31.8 C
Kuala Lumpur
Monday, May 25, 2026

Umairah sampaikan rindu di Hari Raya melalui single pertama, “Tak Balik Raya”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – SN Legacy Sdn Bhd dengan bangganya mengumumkan pelancaran single raya pertama daripada penyanyi Umairah yang berjudul Tak Balik Raya.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital.

Tak Balik Raya mengisahkan dilema seseorang yang terpaksa menyambut Hari Raya jauh dari keluarga akibat komitmen kerja.

Walaupun liriknya menyentuh perasaan dengan rasa rindu dan sayu, lagu ini turut menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar dan penuh ceria.

Menurut Umairah, lagu ini menceritakan realiti yang sering dihadapi oleh anak-anak rantau setiap kali musim perayaan.

Walaupun liriknya mengundang kesedihan, namun teknologi moden membolehkan mereka terus berhubung dengan keluarga melalui pelbagai cara, seperti panggilan telefon dan video.

“Lagu ini sangat mudah melekat di ingatan. Sejak saya melancarkan ‘teaser’ beberapa minggu lalu, saya menerima banyak komen positif daripada warganet.

“Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan, terutama sebagai artis baharu dalam industri muzik,” ujar Umairah yang baru-baru ini dinobatkan sebagai juara kategori vokal (junior) di World Championships of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Tak Balik Raya adalah hasil ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito. Lagu yang disampaikan dengan penuh perasaan ini telah berjaya menambat hati Umairah sewaktu pertama kali mendengar demo beberapa bulan yang lalu.

“Saya tidak perlu berfikir panjang untuk memilih lagu ini. Muziknya yang segar dan emosi yang dibawakan sangat sesuai dengan usia saya,” katanya.

Umairah bakal melancarkan video muzik untuk Tak Balik Raya di saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia pada jam 9 malam ini. Video muzik ini dihasilkan oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio.

Dalam video muzik berkenaan, Umairah turut menampilkan rakan-rakan dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sebagai penari pengiring.

Bagi Umairah, ini adalah cara untuk berkongsi bakat dan memberi peluang kepada rakan-rakannya yang berbakat dalam bidang tari untuk tampil ke hadapan.

Lagu Tak Balik Raya juga mendapat sokongan penuh daripada Universal Music Sdn. Bhd. sebagai pengedar yang akan membantu mempromosikan lagu ini terutama pada Ramadan dan Syawal.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular