28.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 12, 2025

Kinohimitsu, PMKKL laksana program saringan mata “Mata Jelas, Belajar Cerdas!”

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – Peneraju suplemen bio-nutraseutikal dan kosmeseutikal, Kinohimitsu, menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Mata Kasih Kuala Lumpur (PMKKL) bagi melaksanakan inisiatif saringan mata bertajuk Mata Jelas, Belajar Cerdas! untuk meningkatkan kesihatan mata pelajar di sekitar Lembah Klang.

Program percuma ini bertujuan untuk memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar, sambil meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan mata sejak usia muda.

Kinohimitsu dalam satu kenyataan berkata, program ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Saringan kesihatan mata yang dijalankan oleh SpecTruck dengan kerjasama Sonobee Ultrasound dan pelajar optometri dari SEGI University & Colleges bertujuan untuk melakukan pemeriksaan awal bagi mengenal pasti masalah penglihatan yang biasa di kalangan pelajar.

Untuk kes-kes yang lebih kompleks, penilaian diagnostik lanjutan akan dilakukan oleh tenaga pengajar berpengalaman dari SEGI University & Colleges bagi mengesan penyakit mata tersembunyi dan memastikan intervensi yang tepat pada masanya.

Program saringan mata Mata Jelas, Belajar Cerdas! ini dilancarkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Rotary Club Rahman Putra, Alex Tan, Ketua Pegawai Eksekutif SpecTruck, Datuk Seri David Sew, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor, Pengerusi PMKKL, Dr Carmen Soo, serta wakil-wakil dari organisasi dan sektor lain yang menyokong inisiatif ini.

Menurut Kinohimitsu, selain memberi saringan mata percuma, program ini juga menggalakkan aktiviti kitar semula dan agihan semula kaca mata kepada golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan penglihatan.

Pelajar juga berpeluang untuk mempelajari tentang industri optometri melalui program pendidikan dan pembelajaran praktikal bersama SEGI University & Colleges.

Inisiatif ini turut menerima pengiktirafan daripada Chartered Institute of Compliance & Accreditation (CICA), yang memberikan sijil prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) kepada semua pihak yang terbabit, termasuk penyumbang dana dan pihak sekolah.

 “Dengan gabungan antara saringan kesihatan, kelestarian, dan pendidikan, program ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada kesihatan mata pelajar, tetapi turut menyumbang kepada masa depan industri optometri di Malaysia,” katanya.

Fasa pertama program ini telah dijalankan di beberapa sekolah di Lembah Klang termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Lokman, SMK Convent Sentul, SMK Kepong Baru, SMJK Chong Hwa, SMK La Salle, dan Victoria Institution.

Program ini turut mendapat sokongan daripada beberapa organisasi terkemuka seperti L’OCCITANE Foundation, CIMB Foundation, Rotary Club of Rahman Putra, Rotary Club of KL Sentral, dan Lions Club of Damansara Kuala Lumpur.

Dengan inisiatif ini, Kinohimitsu dan PMKKL berharap dapat memberi impak positif kepada masyarakat dan meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya penjagaan mata di kalangan pelajar muda di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular