31.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 12, 2026

U Mobile dan Qualcomm jalin kerjasama percepat transformasi digital IoT Malaysia

editormaxinfo@gmail.com

KUALA LUMPUR – U Mobile Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik dengan Qualcomm Services Ltd untuk mempercepatkan transformasi digital dalam pasaran Internet of Things (IoT) di Malaysia.

Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penjejakan masa nyata, pemantauan peranti, serta kecekapan dalam rantaian bekalan.

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile Neil Tomkinson, berkata kerjasama ini akan memacu inovasi dalam penyelesaian IoT, seterusnya membolehkan rantaian bekalan menjadi lebih berdaya saing dan cekap.

“Melalui gabungan rangkaian generasi akan datang kami bersama Qualcomm Aware Platform, kami dapat memastikan prestasi yang lancar dengan latensi ultra rendah dan pemindahan data berkelajuan tinggi, yang memungkinkan automasi yang lebih maju,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut U Mobile, penyelesaian ini akan membantu meningkatkan pengesanan dan keselamatan aset, menambah baik kecekapan operasi, serta mengurangkan kos operasi perusahaan melalui penggunaan analisis ramalan dan automasi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).

Bagi memperluaskan penerapan teknologi ini, kedua-dua pihak akan membangunkan strategi khusus untuk pelbagai industri, termasuk sektor yang memerlukan penjejakan masa nyata seperti logistik, penjagaan kesihatan, dan pembuatan.

Kerjasama ini turut menyasarkan industri yang bergantung kepada keadaan persekitaran seperti farmaseutikal, pertanian, dan logistik rantaian sejuk, serta sektor yang sedang melaksanakan transformasi digital seperti peruncitan pintar, minyak dan gas.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang merasmikan kerjasama ini telah ditandatangani di Pavilion Malaysia sempena Mobile World Congress (MWC) 2025 yang diadakan di Barcelona, Sepanyol.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, dan Pesuruhjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Chee Hong Leong.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular