26.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026
Home Blog Page 110

Majlis Tautan Kasih Ihya Ramadan 2025: Meraikan anak yatim dan asnaf di Ampang

editormaxinfo@gmail.com

AMPANG – Majlis Tautan Kasih Ihya Ramadan 2025 yang berlangsung baru-baru ini telah menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dalam kalangan masyarakat, sambil memberi perhatian khas kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Majlis yang penuh makna ini dihadiri oleh Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Ampang, serta dua ahli Dewan Negara, Senator Datin Ros Suryati Alang dan Senator Isaiah D Jacob.

Kehadiran mereka menambah kemeriahan dan keberkatan majlis yang penuh dengan kasih sayang ini.

Dalam ucapan pembukaannya, penganjur mengingatkan semua bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan, keampunan, serta peluang terbaik untuk memperbanyakkan amal kebajikan.

Selain itu, majlis ini juga turut memberi perhatian kepada anak-anak yatim dan asnaf, yang diundang khas dari Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Rumah Kebajikan Nurul Hasanah, serta anak-anak yatim yang tinggal di sekitar Ampang.

Mereka menerima perhatian dan kasih sayang daripada masyarakat setempat, menjadikan Ramadan tahun ini lebih bermakna buat mereka.

Majlis diteruskan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Fakurazi Ghazali.

Tazkirah ini memberikan pengajaran berharga dan semangat untuk terus memperbaiki diri sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Rodziah Ismail menyempurnakan ucapan perasmian majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf yang hadir.

Lebih 100 anak yatim dari seluruh kawasan Ampang diraikan setiap kali Ramadan.

Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 yang diperuntukkan khusus untuk majlis berkenaan, termasuk duit raya dan sedikit hadiah untuk anak-anak yang hadir.

Majlis berakhir dengan penuh kesyukuran, berjalan lancar, dan menjadi kenyataan berkat sokongan semua pihak.

Penghargaan khusus diucapkan kepada Senator Datin Ros Suryati Alang, yang telah menaja tempat dan juadah berbuka puasa, serta kepada semua pihak yang telah menyumbang bagi memastikan kejayaan majlis ini.

Kinohimitsu, PMKKL laksana program saringan mata “Mata Jelas, Belajar Cerdas!”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peneraju suplemen bio-nutraseutikal dan kosmeseutikal, Kinohimitsu, menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur (PMKKL) bagi melaksanakan inisiatif saringan mata bertajuk Mata Jelas, Belajar Cerdas! untuk meningkatkan kesihatan mata pelajar di sekitar Lembah Klang.

Program percuma ini bertujuan untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar, sambil meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan mata sejak usia muda.

Kinohimitsu dalam satu kenyataan berkata, program ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saringan kesihatan mata yang dijalankan oleh SpecTruck dengan kerjasama Sonobee Ultrasound dan pelajar optometri dari SEGI University & Colleges bertujuan untuk melakukan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti masalah penglihatan yang biasa di kalangan pelajar.

Untuk kes-kes yang lebih kompleks, penilaian diagnostik lanjutan akan dilakukan oleh tenaga pengajar berpengalaman dari SEGI University & Colleges bagi mengesan penyakit mata tersembunyi dan memastikan intervensi yang tepat pada masanya.

Program saringan mata Mata Jelas, Belajar Cerdas! ini dilancarkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Rotary Club Rahman Putra, Alex Tan, Ketua Pegawai Eksekutif SpecTruck, Datuk Seri David Sew, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, Pengerusi PMKKL, Dr Carmen Soo, serta wakil-wakil dari organisasi dan sektor lain yang menyokong inisiatif ini.

Menurut Kinohimitsu, selain memberi saringan mata percuma, program ini juga menggalakkan aktiviti kitar semula dan agihan semula kaca mata kepada golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan penglihatan.

Pelajar juga berpeluang untuk mempelajari tentang industri optometri melalui program pendidikan dan pembelajaran praktikal bersama SEGI University & Colleges.

Inisiatif ini turut menerima pengiktirafan daripada Chartered Institute of Compliance & Accreditation (CICA), yang memberikan sijil prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) kepada semua pihak yang terbabit, termasuk penyumbang dana dan pihak sekolah.

 “Dengan gabungan antara saringan kesihatan, kelestarian, dan pendidikan, program ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada kesihatan mata pelajar, tetapi turut menyumbang kepada masa depan industri optometri di Malaysia,” katanya.

Fasa pertama program ini telah dijalankan di beberapa sekolah di Lembah Klang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lokman, SMK Convent Sentul, SMK Kepong Baru, SMJK Chong Hwa, SMK La Salle, dan Victoria Institution.

Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa organisasi terkemuka seperti L’OCCITANE Foundation, CIMB Foundation, Rotary Club of Rahman Putra, Rotary Club of KL Sentral, dan Lions Club of Damansara Kuala Lumpur.

Dengan inisiatif ini, Kinohimitsu dan PMKKL berharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan mata di kalangan pelajar muda di Malaysia.

BAALE – FORTUNA live di Kuala Lumpur: Malam penuh kenangan di Zepp KL

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Iqbaal Ramadhan, yang dikenali ramai sebagai Dilan dalam filem Dilan 1990, bakal mencipta sejarah sekali lagi di Malaysia.

Walaupun lebih terkenal dengan lakonannya, Iqbaal bukan sekadar seorang pelakon.

Sejak 2011, beliau telah menjulang nama dalam industri muzik sebagai anggota boyband Coboy Junior bersama Bastian Steel, Teuku Rizky (Kiki), dan Aldy Maldini, sebelum kumpulan itu dibubarkan pada 2017.

Kini, Iqbaal kembali ke dunia muzik dengan projek solo barunya, BAALE.

Pada 2024, BAALE, yang membawa aliran BritPop, muncul dengan album sulungnya berjudul FORTUNA.

Nama BAALE bukan hanya sekadar panggilan, tetapi merupakan wadah bagi Iqbaal untuk berkarya secara bebas dan jujur.

Album FORTUNA, yang mengandungi 11 lagu, membawa maksud ‘nasib baik’, dan mencerminkan perjalanan hidup Iqbaal serta pencariannya dalam menghadapi kesepian dan meraih impian.

Lagu-lagu dari album ini telah menarik perhatian peminat di Malaysia, yang sebelum ini hanya dapat menikmati karya ini melalui platform digital seperti Spotify dan YouTube.

Kini, peminat di Malaysia bakal berpeluang untuk menyaksikan sendiri BAALE di atas pentas! Konsert BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 15 Jun 2025, di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8 malam.

Konsert ini dijangka bakal mencipta nostalgia manis dan mengubat kerinduan peminat yang telah lama menantikan penampilan pertama BAALE di Malaysia.

 Penganjur acarA, Idreez. J dari Miebird Projects berkata, mereka sangat teruja untuk membawa BAALE ke Kuala Lumpur.

“Ini adalah peluang emas bagi peminat untuk mengenali lebih dekat Iqbaal dan muzik yang dibawanya melalui BAALE.

“Kami mahu semua peminat bersenang-senang dan menikmati pengalaman luar biasa ini bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Iqbaal Ramadhan berkata, dia sangat senang sekali akhirnya dapat datang ke Malaysia sebagai BAALE.

“BAALE adalah versi paling jujur dari diri saya. Album FORTUNA menceritakan kisah tentang masa muda, kesepian, dan mengejar mimpi.

“Saya harap peminat Malaysia dapat mengenali lebih dekat dan bersama-sama menikmati karya-karya yang akan datang,” katanya.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang luar biasa ini.

Ikuti media sosial @miebirdprojects di Instagram, TikTok, dan Facebook untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai konsert ini.

Semoga ada FORTUNA (nasib baik) untuk pertemuan anda dan BAALE pada malam yang istimewa ini.

Tiket untuk Konsert BAALE – FORTUNA Live in Kuala Lumpur kini boleh didapati dengan pelbagai kategori, iaitu:

-RM 198 – FORTUNA (BERDIRI – Zon Hadapan)

-RM 218 – MUSIM (DUDUK – Bernombor)

-RM 268 – MALAM MINGGU (DUDUK – Bernombor)

-RM 398 – VIP Box (10 pax per box)

Tiket boleh dibeli melalui www.ilassotickets.com.

Huawei lancar telefon pintar tiga lipatan pertama di dunia, Mate XT Ultimate Design

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Huawei terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju dalam industri teknologi dengan pelancaran Huawei Mate XT Ultimate Design, telefon pintar pertama di dunia yang direka dengan tiga lipatan.

Pelancaran rasmi model revolusioner ini berlangsung di Mobile World Congress (MWC) 2025, Barcelona, Sepanyol.

Huawei dalam satu kenyataan berkata, telefon pintar ini dilengkapi dengan Sistem Engsel Ketepatan Lanjutan (Advanced Precision Hinge System), yang membolehkan skrin dilipat ke dalam melalui satu engsel dan ke luar melalui engsel yang lain.

Rekaan unik ini telah memenangi Anugerah Global Mobile (GLOMO Awards), menerima pengiktirafan tinggi dari pakar industri telekomunikasi di seluruh dunia.

HUAWEI Mate XT juga diperkasa dengan kamera apertur fizikal yang boleh disesuaikan dengan 10 saiz berbeza, serta teknologi skrin inovatif yang menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih lancar.

Di reruai Huawei di MWC 2025, telefon ini dipamerkan dengan skrin besar 3D tanpa cermin mata, menarik perhatian ramai pengunjung yang teruja untuk merasai kehebatan peranti ini.

Kini, HUAWEI Mate XT ULTIMATE DESIGN sudah boleh ditempah di Malaysia pada harga RM14,999.

Tempahan awal dibuka sehingga 14 Mac 2025 di HUAWEI Experience Stores, laman web rasmi Huawei, serta platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, dan TikTok Shop rasmi Huawei.

Pembeli yang membuat tempahan awal akan menerima perlindungan skrin percuma selama satu tahun bernilai RM3,999.

Selain Mate XT, Huawei turut memperkenalkan siri HUAWEI Mate 70 yang dilengkapi dengan Kamera Ultra Chroma untuk menghasilkan warna yang lebih tepat.

Di reruai Huawei, pengunjung turut berpeluang mencuba teknologi canggih seperti Pendedahan Pelbagai (Multi Exposure) dan ciri kecerdasan buatan (AI Retouch).

Huawei juga mempamerkan sistem kesihatan dan kecergasan HUAWEI TruSense, yang membolehkan pemantauan data kesihatan lebih tepat.

Antara inovasi menarik adalah HUAWEI WATCH GT 5, jam pintar yang membandingkan kadar denyutan jantung pengguna secara langsung dengan monitor sukan profesional, serta HUAWEI WATCH D2, jam tangan pintar pertama yang diperakui sebagai monitor tekanan darah ambulatory berasaskan pergelangan tangan.

Pengunjung juga dapat melihat karya seni digital yang dihasilkan menggunakan aplikasi GoPaint pada tablet HUAWEI MatePad Pro 13.2″.

Dilengkapi dengan skrin Flexible OLED PaperMatte Display dan HUAWEI M-Pencil generasi ketiga yang menyokong lebih 10,000 tahap sensitiviti tekanan, peranti ini direka untuk golongan kreatif profesional dan mereka yang gemar melukis secara digital.

Dengan komitmen terhadap inovasi berterusan, Huawei terus membuktikan kemampuannya sebagai peneraju dalam industri teknologi mudah alih.

Untuk maklumat lanjut serta promosi terkini, pengguna boleh melayari laman web rasmi atau saluran media sosial Huawei.

HONOR umum kemas kini Android dan sekuriti 7 tahun untuk siri magic; Malaysia akan datang

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Jenama teknologi global, HONOR akan mula menyediakan tujuh tahun kemas kini sistem operasi Android dan keselamatan untuk siri HONOR Magic flagship bermula dengan HONOR Magic7 Pro di pasaran Kesatuan Eropah.

Sokongan lanjutan ini turut akan diperkenalkan secara berperingkat dalam siri HONOR Magic di pasaran Malaysia pada masa hadapan. 

Sebagai sebahagian daripada HONOR ALPHA PLAN, sokongan tersebut menunjukkan komitmen HONOR dalam mengutamakan pelanggan.

Ini sekaligus menjadikan HONOR satu daripada tiga jenama dalam industri yang menawarkan sokongan lanjutan ini kepada pengguna. 

HONOR berharap langkah ini akan mendorong syarikat lain dalam industri untuk melakukan perkara sama kepada pelanggan, membolehkan lebih ramai menikmati inovasi terbaharu serta meningkatkan keselamatan semua pengguna telefon pintar di seluruh dunia.

“HONOR ALPHA PLAN menekankan pendekatan yang mengutamakan pengguna untuk semua produk masa depan kami.

“Matlamat kami adalah untuk menghasilkan peranti dan perkhidmatan yang bukan sahaja memenuhi keperluan, bahkan melebihi jangkaan pengguna masa sekarang dan akan datang.

“Oleh itu, HONOR telah mengambil keputusan untuk menawarkan tujuh tahun kemas kini sistem operasi Android dan keselamatan untuk siri HONOR Magic.

“Ini merangkumi telefon berbentuk bar dan boleh lipat flagship kami dimulakan dengan HONOR Magic7 Pro.

“Kami amat gembira dapat menyediakannya kepada pelanggan kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HONOR, James Li di Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025, baru-baru ini.

Sokongan lanjutan ini bukan sahaja memanjangkan jangka hayat peranti dan mengurangkan sisa elektronik selaras dengan piawaian kelestarian, malah memastikan pengguna menikmati peranti yang selamat, berprestasi tinggi dengan teknologi AI terkini sepanjang jangka hayat lanjutan.

Pada masa hadapan, HONOR akan menawarkan sokongan lanjutan kepada lebih banyak model flagship HONOR.

Trump umum kenaikan tarif barang import China ke Amerika dari 10 ke 20 peratus

editormaxinfo@gmail.com

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pada Isnin bahawa beliau telah menggandakan tarif tambahan ke atas semua barangan import dari China, menaikkan kadar tarif dari 10 peratus kepada 20 peratus.

Tindakan itu diambil melalui satu perintah eksekutif yang ditandatangani oleh Trump.

Menurut Trump, kenaikan tarif ini bertujuan untuk mendesak China mengambil tindakan lebih tegas terhadap penyeludupan fentanyl ke Amerika Syarikat.

Trump mendakwa China belum bertindak cukup untuk mengatasi aliran masuk dadah haram terbabit ke negara mereka.

Tarif baru sebanyak 20 peratus ini akan dikenakan ke atas barangan China selain tarif sedia ada yang telah dilaksanakan.

“Saya telah menentukan bahawa Republik Rakyat China (PRC) masih belum mengambil langkah yang cukup untuk mengurangkan krisis dadah haram melalui tindakan penguatkuasaan bersama.

“Krisis yang dinyatakan dalam Perintah Eksekutif 14195 masih belum reda,” kata Trump dalam satu kenyataan.

Tarif yang dikenakan ini adalah yang terbesar dalam sejarah hubungan perdagangan AS-China.

Tarif pertama yang berkuat kuasa pada 4 Februari lalu dikenakan ke atas barangan import bernilai AS$1.4 trilion, jauh lebih tinggi berbanding tarif AS$380 bilion yang dikenakan semasa penggal pertama Trump, menurut anggaran Yayasan Cukai.

Sebagai balasan, China telah mengenakan cukai 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair tertentu, serta tarif 10 peratus ke atas minyak mentah, jentera pertanian, kereta bersesaran besar dan trak pikap.

Tindak balas China ini dijangka berterusan, namun menurut White House, Trump tidak menjangkakan tindak balas yang terlalu agresif daripada Beijing.

Sebelum menjadi Presiden, Trump pernah berjanji untuk mengenakan tarif sebanyak 60 peratus ke atas semua barangan dari China.

Oleh itu, tidak mengejutkan jika tarif ini akan terus meningkat pada masa akan datang.

Selain itu, Trump juga dijangka membenarkan tarif tambahan sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada berkuat kuasa mulai Selasa. -Agensi

Grab perkenal ‘Grab ASEAN Delegate Pass’ tanda sokongan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Grab Malaysia melancarkan ‘Grab ASEAN Delegate Pass’, satu inisiatif eksklusif yang menawarkan diskaun istimewa bagi perkhidmatan pengangkutan, makanan, dan kedai serbaneka, khusus untuk delegasi yang hadir ke Malaysia sempena negara ini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor, berkata inisiatif ini adalah tanda sokongan terhadap kerajaan Malaysia dalam melaksanakan tugas sebagai Pengerusi ASEAN.

“Melalui hashtag #GrabBersamaASEAN, Grab akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam ASEAN sambil turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan komuniti,” katanya.

Rashid berkata, inisiatif ini bertujuan untuk memberikan pengalaman yang terbaik kepada delegasi ASEAN yang berkunjung ke Malaysia.

Ia juga berfungsi untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mesra dan moden melalui platform Grab.

Inisiatif ini telah dibincangkan dalam satu pertemuan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini.

Rashid turut memaklumkan Grab Malaysia akan menggunakan platform teknologinya untuk menyokong pelbagai inisiatif ASEAN dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kerjasama serantau, khususnya bagi pengguna aplikasi Grab di seluruh rantau ini.

“Grab berbangga dapat menyokong peranan kepimpinan kerajaan dalam memajukan visi ASEAN.

“Ini juga selaras dengan misi kami untuk memberdayakan komuniti melalui teknologi yang mudah diakses dan penyelesaian inovatif demi masa depan yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Tambahnya, Grab Malaysia amat menantikan peluang untuk bekerjasama dalam mencipta peluang bermakna bagi komuniti di Malaysia serta seluruh rantau ASEAN.

Dengan inisiatif ini, Grab bukan sahaja memperkukuh kerjasama serantau tetapi turut menyokong visi Malaysia dalam memimpin ASEAN ke arah masa depan yang lebih maju dan berdaya saing.

KP Maritim Malaysia adakan lawatan kerja rasmi ke BAKAMLA

editormaxinfo@gmail.com

JAKARTA – Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) di Jakarta.

Lawatan itu juga menyaksikan kunjungan hormat kepada Kepala BAKAMLA RI, Laksamana Madya TNI Irvansyah.

Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim.

Sepanjang pertemuan, kedua-dua pemimpin agensi penguatkuasaan maritim ini membincangkan pelbagai isu berkaitan keselamatan maritim.

Topik yang dibincangkan termasuklah pemantauan dan pengawasan perairan, pencegahan jenayah rentas sempadan, serta pelaksanaan latihan dan operasi bersama.

Ini adalah bagi meningkatkan kecekapan aset dan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi ancaman keselamatan serantau.

Mohd Rosli berkata, komitmen Maritim Malaysia dalam memperkukuh mekanisme kerjasama keselamatan laut melalui pertukaran maklumat risikan, pelaksanaan operasi bersepadu, koordinasi bantuan kecemasan, serta misi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan yang dikongsi oleh kedua-dua negara.

“Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI perlu diperkukuh dalam menghadapi cabaran keselamatan baharu seperti aktiviti penyeludupan, pencerobohan perairan, serta ancaman lain yang berpotensi menggugat kestabilan serantau.

“Kepercayaan dan keakraban antara kedua-dua agensi menjadi teras utama dalam memastikan perairan Malaysia-Indonesia kekal selamat,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada komitmen bersama, kedua-dua agensi turut memperkukuh pelaksanaan Patroli Koordinasi Optima (PATKOR OPTIMA) MALINDO.

Operasi rondaan bersepadu ini dilaksanakan secara tahunan di perairan negara masing-masing.

Operasi ini menyaksikan penglibatan aset maritim dari kedua-dua negara dalam meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan perairan yang strategik, sekaligus memastikan kelancaran laluan perdagangan dan mengurangkan risiko ancaman jenayah maritim.

Lawatan kerja rasmi ini juga disertai dengan sesi pertukaran cenderamata antara Mohd Rosli dan Laksamana Madya TNI Irvansyah, sebagai simbol keakraban dan kesepakatan dalam memperkukuh hubungan strategik antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI.

Turut mengiringi beliau dalam lawatan ini adalah Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia (MIND), Laksamana Pertama Maritim Datuk Md Fauzi Othman.

Kerjasama erat antara Maritim Malaysia dan BAKAMLA RI diyakini akan terus meningkatkan keupayaan penguatkuasaan maritim, memperkukuh keselamatan perairan serantau, dan memastikan kestabilan di rantau ini terpelihara.

Astro Audio mohon maaf insiden rakaman video babitkan penyampai

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR -Astro Audio memohon maaf secara terbuka berikutan satu insiden membabitkan rakaman video yang dikongsi di platform media sosial ERA, yang membabitkan penyampai popular, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin.

Dalam kenyataan rasmi, Astro Audio menyatakan rasa kesal terhadap insiden yang berlaku dan menyedari ia telah menyinggung perasaan pihak lain serta mengecewakan pendengar.

“Kami dengan ikhlas memohon maaf kerana insiden ini telah menyakiti hati dan perasaan banyak pihak,” kata kenyataan itu.

Kesemua penyampai yang terbabit telah mengakui kesilapan mereka dan secara terbuka mengeluarkan permohonan maaf.

Sebagai syarikat penyiaran yang bertanggungjawab, Astro Audio mengambil perkara ini dengan serius.

Setelah mempertimbangkan dengan teliti, Astro telah memutuskan untuk merehatkan ketiga-tiga penyampai terbabit dari siaran langsung sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Keputusan ini dibuat sementara siasatan dalaman dijalankan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Astro Audio juga menyatakan komitmen mereka untuk menjaga kepercayaan pendengar dan memastikan kandungan yang disiarkan menghormati nilai-nilai yang diharapkan oleh audiens.

Mereka kini sedang memperkukuh proses semakan kandungan untuk memastikan semua program yang disiarkan memenuhi standard yang tinggi.

Syarikat ini juga menegaskan mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan penuh terhadap semua garis panduan dan keperluan yang telah ditetapkan.

“Terima kasih kepada pendengar dan pemegang taruh atas maklum balas yang diterima dan kami berjanji akan terus mendengar serta memperbaiki mutu penyiaran,” katanya lagi.