasukan-pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).
Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran kejohanan ini dengan sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia.
Penganjuran Piala Esports Malaysia 2025 adalah salah satu inisiatif untuk memperkasakan industri e-sukan tempatan.
Selain itu, ia juga menjadi platform utama bagi pemain profesional dan semi-profesional untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam pertandingan yang penuh kompetitif.
Sebanyak 16 pasukan akan bersaing sengit, terdiri daripada lapan pasukan daripada Liga MPL Malaysia dan lapan pasukan dari Liga Akademi MLBB (MAL).
Format pertandingan yang kompetitif ini pastinya menjanjikan aksi yang mendebarkan serta strategi permainan yang mengagumkan.
Terdapat tiga peringkat utama yang akan dilalui oleh pasukan-pasukan yang bertanding iaitu peringkat Kumpulan (8 hingga 11 Mac): 16 pasukan akan bertanding secara dalam talian menggunakan format round-robin BO3.
Peringkat Play-In (14 hingga 16 Mac): Lapan pasukan yang layak akan bertanding dalam format double-elimination.
Peringkat Akhir (22 dan 23 Mac): Pertandingan akan berlangsung di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil.