28.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, June 2, 2026

Yayasan PEKEMA salur RM600,000 bantu asnaf dan pelajar tahfiz menjelang Syawal

editormaxinfo@gmail.com

SUBANG JAYA – Menyambut kedatangan Syawal, Yayasan PEKEMA sekali lagi memperuntukkan RM600,000 dalam usaha meringankan beban anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara bagi membuat persiapan hari raya.

Inisiatif tahunan ini menyaksikan lebih 500 penerima menerima baucar membeli-belah dalam sebuah program khas yang diadakan di Mydin Mall USJ, Subang Jaya.

Program ini adalah yang pertama daripada siri bantuan yang akan dilanjutkan ke pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin, berkata program ini bukan sekadar bantuan material, tetapi juga simbol keprihatinan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

“Kehadiran kami adalah lebih daripada sekadar menyampaikan sumbangan, ia adalah tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Diharapkan program ini dapat membawa kegembiraan dan mengurangkan beban mereka dalam menyambut Syawal,” katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025.

Bantuan ini tidak hanya tertumpu di Selangor, tetapi turut diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, dan Pahang, bagi memastikan lebih ramai yang mendapat manfaat.

Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi, termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata), Masjid Hidayatul Muttaqin, Madrasah Quran Darussalam (MQDS), dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum, turut menerima perhatian dalam program ini.

Dengan pemilihan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah, program ini mendapat sokongan penuh daripada pihak Mydin.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin, turut hadir bersama isteri serta barisan kepimpinan PEKEMA bagi menyampaikan sumbangan bersama Yayasan PEKEMA.

Mohamed Nazari berkata, pihaknya berharap usaha ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Setiap sumbangan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan perlu dikongsi bersama.

“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dalam menjayakan program ini dan berharap lebih banyak pihak akan tampil membantu golongan yang memerlukan, terutama menjelang musim perayaan.

ARTIKEL BERKAITAN

Popular