editormaxinfo@gmail.com
KUALA TERENGGANU – Cubaan mencipta kandungan media sosial dengan menunda sebuah platform terapung di perairan Terengganu membawa padah apabila dua buah bot bersama sebuah platform ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, penahanan dibuat ketika operasi rutin Operasi Iman dijalankan di perairan barat laut Kuala Terengganu, berhampiran Pulau Bidong.
Bot-bot berkenaan ditahan pada jarak kira-kira 16 batu nautika dari pesisir pantai sekitar jam 6 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung yang turut membawa sebuah kenderaan, manakala sebuah lagi bot didapati bertindak sebagai pengiring, namun beroperasi tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih membimbangkan, platform itu didapati dibina tanpa sebarang peralatan keselamatan asas yang sewajarnya, sekali gus menimbulkan risiko tinggi terhadap keselamatan nyawa.
Platform berkenaan turut dijadikan lokasi penggambaran oleh seorang pempengaruh media sosial yang dilaporkan turut berada di atasnya bersama sebuah kereta, sebagai sebahagian daripada kandungan yang dipercayai untuk siaran digital.

“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang perkapalan, malah turut membahayakan nyawa kru, penumpang dan pengguna perairan lain. Kami tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan,” katanya.
Kesemua individu yang terbabit, termasuk pempengaruh media sosial berusia antara 21 hingga 32 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.
Seramai enam kru termasuk nakhoda, serta enam penumpang kesemuanya rakyat tempatan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut.
Menurut Maritim Malaysia, kes ini akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) atas pelbagai kesalahan, termasuk melanggar syarat lesen, beroperasi tanpa lesen sah, serta menjalankan aktiviti penundaan tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Hamiludin berkata, pihaknya amat serius dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, khususnya di negeri Terengganu.
Katanya lagi, Maritim Malaysia tidak menolak usaha kreatif anak muda mahupun aktiviti berkaitan pelancongan, namun setiap inisiatif sedemikian mestilah mematuhi undang-undang serta garis panduan yang ditetapkan demi keselamatan semua pihak.

“Maritim Malaysia menyokong kreativiti anak muda, tetapi ia mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan mengikut peraturan sedia ada. Keselamatan tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau turut menyeru orang awam agar tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu.
Maklumat boleh disalurkan ke talian kecemasan 999 atau terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.


https://shorturl.fm/CtDgt
https://galindoslowriderbikes.com/product/toplowrider/